Selasa, 23 April 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN III) : STESEN BERIKUTNYA PADDINGTON


Kami menjejak kaki keluar dari Whiteleys. Fikirku, peserta-peserta yang lain sudah tentu tiada lagi di kawasan ini. Sewaktu di The Body Shop, aku terpandang kelibat peserta-peserta lain meninggalkan bangunan pusat beli belah itu. Tidak kisahlah. Lagipun tugasan ini perlu disiapkan secara berpasangan, dan bukan secara berkumpulan besar. 

Hala tuju aku dan Abang Tuah ialah ke Bayswater Station. Tidak jauh pun dengan Whiteleys sebenarnya. Whiteleys dan stesen ini terletak di jalan yang sama, Queensway. Ketika ini, aku dan Abang Tuah memilih Bayswater Station kerana stesen itu yang terdekat. Di jalan yang sama, terdapat juga lagi sebuah stesen, Queensway Station. Aku sangka kedua-dua stesen ini menghubungkan jalan yang sama, rupanya tidak. Jadi, mungkin jika kami memilih untuk ke Queensway Station, kami tidak akan sampai ke tempat yang mahu dituju, Paddington. 

Dengan menggunakan kad Oyster yang telah dibayar untuk pakej selama seminggu, kami bebas ke mana-mana dengan sendiri. Kad tersebut boleh digunakan untuk kami menaiki bas, mahupun Tube (kereta api bawah tanah). 

Memasuki sahaja Bayswater Station, papan tanda dengan peta menjadi tumpuan kami. Sungguh lega hatiku dan Abang Tuah kerana Paddington rupanya tidak jauh dengan Bayswater Station. Kami hanya perlu berhenti di stesen berikutnya selepas Bayswater Station. Dan pasti kami mempunyai lebih banyak masa untuk meneliti dan memasuki alam Paddington yang sedang dicari. 

Seingatku, tiada sebarang perancangan yang diluahkan melalui lisan. Kami hanya merancang dengan pemikiran dan tindakan.

Papan tanda untuk ke Platform 2

Perjalanan menaiki Tube hanya mengambil masa lebih kurang lima minit. Kami tiba di Paddington Station. Aku dan Abang Tuah saling berpandangan. Tempat yang dicari telah ditemukan. 

Papan tanda di Paddington Station

Sekarang, kami hanya perlu menyiapkan tugasan yang diberi. Memang Paddington merupakan sebuah stesen, tetapi kami pasti Encik Wan tidak menyuruh kami mencari stesen ini semata-mata. Tentu ada perkara lain yang lebih menyeronokkan tentang stesen ini.

"Your task is to look for paddington,not under but overgroud, a bigger place. And come back and tell us what you found."

Yang lebih menarik, pencarian makhluk berbulu yang dimaksudkan. Mungkin sekali kawasan Paddington ini merupakan sebuah zoo, atau terdapat 'penjaga' berbulu yang menyeramkan dan misteri. 

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

Isnin, 22 April 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN II) : AROMA VANILA PEMBUKA KEMBARA


Usai sahaja tugasan dibaca, aku dan Abang Tuah terus bergerak meninggalkan kumpulan yang lain. Diikuti oleh kumpulan Abang Nizam, kalau tidak silapku. Pada hematku, sepatutnya kami berfikir seketika untuk merancang sebuah perjalanan misteri. Aku hanya mengikut Abang Tuah kerana mungkin apa yang dia ingin cari lebih besar nilainya berbanding apa yang aku sedang fikirkan. 

Belum pun sempat Whiteleys dijejak keluar, Abang Tuah mengajakku berpatah semula. Dia tertinggal barang di tempat permulaan tadi barangkali. Rupanya tidak. Abang Tuah mengajakku ke sebuah kedai minyak wangi, The Body Shop. Berkali-kali aku cuba teliti semula tugasan yang diberi. Aku mencari kata kunci yang tersirat maksud pewangi atau haruman. Tidak jumpa. Manalah tahu, aku terlepas membaca mana-mana tugasan penting yang Encik Wan suruh. 

Peliknya, apakah kaitan kedai minyak wangi ini dengan tugasan kami? Paddington katanya makhluk berbulu. Bukannya cecair atau semburan mahupun wangian. Aku masih tidak pasti apa yang dicari oleh Abang Tuah. Kami masuk ke dalam kedai tersebut. Mataku melilau mencari petunjuk tentang Paddington. Seorang lagi; matanya melilau mencari minyak wangi. Dua pasang mata dengan carian berbeza-beza. Yang pasti, aku mahu mendapatkan seberapa banyak petunjuk tentang Paddington dan Abang Tuah, mencari sesuatu yang aku belum lagi tahu. 

Abang Tuah menghampiri sebuah rak penuh dengan botol-botol wangian pelbagai jenama. Aku, memerhati.  Murah juga rasanya. Dengan hanya 8.00 Pound bersamaan RM40.00, sudah boleh mendapatkan wangian sebanyak 50ml. Hidungku, sarat dimasuki wangian dan aroma yang bervariasi. Hampir terbersin juga. Alah terhadap wangian mungkin. 

Abang Tuah menilik wangian di situ. Dihidu dan dibaca kandungan dalam wangian tersebut. Mahu memastikan tiada kandungan alkohol yang menyebabkan wangian itu tidak boleh digunakan oleh Muslim. Aku juga disuruh menghidu beberapa wangian untuk mendapatkan pandangan tentang baunya. 

Kemudian, datang jurujual wanita di situ. Dia cukup membantu. Kepatahannya mempromosikan dan menjawab setiap persoalan kami tentang wangian di situ cukup bagus. Tiada yang akan sangsi dengan keyakinan yang ditunjukkan. Abang Tuah cuba mendapatkan bantuannya juga. Jurujual wanita tersebut juga turut mencadangkan minyak wangi dengan jenama yang lain. 

Setelah hampir lima belas minit memilih, akhirnya Abang Tuah membuat keputusan untuk membeli sebotol wangian dengan aroma vanila. Aku pasti, pilihan itu yang terbaik sebab aku turut menghidu bau aroma vanila tersebut. Bayaran dibuat. Kami keluar dari kedai tersebut.

Minyak wangi pilihan Abang Tuah
Kata Abang Tuah, dia sebenarnya mahu membelikan kakaknya sebotol minyak wangi dengan aroma vanila. Sebagai cenderamata dari Kota London. Biarpun di Malaysia sendiri ada kedai minyak wangi ini, tetapi tempatnya dibeli punya memori tersendiri. Kakaknya penggemar bau vanila. 

Dan, barulah aku tahu tujuan kami ke situ. Tiada petunjuk tentang Paddington, tiada jawapan untuk tugasan. Apatah lagi makhluk berbulu yang dicari. Fikirku, sempat pula Abang Tuah mencelah dalam masa tugasan untuk membeli cenderamata buat kakaknya. 

Yang penting, masa kami di situ bukan suatu pembaziran. Kami dapat menghidu kemanisan aroma pelbagai wangian yang membuka minda kami untuk memulakan pengembaraan dengan senyuman.

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

PADDINGTON (BAHAGIAN I) : MAKHLUK BERBULU


Malam ini aku membuka kembali buku nota kecil hijau yang digunakan semasa kembara tempoh hari. Helaian dibelek perlahan, dibaca dan diteliti semula. Nota-nota singkat dengan jutaan cerita di sebalik huruf yang ditulis. Tulisan comot tanpa disiplin dalam ejaan dan kedudukan diredah begitu sahaja. Semuanya angkara masa dan cuaca. Detik yang sentiasa mengejar kami dan sejuk yang mencengkam kulit kami. Aku ingin kongsi satu catatan tentang pengembaraanku bersama seorang rakan kembara, Nik Azri atau Tuah Sujana. Aku memanggilnya Abang Tuah. 

CATATAN BERMULA

Petang Jumaat 15 Mac 2013. Kumpulan kembara kembali ke Whiteleys. Dalam perjalanan lagi, aku sudah terdengar perihal tugasan yang kami perlu hadapi pada petang itu. Tugasan yang disediakan oleh Encik Wan Hulaimi. Sangkaanku, kami perlu menulis karya dan disiapkan pada petang itu juga. Atau mungkin acara Explorace. Rupanya tidak. Kami memang perlu 'Explore' cuma tiada 'race'.

Kami telah dibahagikan kepada empat kumpulan, setiap kumpulan punya dua peserta dan satu kumpulan punya tiga peserta. Sepatutnya lima kumpulan, tetapi disebabkan Vassan tidak dapat menyertai kembara pada hari itu akibat kurang sihat, kami tinggal sembilan orang. Encik Wan telah memberikan setiap kumpulan dengan sehelai kertas tertinta tugasan yang berbeza-beza. 

Aku telah ditetapkan untuk bersama-sama Abang Tuah dalam menyiapkan tugasan. Kami dibekalkan dengan wang sebanyak 10.00 Pound seorang untuk makan malam secara sendiri. Reaksi pertamaku apabila diletakkan sekumpulan dengan Abang Tuah, sudah semestinya sedikit runsing. Aku tentu tidak serasi dengannya kerana Abang Tuah seorang pemikir dan penulis yang hebat. Aku, masih terlalu mentah.

Kami membaca tugasan yang kami terima:

"Paddington, a furry being or life's station? What is there that you can bear? Where people come and go, and then there's Heathrow, how do I get there? Fast or slow? Who wrote about Paddington and what's there in bronze amid the flurry? What if you're ill: is there a hospital next door? Inside it is criss-crossing, outside it is another thing. I must look and I must tell so you'll want to know more about Paddington and take all that you can bear , from South Africa, they say. Go to Paddington and speak to some soul and ask the guards there if he can point you out to the bear. Come back and say what you found and how you got there.

Your task is to look for paddington,not under but overgroud, a bigger place. And come back and tell us what you found."

Aku jadi semakin runsing. Kami diarahkan untuk mengembara secara berdua, tanpa panduan, di tempat asing, di negara orang dan mencari sesuatu yang kami sendiri tidak pasti. Apa yang kami tahu, tempat yang mahu dituju. Selebihnya akan dicari di sebuah tempat bernama Paddington.

Abang Tuah mula berbisik kepadaku, 
"Macam mana ni Hanif? Abang tak ingat jalan-jalan ni. Selama ni asyik ikut Encik Wan, sambil perhati keadaan dan pemandangan. Tak hafal pula jalan-jalannya."

Aku hanya menggeleng. Sebabnya, aku sendiri, sama. Hanya mengikut, memerhati dan memeluk diri yang kesejukan. Tidak sesekali terfikir untuk menghafal perjalanan. Usai tugasan dibaca, aku mahu siapkan dua perkara. Pertama, menjejaki Paddington yang dicari. Kedua, mengenali seorang Tuah Sujana. Mungkin ini masa terbaik untuk kuperhati dan kucontohi gaya pemikiran seorang pemikir tegar, berpengalaman dan hebat.

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza