Jumaat, 22 November 2013

MENTEGA YANG MENIPU


(Entri ini diterbitkan pada 18 Mei 2013)

Cerita ini ketika zaman kecilku. Tidak kuingat usiaku berapa. Namun peristiwanya terus terpahat dalam memori. Sudah menjadi rutin buat banyak keluarga barangkali, akan membeli keperluan rumah dan dapur sebulan sekali. Setelah gaji bulanan diterima. 

Begitu juga keluargaku. Setiap bulan akan ke pasar raya bagi membeli keperluan secukupnya untuk jangka masa sebulan. Kalau tidak cukup, akan dibeli kemudian secara eceran. Aku dan adikku sudah pasti, menjadi pengikut setia yang suka membantu membeli barang. Suka kami menolak troli, menimbang bahan basah dan mengambil barang-barang di rak yang sudah kami hafal kedudukannya. 

Kami seronok melakukan semua itu. Dan setelah semua keperluan wajib berada di dalam troli, akan ada satu masa untuk kami memilih kemahuan kami. Waktu inilah yang paling seronok buat aku dan adikku. Kami akan mengambil gula-gula, kerepek, air kotak, biskut dan sebagainya. Yang menarik hati, yang kami sukai.

Mungkin kerana sudah diajar untuk tidak membazir, kami telah tertakluk kepada had makanan bagi setiap orang. Kami hanya boleh mengambil tiga jenis atau kurang makanan tambahan untuk diri sendiri. Dan tiada masalah untuk itu. Kami juga tidak mengambil makanan yang mahal-mahal. Sudah terdisiplin diri dengan cara didikan begitu.

Ceritanya, suatu hari aku mahu membeli kek. Kataku kepada umi, tak mahal. Hanya sepotong kek biasa. Lalu aku pergi ke ruangan makanan dalam peti, mengambil sepotong kek berbungkus empat segi (kuboid) untuk diriku. Aku gembira dengan pilihanku dan tidak sabar mahu menikmati kek yang aku beli.

Rupa kek yang menjadi bayangan aku ketika itu. 
Aku menunjukkan kepada umi kek yang aku mahu. Namun, umi dengan respon kehairanan. Ditanya, mana kek yang aku mahu? Aku tunjukkan lagi bungkusan empat segi tersebut. Kata umi, itu bukan kek. Sebaliknya mentega. 

Aku berasa pelik. Tidak mungkin aku salah. Iklan di media televisyen menunjukkan bungkusan yang aku pegang itu ialah kek, bukan mentega. Aku berkeras, dengan menyatakan bukti iklan yang aku tonton.  Namun, kesungguhanku menegakkan bukti itu ternyata sia-sia. 

Kata umi, sebenarnya mentega ini digunakan untuk membuat kek. Dalam iklan hanyalah gambaran sahaja. Mereka tunjukkan dengan mentega ini, mereka menghasilkan kek yang sedap dan enak. Aku terdiam.

Barulah aku tahu dan faham tentang penggunaan mentega dan kuasa iklan yang disiarkan melalui media. Sehingga aku seorang anak kecil juga, tertipu dengan iklan. Tertipu kerana aku masih belum tahu ketika itu. Dan hanya memandang iklan dengan mata sahaja. Pengajaran baharu yang aku peroleh waktu itu. 

Wanariahamiza

Selasa, 19 November 2013

RESEPI PUDING ROTI BERKUAH


BAHAN-BAHAN PUDING ROTI

  • 12 hingga 16 keping roti.
  • Tiga biji telur
  • Tiga sudu besar gula (resepi asal empat sudu)
  • Satu sudu teh asen vanila
  • Satu sudu besar tepung jagung
  • 400-500ml susu fullcream (banyak pun tak apa)
  • Kismis (kalau mahu)

BAHAN-BAHAN KUAH KASTAD

  • Satu tin susu cair
  • Dua sudu besar tepung kastad
  • Satu setengah sudu gula (resepi asal dua sudu)
  • Satu sudu teh asen vanila
  • Satu setengah cawan air


CARA-CARA PENYEDIAAN

1. Potong setiap keping roti menjadi segi empat kecil. (Kulit roti boleh dibuang atau dibiarkan sahaja.) Sapukan majerin pada roti (kalau mahu).

2. Masukkan telur, asen vanila, tepung jagung, susu fullcream dan gula. Pukul sehingga kembang.

3. Susun roti selapis demi selapis. Tuangkan campuran tadi sedikit demi sedikit. (Boleh taburkan kismis juga di setiap lapis.)
4. Ratakan dan tekan dengan sudu untuk menjadikannya mampat. Pastikan semua bahagian roti telah dituang dengan campuran susu tadi. Biarkan kembang selama 30 minit. Selepas itu, bakar sehingga masak dalam jangka masa 30 minit juga.
5. Untuk kuahnya. Masukkan susu cair, asen vanila, gula, air dan tepung kastad ke dalam periuk. Pastikan kuahnya sentiasa dikacau bagi memastikan tepung kastad itu masak. Kacau sehingga 15 minit.






6. Setelah masak, biarkan sejuk. Kuahnya boleh diletakkan di dalam peti untuk menikmati puding roti yang lebih sedap.

Wanariahamiza

Ahad, 10 November 2013

DUNIA HITAM PUTIH


Setiap kali menonton cerita-cerita lama sewaktu saya kecil dahulu, pasti saya akan memikirkan sesuatu tentang warna. Benarkah zaman dahulu memang tiada warna dalam dunia? Kasihan mereka yang hidup pada zaman  itu. Tidak mengenal apa itu warna. Tidak punya perkataan warna dalam kamus kehidupan mereka.

Yang mereka ada, cuma hitam dan putih. Serba-serbi hitam dan putih.  Kemudian saya berfikir lagi. Bertuahnya saya hidup dalam zaman yang sudah ada warna. Semuanya nampak ceria dengan variasi warna yang berbeza-beza.

Daripada sekecil-kecil perkara, sehinggalah organ badan manusia juga alam semester. Bumi, lautan dan belantara, semuanya dicorakkan dengan keindahan dan kelestarian warna. 

Jadi, siapakah yang mula-mula mencipta warna dan mewarnakan orang-orang dahulu yang serba hitam putih? Siapa pula yang mewarnakan alam yang Maha Besar ini?

Wanariahamiza

Rabu, 6 November 2013

ULASAN BUKU: KEKASIHKU MUTAN (FADZILLAH OMAR)


Hari ini, novel berjudul Kekasihku Mutan tulisan Fadzillah Omar pula berjaya dihabiskan pembacaannya. Saya beli novel ini pada bulan September yang lalu. Novel ini keluaran Roman. 

Kekasihku Mutan membawa sebuah kisah yang lain daripada yang lain. Sebenarnya mutan bermaksud individu, haiwan atau tumbuhan yang mengalami mutasi. Maksudnya, berlaku berubahan dalam genetik mereka. Jalan penceritaan novel ini berbentuk kronologi iaitu berturutan. Bahasa yang digunakan pula cukup mudah. Hanya bahasa slanga atau bahasa percakapan sehari-harian. Mudah untuk difahami jalan ceritanya.

Setiap watak yang ada dalam cerita ini, tidak diwujudkan sesuka hati, juga tidak dihilangkan sesedap rasa. Semuanya wujud dengan agenda yang menjurus kepada mesej plot ceritanya. Setiap bahagian novel ini, ada kesinambungan dan penuh dengan tanda tanya.

Bagi saya, tidak banyak unsur saspen dalam cerita ini. Namun, tetap ada beberapa bahagian yang membuatkan pembaca tertanya-tanya. Kebanyakan dapat ditelah terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, gaya penulisan novel ini yang menjadi kekuatan penulis untuk menarik para pembaca supaya terus membaca sehingga tamat cerita.

Sebuah novel pecintaan bukan romantik, penuh dengan misi yang hadir secara tiba-tiba, juga bahaya yang berkunjung dalam hidup mereka. Unsur cinta dalam novel ini bukanlah isu utama yang cuba dibawa oleh penulis. Cinta itu hanya sampingan. Namun yang lebih penting, isunya adalah tentang kekuasaan Allah yang Maha Esa.

Secara keseluruhan, saya juga berpuas hati membaca novel ini. Lain daripada yang lain dengan mesej cerita yang cukup bertentangan daripada judulnya. Syabas.

KEKASIHKU MUTAN

Marsyanda atau Marsya, mewarisi harta dan kekayaan keluarganya. Juga syarikat Biotechgen milik keluarganya. Seluruh ahli keluarganya, maut dalam nahas jet persendirian ketika dalam perjalanan ke New York. Syarikat ayahnya, memperjuangkan teknik penghasilan tanaman mengikut kaedah dan teknologi moden terkini. 

Walau bagaimanapun, Marsya memilih bidang kemasyhuran dengan menjadi seorang artis yang sangat popular. Huzairul pula, menjadi pembantu yang sangat dipercayai. Marsya dan Huzairul tiba-tiba didatangi oleh seorang peguam yang menyuruh mereka ke pejabatnya untuk menuntut satu amanah. 

Marsya menerima sebuah kotak, penuh misteri. Dia juga, dikejutkan dengan rahsia syarikat ayahnya. 

Di dalam hutan pula, wujud satu kehidupan lain. Adib dan Dahlia, manusia mutan, juga keluarga mereka. Sudah hampir dua puluh tahun mereka bersembunyi di dalam hutan tersebut. Adib dan Dahlia telah diselamatkan daripada menjadi mangsa uji kaji manusia durjana. Mereka bersembunyi atas sebab menantikan penawar, yang bakal mengembalikan genetik mutan mereka kepada manusia biasa. 

Adib, diamanahkan untuk menjaga Marsya dari jarak jauh. Amanah ini, serba sedikit memupuk perasaan cinta terhadap Marsya. 

Kemunculan semula Borhan telah mencetus huru-hara. Dia mencipta satu formula yang mampu menukarkan manusia menjadi serigala jadian. Ya, manusia serigala yang menyeramkan. Tujuannya, untuk mendapatkan semula kandungan bahan dalam kotak yang Marsya terima.

Apakah yang ada di dalam kotak itu? Apakah rahsia syarikat Biotechgen? Bagaimana pula perasaan cinta Adib yang berputik terhadap Marsya? Dan dapatkah Adib dan Dahlia kembali menjadi manusia normal?

Hanya kekuasaan Allah menjadi jawapannya.
Kekasihku Mutan membongkar segala rahsia penyelidikan mutasi manusia.

Wanariahamiza

Sabtu, 2 November 2013

ULASAN BUKU: TULIS CINTA DALAM HATI (SALINA IBRAHIM)


Pertama sekali, saya ingin tegaskan. Novel ini bukanlah novel kisah percintaan merpati dua sejoli yang romantik dengan perlbagai suka duka yang dialami.

Tulis Cinta Dalam Hati, sebuah novel karya Salina Ibrahim. Novel ini saya beli pada Mac 2012. Hari ini baru berkesempatan membacanya. Novel ini, membawa sebuah mesej yang bagi saya amat berat. Juga beberapa perkara yang kena pada diri saya. Bertemakan cinta kepada keluarga, adik-beradik dan kawan-kawan. Juga disentuh tentang cita-cita.

Penggunaan bahasa yang cukup santai membuatkan pembacaan tidak langsung menemui kebosanan. Juga, penggunaan kata ganti diri pertama iaitu 'saya' untuk watak utama mendapat tempat dalam novel ini. Lantas, menjadikan pembaca berada dalam diri watak utama tersebut.

Plot cerita yang disusun cukup mendatar, menjadikan tidak terlalu banyak persoalan yang bermain di minda. Bagi saya, pembacaan novel ini lebih menjurus kepada keinginan untuk menghabiskan pembacaan dalam mencari erti sebenar cinta itu.  Novel ini juga tidak banyak teknik imbas kembali, namun masih berjaya menyampaikan cerita kepada pembaca.

Usai pembacaan, bagi yang menghayati pasti akan meremang juga bulu roma. Paling tidak pun, hati akan terjentik dengan kisahnya. Yang pasti, pembaca tegar novel mungkin akan menumpahkan air mata selesai menghabiskan pembacaan.

Novel ini secara keseluruhannya tidak langsung menghampakan. Cukup memberi pengajaran. Saya kira, novel ini cukup memberi kesan kepada jiwa-jiwa remaja yang masih belum mengenali erti cinta. Yang masih belum matang menilai kehidupan, juga yang masih kabur melihat masa depan.

TULIS CINTA DALAM HATI

Umairah, seorang gadis remaja berusia 19 tahun yang memilih untuk tidak menyambung pengajiannya demi melihat kakaknya berjaya. Uniknya, Umairah memiliki tiga orang emak dan tiga orang ayah, juga ramai adik-beradik. Namun, dia disisihkan oleh semua orang. Umairah sepi bersendirian. Dia tidak percaya akan cinta. Dia meluat dan rimas dengan cinta.

Umairah bekerja di sebuah kilang sebelum berhenti dan bekerja pula di sebuah butik. Perkenalannya dengan Mak Cik Fida dan Mak Tok banyak mengajarnya tentang kehidupan. Kata Mak Tok, adik-beradik itu hadir dengan kepelbagaiaan ragam yang bertindak memenuhkan lompong-lompong sesebuah keluarga. Dia terkesan.

Dia begitu berkecil hati dengan seluruh ahli keluarganya. Dia berasa terlalu disisihkan oleh semuanya. Umairah sedar, dia sendirian. Tidak punya cita-cita, tiada perancangan masa depan. Dia tidak tahu apakah yang mampu  dia lakukan demi masa depannya.

Kehidupan Umairah menempuhi ranjau yang cukup bermakna membuatkan Umairah pulang ke rumah keluarganya. Namun, semua yang ada tetap sama. Orang yang sama. Perangai yang sama. Tiada perbezaan langsung.

Yang berbeza cumalah perasaannya. Dia kini bahagia, melihat keluarga sendiri, adik beradik sendiri, dengan jiwa dan perasaan yang baharu. 

Walaupun bahagia itu ditemui, berjayakah sebenarnya Umairah menulis cinta di dalam hati? Bagaimana pula dengan cita-citanya? 

Ayuh, kita Tulis Cinta Dalam Hati.

Wanariahamiza