Selasa, 23 Disember 2014

FOTO KEJUJURAN


Seboleh-bolehnya, saya cuba untuk tidak menulis sebarang entri di blog ini lagi sehingga tahun baharu muncul kelak. Tetapi saya tidak berjaya. Saya tetap didesak untuk menulis. Sudah cuba ditahan dan disekat, keinginan untuk meluahkan perasaan berupa penghargaan terus memuncak.

Malam ini, saya dihiasi dengan persekitaran yang kalau digunakan perkataan kamus ialah gembira dan terharu. Namun kedua-duanya bukanlah perkataan yang tepat. Lebih daripada itu lagi. Dengan hanya meneliti sekeping foto, saya melihat gubahan senyuman yang sarat keikhlasan. Rentak dan gaya yang ceria dan galak dengan kepercayaan. 

Pernah saya terbitkan status di Facebook tempoh hari:

Jika kamu tahu ertinya kepercayaan,
kamu pasti cinta akan kejujuran.

Biarpun berbeza-beza.

Memang, itulah yang saya harapkan. Lebih daripada pengharapan yang biasa-biasa. Asbab ada debu yang cuba mengotori hamparan foto kejujuran itu. Dan perjalanan tadi telah melenyapkan debu-debu tersebut. Buat kalian, saya merasai semua itu bukanlah satu kepura-puraan.

Perjalanan kita adalah tentang kepercayaan, keikhlasan dan kejujuran.

Wanariahamiza

Selasa, 2 Disember 2014

SELIPAR TANPA KAKI


Saya berjalan sendirian. Menuju ke sana ke sini demi tugas yang menanti. Saya lihat. Dua kaki yang ada terus melangkah, melangkah dan melangkah. Sesekali terhenti. Terfikir juga saya, ke mana kaki ini sebenarnya mahu pergi? Sekadar mengikut telunjuk hati agaknya. Saya terus berjalan. Mempersibukkan diri, macam perdana menteri.

Entah mengapa, tiba-tiba perasaan itu kembali. Perasaan kosong yang sekosong-kosongnya. Padahal setiap hari penuh dengan aktiviti. Letih? Tidak sama sekali. Cuma rasanya seperti ada suatu kelesuan yang terbelenggu dalam diri. Saya cuba mencari, di mana letaknya. Sebenarnya, saya jumpa. Tetapi mata berbuat buta. Pendusta!

Biarkan. Saya yang ego, maka biarkan saya dengan kebutaan kebutaan yang disengajakan itu. Saya pelik sebenarnya. Macam darah seketul itu sudah tidak mahu jernih kembali. Seolah-olah terus diselimuti kehitaman, pekat, likat, legam. 

Khilaf, semua ini khilaf belaka. Sepatutnya saya perbetulkan kekhilafan yang ada. Bukan ditampal sesuka rasa semata-mata mahu menyorokkan kehilafan itu. Sudah, capai tahap merapu lagi.

Saya sebenarnya mahu bercakap dengan awak. Awak yang itu. Saya dapat merasakan awak mampu memahami saya. Bukan sedikit, bukan biasa. Tetapi lebih daripada itu. Saya masih menantikan awak biarpun awak...... mungkin tidak tahu.

Eh, mari kembali kepada kaki. Bahagiakah kaki sebenarnya? Bersarungkan sepatu cantik, kemas. Entah, saya sendiri tidak pernah tahu dan tidak mahu mengambil tahu. Yang saya tahu, saya bahagia. Permulaan bulan terakhir yang sengaja membawa hadiah senyuman buat saya. Saya terfikir lagi, entah berapa kali saya mengeluh, mungkin berjuta kali agaknya. Sedangkan, saban waktu hanya kejayaan berbentuk nikmat yang saya dapat. Tidak putus-putus Allah beri kepada saya. Namun, apakah nilai kesyukuran dalam diri saya? Sekadar sebarkan kepada satu dunia melalui alam leper tanpa wayar. Internet namanya. 

Biarkan saya dengan ketidaksyukuran itu! Nanti Allah tarik semula nikmat, baru padan muka. Saya ada terfikir juga, pernah saya kongsikan dengan kawan-kawan, gambar kasut saya. Cantik, merah warnanya. Agaknya, ketika itu mesti kaki berkecil hati. Tiada yang memujinya langsung. Hiraukan. Mungkin terlalu banyak yang saya kongsi. Dan tidak tahu mengapa hari ini, saya seolah-olah diejek-ejek oleh gambar-gambar itu. Saya tunjukkan yang saya gembira. Saya sebarkan yang saya ada segala-galanya. Sedangkan banyak mata-mata yang melihat, yang mungkin mengharapkan benda yang sama. Cuma takdir tidak membenarkan mereka mempunyai perkara-perkara itu. Sungguh, saya kesal. Terutamanya kepada mereka yang paling saya cinta. Sudah terlalu banyak lebihan-lebihan yang saya ada. Sedangkan mereka, hanya mampu melihat, senyum dalam duka. Saya tahu, keinginan itu ada, cuma tidak terluah dalam kata-kata. 

Mungkin sebagai penutup, selipar pada tajuk tiada sebarang makna. Atau ada juga kena mengena. Saya cuma terfikir, memang ini haluan saya. Namun sejauh mana saya akan berjalan, dan di mana perhentiannya, saya langsung tidak tahu. Sudah berbulan-bulan saya berhijrah lagi, di suatu negeri sunyi. Pada hati mahu laksanakan itu ini, namun tidak pernah pasti. Janji kekal sebagai janji. Lunasnya belum lagi. Dan kini, menghampiri penghujungnya. Saya masih kekal begini. Apakah bakti saya terhadap diri sendiri?

Empat bulan sesat di dalam peta mainan sendiri!

Oh ya, saya terlupa tentang kelesuan itu. Sebenarnya, kelesuan itu terletak di lubuk hati ini. Lesu kerana alpa daripada menjadi manusia yang dahagakan iman.

Selipar tanpa kaki, mati.

Wanariahamiza

Jumaat, 14 November 2014

MATAHARI TERBIT DI SEBELAH BARAT


Banyak kali saya menerima mesej-mesej panjang melalui whatsapp.
Memang kalau ada kesempatan, saya baca. Kalau tidak, saya biarkan dahulu.
Atau paling tidak saya akan salin dan simpan dalam nota saya, buat rujukan kemudian hari.

Satu mesej ini, saya kongsikan. 
Bukan semua, cuma sekerat sahaja.

+++++++++

Saat itu, aku tak dapat bayangkan apa jadi dengan aku. Mau tidaknya, setiap hari bangun pagi mesti dah cerah. Tidur lepas Subuh. Biasalah (atau langsung burn Subuh).Tapi kali ini, aku bangun awal sikit. Pukul 10 lebih kot. Kelam gelemat lagi. Tu dia, nak sambung tidur pun boleh. Aku hairan, pelik sangat. Aku pun tanyalah mak.

"Mak, awat kelam lagi ni?"

Mak aku jawab:

"Tu la dok hairan jugak. Kelmarin tak macam ni. Nak kata hujan tidak. Kelam sungguh macam matahari takmau terbit,"

Suasana dekat luar rumah riuh rendah. Jiran-jiran pakat terpa mai rumah. Ada yang nak sedapkan hati, depa kata la fenomena alam. Aku bukak TV3. Tengok-tengok ada berita awal-awal pagi.

"Berita terkini : Matahari dilaporkan terbit di sebelah barat,"

Waktu tu, ketaq kepala lutut. Kaku, sentap.

Ya Allah, pintu taubat dah tutup!

++++++++++

Sungguh. Sampai bila kita mahu tunggu?
Sampai berita berkenaan benar-benar belaku?
Sentap.

Memang sentap!

Wanariahamiza

Rabu, 12 November 2014

NILAI SEGULUNG IJAZAH


Sumber gambar: google.com

Seminggu ini, dunia dicitrakan dengan keseronokan melihat insan-insan berjaya. Dengan jubah tanda keilmuan, dan segulung kertas kejayaan. Sungguh, hati juga tersenyum melihat wajah-wajah ceria, suasana penuh tawa dan rahsia-rahsia yang didengar sebagai baja untuk berjaya. Harapnya, saya juga akan berada dalam situasi yang serupa sedikit masa lagi. 

Lumrah, sijil yang diterima sebagai bukti usaha jitu dalam menuntut ilmu. Segala-galanya dikumpulkan atas sekeping kertas, dijunjung ke sana ke sini, disebut berulang kali demi kepuasan seorang manusia biasa.

Saya cukup tertarik dengan inti pati khutbah Jumaat yang disampaikan pada 7 November 2014 yang lalu bertajuk Nilai Segulung Ijazah di Masjid Sultan Badlishah, UUM. 

Sebenarnya, apakah nilai segulung ijazah itu? Adakah pada tulisan-tulisan yang ada? Mungkinkah pada tanda tangan mereka yang besar kuasa? Atau pada pemberi yang menghulurkan gulungan kertas itu dengan penuh istiadat?

Yang meletakkan nilai pada segulung ijazah itu ialah mahasiswa itu sendiri. Gulungan kertas itu tidak pernah mengangkat darjat manusia walaupun sedikit. Yang terangkat hanyalah pangkat. Lalu, siapa yang mengangkat darjat?

Allah. 

Allah mengangkat darjat seseorang itu disebabkan oleh iman. Tidak bernilai kertas itu jika gagal menjadikan kita sebagai seorang manusia yang beriman. Tidak bernilai kertas itu jika gagal menambah kekuatan iman yang ada dalam diri. Tidak bernilai kertas itu jika gagal meneguhkan iman untuk kekal berpasak dalam jiwa dan sanubari. 

Maka, apalah yang hendak dibanggakan dengan pemilikan sekeping kertas jika darjat kita di sisi Allah masih kekal sama. Cukuplah! Cukup! Penat sudah hidup bertuhan kertas-kertas. Sedari kanak-kanak sehingga kini, kertas terus dicari dan dimiliki. Tiada yang salah jika dengan kewujudan kertas-kertas itu, ilmu yang ada dimanfaat, menabur budi dan bakti buat manusia-manusia lain. Bukan sekadar taksubkan harta, duit dan dunia.

Ada juga yang melupakan insan-insan berjasa hanya dek kerana kertas yang digenggam sementara. Derhaka? Memang tidak pernah. Tetapi kesibukan yang mengurung diri mereka membuatkan mereka jauh daripada insan-insan berjasa. Tiada masa lagi untuk menjenguk kedua-dua orang tua. Tiada masa untuk bersua muka walaupun seketika. Lebih teruk, dilupakan dan ditinggalkan di rumah kebajikan yang ada. Kata khatib, janganlah diletakkan nilai ijazah yang ada serendah itu. Jadikan ijazah itu sebagai penyebab untuk menggembirakan ibu bapa selama mereka ada. Bagi yang sudah tiada, doakan kesejahteraan dan keampunan buat mereka.

Maka, lihat ke dalam diri. Setinggi mana nilai ijazah yang diterima itu? Mungkin sekadar untuk mendabik dada, dengan gelaran-gelaran umpanya. Tidak kira Dr., Profesor, Profesor Madya atau apa-apa sekalipun, jika gagal membawa ijazah seiring dengan keimanan, maka sia-sialah hidup bergelumang dengan ilmu tetapi tidak berguna buat bekalan di akhirat sana.

Buat kalian yang sedang dalam proses mencari dan mendapatkan segulung ijazah, pastikan anda bukan mencari gulungan kertas semata-mata. Hidup anda lebih bermakna jika gulungan itu diikat dengan akidah, tertinta tanggungjawab demi dilaksana sebagai khalifah yang bijaksana.

Wanariahamiza

Isnin, 13 Oktober 2014

ULASAN BUKU : BUKAN DORMAN (LEGASI OAKHEART)




JUDUL: BUKAN DORMAN
NO ISBN: 978-967-11289-1-6
PENULIS: 14 PENULIS 
JENIS: ANTOLOGI CERPEN 
TERBITAN: LEGASI OAKHEART
MUKA SURAT: 152
HARGA: RM25

MEMANG BUKAN DORMAN
Oleh: Wan Hanif Wan Hamid

Bukan Dorman? Dorman itu apa? Saya sendiri tidak memahaminya. Kalau tidak faham, mengapa beli? Tentulah sebab ada tarikan yang memancing saya untuk memiliki buku ini. Perkataan ‘bukan’ itu yang menarik perhatian sebenarnya. Mengapa? Sebab ‘bukan’ itulah yang menjadi ceritanya. Sebagai contoh, saya tulis ‘bukan Superman’. Maka, kita sudah cukup arif dengan personaliti, ciri-ciri dan kehebatan Superman. Persoalannya, mengapa bukan? Apa yang cuba disampaikan? Mungkin sesuatu yang langsung tak terduga dek minda separa sedar warga yang ralit dengan sesentuh itu dan ini. Jadi, apa itu Dorman? Cuba cari sendiri. Kalau malas, klik di sini

Empat belas cerpen dengan cara penyampaian yang tersendiri. Unsur sedih? Macam tiada. Kisah kekeluargaan yang menyentuh perasaan, tidak pasti. Yang pasti Bukan Dorman ini lain. Sekadar mahu berkongsi. Saya memulakan pembacaan daripada cerpen pertama sehingga ketujuh mengikut urutan. Kemudian saya baca cerpen kesebelas sehingga keempat belas secara urutan terbalik dan akhirnya menyambung pembacaan bermula cerpen kelapan sehingga kesepuluh. Mengapa? Sengaja mahu mencari kelainan. Saya mahu mencari kepuasan dalam pembacaan. Dan saya menjumpai kepuasan yang saya mahu pada penghujung pembacaan. Coretan ini hanya bersifat peribadi. Maka, saya juga 'bukan'. Ya, BUKAN PROFESIONAL.

BUKAN DORMAN SUKA KAFE

Yang ini, bukanlah sesuatu yang penting atau mesej utama dalam antologi Bukan Dorman. Saya sekadar menulis kesukaan saya apabila saya  berjaya menziarahi banyak kafe dalam Bukan Dorman. Penyenaraian yang membuatkan saya terfikir. Mungkin penulis-penulis ini menghasilkan karya di kafe-kafe, agaknya.

Pertama, saya ke Kopitiam Puncak Putra. Saya mendapati kopi O gula perang dan roti bakar kaya menjadi pilihan watak. Saya fikir, pilihan ini bersandarkan kesukaan penulis, Fathul Khair Mohd Dahlan dalam cerpen Sukma.

Kedua, saya ke Kopitiam Terminal Satu.  Penulis mempertemukan empat pasang mata atas satu tujuan. Cerpen Sebuah MP3 Biru ini merupakan karya Masturah Mohd Zin.

Seterusnya saya ke Kafe Chawan, Publika. Air teh O ais limau menjadi pilihan. Tidak cukup dengan itu, saya singgah di gerai jalanan, memesan teh O panas dan kuih seri muka. Semuanya dalam cerpen Merah Jambu tulisan Hafizul Osman.

Terasa inginkan kelainan, saya memberanikan diri untuk ke Kafe De’ Flasi, dan mencuba Ekspresso Americano, juga kopi kacang hazel. Menikmati kopi-kopi ala Inggeris dalam cerpen Ceteris paribus, Armageddon Pun Terjadi karya Shamsul Amin.

Puas dengan kopi dan teh O, saya sekadar singgah di sebuah kafeteria setelah kehujanan. Sengaja saya cicip pula teh Chamomile dan teh pudina. Ditambah dengan roti bersapu mentega. Penutup perjalanan saya di kafe-kafe dalam cerpen Cik Hujan karya Wafa Aula Alias.

Sungguh, perjalanan saya dengan Bukan Dorman membuatkan saya kenyang. Dahaga hilang, mendapat kepuasan dengan kepelbagaian. Variasi jenis minuman yang menyegarkan.

EKSPRESI SENI ATAS KANVAS 

Yang ini juga sekadar penyenaraian atas faktor kesukaan saya sendiri. Tiga buah cerpen dijumpai menggunakan eksperi seni dalam karya mereka. Unsur-unsur yang mungkin dekat dengan diri penulis, persekitaran kehidupan penulis atau mungkin juga sekadar rekaan yang sengaja dicipta untuk membina plot cerpen.

Cerpen Sukma tulisan Fathul Khair Mohd Dahlan menonjolkan sebuah potret seorang lelaki yang menjadi sebahagian daripada jalan cerita. Siapa lelaki itu? Penulis ada menjawabnya pada pengakhir cerpen.

Saya anggap cerpen Merah Jambu karya Hafizul Osman juga mewujudkan potret dalam karyanya. Wajah seorang gadis, lengkap berbaju kurung yang dilukis atas kanvas. 

Akhir sekali cerpen Tangan Artistik karya Sanisha Bogaraja yang sudah jelas melalui judulnya membiacarakan tentang subjek kesenian. Lukisan-lukisan menjadi sebahagian daripada bahan yang memenuhi tuntutan jalan cerita.

KESUKAAN SAYA

Seperti biasa, ulasan saya hanya akan bertumpu kepada 'yang saya suka' sahaja. Atau dengan kata lain, yang menjadi kegemaran saya dalam antologi ini. Banyak kelainan yang saya temui dalam Bukan Dorman, lalu membuatkan saya sendiri sukar menentukan kesukaan saya. Kalau mahu dicari yang menyentap nubari atau yang kena pada diri saya, rasanya tidak ada. Jadi itulah kelainan Bukan Dorman. Karya-karya bersifat umum dan berkisarkan kehidupan masyarakat. Meluas.

Saya mulakan dengan cerpen yang paling saya suka. Kalau diiukutkan urutan, cerpen ini ialah cerpen kesepuluh dalam Bukan Dorman. Tetapi menjadi bacaan saya yang paling akhir. Srikandi Bonda karya Khaliq Ghazali. Cerpen ini saya kira bersifat antarabangsa. Latar yang disebut dan cuba disampaikan membuatkan saya faham bahawa situasi yang berlaku, situasi yang menjadi persoalan kepada cerpen bukanlah di negara kita. Cara penceritaan seorang manusia yang diasak dengan soalan-soalan daripada suara tanpa rupa, mungkin tampak biasa. Namun, soalan-soalan itu membawa kita kepada suatu perasaan ingin tahu. Mungkin juga membongkar serba sedikit situasi antarabangsa yang kita sendiri tidak pernah tahu. Simpati hadir apabila saya tiba di pertengahan cerita, tetapi simpati itu deras dipadam oleh penulis dengan menegaskan kembali kebenaran yang seharusnya dilaksanakan. Bukan menurut sekadar menurut. Walau bagaimanapun, penutup cerita yang menyedarkan watak daripada mimpi dan tidur mengusik keterujaan saya dalam cerpen ini. 

Cerpen Cik Hujan karya Wafa Aula Alias pula agak mudah. Penceritaan ala-ala kisah percintaan dengan bibit-bibit cinta yang lahir setelah pertemuan yang seketika menjadi penyebab kepada sebuah jalan cerita. Cuma yang saya tertarik dengan cerpen ini adalah tentang isu yang dibawakan oleh penulis. Isu akidah yang kini diputar belit, sehingga ada yang sekadar mengikut walaupun salah. Selesai membaca cerpen ini, saya tidak puas sebenarnya. Saya didesak dengan perasaan inginkan lebih penerangan.  Mungkin penulis boleh menyediakan sambungan cerpen ini? 

Seterusnya cerpen dengan tajuk terpanjang. Cerpen ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ karya Hafiz Latiff. Keegoan saya untuk menidaksukakan cerpen ini tertanya gagal. Tahniah abang Hafiz untuk kejayaan menakluki jiwa saya. Cuma, mungkin ada singkatan untuk menyebut tajuknya? Saya sukakan mesej yang dibawa dalam cerpen ini. Mungkin ada kaitannya dengan isu yang terjadi baru-baru ini. Isu anak kurang upaya yang mendapat liputan media dengan luasnya. Namun, penulis tidak langsung menceritakan perihal 'anak' itu. Klise jika semua orang menulis tentang 'anak' itu semata-mata. Kelainan pada cerpen ini ialah penulis menggarap cerpen ini daripada sudut yang berbeza demi  mengkritik sesebuah pihak tertentu. Mempunyai penutup yang ringkas, tetapi dengan kesinisan yang cukup jelas maksudnya. 

Dua cerpen terakhir yang mengikut timbangan saya, berat pada dasar ceritanya. Cerpen Zombie Rumi karya Mohamad Haniff Mohammad Yusuff dan cerpen Ceteris Paribus, Armagedon Pun Terjadi karya Shamsul Amin. Kedua-dua cerpen ini berbeza daripada plot penceritaannya. Juga pegangan yang dibawa sehingga terciptanya cerpen-cerpen tersebut.

Cerpen Zombi Rumi ditampilkan dengan kisah yang tampak bersahaja, persis sebuah fiksyen. Mungkin jika dibaca tanpa cuba difahami, cerpen ini serupa seperti filem zombi yang pernah ditayangkan. Hadir satu penyebab kepada penjelmaan zombi, muncul penyelamat dan keadaan kembali seperti sedia kala setelah penawar dijumpai. Memang konsep itulah yang diguna pakai oleh penulis. Tetapi cerpen ini sebenarnya membawa kita semua untuk kembali sedar daripada menjadi alat mainan dunia dan zombi terhadap budaya sendiri. Penggunaan frasa-frasa dalam cerpen ini sangat menarik dan unik. Bunga-bunga bahasa dicipta dengan keindahan dan kesantunan budaya.

Shamsul Amin dengan cerpennya Ceteris Paribus, Armageddon Pun Terjadi cukup berani.
Penulis menampilkan dua watak berlainan agama, Islam dan Yahudi. Berkisahkan perbincangan dua sahabat tentang masalah dunia. Tentang kepercayaan masing-masing terhadap agama sendiri. Melalui judul, jelas sekali cerpen ini merujuk kepada Hari Kiamat. Olahan maklumat yang dimasukkan ke dalam cerpen ini saya kira cukup berilmiah. Dengan keberanian mengupas isu berkaitan agama dan kepercayaan ini, saya pasti pembacaan yang teliti dan pengetahuan yang tinggi sangat diperlukan. Maka, cerpen ini yang paling berat. Cerpen yang mencabar kita semua sebagai pembaca untuk melihat realiti dunia sebenar. Wujudnya kuasa-kuasa yang memonopoli kehidupan kita sehingga kita tewas secara lahiriah, tetapi akan terus kuat jika jiwa kita berpasakkan pegangan yang benar-benar utuh dan kukuh tapaknya.

Secara keseluruhan, pembacaan saya tamat dengan kepuasan yang pelbagai. Bukan Dorman, membuka minda pembaca untuk menelusuri perjalanan dalam sangkar kehidupan yang lain.

*********
Untuk mendapatkan Bukan Dorman, sila berhubung terus dengan Hafiz Latiff melalui Facebook atau mengunjungi http://www.katalogoakheart.blogspot.com/.

Wanariahamiza

Isnin, 22 September 2014

SENDIRI (II)


Dahulu kaukata mahu bersendiri.
Sebab apabila ada yang dikenali, sukar untuk kaubuat apa yang kaumahu buat.
Mereka pandang, mereka dengar dan mereka tahu siapakau.
Kautidak mahu kejanggalan itu muncul setiap kali kaubertindak.

Pernah kaucuba suatu masa. 
Hampir dua bulan yang lalu.
Ketika itu kau benar-benar bersendiri.
Mudah kaulaksanakan kehendak nubari yang mendesak diri untuk menjadi berani.
Kauteruskan dengan hasrat dan tekad.
Kauyakin, kausudah cukup kuat untuk menyambung kesinambungan
 kepada permulaan yang telah kaubina.

Namun, kaugagal.
Kau terlalu mudah tewas.
Kau lemah.
Kau terlalu lemah.
Kudrat yang kau ada langsung tidak mampu melawan kecurangan diri.
Jiwa itu, rapuh sebelum sempat bertunjang kukuh dalam tubuh.

Mungkin kaujarang sekali berdoa untuk mendapatkan sesuatu.
Betapakau.... sombong dengan Tuhan.
Tetapi Allah Maha Mengetahui.
Setiap hasrat isi hati, tertunai tanpa pernah kausangka.
Kaugembira, kausuka.
Kaukongsi kepada sepelosok dunia.
Namun kauterus lupa.
Lupa untuk mengucap syukur atas apa yang kaudapat.
Memang itu khilafkau.

Hari ini, kausudahpun bersendiri.
Jauh di sebuah taman alam sarat kelestariannya.
Tiada yang mengenalikau, melainkan yang baharu semata-mata.
Jika benar, ini yang kaumahukan dari dahulu.
Jika benar, ini yang kaukata boleh mengubat silam lalu.
Jika benar, ini adalah kota impiankau.
Maka, kaukena bangkit.
Kerana tempat ini bakal menjadi saksi.
Kuatkan dirikau.
Aku percaya,
Kaumahu celik dengan sinaran kehidupan baharu.

Tuhan
Jangan kau izin aku lupa
Jangan kau biarkan aku mendepang dada
Pasakkan hatiku pada kaki
Paksakan kutunduk sehingga mati.
-Fynn Jamal-

Wanariahamiza

Sabtu, 23 Ogos 2014

ZON SELESA

"Terlalu sibuk dan leka sampai lupa cari
ketenangan hakiki itulah aku."

Kata-kata ini saya petik daripada Twitter seorang sahabat. Ada sesuatu yang terdetik dalam minda saya tatkala pertama kali membacanya dahulu. Sekitar empat bulan yang lalu. Maka saya terus klik 'favourite' dan 'retweet' untuk rujukan pada hari mendatang.

Hari ini, tiba-tiba saya teringat akan kata-kata ini sewaktu berbual dengan seseorang di telefon. Kami membincangkan sesuatu tentang kehidupan seorang remaja yang kian meningkat dewasa. Dengan cabaran, dugaan, musibah mahupun kegembiran, bertandang dan pergi tanpa disedari.

Sehingga hari ini, ramai sangat manusia yang berada dalam zon selesa. Tetapi, saya bukan mahu bercerita tentang 'manusia' itu. Saya mahu berkongsi cerita tentang diri saya. Saat entri ini ditulis, saya masih berada dalam zon selesa. Zon yang sentiasa menjanjikan senyuman, dengan jaminan kegembiraan. Zon selesa ini membuatkan saya berfikir terus ke hadapan. Tanpa ada cabang, ranting yang sepatutnya turut difikirkan sama.

Asbab kewujudan saya dalam zon selesa ini, saya sering terlupa. Lebih tepat, sentiasa terlupa. Lumrahlah manusia itu pelupa. Tetapi kelupaan yang bagaimana? Saya sendiri tidak mahu punya kelupaan yang mampu membinasakan. Parah jika itu terjadi. 

Ya, zon selesa ini menjadikan saya lupa untuk berfikir tentang 'kemungkinan'. Mungkin boleh saya gantikan 'zon selesa' itu kepada perkataan positif dan 'kemungkinan' itu kepada perkataan negatif. Lebih jelas. Maka, saya cipta semula frasa baharu.

Disebabkan saya sentiasa berada dalam keadaan positif, maksudnya semua yang dialami menggembirakan, saya menjadi lupa kepada perkara negatif yang mungkin boleh terjadi. Memang hidup perlu ada motivasi, setiap bicara, fikir mestilah yang positif sahaja. Tetapi, memandang ke hadapan tidak bermakna saya boleh terus mencapai apa yang saya mahu. Pandangan ke hadapan inilah yang perlu diselitkan dengan pemikiran tentang 'kemungkinan' yang mungkin akan berlaku. Namun ramai yang lupa, ramai yang alpa, saya juga. Semua menyangka pelangi sentiasa muncul menceriakan hari-hari yang ada. 

Saya sendiri tidak pernah terfikir tentang 'kemungkinan' yang saya maksudkan. Sebab saya sudah terlalu lama berada dalam zon selesa. Zon yang menjadikan saya sibuk dan leka. Saya terlalu dimanjakan, saya sentiasa dibelai dengan keselesaan. Sedangkan yang hakiki, saya pinggirkan jauh-jauh di sebalik tembok kelalaian.

Namun, jika suatu hari 'kemungkinan' itu hadir,
bersediakah saya?

Biarlah saya terus kekal dalam zon selesa. 
Cuma saya akan cuba pastikan,
saya tidak terus didakap ciuman keindahan
kerana keselesaan itu bukanlah jaminan kebahagiaan.

Wanariahamiza

Jumaat, 8 Ogos 2014

DO YOU PREFER COUPLE?

Perbualan ringkas dengan seorang sahabat tadi tiba-tiba mendatangkan kerunsingan dalam diri saya. Tanpa sebarang pencetus, pemangkin mahupun pemula, saya tiba-tiba ditujah dengan dua soalan yang langsung tiada kaitan dengan perbualan kami. Tidak pernah disangka, akhirnya saya akan menerima pertanyaan yang sedemikian rupa. Sebelum-sebelum ini, sudah berkali-kali saya fikir tentang 'soalan yang ditanya' itu. Pernah juga saya kongsikan rasa itu dengan seorang sahabat akrab yang lain. 

Dua soalan mudah yang sebenarnya biasa buat warga remaja pada masa kini. Atau mungkin tidak salah kalau saya katakan, sebenarnya soalan itu tidak layak ditanya asbab kehidupan remaja dan 'soalan yang ditanya' itu sebenarnya merupakan dua perkara yang saling diperlukan dalam diri remaja hari ini.Mungkin sudah menjadi kewajipan yang perlu dihebahkan kepada umum, yang perlu dipastikan semua orang tahu. Kebebasan dalam permodenan, juga lewahan teknologi yang merajai setiap tindak tanduk seorang insan kerdil berotak disulami akal bernama manusia.

Soalan pertama:
"Bila nak ada gf?"

Saya sendiri lupa. Pernahkah saya ceritakan apa-apa kepadanya tentang perhubungan istimewa, atau pendirian saya yang masih tidak berdua (mempunyai girlfriend)? Maka soalannya memang menjurus kepada maksud bila mahu berdua. 

Coretan ini hanyalah pandangan daripada sudut seorang lelaki bernama saya.
Saya jawab kepadanya, belum tiba masa. Kalau sudah tiba nanti, kautahu aku akan berkahwin sahaja.

Mungkin jawapan ringkas saya itu mendatangkan ketidakpuasan hati kepadanya. Lalu serta-merta soalan kedua diajukan segera:
"Kau tak prefer couple ke?"

Menerima tujahan soalan ini, saya diam seketika. Soalan yang sukar, sangat sukar dan teramat sukar untuk saya jawab. Padahal kalau ditanya warga remaja yang lain, mungkin soalan-soalan sebegini tidak langsung menyusahkan, malah menggembirakan. Saya tidak mampu untuk menjawab mahu atau tidak. Asbab kalau difikirkan, majoriti pasangan kini pasti akan berkenalan dahulu. Bermesra untuk jeda masa yang ada kalanya seketika, ada juga yang bertahun lamanya. Jadi, bukankah tempoh perkenalan itu sebenarnya dipanggil sebagai tempoh 'couple'

Jarang sekali hari ini, pasangan akan berkahwin tanpa langsung mengenali hati budi masing-masing (melainkan plot drama televisyen adaptasi daripada novel yang klise). 

Maka, jika suatu hari nanti saya akan mengenali dan cuba mendekati seorang wanita, pasti saya juga menulusuri terowong 'couple'. Adilkah untuk saya menjawab saya tidak memilih 'couple'? Tentunya tidak. 

Oleh itu, jawapan saya mudah. Buat masa ini, belum berminat. Namun apabila tiba masanya, pasti akan 'couple' juga untuk mengenali dan membuat persediaan. Persediaan yang bagaimana? Sudah pastinya persediaan yang akan terus kepada pembinaan sebuah mahligai dengan ikatan yang sah.

Pernah saya ceritakan kerunsingan saya kepada sahabat akrab, tentang perihal sukarnya mencari pasangan. Bilangan wanita memang melebihi lelaki kini. Namun yang dijumpai selalunya sudah 'berpunya'. Belum lagi dilihat faktor keruntuhan akhlak dan nilai diri mereka. Bukanlah saya mahu menuduh golongan hawa sesedap rasa. Cuma saya acap kali terfikir, adakah status 'berpunya' mereka itu benar-benar dengan tujuan untuk menjadi yang halal kelak? 

Pasti semua orang mengimpikan pasangan yang terbaik. Saya juga, lantas saya cuba melihat kembali kepada cerminan diri saya. Layakkah saya untuk mendapat pasangan yang baik, yang berhati murni jika saya tidak seperti itu? Oh, sukarnya. Namun tidak salah untuk kita cuba menjadi lebih baik demi masa depan yang lebih terurus dengan senyuman dan keharmonian.

Ah, baru berkata soal orangnya. Belum lagi soal hantarannya. Makan minumnya. 

Ya, saya akui yang saya masih terlalu muda dan mentah untuk memperkatakan perihal pasangan hidup. Masih terlalu awal. Tetapi realiti dunia hari ini membuatkan saya sering kali berfikir dan terus berfikir. 

Asbab saya seorang lelaki yang bakal mencari rusuk kiri 
menjadi bidadari  peneman diri di syurga nanti.

Wanariahamiza

Ahad, 27 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #18

29 RAMADAN 1435H

Ramadan terakhir tiba. Semua yang dirancang tidak menjadi. Itu tidak jadi, ini tidak jadi. Banyak yang tergendala. Banyak yang tertangguh. 

Sedih?
Tidak sama sekali.Yang tidak jadi itulah yang amat diharapkan. Alhamdulillah. Penghujung Ramadan yang membawa senyuman. Akhirnya Abah dibenarkan pulang dari hospital. Berita pada saat-saat akhir, cukup menggembirakan.

Memulakan perjalanan tengah malam semalam. Alhamdulillah jam 3.00 pagi tadi Umi dan Abah selamat sampai di rumah setelah hampir sebulan bermukim di negeri orang. Terima kasih kepada insan berhati mulia yang sanggup menghantar Umi dan Abah sampai ke rumah. Untuk hari terakhir Ramadan, kami semua dapat bersama-sama. Soal persiapan raya, memang kosong sekosong kosongnya. Cukup sekadar apa yang ada. 

Umi kata semalam, bil rawatan di hospital mencecah lima angka. Banyak! Mana mungkin kami mampu untuk membayarnya. Jumlah itu cukup besar. 

Namun, syukur dipermudahkan. Oleh sebab abah merupakan seorang penderma darah tegar, semuanya menjadi percuma. Cuma kos pembedahan sahaja yang perlu dibayar. Kalau dikira-kira, lebih 30 kali abah sudah mendermakan darah. Jika dikira tahunnya secara kasar pula, sudah lebih sepuluh tahun sebab penderma hanya boleh mendermakan darah tiga bulan sekali. Alhamdulillah.

Hari ini hari istimewa buat kami semua. Bukan harinya sahaja, malah tarikhnya juga. 27 Julai 2014, Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Umi Abah yang ke-28 tahun!

Senyuman buat semua.
Semoga berkesempatan menemui Ramadan akan datang.

AHAD
27 JULAI 2014

Wanariahamiza

Jumaat, 25 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #17

27 RAMADAN 1435H

 Hari-hari yang tinggal sisa. Sudah cukup hampir. Esok lusa, maka ucap selamat tinggal sahaja yang mampu dikata. Mungkin kepadanya, mungkin juga kepada silam yang alpa. Atau kepada semua, segala-galanya.

Penghujung ini, ada beberapa perkara yang dihadirkan lagi buat tatapan diri. Bermula kelmarin, sebuah kedewasaan menjadi hadiah tinta kehidupan. Tidak sekalipun kegembiraan bergulat dalam jiwa. Tiada keceriaan seperti sebelum-sebelum ini. Juga, hari itulah hari perjuangan abah tatkala menghadapi sembilan jam pembedahan bermula jam 11.30 pagi. Sengsaranya keperitan ditanggung sejak hampir sebulan yang lalu. Syukur segala-galanya lancar. Hanya harapan agar kesembuhan segera diperoleh. 

Semalam, sebuah kereta terbabas di hadapan rumah. Melanggar longkang lalu terus ke dalam semak. Mujur pemandunya tidak apa-apa. Kata pemandu, dia terlelap. Longkang itu letaknya depan sedikit sahaja daripada bengkel Abang Ngah dan ketika itu, Abang Ngah dan kawannya sedang berada di dalam bengkel berkenaan. Cuma satu kekesalan yang dirasai, andailah ditakdirkan kereta itu terbabas lalu merempuh bengkel Abang Ngah? Ya Allah. Sungguh besar nikmat-Nya apabila bencana itu tidak hadir kepada kami lagi. 

Sungguh. Kecuaian orang lain mampu menyebabkan orang lain yang menanggung akibatnya. Disebabkan alasan terlelap daripada pihak satu lagi jugalah, abah yang menjadi mangsa dan terpaksa menghabiskan Ramadan di sana. Sedangkan pihak yang melanggar abah, cederanya tidaklah seteruk abah. Dia juga sudah lama pulang ke rumah. Abah masih di sana dan akan terus di sana. Walau selepas raya pun, belum tentu lagi abah dapat pulang ke rumah. 

Bermula malam semalam, penyakit selesema pula singgah. Hari ini, masih sama. Cuma sudah elok sedikit. Bila kebahnya, Wallahualam. 

Oh Tuhan. Kuatkanlah hati ini! 

JUMAAT
25 JULAI 2014

Wanariahamiza

Jumaat, 18 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #16

20 RAMADAN 1435H

Memasuki fasa terakhir Ramadan. Sayu juga rasa hati. Hanya empat hari pertama Ramadan sahaja yang sempat dilalui dengan kegembiraan. Pada hari-hari seterusnya, semuanya berubah serta-merta. Segala-galanya perlu dihadapi dengan kekentalan jiwa dan sanubari. 

Bukanlah sepanjang masa perlu berduka. Kehidupan mesti diteruskan kerana masa tidak pernah berhenti, ataupun lambat menanti tindakan dan penerimaan kita terhadap situasi semasa. Alhamdulillah. Dapat juga berbuka puasa bersama-sama Umi dan Abah. 

Kali terakhir berjumpa Abah pada 6 Julai yang lalu. Tadi, melihat wajah Abah yang setia tersenyum. Kelihatan sedikit cengkung. Kata Umi hampir lima enam hari Abah tak makan selepas pembedahan tempoh hari. Sekadar minum air sedikit. Namun setelah dimaklumkan kepada doktor, Abah diberikan vitamin.

Syukur, Abah kembali makan seperti biasa. Malah berlebih-lebihan. Umi juga tidak keseorangan. Seorang mak cik yang menjaga anaknya di katil sebelah Abah menjadi kawan Umi. Tidaklah Umi kesepian. Apabila tiba waktu berbuka, Umi akan ke bazar bersama-sama mak cik tersebut. Syukur ada yang menemani.

Ahad ini, anak mak cik itu akan menjalani pembedahan. Mungkin sehari atau dua hari kemudian, baliklah mereka. Tinggallah Umi dan Abah kembali sendiri. Abah pula akan menjalani pembedahan pada hari Rabu. Semoga semuanya berjalan lancar dan Abah segera pulih.

Kalau Abah kuat, selepas dua atau tiga hari Insyaallah boleh pulang ke rumah tetapi kalau tidak, memang terpaksa terus berada di hospital sehingga raya. 

Apapun, Ramadan kali ini cukup bermakna.
Besar ceritanya.
Mendalam penghayatannya.

Ramadan dengan sisa-sisa duka ceria.

JUMAAT
18 JULAI 2014

Wanariahamiza

Khamis, 17 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #15

19 RAMADAN 1435H

Memang tidak pernah kusangka.
Ada insan semulia mereka.
Ada manusia seikhlas mereka.
Ada yang masih setia menabur jasa.

Tidak pernah kupinta semua itu.
Tidak sekali kumahukan seperti itu.

Bukan kutidak mahu berterima kasih.
Bukan kutidak mahu menghargainya.
Aku mahu berdiam seketika.
Aku hilang kata-kata.
Aku tewas dengan bicara.

Buat sahabat,
hanya Allah yang akan membalasnya.
Tanganmu, kusahut dengan terbuka.

Semoga Allah memberikan kalian
kesejahteraan di dunia dan di akhirat sana.

KHAMIS
17 JULAI 2014

Wanariahamiza

Ahad, 13 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #14

15 RAMADAN 1435H

Tatkala rindu mula menguasai diri. Hampir dua minggu tidak dapat duduk bersila bersama-sama keluarga. Hidangkan juadah di atas surat khabar. Isikan nasi, tuangkan air. Kali terakhir, ketika puasa keempat tempoh hari. Alhamdulillah, semalam dapat berbuka bersama-sama. Namun masih tanpa kehadiran umi dan abah yang masih berada di Terengganu. Hanya kami empat beradik. Bukannya tidak biasa. Malah sudah bertahun-tahun berpuasa tanpa keluarga di sisi. 

Cuma kali ini, berpuasa sendiri asbab musibah yang menyapa. Sudah tentu perasaannya lain.

Ainul dan Atief juga tidak lagi datang ke rumah. Dua anak asuhan umi yang terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu. 

Rindu mendengar celoteh Atief yang tidak tahu diam. Rindu menyakat Atief apabila dia makan sedangkan orang lain berpuasa. Rindu nak mendukung Ainul yang sangat lincah. Rindu mendengar suara Ainul yang membebel walaupun tidak pernah difahami. Rindu mendengar Ainul memanggil kami dengan panggilan yang masih pelat, namun sudah ada bunyi ekornya. Sungguh, mereka sudah seperti adik kami sendiri. 

Oh, terlalu banyak rindu.
Bilakah akan terlunas kerinduan ini?
Esok? Lusa? 

Aku sendiri buntu.

AHAD
13 JULAI 2014

Wanariahamiza

Rabu, 9 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #13

11 RAMADAN 1435H

Terlalu sekejap rasanya kegembiraan itu bertapak di dalam diri.
Kerinduan untuk berpuasa bersama-sama keluarga,
cuma bertahan beberapa hari.
Akhirnya, momen yang diharapkan tidak terlaksana jua.
Bukan sebab aku berada jauh dari rumah.

Cuma...
Rupa-rupanya Allah merancang sesuatu yang lain.
Dibawa keluargaku jauh dari rumah.
Terpaksa berjauhan. Berpecah-pecah.
Sudah seminggu Umi dan Kaklong berada di hospital.
Menjaga Abah dengan kudrat yang ada.
Kalau di negeri sendiri,
mudah pula dijenguk.
Tak perlu bersusah payah mengharungi perjalanan berjam-jam.

Aku dan Abangngah di rumah. Kakra pula, di asramanya.
Bila akan berakhir?
Oh, lambat lagi. 
Berkemungkinan besar, 
raya nanti pun di hospital.

Itu pun....
kalau ada raya buat kami sekeluarga.

RABU 
9 JULAI 2014

Wanariahamiza

Jumaat, 4 Julai 2014

INSPIRASI RAMADAN #12

6 RAMADAN 1435H

Ada sesuatu yang cukup menggembirakan saya pada permulaan Ramadan kali ini. Banyak yang lain, banyak yang berubah. Permulaan bahagia yang diharapkan berterusan sampai bila-bila. Namun kegembiraan ini memang milik Allah. Dipinjamkan hanya untuk sehari dua.

Terasa begitu beratnya Ramadan kali ini. Banyaknya ujian yang abah hadapi. Tiga hari lepas, abah terpijak kaca. Berdarah kakinya. Mujur lukanya tidak dalam. 

Kelmarin, abah pulang awal dari tempat kerja. Kehendaknya mahu makan bubur lambuk membuatkan abah ke sebuah kawasan semak sendirian, mencari pucuk paku. Tidak sampai sepuluh minit, abah pulang semula ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Minta air kelapa muda untuk diminum dan disiram pada badan.

Abah tersepak sarang tebuan tanah. Kaki, belakang badan, tangan bengkak-bengkak. Bisanya, sakitnya, hanya Abah yang rasa. Cepat-cepat bawa abah ke klinik, dapatkan suntikan dan ubat-ubatan. Malamnya, bengkak surut. Namun sakitnya masih bersisa. 

Pada asalnya, abah memang sudah tidak mahu ke tempat kerja. Namun, kesakitan yang hilang membuatkan abah mengubah keputusannya. Malam itu abah pergi kerja juga. Ketika bersalaman dengan abah, masih jelas kelihatan bengkak pada tangannya.

Pagi semalam sekitar jam 9.00 pagi, kami dikejutkan dengan panggilan daripada Hospital Dungun. Seorang lelaki memaklumkan abah sedang berada di hospital setelah terlibat dalam kemalangan. Allahuakbar! Kaklong segera pulang semula dari tempat kerja. Umi dan Abangngah bersiap-siap untuk ke Terengganu. Kata pihak hospital, abah tak dapat dirawat di Hospital Dungun dan terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Terengganu tetapi masih menunggu ketibaan keluarga. 

Saya terpaksa tinggal di rumah. Ada urusan yang tak dapat dielakkan. Berbuka sendirian. Mujur ada ihsan jiran, memberikan juada berbuka untuk saya. Sehingga petang semalam, abah masih tidak begitu bertenaga. Sekadar menyahut perlahan apabila dipanggil.


Hari ini, Abangngah balik semula ke Kuantan. Mengambil keperluan diri yang perlu dan menjemput adik di asrama, juga saya. Kami akan ke sana bersama-sama. Umi mungkin terpaksa berkampung berhari-hari di sana. Abah pula mungkin akan menjalani pembedahan hari ni.

Kata umi, kepala lori remuk dan bukti bergambar daripada kamera-kamera jalanan, abah dilanggar. Bukan yang melanggar.

Ya Allah.

JUMAAT
4 JULAI 2014

Wanariahamiza

Ahad, 29 Jun 2014

INSPIRASI RAMADAN #11

1 RAMADAN 1435H

Ada sesuatu yang lain kali ini. Sejak 2008, puasa pertamaku pasti di asrama bersama-sama kawan-kawan. Lumrah kehidupan pelajar yang tinggal di asrama. Oh, kini masa kembali semula seperti tujuh tahun yang lalu. Ketika aku, hanya seorang pelajar sekolah rendah yang belum tahu berdikari.

Teruja, memulakan Ramadan pertama bersama-sama keluarga tercinta. Namun kerinduan tetap ada. Memori berbuka di asrama tidak akan padam. Makanan tersedia, beratur mengambil lauk, menanti waktu berbuka dengan melihat wajah-wajah taulan yang ceria. Memasuki universiti, suasana berbuka berubah lagi. Makan perlu sendiri. Iftar di masjid menjadi antara punca rezeki ketika berbuka. 

Kali ini pengalaman berpuasa lain pula. 
Bersahur di tempat kerja. Esok lusa, berbuka di sana.

***********

Terawih pertama, di sebuah surau yang banyak memorinya.
Aku lihat fizikalnya, banyak yang sudah berubah. 
Aku lihat manusianya, ada beberapa yang dicam wajahnya.
Sudah besar mereka semua.
Di situ, pernah menjadi sebahagian daripada kehidupanku.
Perca memori yang membina seorang aku.
Kini.

AHAD
29 JUN 2014

Wanariahamiza

Sabtu, 28 Jun 2014

INSPIRASI RAMADAN #10

30 SYAABAN 1345H

Sudah beberapa hari panas terik. 
Kering dan cukup menyeksakan. Katanya, fenomena El Nino.
Tempuh sahaja dengan keperitan yang masih tidak seberapa.
Panas bumi, belum panas akhirat.

Hari ini (27 Jun 2014) ada yang mencelikkan jiwa. 
Sejak Maghrib tadi hujan turun dengan lebatnya.
Tanpa henti, tidak reda-reda.
Kedinginan menyapa lembut setiap tubuh yang ada.
Betapa langit tanpa segan silu 
mencurahkan barakahnya hujan buat bumi ini. 

Mungkin demi meraikan Ramadan. 

Tatkala langit menangis,
jiwa meronta.
Sedangkan alam tahu erti hadirnya bulan mulia. 
Kita?

Ya, malam ini malam 30 Syaaban!

SABTU
28 JUN 2014

Wanariahamiza

Sabtu, 21 Jun 2014

SEPI


Semakin direnung ke dalam hati
Semakin kelam cahaya yang ditemui
Sepi
Sendiri

Wanariahamiza

Ahad, 1 Jun 2014

CELARU


"Kita sentiasa berada di dalam ruang yang selesa. Hakikat dunia, banyak lagi pancaroba di luar sana. Lihatlah ke luar jendela, hadapi dengan kekuatan jiwa."

Benar, sangat payah. Semakin susah dan semakin besar cabarannya. Sedari awal, terasa banyak yang sudah dipermudahkan. Namun entah kenapa kemudahan yang ada semakin tipis, nipis dan terus terhakis. Genap sebulan. Masih mampu bertahan. 

Sepatutnya, semuanya biasa-biasa. Macam dulu, macam tempoh hari. Tiga belas hari pertama yang cukup membanggakan. Tiga belas hari yang sangat berkesan. Tetapi terasa ada sesuatu yang tidak kena selepas itu.  Ada yang mengganggu. Ada sesuatu yang bercelaru. Apabila wujudnya golongan yang taksubkan kuasa, juga golongan yang tamak. Entah apa yang dikejarkan pun, tak tahulah.

Kebajikan tidak dipedulikan. Keselamatan tidak diendahkan. Yang dia tahu, permintaan berbentuk desakan. Kasihan dengan mereka. Kelihatan cukup terseksa. Merungut sini sana. Urusan yang sepatutnya dilaksanakan, terabai, tidak terurus dan langsung kacau-bilau.

Ya, kena ada yang bangkit! Berikan dia kesedaran. 
Manusia bukan robot.

Wanariahamiza

Selasa, 27 Mei 2014

ULASAN BUKU: LANGIT RUNTUH (DAYANGKU MASTURA)



JUDUL: LANGIT RUNTUH
NO ISBN: 978-967-430-168-2
PENULIS: DAYANGKU MASTURA
JENIS: KUMPULAN CERPEN 
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 120
HARGA: SM RM20 / SS RM25
NO RESIT: ITBM02000393

LANGIT RUNTUH: KEMATANGAN WATAK-WATAK
Oleh: Wan Muhammad Hanif bin Wan Abd Hamid

Percikan warna merah seolah-olah darah dengan kesan cakaran sudah cukup untuk menggambarkan tragisnya kisah yang dibawa dalam buku ini. Pemenang hadiah saguhati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH kategori kumpulan cerpen ini memilih Langit Runtuh sebagai judul bukunya. Maka, langit yang seluruh mahkluk tahu berwarna biru muda cair telah digambarkan dengan sesuatu yang cukup kontra, mengatasi had pemikiran kita yang sepatutnya. Juga, frasa "Langit Runtuh" sendiri memperlihatkan satu keadaan yang berada di luar jangkaan kita. Langit, tanda kebesaran Ilahi berada di ruangan angkasa tanpa tiang dan sokongan. Namun, akhirnya langit itu runtuh!

Buku ini memuatkan sepuluh buah cerpen yang diadun sebati, dekat dengan diri penulis yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu. Kisah-kisah yang dibawakan menuntut pembaca untuk berfikir berkali-kali tentang mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan. Terdapat dua keistimewaan yang penulis tonjolkan dalam buku ini. Pertama, memandangkan hampir keseluruhan cerpen menggunakan latar di kepulauan Borneo, penulis banyak menggunakan istilah, loghat atau lebih tepat dialek warga Sabah dan Sarawak dalam penulisannya. Di akhir cerita, glosari disediakan bagi memberi kefahaman kepada para pembaca. Kedua, penulis dengan cukup bijaksana dan begitu teliti telah mencanai unsur-unsur alam yang cukup indah bagi digubah dan dikarang sebuah cerpen yang cukup bermakna.  Penulis cukup mahir memanfaatkan unsur alam yang ada, sehinggakan empat buah cerpennya dijudulkan menggunakan unsur alam iaitu Gerhana, Kelekatu, Langit Runtuh dan Tanah dan Air.

Kebanyakan cerita yang disampaikan juga, mendesak pembaca untuk membacanya dengan emosi dan penuh perasaan. Rasanya, tiada satu pun cerpen yang diakhiri dengan kegembiraan. Semuanya membawa pengakhiran yang sedih, diulit penyesalan dan penutup yang tidak diduga. Jadi, saya kira buku ini cukup berat untuk dihadami setiap satu cerpen yang ada. Saya cukup tertarik dan menggemari cara penulis mengolah bahasanya, dikaitkan dengan alam semula jadi, dan disimbolikkan pula kepada kehidupan manusia. Secara keseluruhan, buku ini memperkenalkan watak-watak yang diuji kematangan diri mereka. Watak dewasa yang digugah dengan kegoyahan nilai jati diri serta pegangan sehingga menjadikan kematangan mereka tertimbus oleh perasaan, nafsu dan gelora hati yang tidak menentu. Penulis berjaya menghimpunkan sepuluh buah cerita kehidupan dengan satu tapak yang kukuh, iaitu budaya.

Cerpen Asun menjadi pembuka tirai yang cukup baik. Sebuah cerita yang pada saya, paling mudah difahami dan dihadami sebelum meneruskan layar pembacaan cerpen-cerpen berikutnya yang mendesak sanubari untuk turut menyelami watak sedalam-dalamnya. Plot penceritaan biasa yang membawa konflik antara seorang guru dengan muridnya.  Namun, keistimewaan cerpen Asun ialah pada latar kehidupan seorang guru yang bukan  seperti guru-guru biasa. Kematangan Ain sebagai seorang guru mula tergugat apabila dia ditempatkan ke sebuah sekolah yang jauh di pedalaman. Melihatkan keadaan yang serba daif, Ain didesak perasaan sendiri untuk melihat anak muridnya sempurna, dalam aspek pembelajaran mahupun pemakaian. Namun, keadaan dan situasi di tempat tersebut bukanlah seperti yang diharapkan. Cerpen ini cukup sarat mesej berdasarkan polemik penempatan para pendidik baharu ataupun lama yang sering menjadi masalah pada masa kini. Penulis cuba untuk memperlihatkan pengorbanan seorang guru yang sanggup ke lembah mana sekalipun demi ilmu yang mahu dicurahkan. Juga, penulis memberi peringatan kepada para pendidik supaya kembali sedar dan celik tentang maksud dan peranan guru sebenar, serta tanggungjawab yang digalas di atas bahu.

Cerpen Gerhana dan cerpen Hanya Sebaris Ayat, dua kisah berbeza namun dengan tonggak yang sama-manusia mudah hilang pegangan diri lalu bertindak seperti kebudak-budakan. Watak-watak yang diperkenalkan turut menonjolkan sifat kematangan diri yang goyah apabila wujudnya medium luar yang cuba mempengaruhi fikiran. Cerpen Gerhana menuntut pembaca untuk bersifat terbuka dan bersyukur dengan segala rezeki yang telah diperolehi. Cerpen Gerhana diolah dengan latar masa kurang 24jam. Seorang peraih ikan yang mahu hidupnya berubah telah membuat keputusan untuk sama-sama mengikut jejak masyarakat yang mudah hilang pedoman akibat tawaran wang yang beribu-ribu ringgit. Watak 'Dia' digambarkan sebagai seorang lelaki yang penat dengan kehidupan miskinnya dan mahukan perubahan yang serta-merta. Maka, dia turut serta mencari cicak Tokek yang menjadi kegilaan masyarakat untuk masa dan ketika itu. Mudahnya pegangan diri seorang manusia berubah, apabila didesak oleh persekitaran. 'Dia' akhirnya berjaya menjumpai seekor cicak Tokek, namun menerima padah yang cukup mengerikan.

Hanya Sebaris Ayat sekali lagi menonjolkan watak 'Dia' tetapi kali ini sebagai seorang bilal yang lalai dan alpa terhadap tanggungjawabnya. Kegilaan dan percambahan rasa cinta terhadap Cikgu Aliza yang dilihat selalu melalui kawasan tersebut tidak dapat dibendung. Cinta bertepuk sebelah tangan, dengan perasaan yang membuak-buak. Cerpen ini memperlihatkan sikap manusia yang juga mudah berubah apabila pegangan jati diri itu lemah. Tidak kira siapapun orang itu, pangkat apapun dia, apabila lemah jati dirinya, maka segala-galanya akan mudah goyang dan terumbang-ambing. 'Dia' yang dikaburi perasaan cinta, kuat pegangan agamanya, akhirnya tewas dengan hasutan kawannya, juga syaitan yang tidak jemu-jemu menyesatkan manusia. 'Dia' dengan pemikiran kontot akhirnya memilih untuk mensyirikkan Allah demi cinta yang cuba dicari dan diraih daripada Cikgu Aliza.

Cerpen Kayuhan Kasih mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang dan juga kesetiaan yang begitu utuh dalam jiwa seorang manusia. Seorang atuk yang berkorban jiwa dan raganya, demi seorang cucu yang bakal memulakan alam persekolahan. Hanya dengan rezeki daripada kayuhan beca usang, dia terus gigih dan tabah demi cucu tercinta. Dia yang mewarisi pekerjaan mengayuh beca, cukup kuat dan cuba mempertahankan pekerjaan yang menjadikan dia dan keluarganya mampu membesar dan mempunyai kehidupan yang sempurna di atas muka bumi ini. Peritnya kayuhan demi sesuap nasi dengan pendapatan yang tidak seberapa, melawan kemodenan yang semakin menghakis rezeki hasil daripada kayuhan, diceritakan satu persatu dalam cerpen ini. Cerpen yang mengangkat kenderaan warisan ini sebenarnya cuba memperkenalkan dan cuba menceritakan perihal beca yang entah dikenali atau tidak oleh generasi kini. Dunia yang mengejar masa, mungkin melupakan beca. Lambat dan lembap. Namun, tanpanya tidak mungkin wujud inovasi kenderaan seperti yang kita  miliki hari ini.

Cerpen Kelekatu, Langit Runtuh dan Rasung dan Royang pula berkisah tentang adat dan budaya oleh penduduk warga Borneo yang semakin pupus dan tidak lagi diamalkan. Kedua-dua cerpen ini  cukup unik dan penuh ilmu baharu buat pembaca yang sememangnya anak jati di semenanjung Malaysia. Cerpen Kelekatu menggambarkan suasana bermukun iaitu suatu adat yang diamalkan untuk bersuka ria. Pembaca dapat merasai kemeriahan dan keseronokan pesta mukun  apabila penulis dengan cukup teliti memahami dan berjaya mengolah cerpen tersebut sehingga membuatkan pembaca mampu berimaginasi tentang apa yang sedang berlaku. Kelekatu disimbolikkan sebagai kebergantungan manusia terhadap sesuatu. Watak 'Dia' seorang pengamal adat dan budaya ini, memperoleh jodohnya melalui adat ini, akhirnya berdendam dan memusuhi adat ini. Semuanya angkara kematian anak dan menantunya yang kemalangan semasa hendak menghadiri cara bermukun. Lebih perit, cucunya kini menabur hasrat untuk menyertai kumpulan mukun yang baginya sesuatu yang amat merisaukan. Kerana sumpahan mukun sudah menguasai keluarganya.


Sumber gambar: kampungtellian.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Adat Bermukun

Cerpen Langit Runtuh pula mengisahkan Antom yang cuba mempertahankan adat dalam memulakan sebuah mahligai perkahwinan oleh masyarakat Iban. Cinta terhadap manusia yang bersulam adat, membuatkan dia sanggup menunggu Gina menghabiskan pengajiannya, dalam masa yang sama dia mengumpulkan barang hantaran untuk proses peminangan Gina nanti. Istilah barian digunakan bermaksud hantaran kahwin. Dalam adat yang diceritakan, hantaran kahwin yang digunakan bukanlah hantaran kahwin  moden, iaitu wang dan barang-barang berjenama sebagai hadiah. Namun mereka menggunakan tajau lama  (seperti dalam gambar di bawah) iaitu binungkul dan tiluan. Kedua-dua jenis tajau ini ialah tajau lama yang semakin sukar dicari dan sudah semakin sedikit bilangan keluarga yang memiliki dan menyimpannya. Pemberian tajau sebagai hantaran kahwin melambangkan kekayaan adat mereka yang dipegang, seterusnya menunjukkan betapa sukarnya menjaga dan mempertahankan adat. Pinangan wakil Antom, Ampal terhadap Gina ditolak, menyebabkan Antom dikuasai dan kerasukan jiwa yang gila. Dia hilang kewarasan sehingga cuba meracuni seluruh ahli keluarga Gina. Namun, berita daripada Ampal tentang keluarga Gina yang mahu berunding semula tentang pinangan tersebut meragut jiwa Antom yang sedang bersuka ria dengan dendam yang baru sahaja dilunaskan.


Sumber gambar: www.utusan.com.my
Baca selanjutnya di sini: Tajau Lambang Kekayaan Iban

Cerpen Rasung dan Royang melalui judulnya sahaja sudah diketahui, bahawa rasung dan royang merupakan sejenis alatan dalam adat dan budaya. Rasung ialah lingkaran logam yang dipakai di betis dan royang ialah lingkaran logam yang dipakai di tangan. Adat ini diamalkan oleh gadis Bidayuh sebagai lambang kedewasaan dan keberanian. Penulis turut mengangkat tema warisan, adat dan budaya yang semakin dilupakan lagi. Pemakaian rasung dan royang dianggap kolot dan adat lapuk ini menyakitkan serta menyeksa diri sendiri. Watak seorang tua yang kecewa dengan anaknya yang tidak mahu meneruskan adat ini sedari kecil cukup menghibakan. Adat dan budaya yang begitu berharga ini ditinggalkan, malah dia yang masih memakai rasung dan royang juga diketepikan oleh anaknya sendiri. Turut diselitkan suasana kemeriahan si tua semasa tinggal di rumah panjang. Keakraban, kemesraan dan kesatuan yang diamalkan juga hilang apabila dia dibawa oleh anaknya untuk tinggal di rumah moden. Barangan logam, merupakan lambang kekayaan masyarakat ini dahulu. Namun, apabila adat dan budaya merentasi kemodenan, semuanya menjadi karut, tetapi masih ada yang setia mempertahankan budaya dan adat tersebut. Cerpen ini mengangkat watak golongan muda yang tidak tahu dan tidak mahu menghargai warisan adat dan tradisi peninggalan nenek moyang. Tanpa adat dan tradisi, pasti masyarakat itu tidak bernama manusia.


Sumber gambar: myhomeniaga.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Tradisi Yang Bakal Pupus

Cerpen Merangkul Rindu dan cerpen Tanah dan Air, dua buah cerpen yang diserikan dengan aktiviti-aktiviti masyarakat setempat. Kedua-dua cerpen ini memperlihatkan kepada pembaca tentang cara, peralatan yang digunakan dan hasilnya sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di sana. Aktiviti-aktiviti yang merupakan sumber kepada pendapatan dan sumber kehidupan yang dilakukan atas tuntutan kemiskinan dan warisan yang mesti dilaksanakan. Cerpen Merangkul Rindu, tentang penuaian sarang burung-layang di Gua Gomatong. 'Dia' telah melepaskan tanggungjawab sebagai ketua penuai kepada anaknya Usin setelah kematian isterinya. 'Dia' terus menerus menabur rindu pada sebatang pokok mangga yang ditanam oleh isterinya suatu ketika lalu. Detik masa bergerak seiring dengan usianya menjadikan dia semakin tua. Namun, keegoan yang ada dalam dirinya, membuatkan dia ingin kembali melakukan aktiviti tersebut. Alatan seperti piattau dan sesungkit digunakan untuk menuai sarang burung layang-layang. Cerpen ini cukup berat dan sangat sukar untuk saya hadami. Namun, mesejnya sangat penting. Kita perlu sentiasa ingat akan keterbatasan kudrat dan tenaga kita sebagai manusia. Kadang-kala, keegoaan itu mampu membinasakan diri dan merendahkan keegoan itu merupakan sesuatu yang mampu memberi kebahagiaan.

Cerpen Tanah dan Air pula, tentang warisan pusaka membuat tajau. Sekali lagi watak pemuda ditonjolkan sebagai pemuda yang tidak menghargai warisan itu. Nilai kesyukuran terhadap perjuangan ayahnya yang mempertahankan warisan tersebut turut dipersoalkan. Dia tidak mahu mewarisi kepandaian membuat tajau, dia mahukan kehidupan yang lebih baik. Kehidupan yang tidak dilumuri tanah lumpur sehingga mengotori tangannya yang mulus. Sekali lagi latar masyarakat yang tinggal di rumah panjang diselitkan dalam cerpen ini. Cerpen Tanah dan Air ini sebenarnya mengingatkan kita sebagai manusia supaya ingat akan asal usul kita. Bersyukur dengan apa yang kita punya seadanya. Juga, peringatan sebagai manusia yang berasal dari tanah dan akhirnya tetap kembali kepada tanah, asal usul abadi manusia.

Akhir sekali cerpen Sampah. Saya cukup menggemari cerpen ini kerana sindirannya yang cukup kena kepada seluruh masyarakat kini. Olahan cerpen ini menggunakan sudut pandangan roh yang melihat jasadnya  terbujur kaku, namun kelu tidak dapat membuat apa-apa atas tindakan golongan yang menziarahinya asbab putusnya hubungan manusia dengan dunia sebaik sahaja nyawa dicabutkan daripada jasad. Jasad 'dia' seorang tukang sapu sampah, dibiarkan sendirian tanpa ada yang sudi menguruskannya. Bukan kerana jijik terhadap dia dan pekerjaannya, tetapi kerana dirinya sendiri yang penting diri. Dia penting diri dalam beribadat, tidak pernah diajak rakannya untuk turut serta beribadat bersama-sama. Dia tidak menyertai jemaah di masjid, semata-mata kerana kekurangan pada diri yang dirasakan miskin dan tidak berharta. Padahal, keihklasan itu penting dalam setiap apa yang dilakukan. Akhirnya, ada yang sudi membantu. Namun kehidupan di dunia, walau dah mati sekalipun, memerlukan wang untuk urusan itu dan ini. Amalan jariah pun berbayar. Kemiskinan, membuatkan dia sekali lagi ditinggalkan golongan tersebut. Akhirnya, hanya harapan kepada kasih Rahman dan Rahim-Nya yang dinanti. Maka, kata penulis, kerana hati manusia yang tidak bersih, manusia dan sampah tidak jauh bezanya.

Selesai kesepuluh-sepuluh cerpen diulas. Keseluruhan cerpen dengan mesej berat untuk kita semua. Penulis lebih menggemari penggunaan watak utama dengan sudut pandangan kata ganti nama diri ketiga "dia", tanpa menamakan watak tersebut. Saya kira, walaupun penulis tidak menggunakan sudut pandangan diri pertama, penulis sudah berjaya membuatkan setiap cerita itu dekat dengan diri pembaca. Gambaran suasana, olahan elemen alam semula jadi, ditulis penuh teliti dengan keindahan bahasa yang cermat dan padat.

Latar tempat dan masyarakat di kepulauan Borneo menjadi signifikan untuk hampir keseluruhan cerpen dalam buku ini. Juga deskripsi aktiviti, adat dan budaya yang sangat terperinci, memberikan ilmu baharu buat pembaca seperti saya yang berasal dari semenanjung. Banyak perkara masih belum saya faham tentang adat dan budaya di sana. Jadi, untuk pemahaman dan pandangan yang lebih jelas, telahpun saya cari maklumatnya di internet. Sesuatu yang unik dan luar biasa bagi saya. Pembaca didedahkan dengan cara kehidupan masyarakat di sana yang terlalu berharga dan tidak ternilai. Warisan budaya yang ditonjolkan dirasakan cukup dekat diri penulis. Langit Runtuh, sebuah buku tentang tradisi yang dicemari pemikiran moden masyarakat kini. Syabas dan tahniah buat Dayangku Mastura!

Wanariahamiza