Ahad, 31 Mac 2013

BAS EKSPRES


Pagi tadi, terbaca satu kenyataan di laman Facebook. Luahan seorang insan bernama ibu. Mungkin kutidak kenal insan itu, tetapi kata-katanya cukup menyentuh kalbu. Aku yakin. Tentu ramai yang merasai situasi ini. Aku tidak dapat menceritakan pengalaman orang lain, tetapi akanku kongsi pengalamanku sendiri. 

"Cuti sekolah dah berakhir. Dia dah balik dengan bas awal pagi tadi. Aku nampak dari raut wajahnya agak sedih tapi dia dapat sembunyikan perasaannya. Aku faham. Dia pun faham. Bukan senang mengejar ilmu. Kalau tidak dengan pengorbanan..."

CERITAKU

Lima tahun, suatu tempoh yang begitu panjang. Kata orang pejam celik pejam celik, cepat saja masa berlalu. Ya, memang benar. Lima tahun kupejam celik, segala yang kualami sudah menjadi sejarah dalam hidupku. Selama lima tahun aku hanya berulang-alik ke Putrajaya dengan menaiki bas ekspres. Ini hanya kisahku yang ingin kukongsi kepada semua. 

Ketika aku masih di Tingkatan satu. Pertama kali pulang bercuti iaitu Cuti Tahun Baru Cina, aku masih tidak tahu apa-apa tentang bas, tiket, stesen bas dan semuanya. Mujur di sekolahku, seorang warden telah ditugaskan dalam urusan membeli tiket kepada para pelajar. Lega. Urusan tiket telah diuruskan. Harga tiket ketika itu masih lagi RM16.00. (Kemudian telah naik menjadi RM18.00 dan harga kini ialah RM21.90) Tetapi aku runsing. Tempat untukku menaiki bas ialah di Puduraya (sekarang Pudu Sentral).  Aku masih tidak pasti tentang cara hendak ke Puduraya ketika itu. Oleh sebab itu, aku berjumpa dengan seorang pelajar tingkatan dua yang aku kenali kerana aku tahu, dia juga berasal dari Kuantan. Nasibku baik lagi, tiketnya dan tiketku sama perjalanannya. Aku memintanya untuk membantuku semasa hendak ke Puduraya. Pada hari pulang bercuti, aku hanya mengikuti pelajar tingkatan dua itu menaiki LRT, dan akhirya tiba di Puduraya. Ada juga kucuba mengingati nama-nama stesen LRT yang kami lalui, tetapi semuanya hilang dalam keadaanku yang masih buntu dan pertama kali menaiki LRT secara bersendiri. 

Kini urusanku untuk pulang semula ke Putrajaya dengan menaiki bas. Disebabkan itulah pertama kali aku akan menaiki bas secara sendiri, Abah sanggup menemaniku bersama-sama kerana bimbang akan keselamatanku sebelum tiba ke sekolah. Ya, pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus disumbangkan kepada kita. Ketika sudah menaiki bas, aku terlihat ada juga beberapa pelajar sekolahku yang lain kerana mereka juga memakai baju rasmi sekolah kami. Aku lega kerana setidak-tidaknya, mereka sudah tahu cara hendak ke sekolah dan  pasti membantuku  nanti. 

Setelah empat jam di dalam bas, kami tiba di Puduraya, Abah bertegur sapa dengan pelajar yang turut menaiki bas bersamaku. Mereka pelajar tingkatan tiga. Abah meminta mereka membantuku dan mereka bersetuju. Aku juga lega, kerana Abah tak perlu mengikutku sampai ke sekolah sebaliknya Abah boleh terus mendapatkan tiket untuk pulang ke Kuantan semula. Dari Puduraya, kami perlu mendapatkan bas Sri Indah ataupun Metrobus yang melalui Putrajaya. Aku hanya mengikuti mereka dan akhirnya selamat tiba di sekolahku. Perjalanan bas tersebut mengambil masa lebih kurang satu jam. 

Sejak mendapat pengalaman pertama itu, aku sudah berani untuk ke Puduraya sendirian. Aku juga sudah tahu cara untuk ke sekolahku. Walaupun kadangkala bimbang, tetapi kehadiran beberapa rakan yang ditemui di Puduraya setidak-tidaknya membuatkan aku tidak keseorangan apabila menaiki bas ke sekolah.

Pada tahun 2010, Puduraya telah ditutup untuk jangka masa yang panjang bagi tujuan penambahbaikan. Sejak itulah kaunter tiket bas ekspres dibuka di Putrajaya Central untuk destinasi lain selain Terengganu dan Kelantan yang sudah sedia ada di situ. Aku bersyukur, kerana urusanku untuk pulang bercuti semakin mudah. Aku tidak perlu lagi ke Puduraya yang banyak pancaroba dan penuh dengan kebimbangan. Walaupun harga tiket ke Kuantan dari Putrajaya lebih mahal berbanding jika aku menaiki bas dari Puduraya iaitu RM26.00, aku tidak kisah. Yang penting mudah dan selamat. 

Sehingga kini, aku melihat pelajar-pelajar di sekolah lamaku sudah tidak ada masalah untuk pulang bercuti. Hanya perlu menaiki bas Nadi Putra dalam jangka masa 15minit, dan terus mendapatkan bas ekspres di Putrajaya Central. Bertuah mereka.

Wanariahamiza

Rabu, 27 Mac 2013

KEMBARA PENULIS MUDA KE UNITED KINGDOM (19 MAC 2013) HARI TERAKHIR


Hari terakhir dirasakan begitu syahdu. Pagi kami dimulakan dengan sesi penggulungan pengalaman selama sepuluh hari di  London. Masing-masing punya cerita sendiri. Apabila didengar, terasa sebak di sanubari. Inilah pagi terakhir di London dan perbincangan kumpulan terakhir untuk program Kembara ini. Duduk satu meja sambil bergurau senda. Mengusik sapa dan menegur sesama kita.

Kak Teh dan Cik Wan menghadiahi kami magnet peti sejuk. Kata Kak Teh,  hadiah itu biasa-biasa saja. Tapi ketahuilah, hadiah itu terpalit jutaan kenangan yang tak mungkin boleh diputar kembali apatah dicari lagi.

Kami juga diberikan coklat yang banyak. Seorang dapat sehingga hampir lima keping coklat bar. Terima kasih atas pemberian yang tidak seberapa bagi Kak Teh dan Cik Wan, tetapi begitu berharga bagi kami.

Kami dikehendaki 'check-out' jam 11.00 pagi. Selepas itu, kami bebas meneruskan acara sendiri sebelum bertolak ke lapangan terbang pada sebelah petang. Saya memilih untuk menghabiskan masa bersama teman-teman kembara dan makan tengah hari bersama-sama di Tuk Din buat kali terakhir sebelum kembali ke Malaysia. Kami bertuah kerana bertemu dengan Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang sedang sama-sama menikmati hidangan di Tuk Din.

Selesai makan tengah hari, saya memilih untuk ke Kensington Gardens bersama seorang peserta kembara. Saya ingin menikmati keindahan taman ini sekali lagi sebelum pulang ke Malaysia. Taman inilah tempat pertama kami kunjungi dan saya menjadikan taman ini sebagai tempat terakhir yang saya kunjungi dalam program kembara. Gambar menunjukkan telatah dua anak kecil yang begitu riang bermain in Kensington Gardens. Seronok melihat mereka.

Merpati, itik dan angsa masih setia di kolam yang sama. Saya sangat gembira ke Kensington Gardens pada hari ini kerana cucanya sangat baik. Tidak terlalu sejuk dan seronok apabila berjalan menikmati pemandangan. 

Hendak kata terkilan, adalah juga kerana pada hari kami ingin meninggalkan kota ini, barulah cuacanya baik dan begitu selesa. Mungkin juga kerana kota ini mahu menamatkan pengembaraan kami dengan sesuatu yang elok. Kota ini meraikan kami dengan pelbagai cuaca berbeza. Angin yang sejuk, hujan, salji dan panas. 

Selesai ke Kensington Gardens, kami melalui Bayswater Road dan terus ke Quensway sebelum pulang ke hotel untuk mencari cenderamata lagi jika perlu. Saya teringat kepada pasar raya Sainsbury's Local ini. Kami ada ke sini pada suatu malam yang lalu. Kami tertarik dengan sistem bayaran di sini. Tiada juruwang yang menjaga mesin untuk pembayaran. Sebaliknya semuanya perlu diuruskan oleh pelanggan sendiri secara manual menggunakan mesin wang automatik yang disediakan. Pelik bukan? Tetapi itulah yang dilaksanakan di pasar raya ini. Kepercayaan terhadap pelanggannya begitu tinggi dan perniagaan tetap berjalan dengan lancar.

Tepat jam 5.00 petang, kami meninggalkan hotel dan bergerak ke Heathrow Airport. Terasa berat hati untuk meninggalkan hotel ini kerana itulah tanda tamatnya pengembaraan kami di Kota London ini. 

Kami menikmati saat-saat terakhir dengan makan malam bersama-sama Kak Teh dan Cik Wan di Pret A Manger. Saya melihat gelak dan tawa masih terus menghiasi perjalanan kami. Sesuatu yang sangat menyentuh hati kerana kami sudah seperti sebuah keluarga. 

Malam ini, kami hanya berkongsi satu sandwich untuk dua orang. Bagi saya, tiada apa yang hendak dikisahkan kerana perkongsian itu mengukuhkan lagi tali kekeluargaan kita. 

Satu perkara yang saya perhatikan pada malam ini. Kak Teh selalunya akan merakan setiap gelagat peserta kembara. Mungkin Kak Teh 'terlupa' untuk merakam saat-saat terakhir ini semata-mata untuk menjadikan saat-saat ini benar-benar bermakna. Atau Kak Teh sengaja tidak mahu merakam detik-detik yang mungkin menumpahkan air mata. Saya terus memerhati gelagat setiap peserta yang menaggung hiba.

Ya, perpisahan juga menjadi penghabisan kepada sebuah Kembara. Terasa sedih juga untuk berpisah dengan Kak Teh dan Cik Wan. Sepuluh hari yang  panjang dan sentiasa ditemani mereka setiap masa. Sudah menjadi seperti ibu dan bapa. Yang sentiasa sabar dengan karenah anak-anak muda. Kami berlepas dari Heathrow Airport dan penerbangan kami telah terlewat satu jam.

Tiba di Dubai, kami perlu transit selama hampir satu setengah jam. Penerbangan ini juga terlewat satu jam dan kami hanya menunggu dan terus menunggu.

Akhirnya, Alhamdulillah kami selamat tiba di Malaysia sekitar jam 10.30 malam. Seperti di tiket penerbangan, kami sepatutnya tiba pada jam 9.35 malam. Tetapi tidak kisah. Yang penting  selamat tiba. 

Saya rakamkan gambar ini sebagai ingatan untuk kenangan kembara sahaja. Tibanya kami di Malaysia, tamatlah pengembaraan kami dan kami terus digalaskan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

_________

_________

Sebaik keluar dari KLIA, masing-masing sudah bersama-sama keluarga, suami dan isteri tercinta. Ya, sepuluh hari kita berkeluarga, pasti akan berkekalan sebagai sebuah keluarga Kembara. Kami hanya bersalaman, berpelukan dan ucapan selamat tinggal sebagai kata-kata perpisahan. Sedih juga melihat semuanya kembali melalui haluan tersendiri. Kita terpisah dek jarak, tetapi pengalaman terus mendekatkan kita.


Kusendirian ke ERL untuk ke Putrajaya. Kemudian terlihat Encik Anuar turut ke sana. Tiba di Putrajaya sekitar jam 12.30pagi. Mujur Encik Anuar dan isteri menawarkan untuk menghantarku ke sekolahku bagi tujuan mengambil keputusan SPM yang akan diumumkan pada keesokan harinya. Terima kasih semua rakan kembara, Kak Teh dan Cik Wan sebagai ibu dan bapa serta Kak Nas dan Encik Anuar yang banyak meluangkan masa menguruskan kami semua.

Wanariahamiza

KEMBARA PENULIS MUDA KE UNITED KINGDOM (18 MAC 2013) HARI KESEPULUH


Selalunya, jam 8.00 pagi kami akan bersarapan, jam 9.00 kami akan berkumpul untuk taklimat dan perkongsian ilmu, kemudian jam 11.00 barulah pengembaraan dimulakan. Hari ini pengembaraan bermula lebih awal kerana kami akan ke University of Oxford. Seawal 8.00 pagi kami sudah bertolak dari hotel. Kami ke sana dengan  menaiki dua buah van yang disewa khas.

Pemandangan semasa perjalanan kami ke University of Oxford sangat mengagumkan. Padang dilihat memutih dengan salji dan embun yang membeku. Di atas bumbung-bumbung rumah juga masih ada sisa salji. Sangat kagum dengan apa yang dilihat. Subhanallah.

Bertuahnya kami dapat berjumpa dengan Sheikh Afifi di Oxford Centre of Islamic Studies dan berkongsi ilmu dengan beliau.  Namun kami tidak lama kerana Sheikh Afifi mempunyai urusan yang perlu disiapkan. Selepas itu, pengembaraan kami di University of Oxford dipandu oleh Datuk Dr Ng Kah Ming yang merupakan salah seorang pensyarah di University of Oxford. 

Inilah Bodleian Libraries yang terdapat di University of Oxford. Struktur bangunan ini unik dan begitu menarik. Di sekitar Bodleian Libraries, dihiasi rumput hijau yang begitu saujana mata memandang.

Datuk Dr Ng Kah Ming menceritakan sejarah dan maklumat penting tentang  Bodleian Libraries. Kami begitu bertuah kerana mendapat peluang seperti ini. 

Dewan makan ini terletak dalam sebuah perpustakaan di University of Oxford yang hanya boleh dimasuki oleh ahlinya sahaja. Orang awam tidak dibenarkan masuk. Apabila saya melihat dewan makan ini, teringat pula kepada cerita fantasi Harry Potter yang mendapat tumpuan dunia.

Embun-embun yang membeku masih dapat dilihat di atas padang di University of Oxford. 

Basikal menjadi kenderaan paling penting oleh penuntut-penuntut University of Oxford. Mereka lebih gemar menggunakan basikal kerana memudahkan perjalanan dan menjimatkan kos kehidupan di sana. Yang paling menarik perhatian saya ialah Datuk Dr Ng Kah Ming sendiri menggunakan basikal untuk ke mana-mana.

Bangunan-bangunan di sini banyak yang dilitupi tumbuhan menjalar. Sangat menakjubkan dan sesuatu yang  begitu cantik. Bangunan-bangunan di sini juga sudah berusia beratus-ratus tahun dan masih kekal dengan bentuk dan struktur yang sama.

Pemandangan indah ini dirakamkan di dalam Keble College. Padang yang dijaga rapi dan  sentiasa hijau  menuntut kita berfikir secara mendalam.

Disebabkan kawasan ini ialah kawasan University of Oxford, banyak kedai buku yang terdapat di sini. Memudahkan penuntut universiti di sini untuk membeli bahan bacaan dan bahan rujukan yan diperlukan.


Kami berpeluang menyaksikan sebuah persembahan String Orchestra yang dipersembahkan di dalam sebuah gereja di University of Oxford.

Kedai buku ini namanya Blackwell. Dari luar, kami melihat kedai buku ini sebagai biasa dan hanya sebuah kedai buku yang kecil. 



Inilah keadaan sebenar di dalam kedai buku Blackwell. Begitu luas dan mempunyai tingkat bawah tanah. Kami begitu terkejut dengan keluasan sebenar kedai buku ini kerana secara luaran, kedai buku ini memang kelihatan kecil sahaja.

Selesai ke University of Oxford, van yang kami naiki berpecah haluan. Kami singgah di Bicester (sebutan  bis-ter) untuk bersolat dan makan tengah hari. Sebenarnya di sinilah dijual barang-barang berjenama yang kalau dibeli di Malaysia, harganya mahal sedikit. Namun kami hanya melihat dan tidak berminat untuk berbelanja. Saya menaiki van yang pertama. Kami tiba lebih awal di situ dan tertanya-tanya tentang van yang kedua. Selesai makan dan solat, kami mahu beredar dan ketika itu, van kedua baru tiba di Bicester. 

Kami ke Rumah Kak Ani di Crest Road (pemilik Makan Cafe) kerana menerima jemputan beliau untuk makan malam bersama-sama. Terasa seperti sebuah keluarga pula. Kami tiba lebih awal di rumah Kak Ani. Setelah itu barulah van kedua tiba dan kami menunaikan solat secara berjemaah. 

Ternyata kelewatan van kedua ada sebabnya. Mereka lambat kerana mencari kek bagi meraikan ulang tahun kelahiran Kak Gina dan Encik Anuar yang berada dalam tarikh pengembaraan. Shamsul juga turut diraikan bersama atas kejayaan beliau dalam STPM 2012. Setelah selesai makan malam, barulah diceritakan segala perancangan sejak menaiki van. Encik Anuar, kak Gina dan Shamsul sengaja disuruh menaiki van yang pertama agar mudah untuk mereka mencari kek. Kami yang turut menaiki van pertama tidak tahu pula perancangan pada hari tersebut. Yang kami tahu hanyalah "Kita akan sambut hari jadi mereka di rumah Kak Ani".

__________

__________

Malam ini ialah malam terakhir kami di Kota London. Banyak tawanya di rumah Kak Ani.  Banyak lawaknya di dalam van dan banyak ceritanya yang sengaja direka. Namun saya yakin, pasti masing-masing memendam perasaan sedih kerana pengembaraan bakal berakhir. Malam itu, kami juga menaiki bas dua tingkat buat kali terakhir kerana Kad Oyster kami akan tamat tempoh pada keesokan harinya. Malam terakhir yang begitu syahdu tetapi bagiku, penutup ini sangat bererti. 


Wanariahamiza

KEMBARA PENULIS MUDA KE UNITED KINGDOM (17 MAC 2013) HARI KESEMBILAN


Permulaan hari Ahad yang begitu santai. Dimulakan dengan perkongsian pengalaman tentang tugasan yang Cik Wan berikan pada hari Jumaat tempoh hari. Banyak cerita yang kami peroleh, banyak ilmu yang kami raih dan yang pasti, setiap peserta punya cerita tersendiri. Semua tugasan berjaya disiapkan dengan jayanya. Ada peserta yang ditugaskan ke tempat yang jauh, tempat yang tidak pernah dilalui dan tempat yang selalu dikujungi. Sungguhpun begitu, tugasan itu membuat kami memerhati dengan lebih teliti tentang semua yang berada di sisi. 

Seterusnya kami ke Hyde Park. Di situ diadakan sudut pidato atau lebih dikenali sebagai Speakers' Corner. Sesiapa sahaja berhak untuk bersuara atau menyampaikan pendapat masing-masing asalkan tidak mencaci Queen. Hanya pada hari Ahad akan ada ramai orang yang meluahkan pendapat di sini.

Kaum wanita juga tidak terkecuali. Memberi pandangan mereka sendiri. Saya hairan, dalam keadaan yang sangat sejuk, mereka masih boleh bercakap dengan jelas dan lancar. Mereka juga membawa kerusi sendiri untuk dijadikan tempat berdiri agar lebih didengari.

Mereka juga saling bertukar pendapat antara yang menyampaikan dengan yang mendengar. Suatu perkongsian hebat yang membuka minda semua. Sebab semuanya bebas bersuara, kadang-kala akan berlaku perdebatan yang sangat hebat oleh mereka. Para peserta Kembara tidak ketinggalan cuba bersuara. Mereka membaca puisi walaupun tiada kerusi tempat berdiri. Saya hanya memerhati, ada juga penduduk yang mencuri dengar puisi, kemudian beredar kerana tidak difahami. Apa yang hendak dikisahkan, yang penting puisi berbahasa Melayu sudah bergema di Kota London. Ada sesiapa lagi yang berani?

Lihat gambar ini dengan teliti. Cuba teka dengan mata hati. Saya sudah memerhati topmpok-tompok putih ini sejak hari pertama. Ada juga ditanya dengan peserta kembara yang lain, katanya mungkin tumpahan cat. Tetapi tidak logik. Cuai sangatkah mereka semasa mahu melukis garisan di atas jalan raya? Dan yang pasti, tompok putih ini terlalu banyak. Anda mungkin juga akan mengatakan tompok ini sebagai najis merpati. Logik juga, tetapi setelah diteliti, bukan najis merpati. Suatu hari, saya cuba bertanya Cik Wan dan barulah saya mendapat jawapan. Kata Cik Wan semua itu ialah 'chewing gum' yang sudah leper dan melekat di jalan raya dan sekitar kaki lima. Peubahan cuaca juga menyebabkan semuanya tidak hilang dan kekal abadi. Saya tertanya-tanya, membuang gula-gula getah di merata-rata tidak menjadi kesalahankah? Sehingga menjadi corak di atas jalan raya. Mungkin mereka patut belajar tinggal di Singapura. 'Chewing gum' yang  tidak pernah dirasai oleh sebahagian penduduk Singapura. Peraturan negara kata mereka.


The Sherlock Holmes Museum. Sebuah muzium yang diwujudkan untuk dijadikan tempat kunjungan orang ramai. Kata Cik Wan, muzium ini sengaja diletakkan nombor rumah Sherlock Holmes untuk menampakkan keasliannya. Yang menariknya, selepas itu kedai-kedai di sekitar muzium ini turut mengikut turutan nombor muzium tersebut walaupun pada asalnya hanyalah rekaan. 

Tugu Sherlock Holmes ini telah ditaja oleh Abbey National plc  sempena ulang tahunnya yang ke-150 pada tahun 1999.

Hari ini kami bersolat pula di London Central Mosque. Masjidnya agak besar dan terdapat kubah dan menara seperti masjid-masjid biasa kita lihat. 

Di sekitar bahagian luar Paddington Station, tanda larangan merokok ini dicat atas sepanjang jalan raya.  Bukan kecil, tetapi besar saiznya. Yang tidak menghairankan saya, sama seperti di negara kita, sudah jelas-jelas diletakkan tanda ini, masih ramai yang merokok sesuka hati. Tetapi di London lebih sedikit. Kaum wanita yang merokok dilihat lebih berleluasa. Menahan sejuk barangkali.

Kami makan tengah hari di Tuk Din lagi. Kami memesan teh untuk menghilangkan kesejukan yang dirasai sepanjang perjalanan tadi.

Begitu lama tidak makan nasi lemak, kami semua memesannya kali ini. Harganya mencecah RM40. Jika di Malaysia, RM1.50 pun sudah boleh mendapat sebungkus nasi lemak. Nasi lemak di Restoran Tuk Din ini sedap dan banyak. Sambal ikan bilisnya juga sedap dan pedas. Kalau nak cuba yang lain, ada macam-macam lagi masakan Malaysia yang dijamin kesedapannya.

________

________

Hari ini suara Malaysia bergema di Kota London. Ya, mereka mungkin tidak memahami apa yang kami sampaikan. Tetapi mereka pasti tahu yang kami sedang menyampaikan. Kita semua berlainan bahasa. Kita juga berbeza bangsa. Motif juga tidak sama. Namun kita semua punya suara yang serupa. Suara yang bebas untuk dilontar ke udara.

Perjalanan hari ini lebih singkat berbanding hari-hari lain. Seawal 4.00 petang kami sudah pulang ke hotel. Ada yang memilih untuk berehat sahaja dan ada yang memilih untuk ke Queensway bagi membeli cenderamata. Saya memilih untuk ke Queensway sekejap dan terus pulang semula untuk berehat. Perjalanan ke Queensway tidak jauh. Hanya berselang beberapa bangunan dengan bangunan hotel tempat kami menginap.

Wanariahamiza

KEMBARA PENULIS MUDA KE UNITED KINGDOM (16 MAC 2013) HARI KELAPAN


Hari ini telah dimulakan dengan sesi bersama Kak Teh. Walaupun Kak Teh sudah bersama-sama mengembara, tetapi baru hari ini mendapat satu slot khas bersama Kak Teh. Perkongsian tentang kehidupan Kak Teh dan penulisan Kak Teh dalam blognya. Kami turut diberikan beberapa hasil tulisan Kak Teh yang ditulis dalam blognya untuk dibaca dan dijadikan inspirasi mendatang.

Sebenarnya, bermula hari keempat kami sudah tiada tentatif program untuk pengembaraan ini. Kata Cik Wan pengembaraan ini akan jadi misteri dan tidak lagi dirancang. Sesuatu yang menarik kerana kami menjadi tertunggu-tunggu dan tidak sabar untuk ke sesuatu tempat yang misteri. Gambar ialah di Liverpool Street Station. Saya tidak pasti apakah sekadar nama atau memang tempat itu namanya Liverpool.

Ini pula ialah Church Bell Foundry yang telah dibuka sejak 1570. Lama juga. Datuk dan nenek kita juga belum lahir barangkali. Kedai loceng ini menjual loceng untuk kegunaan di gereja. Kami tidak berpeluang masuk ke dalam kedai ini kerana sudah tutup.

Seterusnya kami ke London Muslim Centre untuk menunaikan solat. Sementara kami bersolat, Kak Gina dan Vassan pula bersiar-siar di luar dan mereka singgah di sebuah kedai buku di seberang jalan bertentangan dengan bangunan ini.

Apa yang anda lihat tentang gambar ini. Ya, sebuah kawasan yang namanya Banglacity. Majoriti penduduk di sini datangnya dari Bangladesh dan menguasai ekonomi di sini. Jika di Malaysia sendiri, ramai juga orang Bangladesh yang berhijrah ke negara kita. Namun, mereka lebih menguasai bidang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan buruh.

Kami singgah di Preem Restaurant untuk makan tengah hari. Berdasarkan kain rentang yang ada, restoran ini telah dianugerahkan sebagai Restoran India Terbaik di London untuk tahun 2011.

Kami mula dihidangkan dengan papadom, teh dan samosa. Pada mulanya, kami sangka makan tengah hari kami hanyalah dua ketul samosa ini. Betapa sedihnya kami kerana secara logiknya, samosa itu tidak langsung mencukupi. Kami lebih rela makan sandwich sebagai makanan tengah hari berbanding hanya makan dua samosa.

Selesai menghabiskan samosa, barulah kami dihidangkan dengan nasi dan kari ayam. Leganya tidak terkira. Rupanya samosa tadi hanyalah sebagai pembuka sajian dan sajian utama ialah nasi dan kari ini. Nasinya banyak, dan karinya juga menyelerakan. Saya sangka kari itu sama seperti di Malaysia, tetapi rupanya tidak. Rasanya tidak begitu pedas dan rempahnya banyak. Walau apapun, kami lega kerana mendapat nasi. Perut orang Malaysia. Nasi itu wajib.

Bangunan-bangunan di Banglacity Street ini dipenuhi dengan hasil lukisan yang begitu unik. Bayangkan, kawasan  ini mendapat sambutan pelancong dan lukisan-lukisan ini menjadi salah satu daya penarik yang perlu kita hayati.

Antara lukisan unik yang lain yang boleh dilihat di Banglacity Street  ini. Unik, pelik dan sukar ditafsir juga motifnya.

Di sini juga terdapat sebuah masjid. Brick Lane Jamme Masjid. Asalnya, masjid ini merupakan sebuah gereja. Namun, setelah penduduk asal kawasan ini berpindah dan diduduki oleh penduduk Islam, gereja tersebut telah dijual dan dijadikan masjid. Struktur binaannya tidak diubah dan sebahagian perhiasan dalam masjid ini juga tidak diubah. Sebabnya, sebagai peringatan bahawa masjid ini dahulunya merupakan sebuah gereja.

Kami kemudiannya ke Southbank Centre dengan menaiki bas awam dua tingkat ( Bas dua tingkat berwarna merah) . Di sini begitu meriah dengan kehadiran penduduk yang suka bersiar-siar di sini. Di tepi sepanjang jalan ini, ada gerai-gerai kecil yang dibuka dan ada juga penghibur jalanan yang mencari makan. Southbank Book Market ialah sebuah gerai menjual buku. Malangnya ketika kami ke situ, gerai ini tutup dan penghibur jalanan juga tidak ramai.

Kami bergambar di Southbank Book Market. Dalam gambar ini, banyak cerita yang ada di sebalik gaya setiap peserta. Memori yang dicipta sendiri dengan jutaan citra menanti.

Kami berjumpa dengan Encik Shahril. Pemilik The Malaysian Pancake. Encik Shahril pada asalnya ialah seorang pelajar di sini dan akhirnya memilih untuk meneruskan perniagaan apam balik di Kota London. Gerainya kecil sahaja, namun kunjungan pelanggan mengalahkan saiz gerainya itu.

Menikmati apam balik di London. Harganya mencecah RM20 di sana. Di Malaysia boleh didapati dengan harga serendah RM2. Rasanya  sama dan masih punya nilai Malaysianya. Kami  tertarik dengan cara perniagaan Encik Shahril. Beliau akan memberi pelanggannya merasai terlebih dahulu apam balik yang dijual. Dan yang menariknya, apa yang saya perhatikan warga London suka dengan apam balik dan terus membuat pesanan setelah merasai apam balik tersebut. Kalau kita jual semua makanan Malaysia di luar negara, pasti semuanya bertaraf antarabangsa.

Bergambar dengan papan tanda gerai dan bendera Malaysia tercinta. Encik Shahril ( berdiri tiga dari kiri) sudah mempunyai tiga cawangan kedai apam balik di London dan yang terbaru, beliau telah ditawarkan kerjasama menjual apam balik dengan syarikat Tutti Frutti di London. Kejayaan yang membanggakan.

Gambar ini juga punya cerita tersendiri. Perhatikan anak kecil itu. Matanya merenung tajam lopak air di situ. Anda boleh terus berfikir dan cuba teka apakah tindakan anak kecil itu. Gambar ini tidak bergerak untuk menunjukkan tindakan anak kecil itu yang seterusnya. Saya yang memerhati sudah mengetahui apakah tindakannya. Dan tugas anda ialah membebaskan minda dan fikiran anda untuk terus mencorak cerita seterusnya berdasarkan  kebebasan cara anda berfikir. 

Selain apam balik, pelbagai makanan dari negara-negara lain juga dijual di sini. Seronok melihat makanan yang pelbagai. Mahu mencuba semuanya jika berkesempatan. Namun sebagai Muslim, kita perlu berhati-hati dalam merasai makanan agar tidak termakan sesuatu yang mungkin syubhah. Tidak salah mahu mencuba.

Roti yang pelbagai jenis dan saiz turut menarik perhatian. Ada yang begitu besar dan saya rasa pasti tidak mampu dihabiskan jika dimakan seorang diri.

Ini pula muffin. Sungguh menyelerakan dan cara bungkusan muffin ini lain daripada yang lain. Unik dan membuatkan kami tertarik dengan cara pembungkusannya.

Makanan ini namanya Bruschetta. Melalui pemerhatian yang dibuat, Bruschetta ini berasakan roti dan tomato. Mungkin juga ditambah dengan perisa lain dan sos. Nampak menyelerakan dan saya ada bertanyakan seorang pelanggan yang membeli makanan ini. Katanya, sedap sekali. 

Peniaga ini tidak menjual anak pokok. Yang didalam pasu itu sebenarnya ialah kek. Nama kek itu  Edible Earth Cake. Unik cara persembahannya. Mungkin hanya pasu sahaja yang tidak boleh dimakan. Yang selebihnya boleh dimakan sehingga licin. Cubalah membelinya jika anda ke Southbank Centre. 

Suatu pemandangan indah yang dirakam di Southbank Centre. Awan yang kelabu menutup biru langit. Reranting tanpa daun beratur membelakangi sungai Thames. Dan samar-samar cahaya matahari senja cuba mencelah melalui awan itu.

National Film Theathe ini juga letaknya di Southbank Centre. Besar dan  kedudukannya strategik saya kira. 

Sewaktu hendak pulang, saya sempat merakam kejadian ini. Kata Cik Wan dan Kak Teh, di London ini ramai juga peminta sedekah. Mereka dipanggil 'Homeless' yang bermaksud tiada rumah. Wanita itu pada mulanya sudah berjalan melepasi lelaki peminta sedekah itu. Yang menarik perhatian saya ialah apabila wanita tersebut berpatah semula dan menghampiri lelaki itu untuk diberikan sedekah. Sesuatu yang mungkin sukar untuk kita fahami jika  dilihat dengan mata tetapi berpeluang melihat kejadian itu sendiri dengan mata hati.

_________

_________

Hari ini kami melihat sendiri kejayaan seorang rakyat Malaysia, Encik Shahril. Latar belakangnya ialah seorang pelajar cemerlang. Namun beliau memilih untuk menjual apam balik dan meneruskan perniagaannya itu di sana. Berkat usaha dan rezeki, beliau berjaya. Saya melihat pula seorang peminta sedekah. Apakah takdirnya menjadi begitu? Walhal dia seorang warganegara di situ. Encik Shahril pula hanya seorang perantau yang berjaya di negara asing. Bukan saya hendak menghalang warga luar berjaya di Malaysia, tetapi kita perlu buka mata. Mengapa orang luar boleh berjaya di negara kita sehingga kita terpaksa berada di bawah mereka? Semuanya pasti dengan satu usaha.

Wanariahamiza