Isnin, 16 September 2013

KEMAHUAN VS KEPERLUAN


Alhamdulillah. Semalam berkesempatan pula bertemu dengan Huzaini. Lagi seorang kawan baikku semasa di sekolah dahulu. Terharu rasanya apabila Huzaini sanggup ke Shah Alam semata-mata untuk berjumpa denganku. Sebenarnya, sudah lama aku menyatakan hasrat kepadanya untuk berjumpa. Cuma masing-masing kekangan masa.

Huzaini juga, semakin berisi. Lama kami berbual-bual semalam dan kami bercakap tentang pilihan. Pilihan yang dibuat sebenarnya berdasarkan dua perkara, sama ada pilihan demi memenuhi kemahuan atau pilihan yang mesti demi sebuah keperluan.

Benar, kita akan sentiasa keliru dalam membuat pilihan yang tepat. Dan tatkala kita sudah tersalah memilih, mudah sahaja kata-kata yang dapat meredakan ledakan hati.
"Bukan rezeki, pasti ada hikmah."
Hakikatnya, bukan sekadar melegakan diri, bahkan lebih besar kesannya. Kita akan lebih teliti dalam membuat keputusan dan akan berfikir tentang kesilapan yang dibuat. Muhasabah diri namanya.

Walaupun sebenarnya, hati akan sentiasa menafikan hikmah itu sehinggalah hikmah tersebut benar-benar muncul di hadapan mata sendiri. Itulah kita sebagai manusia. Alpa dan leka dengan dunia. Pahala dan dosa tidak diendah seikhlasnya.

Pernah aku berbual-bual dengan Ilman. Kataku, aku mahu melihat dan mengetahui markah sedia ada yang akan dicampur untuk peperiksaan akhir nanti. Setidak-tidaknya apabila sudah diketahui markah itu, aku akan lebih berhati-hati semasa peperiksaan akhir kelak.

Mudah sahaja Ilman menjawab, kadang-kala kita tidak perlu tahu semua itu. Sekadar untuk diuji kecekalan diri. Macam dosa dan pahala. Mengapa Allah rahsiakan?

Aku terkelu.

Benar, selagi tidak nyata kita sentiasa lupa. Itulah tujuan sebenar Allah, dalam menguji hamba-Nya. Oleh itu, buatlah pilihan yang tepat. Jangan pilih untuk diri sendiri, tetapi pilihlah untuk keredaan Allah.

Insyaallah segala-galanya akan dipermudahkan.

Wanariahamiza