Isnin, 2 Disember 2013

ULASAN BUKU: NOVEL PECAH (KHAIRULNIZAM BAKERI)


Sebelum ini saya pernah membuat ulasan untuk sebuah novel karya penulis yang sama bertajuk Mengejar Ajal. Kali ini saya ingin mengulas sebuah lagi novel yang baru habis dibaca. Novel Pecah terbitan Fixi. Novel yang saya miliki ini sudah tidak menggunakan kulit asalnya. Sebaliknya novel ini menggunakan kulit filem yang menampilkan pelakon-pelakon seperti Sofi Jikan, Ako Mustapha dan Tony Eusof.

Terdapat dua keistimewaan pada novel ini. Pertama, penulis turut menyertakan bonus nota atau proses kreatif dalam penghasilan novel ini. Kedua, novel ini merupakan antara novel sulung syarikat penerbitan Fixi. Untuk pengetahuan semua, novel ini juga telah diadaptasi menjadi sebuah filem bertajuk Pecah dan telah ditayangkan di pawagam pada pertengahan tahun yang lalu. Tahniah buat penulis, juga kepada yang ada kaitannya dengan novel ini.

TENTANG PECAH

Novel ini bukanlah novel percintaan romantik mahupun kasih kekeluargaan. Bukan juga novel popular yang klise dengan paksaan untuk menikahi perempuan yang bukan pilihan. Sebaliknya, novel ini tentang jenayah rompakan.

Herman, Alan, Radi dan Don menjadi penjenayah yang merancang segala-galanya. Bank CIMB Shah Alam, tumpuan mereka. Strateginya cukup teliti. Wang dan sebuah peti besi berjaya dilarikan. 

Nasib tidak menyebelahi, Alan ditembak di kaki lantas memaksa yang lain untuk menghantar dan meninggalkan Alan ke hospital. Misi mereka sedikit tergendala apabila pihak berkuasa terlalu cepat bertindak dengan mengepung hospital, melakukan sekatan jalan raya dan memeriksa setiap kereta yang keluar masuk ke kawasan hospital. Alan ditahan walaupun masih menerima rawatan. Yang lain, merancang strategi baharu.

Saya kira, latar masa untuk keseluruhan cerita Pecah hanya sekitar dua hingga tiga minggu sahaja. Yang selebihnya, hanyalah imbas kembali, menelusuri zaman 1970-an. Plotnya, bermula dengan rompakan. Kemudian penyiasatan oleh sekumpulan pihak polis bertugas. Akhirnya, peleraian kepada jenayah tersebut. Kronologi yang nampak terlalu mudah, namun jangan cepat ditelah. Terlalu banyak yang anda masih tidak tahu.

Dalam penyiasatan, pihak polis percaya bahawa duit rompakan masih berada di sekitar kawasan hospital. Namun, usaha mencari bukti tetap gagal. Pada hari yang sama Alan ke hospital, ada seorang tua dari Rumah Seri Memori (rumah warga emas) yang koma dan dimasukkan ke hospital yang sama. Kelihatan seperti kebetulan, namun sebenarnya ada kaitan.

Ya, zaman 1970-an itu yang menceritakan kaitannya. Motif rompakan pula, bukan untuk mengaut kekayaan semata-mata. Ada sebab dan alasan. Plot cerita ini cukup rumit, tetapi santai. Peleraian yang dicipta cukup diluar jangkaan. Saya pasti, ramai akan membuat antara dua andaian. Perompak ditangkap atau perompak bebas dengan kekayaan. Jika itulah yang kalian fikir, sebenarnya salah sama sekali.

Perompak ini baik hati. Mereka memulangkan wang yang telah dikira tepat-tepat jumlahnya kepada lelaki bernama Kazim. Siapa pula Kazim? Apakah kaitannya lelaki tua, zaman 1970-an, perompak, bank dan Kazim? Apakah motif sebenar rompakan kalau bukan untuk kekayaan? Peleraiannya pula bagaimana? 

Rahsia rompakan itu pasti akan Pecah jika anda turut terlibat melakukan jenayah yang diceritakan. 

Wanariahamiza