Khamis, 31 Oktober 2013

ULASAN BUKU: WAYANG JADI SAKSI (KAZ ISHAK)


Wayang Jadi Saksi merupakan novel kedua hasil tulisan Kaz Ishak. Buku ini saya beli pada bulan September yang lalu. Menariknya buku ini, pembaca dapat menyelami perasaan sebenar watak utamanya apabila penulis menggunakan kata ganti diri 'aku' sepenuhnya dari awal sehingga tamat cerita. Melalui cara penulisan novel ini, saya membuat andaian bahawa semua yang diceritakan pernah dilalui oleh penulis. Walau bagaimanapun, tetap punya garapan unsur tokok tambah dalam menghasilkan sebuah novel dengan cerita yang berjaya.

Jika selama ini, yang kita tahu hanyalah membeli tiket wayang, masuk ke pawagam, tonton cerita, cerita tamat lalu beredar, namun Wayang Jadi Saksi membawa pembaca mendalami sendiri hidup sebagai seorang pekerja di pawagam tersebut. Dari proses sesebuah filem tiba ke pawagam, sehinggalah cerita tamat dipertontonkan, semuanya dicerita secara terperinci. Sememangnya, satu pengalaman baharu buat saya apabila berpeluang membaca novel ini dan mengetahui selok belok pekerjaan anak-anak panggung wayang. 

Ketika berada di awal pembacaan, saya belum dapat menelah motif sebenar penggunaan wayang dalam novel ini. Namun, perasaan tertanya-tanya inilah yang mendesak pembaca untuk terus membaca sampai habis. Ternyata, menjelang penghabisan cerita barulah saya mengetahui sebabnya Wayang Jadi Saksi. Terlalu banyak perkara dan kesudahan yang di luar jangkaan saya, bukan bermaksud plot cerita diputarkan sesuka hati, tetapi penuh dengan kelogikan yang mendatangkan perasaan puas hati terhadap persoalan yang muncul dalam diri saya pada mulanya. Secara keseluruhan, saya kira novel ini juga berjaya menyampaikan ceritanya dengan penuh bergaya.

WAYANG JADI SAKSI

Mikail Mohamed atau Mika, film projectionist panggung wayang di Suria KLCC. Meneruskan kehidupan di sebuah bilik gelap saban hari, memutar filem-filem cerita untuk tontonan umum. Dia, selesa dengan kehidupannya kerana kegilaannya terhadap wayang.  Namun, Mika punya trauma dalam dunia perfileman. Dia tidak mahu terjebak dan terlibat langsung dalam bidang perfileman.

Pertemuan Mika dengan Sofea Abu Zahar mencucuh perasaan cinta. Cinta terhadap perkara yang sama. Namun, Sofea punya impian lain. Menjadi seorang artis popular. Mika menentang, dan perhubungan mereka terhenti di situ sahaja apabila Sofea terus memilih untuk terlibat dalam kancah perfileman.

Kini, Sofea seorang artis popular yang membintangi cerita Zombi Kilang Kasut. Usai majlis pratonton, Sofea terlibat dalam kemalangan, menyebabkan dia koma. 

Mika di bilik projektor pula, didatangi oleh Sofea saban kali filem Zombi Kilang Kasut diputarkan dan ghaib semula apabila cerita tamat. Walhal, dia sendiri yang lihat tubuh Sofea terbaring lesu di katil hospital. 

Ya, tubuh lesu itu sebenarnya tubuh Melati. Wanita yang bertopengkan nama Sofea Abu Zahar.

Persoalannya, siapakah Sofea yang hadir itu? Jika Melati yang terbaring di hospital, ke mana pula Sofea yang sebenar pergi? Apakah sebab Sofea itu bertemu Mika? Apakah trauma yang dihadapi oleh Mika? Juga, bagaimanakah kesudahan hidup pemuda dengan dunia gelap di panggung wayang?

Wayang Jadi Saksi bakal memutarkan segala jawapan dalam pawagam minda anda.

Wanariahamiza

Ahad, 27 Oktober 2013

CERITA UMI : MELIHAT ORANG TANAM PADI


Tadi, menonton sebuah rancangan televisyen yang ada memaparkan kisah tentang padi. Lalu, saya kata kepada Umi:

"Teringin nak ke kawasan sawah padi."

Umi pun apa lagi, mulalah bercerita tentang padi.
Perkara yang paling disukai ialah mendengar cerita Umi. Selalu Umi cerita macam-macam. Tentang kehidupannya, tentang kami adik-beradik, tentang zaman percintaannya juga.

Umi anak kelahiran Terengganu tetapi bermukim di Pahang sejak kecil. Dahulu, selalu Umi balik kampung. Kata Umi, ketika itu dia masih kecil. Di kampung Umi banyak sawah padi. Selalu Umi tengok orang tanam padi. Dengan kerbau seekor, diikat tenggala di belakangnya, satu sawah dibajak. Kalau kerbau malas, punggungnya dipiat. Kesian juga, kata Umi. Dulu, tiada mesin macam zaman sekarang. Dalam setahun, mungkin sekali sahaja boleh tuai padi. Tidak macam sekarang. Setahun sampai dua kali. Yang menariknya penceritaan Umi, diterangkan satu persatu apa yang Umi lihat. Bagaimana alatan itu berfungsi dan apa yang terjadi selepas itu.

Membajak sawah dengan kerbau sebagai jenteranya.

Beginilah rupa tenggala yang ditarik oleh kerbau.

Umi tidak pernah berpaya dalam sawah. Sekadar melihat sahaja. Ada kala Umi balik ke kampung, ketika itu musim menanam anak padi. Ada kala, sudah sampai musim menuai. Umi kata, dulu tiada mesin untuk tuai padi. Terpaksalah digunakan sabit untuk dipotong tangkai-tangkai padi yang telah masak. Kemudian, barulah proses membanting dijalankan. Padi dipukul untuk memisahkan jerami dan padinya. Umi kata, mereka membanting di tempat yang macam 'jamban' tu. 

Membanting atau memukul padi di 'jamban' yang dimaksudkan.

Selesai membanting, padi-padi yang sudah dikumpul akan dimasukkan ke dalam guni. Berguni-guni juga. Lalu disimpan di rumah padi. Apabila mahu, baru diambil. Saya tanya:

"Memang tanam padi untuk makan sendiri sahaja ya?"

Umi jawab, ya. Memang ketika itu, padi ditanam sebagai makanan sendiri sahaja. Dibahagikan antara saudara-mara. Selalunya kalau Umi dan keluarga balik kampung setelah selesai musim menuai, dapatlah Umi bawa pulang beras baharu. 

Beberapa hari sebelum pulang ke Pahang, Tokki (moyang saya) Umi akan suruh mak Umi (nenek saya) untuk menjemur dahulu padi yang disimpan di rumah padi. Selesai menjemur, perlu dibawa ke sebuah kawasan untuk menggunakan mesin padi. Perlu diupah pekerja di sana. Tujuannya, untuk  memisahkan pula beras dengan sekamnya (kulit beras). 

Gambar ini menunjukkan padi yang masih pada tangkai.

Gambar ini pula menunjukkan beras yang terhasil daripada padi.

Gambar ini pula menunjukkan sekam iaitu kulit beras yang telah dicabutkan.

Tangkai padi yang sudah dicabut berasnya pula bertukar nama menjadi jerami.

Kata Umi, tak sama macam beras sekarang. Cantik, putih sahaja. Beras ketika itu, bukan lima peratus sahaja hancur. Sebaliknya hanya lima peratus yang tidak hancur. Begitu susah hendak jumpa beras sebutir. Warna pula, banyak yang coklat-coklat. Bercampur-baur dengan yang putih. Selain itu, habuk-habuk juga banyak. Perlu di bersihkan berkali-kali. Yang seronoknya, Umi kata dapat juga merasai beras baharu. 

Mungkin beginilah warna beras yang Umi maksudkan.
Sumber gambar: http://www.vemale.com

Seronok mengatahui cara tradisional tanaman padi. Sebenarnya banyak lagi teknik dan cara yang digunakan. Boleh rujuk di laman web ini.

Dari sudut bahasa pula, terlalu banyak kosa kata dan perbendaharaan kata yang wujud untuk padi sahaja. Betapa indahnya bahasa. Lihat sahaja, daripada setangkai padi, wujud beras di dalamnya, kulitnya pula dinamakan sebagai sekam dan tangkai yang sudah kosong daripada padi dinamakan pula jerami. 

Belum lagi dikaji satu persatu kata kerja yang terlibat daripada proses penanaman sehinggalah padi menjadi beras.

Cerita Umi, benar-benar berisi.
Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk!

Wanariahamiza

Jumaat, 25 Oktober 2013

ULASAN BUKU: CANTUMAN MIMPI


Selesai juga saya khatamkan antologi cerpen, proses kreatif dan skrip filem pendek terbitan Legasi Oakheart dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang berjudul Cantuman Mimpi ini. Buku ini dilancarkan sekitar April yang lalu kalau tidak salah dan dibeli daripada saudara Shamsul Amin dengan harga istimewa. Buku Cantuman Mimpi ini laris. Sekarang yang berada di pasaran sudah masuk cetakan yang kedua. Tahniah Legasi Oakheart!

Saya kurang arif tentang skrip filem pendek, jadi saya sekadar baca untuk tahu. Dalam buku ini, banyak cerpen ditulis bertemakan kehidupan remaja dan orang muda. Banyak juga yang kena pada diri saya untuk dijadikan pengajaran dan pedoman. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan semua cerpen yang ditulis. Cuma ada beberapa cerpen yang terpaksa saya baca dua kali untuk difahami betul-betul mesejnya. Alhamdulillah, faham juga akhirnya.

Menariknya, setiap cerpen ini disediakan proses kreatif oleh penulisnya sendiri. Proses kreatif ialah luahan atau cara wujudnya idea untuk menulis cerpen tersebut; atau juga proses dan kesukaran yang dihadapi penulis dalam menyiapkan karya mereka. 

Salah satu cerpen yang sangat menarik perhatian saya ialah cerpen Setelah Rimpuh karya Wafa Aula Alias yang ditulis secara sangat kreatif. Menggunakan penulisan berunsur surat, kisah kehidupan dua beradik yang sangat indah pada awalnya, kemudian bertukar tragedi setelah ibu mereka bernikah sekali lagi, dan akhirnya berlaku perkara yang menyayat hati terhadap adiknya.

Sewaktu membacanya, saya terasa seolah-olah saya yang sedang menulis surat tersebut. Sangat terkesan pada jiwa saya. Juga, mengimbau kenangan saya dan adik ketika zaman kecil. Dengan adiklah saya bermain, dengan adiklah saya ke sana dan ke sini. Adiklah kawan saya, adiklah sahabat saya. Sekarang, kami sedikit terpisah. Masing-masing ke asrama, jarang sekali ada di rumah.

Cerpen seterusnya yang bagi saya sedikit melucukan ialah cerpen Bawang-bawang tulisan Sayidah Mu'izzah. Yang melucukan ialah nama-nama watak yang digunakan. Kak Long Bawang Putih Selabu, Abang Bawang Putih Setengah Labu, Adik Bawang Putih Dua Tiga Ulas dan Bawang Merah Besar ialah antara wataknya. Dengan tema bawang, mesej cerpen ini ialah tentang sikap masyarakat yang selalu lupa akan sejarah dan cuba bertindak pandai di hadapan orang walaupun sebenarnya tindakan mereka, sedikit dungu.

Yang terakhir, cerpen Cerita Seorang Saudagar dan Kain-kainnya karya Mohd Haniff Mohammad Yusoff. Cerpen ini ialah cerpen terpendek dalam antologi ini. Membaca tajuknya sahaja, saya membayangkan kisahnya seperti cerita-cerita zaman kanak-kanak yang selalu dibaca. Sangat menarik, membawa kisah saudagar kain yang terlalu menjaga tepi kain orang lain tetapi terlupa akan kainnya sendiri. Cerita ini tampak mudah, tetapi membawa pengajaran yang cukup bermakna sebenarnya.

Bagi cerpen-cerpen lain pula, saya sangat suka dengan mesej yang disampaikan. Juga cara penulisan kreatif yang berbeza-beza.

Membaca buku ini, membuatkan saya bermimpi. Lalu bergabung membentuk Cantuman Mimpi.

Wanariahamiza

Rabu, 23 Oktober 2013

MENULIS LAWAN MENAIP


"Today we have thrown out writing almost completely: people keep notes in the "cloud", diaries are typed down on the keypad, speeches are typed onto the screen, hand-written notebooks are scarce, primitive even.

Yet if you read your typed-in notes and compare them to the diary entries of yesteryear, you will find vast differences, traces of how you have grown. A typed-in note of two years ago is just a typed-in note, yet a handwritten note of many years ago records your development. If you have aged considerably, your handwriting may have changed. If the note was written in a hurry, the speed and haste would be evident in your scrawl."
-Awang Goneng-

Klik pautan ini untuk membaca tulisan Awang Goneng sepenuhnya.

Awang Goneng atau nama sebenarnya Wan Ahmad Hulaimi merupakan fasilitator yang lebih mesra saya anggap sebagai ayahanda semasa pengembaraan kami di London tempoh hari. Beliau, yang mengiringi kami setiap masa untuk ke mana-mana. Peneman setia, isteri beliau Zaharah Othman yang kami panggil Kak Teh.

Saya cuma mahu berkongsi dengan anda semua. Hanya baca, dan fahami sendiri. Masing-masing boleh menilai dan bermuhasabah diri.

Menulis atau menaip, itulah pilihan yang perlu diteliti.

Wanariahamiza

ULASAN BUKU: MANIFESTASI POSTMORTAL (MOHAMMAD HAFIZ ABDUL LATIF)


Jika sebelum ini saya mengembara di Kota Ossieanna tulisan si isteri, sekarang saya khatamkan pula novel karya si suaminya. Dengan judul Manifestasi Postmortal, novel ini ditulis oleh Mohammad Hafiz Abdul Latif. Ya, kak Sayidah dan abang Hafiz ini sebenarnya pasangan suami isteri.

Pertama kali melihat kulit buku dengan ilustrasi yang cukup tragis, saya fikir kisahnya tentang zombie atau apa-apa jua jenis makhluk yang dijadikan jalan ceritanya. Rupa-rupanya, bukan. Novel ini kisah remaja. Menggunakan pelajar-pelajar sekolah menengah sebagai latar masyarakat dan kawasan sekolah sebagai latar tempatnya. 

MANIFESTASI POSTMORTAL

Pertama sekali saya mahu anda semua bayangkan. Jika ditakdirkan anda dianugerahkan deria ke-6 yang mampu melihat alam roh, apakah perasaan anda? Tanpa hijab, anda bebas melihat segala-gala yang wujud di muka bumi ini sebagai mahkluk Allah. Tentu tidak sanggup bukan? Nauzubillah. Semoga dijauhkan.

Bagaimana pula jika anda dianugerahkan 'pendengaran' suara tanpa jasad? Fikirkan sendiri.

Novel ini, berkisahkan tiga orang sahabat yang cuba menyelesaikan misteri sebuah blok usang di sekolahnya. Blok itu, blok yang baru dibina dan digunakan tetapi ditutup semula daripada penggunaan akibat gangguan yang melanda. Juga, dijadikan kawasan larangan di sekolah. Sudah hampir tiga tahun kosong, blok itu kini usang dan terbiar.

'Sesuatu' telah membawa Imtiyaz untuk menyiasat tentang blok tersebut. Ainul Hikmah pula dengan anugerah deria ke-6, nampak 'sesuatu' itu lalu membuatkannya turut terlibat dalam penyiasatan. Irfan turut sama terjebak, tanpa disengajakan.

Siapa sangka, satu kejadian hitam telah terjadi di blok tersebut semasa pembinaanya. Pembunuhan, seorang remaja oleh kaki buli. Mangsa yang sebenarnya cuma pengsan, telah ditanam hidup-hidup kerana disangkakan sudah meninggal dunia. Bukti pembunuhan pula, telah ditanam jauh di kawasan perkuburan. Tiada yang tahu.

Kehadiran Imtiyaz telah menghidupkan kembali 'sesuatu' itu; sebenarnya roh mangsa pembunuhan tersebut. Mengapa Imtiyaz? Sebabnya Imtiyaz punya suatu kelebihan, iaitu perasaan. Penemuan bahan bukti yang dibantu oleh makhluk ghaib juga telah membawa kepada petunjuk siapa pembunuhnya.

Pembunuh yang mulai risau, kembali ke blok tersebut untuk menghapuskan sisa-sisa bukti jika masih ada yang tertinggal. Namun telah terjadi perkara yang tidak diingini terhadapnya, menyebabkan terbongkarnya rahsia tersebut. Apakah sebab penyiasatan mereka selesai? Semuanya kerana Manifestasi Postmortal, anugerah yang dimiliki.

REFLEKSI DIRI

Mudah sahaja ceritanya. Tentang kaki buli yang tersilap langkah 'terbunuh' mangsa bulinya. Dengan cetek akal seorang murid, bukti dihapuskan sesegera mungkin tanpa difikirkan kesan dan akibatnya. Walhal tidak disedari, setiap perilakunya telah dilihat oleh orang lain. Apa-apa kejahatan yang dilakukan, kelak terbongkar jua. Tiada alat yang mampu menyimpan rahsia, selama-lamanya! 

Rahsia Blok I telah saya bongkar. Ditemui peti emas, tertinta kata-kata:
Jadilah remaja cemerlang di dunia dan di akhirat.

Wanariahamiza

Selasa, 22 Oktober 2013

ULASAN BUKU: ANAK KOTA RAYA (GHAZALI NGAH AZIA)


Selesai saya khatamkan sebuah lagi novel remaja berjudul Anak Kota Raya. Buku ini hasil tulisan seorang penulis hebat, Ghazali Ngah Azia. Yang menarik tentang buku ini ialah maklumatnya. Seperti dalam gambar, cetakan pertama buku ini ialah pada 1986 dan cetakan kedua pada tahun 2010. Bermakna buku ini telah diulang cetak tetapi dalam jeda masa yang sangat jauh. 

Tentu ada yang istimewanya tentang buku ini. Kalau tidak,  buku ini tidak akan dicetak lagi setelah bertahun-tahun lamanya diterbitkan dahulu.

Anak Kota Raya mengisahkan kehidupan Sani dan Jaslan yang tinggal di kota Kuala Lumpur. Kehidupan yang serba kurang, mendesak mereka untuk bekerja sebagai penjaga parkir kereta yang membantu orang awam semasa mengundurkan kereta dan meletakkan kereta dalam ruangan parkir.

Pendapatan mereka sekadar cukup untuk makan sehari-harian. Konflik hadir apabila dua orang bawahan Ketua datang berjumpa mereka dan meminta wang perlindungan. Sani, sentiasa ingkar dan tidak mahu membayar wang kepada mereka. 

Jaslan pula terjebak dalam kancah dadah sehingga bertindak meragut seorang wanita Cina apabila keterdesakan mahu mendapatkan wang. Nasibnya malang, ditangkap polis. Walau bagaimanapun, pertuduhan tidak dibuat kepadanya apabila Jaslan sanggup bekerjasama dengan pihak polis untuk menangkap Ketua.

Ketua, bertanggungjawab mengedar dadah dan menjadi buruan pihak polis.

Dapatkah Jaslan membantu pihak polis? Selamatkah pula Sani yang sentiasa ingkar daripada membayar wang perlindungan? Bagaimana pula dengan kehidupan mereka selepas itu di sana?

Semuanya dilalui oleh mereka, Anak Kota Raya.

Wanariahamiza

MENULIS DALAM SEJUK


Tadi, saya geledah semula folder gambar-gambar di dalam hard disc. Terjumpa pula gambar yang bagi saya sangat cantik posisi dan kedudukannya. Sebenarnya, gambar ini diambil tanpa saya sedari oleh saudara Hafizul Faiz yang juga merupakan peserta Kembara Penulis Muda ke United Kingdom. 

Yang saya mahu ceritakan ialah kesukaran saya untuk menulis ketika cuaca sejuk. Dalam fikir saya, setiap tempat yang dilawati, setiap info yang saya perolehi akan saya catatkan dengan segera dalam buku nota. Namun semuanya tidak terlaksana. Saya tewas kepada cuaca sejuk di London ketika itu yang mencecah negatif tiga darjah celcius. 

Sepanjang pengembaraan (berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam sahaja untuk ke mana-mana), saya hanya berpeluk tubuh. Berjalan mengikuti rombongan dan terus memerhati. Oleh sebab saya tidak dapat menulis ketika pengembaraan, saya terpaksa kuatkan ingatan untuk mengingati setiap info yang diberi. Juga, menggunakan gambar dan rakaman telefon bimbit sebagai rujukan selepas pulang ke bilik penginapan nanti.

Skaf dililit menutupi hidung dan telinga sepenuhnya. Tidak tahan sejuk. Merah telinga saya, juga hidung begitu jelas kelihatan. Lebih teruk, kulit muka saya juga terlalu kering sehingga menggelupas. Juga tangan saya, terlalu kering. Jika dilihat keadaan tangan saya ketika itu, seperti kulit yang melecur. Sejujurnya, saya terketar-ketar setiap kali keluar sahaja dari hotel penginapan. Bukan kerana baju tidak cukup tebal, tetapi memang saya tidak tahan dengan sejuk.

Syukur selepas dua minggu kembali ke Malaysia, semuanya sembuh dan kembali seperti asal. Cuma parut-parut kecil tetap ada. 

Ternyata saya tidak dapat mencatatkan apa-apa sepanjang perjalanan yang bagi saya lebih berharga dan banyak ceritanya. Apabila pulang ke bilik, barulah saya bertungkus-lumus menulis segala-gala yang saya ingat dalam buku nota. 

Yang penting, menulis tetap menulis. Tidak dapat menulis dalam cuaca sejuk, antara pengalaman saya ketika di London.

Wanariahamiza

Isnin, 21 Oktober 2013

ULASAN BUKU: OSSIEANNA (SAYIDAH MU'IZZAH)


Setelah selesai membaca sebuah novel penyiasatan dan buku kumpulan cerpen bercitrakan kehidupan, saya selesaikan pula pembacaan pada sebuah novel fantasi. Dengan judul Ossieanna, novel ini ditulis oleh Sayidah Mu'izzah, pengasas sebuah penerbitan buku iaitu Legasi Oakheart. Penulis yang saya panggil Kak Eja, juga merupakan salah seorang peserta Kembara Penulis Muda ke United Kingdom anjuran ITBM dan PENA. Novel ini saya pesan daripada Legasi Oakheart pada bulan Julai yang lalu.

OSSIEANNA KOTA BAWAH LAUT

Apakah perasaan anda tatkala tersedar daripada pengsan dan berada di sebuah kota bawah laut yang sangat indah? Melihat manusia, seperti kita (bukan duyung) cuma dengan pakaian yang pelik-pelik belaka. Umpama pahlawan sasa dengan pedang di sisi yang sentiasa bersedia menanti kemungkinan yang bakat terjadi.  Bahasa percakapan yang berbeza atau lebih tepat bahasa orang-orang di Ossieanna dan rupa-rupanya, anda berada di istana kota Ossieanna. Anda dilayan bak puteri raja, dihormati dan dijaga setiap masa. 

Tentu pelik sekali. Mengikut sejarah mereka, kehidupan manusia di bawah laut dengan di daratan (dipanggil sebagai manuda oleh warga Ossieanna) sebelum ini tiada masalahnya. Cuma sejak akhir-akhir ini, wujud seorang Ossieannis yang mula berdendam dengan manuda. Namanya Volga. Dia mengalami kecacatan kekal di bahagian muka akibat kebakaran yang berlaku di pelatar minyak. Semuanya angkara kejahilan manuda yang menyebabkan kerosakan di alam lautan. Langit kota Ossieanna bakal runtuh pada bila-bila masa. 

Volga telah menculik ratusan manuda untuk dijadikan sebagai bala tenteranya bagi menentang kerajaan Ossieanna yang masih mempertahankan manuda. Sedangkan bagi Volga, manuda seharusnya didendami kerana sikap rakus dan kejam manuda terhadap alam persekitaran. Mereka tidak pernah memikirkan tentang kesejahteraan masyarakat lain di kota Ossieanna.

Suri, puteri raja yang telah diutuskan ke daratan telah tersesat semula ke kota Ossieanna. Menyebabkan seluruh ahli keluarganya risau jika dia tidak mahu ke daratan semula. Suri tidak boleh kembali. Asbab sudah menjadi adat keluarga di Raja Ossieanna. 

Suri kemudiannya diculik oleh Volga. Suri yang sudah mengingati serba sedikit asal-usulnya cuba untuk bertindak tenang di hadapan Volga. Juga cuba memujuk Volga untuk melepaskan dendam terhadap manuda. 

Dapatkah Suri melenyapkan dendam Volga? Adakah Suri akan kembali semula ke daratan? Bagaimana pula dengan langit kota Ossieanna yang bakal runtuh itu? 

Semuanya bakal terjawab jika anda mengembara di Kota Ossieanna. Dapatkan satu dan pasti anda berpuas hati.

REFLEKSI DIRI

Cerita fantasi ini banyak kaitannya dengan tindak tanduk manusia di daratan yang menyebabkan kerosakan di lautan. Kita tidak pernah sedar. Jika benar wujud kehidupan seperti manusia di lautan itu, kesannya sangat teruk. Mereka kehilangan punca makanan akibat perpindahan hidupan laut ke laut yang lain. Mereka kekurangan oksigen, air laut semakin masin, ketumpatan air yang semakin bertambah dan ya, seluruh kehidupan mereka merana. 

Barulah saya faham dengan tinta Kak Eja yang ditulis pada buku.
"Cintailah alam sekitar!"

Wanariahamiza

Ahad, 20 Oktober 2013

ULASAN BUKU: MEMAKNAKAN CINTA (SALINA IBRAHIM)


Pernah anda tahu apa itu cinta? Pernah anda rasai nikmatnya cinta? Yang pasti, setiap orang pasti punya definisi berbeza-beza dalam memaknakan cinta. Sebenarnya, buku kumpulan cerpen Memaknakan Cinta ini ditulis oleh seorang penulis masyhur dalam arena penulisan iaitu Salina Ibrahim. Kubeli buku ini pada Mac 2012 yang lalu ketika menyertai Minggu Penulis Remaja. Dapat buku sekali dengan tandatangan penulis. Bukan senang sebenarnya hendak bertemu penulis hebat. Salina Ibrahim sebenarnya merupakan salah seorang fasilitator yang membimbing kami semasa minggu berkenaan.

Buku  ini pernah 'hilang' seketika akibat tersalah letak. Mujur ditemui semula dan akhirnya, hari ini berjaya menghabiskan pembacaan yang tertangguh beberapa kali.

Memaknakan Cinta merupakan salah sebuah cerpen yang terkandung dalam buku ini. Keseluruhannya, terdapat 20 buah cerpen yang benar-benar bermakna pada jiwa. Antaranya ialah Sebuah Dendam, Bisik pada Angin, Mamaku Menteri dan Mimpi Syawal.

Memaknakan Cinta berkisahkan seorang wanita, yang mahu menuntut bela atas nasib seorang kanak-kanak kecil yang telah diragut maruahnya oleh seorang insan bernama ayah. Wanita tersebut, terlalu didesak rasa tanggungjawab kerana dia sendiri telah diperlakukan sedemikian rupa juga oleh ayahnya. Bagi menuntut hak yang sepatutnya anak kecil itu peroleh, dia mengumpan anak kecil itu dengan perbualan dan layanan dalam bermain pondok-pondok sehingga akhirnya rahsia itu terbongkar. Lunaslah dendam wanita tersebut walaupun parut tetap terpahat di jiwa.

Makna cinta itu, lebih besar daripada apa yang kita fahami.

Wanariahamiza

Rabu, 16 Oktober 2013

SEBUAH TERATAK BERJASA


Sebuah teratak berjasa. Strutur rumah kampung yang separa batuan dan separa kayu. Berbumbungkan zink biru yang mulai bertukar warna; coklat. Letaknya teratak ini, di sebuah kampung terpulau dek pembangunan perumahan di sekeliling kawasan. Kampung Permatang Badak namanya. Dibina dengan kudrat abah dan arwah aki. Ketika itu usia abah baru menjangkau 20 tahun. Gigih dibina rumah sebesar ini.

Di sisi kiri, ada tiga batang pokok kelapa yang setia berdamping. Dahulu selalu juga panjat pokok kelapa ini. Bermain-main dengan kawan-kawan. Di depan pula ada pokok manggis, dan pokok rambutan. Yang masih memberi hasil cuma pokok rambutan. Pokok manggis sudah tidak lagi. Dahulu, lagi banyak pokok buah-buahan yang ada; pokok ciku, pokok mempelam, dan pokok pisang. Belum lagi pokok-pokok lain. Pokok inai, kunyit, serai, daun kari dan pelbagai lagi.  Kini tiada lagi, semua sudah mati. Mungkin juga kerana tanah di rumah kami tidak lagi punya nutrien yang diperlukan. 

Di belakang rumah kami ada sebuah telaga. Dahulu banyak jasanya. Ketika ketiadaan bekalan air, jiran-jiran akan berkunjung ke rumah kami; tumpang mandi. Kini tidak lagi, masing-masing sudah punya tangki simpanan air sendiri. Telaga ini tidak terus sepi, kami letakkan ikan-ikan yang ditangkap semasa musim banjir ke dalamnya. Ada keli dan sepat. Banyak mana, tidak tahu. Sudah bertahun-tahun tidak digunakan. Cuma selalu juga dicampakkan roti untuk melihat kelibat ikan-ikan di dalamnya.

Di hadapan rumah kami, ada sebatang jalan kampung. Ketika aku masih kecil, jalan di hadapan kecil sahaja walaupun sudah bertar. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini. Masihku ingat, kami selalu bermain-main di tepi jalan itu. Menaiki basikal di atas  jalan bertar lebih seronok rasanya berbanding di halaman rumah yang berbatu-batu. Daripada jalan kecil, kini sudah menjadi seperti  jalan utama yang mempunyai dua lorong. Banyak kenderaan yang melalui jalan ini. Yang pasti, anak-anak kecil tidak lagi dapat bermain di tepi jalan itu. Bahaya menanti.

Rumah kami, tempat kami empat orang adik-beradik dibesarkan. Bermula daripada kelahiran Kaklong yang ketika itu hanya rumah ini yang ada, di sekeliling hanya hutan sahaja. Rumah dahulu, jauh-jauh letaknya. Susah berjumpa dengan jiran tetangga. Kemudian Abangngah, aku dan yang terakhir adikku. Ketika itu, sudah banyak rumah yang ada. Pandang sahaja kiri kanan, rumah semuanya. 

Sehingga hari ini, sudah dua kali rumah ini dilanda bah. Pertama kali ketika Kaklong masih kecil. Banjir biasa-biasa sahaja. Kali kedua, ketika itu tahun 2001. Banjir besar di Pahang. Lebih daripada seminggu juga berkampung di pusat pemindahan mangsa banjir. Masihku ingat, aku dikejutkan ketika sedang tidur dan ketika itu air banjir sudah separas katilku. Takutkan air banjir yang terlalu laju, aku hanya dikendong oleh Abangngah untuk ke tempat yang lebih selamat. Begitu juga adikku. Banjir ketika itu berlaku beberapa hari selepas hari raya Aidilfitri. Segala kuih raya, perabot rumah, peralatan elektrik tidak sempat langsung diselamatkan. Hanya sedikit pakaian dan dokumen-dokumen penting yang dibawa. Kini, kesan banjir masih bersisa dalam rumah ini. Jika diukur dengan ketinggianku, sampai paras dada juga.

Terlalu banyak cerita tentang rumah ini. Yang suka, yang duka, semuanya ada. Kelak tidak akan dilupa, jasa teratak ini walaupun aku sudah dewasa.

Wanariahamiza

Rabu, 9 Oktober 2013

ULASAN BUKU: MENGEJAR AJAL (KHAIRULNIZAM BAKERI)


Selesai sudah kuhabiskan novel bertajuk Mengejar Ajal karya Khairulnizam Bakeri. Sebuah novel keluaran Roman yang kubeli semasa Bazar Buku yang berlangsung di Fakulti Undang-undang UiTM Shah Alam tempoh hari. Lihat gambar, siap dapat tanda tangan penulis lagi. Bukan senang nak dapat.

ULASAN RINGKAS

Pertama sekali, penggunaan bahasa novel ini sangat indah. Susunan kata yang berirama, gaya penceritaan yang bersahaja dan kadang-kala perlu dibaca berkali-kali untuk dihayati ceritanya. Walaupun ceritanya tampak mudah, susunan plot yang digunakan tidak dapat dijangka kesudahannya. Bagiku, tidak wujud sebarang watak yang kaku dalam novel ini. Masing-masing diperkenalkan dan akhirnya punya cerita tersendiri. Tidak banyak teknik imbas kembali yang digunakan dan keseluruhan cerita boleh dianggap mendatar. Walau bagaimanapun, penulis berjaya membawa pembaca (aku) untuk berada dalam beberapa cara dan perspekstif pembacaan yang berbeza. Perkara ini yang menarik sebenarnya.

Watak utama, tampil bergaya sehingga penamat cerita. Kewujudan isteri kepada watak utama tampak tidak begitu memberi kesan pada mulanya namun saat klimaks mula menjengah pembaca, wataknya menjadi tumpuan seketika. Isu dalam novel ini sangat rumit. Penyelesaian masalah yang dibebani dengan masalah berganda-ganda. Akhirnya terbongkar rahsia dengan penamat yang cukup luar biasa.

Novel ini terbahagi kepada tiga bahagian. Kuulas satu persatu.

BAHAGIAN I

Penulis menulis novel ini seperti biasa. Pembaca hanya sekadar menjadi pembaca. Jalan penceritaan diceritakan untuk dibaca dan dibayangkan suasana induk cerita ini. Pengenalan kepada watak-watak dan juga tema novel ini.

Raed Marzuki, Timbalan Pendakwaraya yang digelar sebagai Hangman selaku watak utama dalam novel ini. Tidak pernah kalah dalam perbicaraan dan berkahwin dengan seorang pelukis buta terkemuka bernama Adani Saufi. Permulaan cerita diteruskan dengan satu kes membabitkan Datuk Seri Buyung yang dituduh menyebabkan kematian Zaimah, pelacur kelas atasan. Konflik bermula apabila saksi utama kes, Putri tiba-tiba rebah dalam mahkamah menyebabkan perbicaraan kes ditangguhkan.

Lebih daripada itu, Putri akhirnya meninggal dunia beberapa ketika kemudian menyebabkan Raed gusar akibat kehilangan saksi utama. Dengan ketiadaan Putri, pembawaan kes oleh Raed sedikit cacat dan menyukarkan dirinya untuk membuktikan Datuk Seri Buyong bersalah. 

Siasatan persendirian dilakukan bersama-sama Cif Inspektor Cynthia dan mereka menemukan Toyib, sebagai orang kepercayaan Read telah berpaling tadah akibat 'dibeli' oleh Datuk Seri Buyong. Kematian Putri juga ada hubung kaitnya dengan Toyib.

Perbicaraan kes Buyong akhirnya tiba di penghujung. Sebelum keputusan mahkamah diumumkan, Raed bersendirian dan terimbau memori hitam saat dia melihat ayahnya dibunuh kejam di depan mata. Pesan ayahnya, diingati sehingga kini.

Keputusan mahkamah melepaskan Datuk Seri Buyong daripada pertuduhan membunuh. Buat pertama kalinya, Raed kalah di medan perbicaraan. Rasa geram yang tidak terhingga telah menyebabkan Raed bertindak di luar jangkaan di dalam mahkamah sehingga ada yang merakam tindakannya memukul Datuk Buyong.

Penutup kepada bahagian ini, beberapa hari selepas keputusan mahkamah diputuskan Datuk Seri Buyong ditemui mati. Raed telah dijadikan suspek dalam kes pembunuhan ini apabila cap jari pada kelongsong peluru disahkan miliknya. Bukti dikukuhkan dengan video kemarahan Read kepada Datuk Seri Buyong di dalam mahkamah dengan ugutan bunuh sekali.

BAHAGIAN II

Dalam bahagian ini, penulis memberi peluang kepada pembaca untuk merasai sendiri perasaan, tindakan dan  setiap takah yang dimainkan oleh watak Raed. Penggunaan kata ganti nama diri pertama sebagai satu cubaan yang membuatkan pembacaan menjadi tidak hambar.

Raed disoal siasat dan dibicarakan atas pertuduhan yang dikenakan. Tindakan Raed, benar-benar berani lantas tampak tidak bersalah. Adani pula bertindak tenang demi menanti kesudahan yang pasti menemui kebenaran. Sekali lagi konflik tercetus apabila Raed yang diculik di dalam kawasan mahkamah dan di bawa ke suatu tempat yang tidak diketahui.

Tiba di sana, Adani juga telah menjadi mangsa culik geng tersebut. Berita penculikan Raed dan Adani menjadi hangat dalam kalangan masayarakat. Tiada petanda yang boleh menjejak mereka dan motif juga samar-samar. Penculik tidak meminta wang tebusan, sebaliknya diam sahaja. Ada juga yang menyangkal dakwaan culik, sebaliknya mengangap semua yang terjadi telah dirancang sendiri oleh Raed untuk melepaskan diri.

Raed yang diculik pula diarahkan membunuh tiga orang lain, sebelum dia dan Adani dilepaskan. Mereka ialah Muazin Din, Yunus dan Samsol. Perancangan rapi dibuat demi keselamatan Adani. Arahan mereka juga dituruti.

BAHAGIAN III

Usai membunuh dua mangsa pertama, tinggal yang terakhir. Namun nasib tidak menyebelahi Raed apabila dia ditangkap polis di hadapan sebuah kelab malam. Dia belum sempat membunuh orang yang ketiga. Helmi yang menguruskan kes ini meminta Raed bekerjasama dengannya. Walau bagaimanapun, Cynthia dengan kerasnya cuba untuk membuktikan bahawa bukan Raed yang bersalah. Sebaliknya, semua perancangan bunuh ini ada kaitan dengan Adani berdasarkan bukti-bukti yang telah ditemui di rumah milik mereka.

Raed kemudiannya dihantar semula ke kelab malam tersebut untuk memudahkan kerjasama dengan pihak polis. Matinya mangsa ketiga, selesai urusan Raed. Dia memasuki semula van dan Helmi mengikuti dari belakang untuk menyelamatkan Adani pula.

Tiba di suatu persimpangan lampu isyarat, sesuatu yang di luar jangkaan berlaku.

PENAMAT

Bagiku, penamat cerita ini sangat bergaya dan diluar fikir pembaca. Saat hampir menemui penghujung, pasti pembaca sudah membuat telahan sendiri walau belum pasti kebenarannya.

Penamat yang sangat stail dan memuaskan. Seluruh jalan penceritaan menarik dan terkesan dalam hati. Bagaimana setiap satu perkara di putar belit sehingga wujud kesan yang tidak terduga. 

Novel ini lebih enak dibaca sendiri, dihayati dan difahami apa yang disampaikan oleh penulis. Barulah dapat dirasai sendiri perasaan berada di mahkamah, diculik, ditangkap polis dan akhirnya terlepas dengan berani. Mungkin bagi aku, novel ini layak mendapat bintang penuh kerana benar-benar memenuhi kehendak pembacaanku. 

Oleh sebab  bahagian penamat paling berharga, kubiar rahsia, agar semua tertanya-tanya.

Dapatkan satu dan kita kongsi cerita bersama-sama.

Wanariahamiza