Jumaat, 21 Februari 2014

JANGAN SAMPAI MATI

Sumber imej: Google

Kisah kehidupan seorang manusia, terlalu sempurna. Bermulanya daripada setitis mani yang hina, menjadi darah yang pekat, membentuk daging, dilengkapkan dengan tulang, kemudian tercipta tubuh kecil yang tidak berdosa. Selama sembilan bulan, tubuh kecil itu dipersiapkan dengan segala kekuatan. Demi menghadapi cabaran berliku di dunia, penuh kefanaan. Janji termeterai, mahu menjadi khalifah berguna dengan tanggungjawab dan harapan. 

Saat pertama menjengah dunia, maka bermulalah jihad demi agama. Laungan kalimah suci menjadi halwa telinga daripada seorang ayah perkasa. Senyuman ibu dengan titisan air mata, menjadi senjata utama yang memperkukuh iman di dada. Masa, terus berlalu seiring dengan usia. Meniarap, merangkak, bertatih dan akhirnya berdiri dan berlari. Dari situ, kematangan mula bertapak dalam diri. Masing-masing terus cuba untuk mengenali diri sendiri. Semuanya mahu dicuba. Segala-galanya mahu diteroka. Sehingga ada yang tersalah memilih jalan neraka. 

Jika hidayah dikurnia, taubat menjadi sebati dalam mencari syurga. Jika tidak, diri terus bergelumang dengan dosa-dosa. Hidup ini tidak lama. Mahu atau tidak, cepat atau lambat, kita akan kembali semula bertemu Pencipta. Maka, tubuh akan menjadi santapan tanah berjasa. Berbumbungkan langit, bertiangkan nisan, berbekalkan amalan. Menanti perhitungan untuk dianugerahkan jalan kejayaan. 

Yang benar-benar setia kepada Pencipta, tentu dianugerahkan syurga. Yang derhaka, nerakalah tempat tersedia. Begitulah rentetan kehidupan seorang manusia. Hidup, mati dan dihidupkan semula. Selama-lamanya. Al-Fatihah buat semua yang sudah bertemu Pencipta.

Buat kita yang masih berjihad di dunia, telusuri hati sendiri. Geledah keihklasan yang ada, kira-kira amalan yang ditinta dan carilah nur cahaya. Ingatlah, setiap dosa terlaksana, tinta likat pekat pasti tertompok di hati. Lama-lama, kelam sepi dan sunyi sendiri. Selagi hayat ada, nur masih boleh dicari.  Bukan sekadar dengan mulut yang berbunyi, tetapi dengan tindakan yang gigih dan berani.

Jangan sampai mati.
Hati seorang insan sejati.

Wanariahamiza

Selasa, 18 Februari 2014

CARA MUDAH UNTUK MENDAPAT PAHALA


Usai solat Isyak tadi (16 Februari 2014) , kami dihidangkan dengan satu hadis yang cukup bermakna. Kuterlupa hadis itu secara betulnya (mohon kepada yang tahu dapat membetulkanku) tetapi lebih kurang begini bunyinya.

"Nabi Muhammad SAW bertanya kepada para sahabat, jika ada sesiapa yang tidak dapat mencari 1000 pahala setiap hari. Lalu seorang sahabat bertanya, bagaimanakah caranya untuk mendapatkan 1000 pahala itu. Jawab Nabi Muhammad SAW, ucaplah Subhanallah 1000 kali setiap hari, maka kamu akan mendapat 1000 pahala."

Cukup mudah untuk kita mendapatkan pahala. Tidak memerlukan kudrat yang banyak. Walaupun hanya dengan lisan, Allah mengurniakan pahala kepada hamba-Nya. 

Maka, kuteringat perbualanku dengan dua orang sahabat ini. Perbualan yang cukup bermanfaat. Yang pertama, ketika tahun 2012. Masihku ingat, ketika itu sekitar jam 2:00 pagi. Kami berdua memang sengaja berlama-lama di kelas untuk membincangkan kisah dan citra kehidupan. Dalam perbualan itu, kami ada menyentuh tentang keikhlasan dan kerelaan.

Jadi, dia menceritakan kepadaku ketika itu tentang kerelaan dan Insyaallah keikhlasan yang cuba dia amalkan. Memandang ketika itu kami berada dalam Tingkatan Lima, kami menggunakan banyak kertas kajang. Memang kuperasan tindakannya. Dia membeli satu rim kertas dan sengaja diletakkan di atas lokernya. Kemudian, disuruh sesiapa sahaja yang mahu menggunakan kertas itu untuk mengambil sahaja tanpa perlu meminta kebenarannya.

Bukan tujuannya untuk riak dan takbur, tetapi sekadar untuk memenuhi desakanku yang menyuruhnya bercerita. Objektifnya, dia kata dia mahukan pahala percuma. Mungkin dia tidak dapat membantu banyak dalam pelajaran ketika itu, tetapi sekurang-kurang dia cuba untuk membantu orang lain mendapatkan ilmu. Sungguh, aku tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara yang sama. 

Dalam hidup ini, memang selalunya yang negatif lebih cepat menerkam minda dan fikiran. Hasad dan dengki memeluk erat diri. Kesudahannya, diri sendiri yang rugi bukan orang lain. Padahal terlalu banyak cara untuk kita mendapatkan pahala. Percuma dan mudah sahaja.

Yang kedua, kuberbual-bual dengan seorang lagi sahabat sesudah makan malam. Perbualan pada awal tahun ini sekitar jam 9:00 malam. Jika bersahabat dengannya, pasti akan diperhatikan satu tindakan yang amat jarang sekali dilakukan oleh orang lain. Apabila berjalan dengannya, dia akan mengutip sampah-sampah yang dilihat bertaburan. Aku sendiri, jarang sekali mahu dikutip sampah itu. Pasti dielak dan dibuat seolah-olah sampah itu tidak wujud di situ.

Katanya, tidak susah pun untuk mengutip sampah-sampah itu. Tunduk, ambil dan buang. Mungkin di akhirat nanti, serpihan pahala-pahala seperti inilah yang dapat membantu dan menampung pahala sedia ada untuk membuka pintu syurga kepada kita. Pernahkah kita terfikir sepertinya? Mungkin ada, namun jarang sekali.

Kuterfikir sejenak. Jika sekarang kita malu untuk menundukkan diri dan merendahkan darjat mulia seorang manusia untuk mengutip sampah yang hina, di akhirat nanti bagaimana? Masih wujudkah perasaan malu sewaktu kita meminta-minta pahala yang tidak cukup ketika dihitung? Sedangkan tindakan mudah di dunia, kita tidak mahu lakukan.

Semuanya bermula dengan hati.
Jika kita tidak mahu menolong diri sendiri,
tiada yang lain yang dapat membantu.
Pasti.

Wanariahamiza

Isnin, 17 Februari 2014

MENCARI KETENANGAN BUAT DIRI


Dalam hidup, pasti akan ada waktunya kita berada dalam kegelisahan. Tatkala itu, fikiran akan terawang-awang memikirkan masalah yang melanda. Hati menjadi gundah-gulana dan emosi menjadi tidak terkawal. Ada kala, tampang muka sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Walaupun  mulut cuba untuk berdusta sedaya upaya, usaha itu tentu sia-sia. 

Selalunya, kita mahu mencari ketenangan. Kita mahu luahkan semuanya. Kita tidak mahu menanggung duka. Yang kita buat, Facebook dan Twitter menjadi pendengar setia. Dicerita segala-galanya. Dilepaskan geram yang tersisa. Mungkin juga kita ada teman paling berjasa, yang sanggup menawarkan telinga sebagai medium curahan duka lara dan bahu sebagai tembok berkongsi hiba. 

Namun kita terlupa, kita punya Dia. Yang sedia mendengar keluhan rasa, adu sengsara dan bahagia gembira.  Setiap masa dan ketika, setiap detik tanpa terleka. Dialah yang paling setia. 

Ada masanya, luahkan kata sahaja tidak cukup. Kita lebih suka berada di tempat yang menenangkan. Mungkin di taman yang jauh dari keriuhan. Mungkin juga di sesuatu tempat yang penuh kesaujanaan. Kita mahu bersendiri, bermuhasabah diri. Jika benar ketenangan dapat dicari, mungkin tidak kekal terpahat di dalam hati. Usai kembali, masalah bertandang lagi.

Kita juga sering terlupa, kita punya tempat paling sejahtera. Rumah dan taman-taman-Nya yang sentiasa menanti kehadiran manusia. Syurga dunia yang pasti membawa ketenteraman kepada jiwa. 

Tinta alam maya ini bukan untuk sesiapa. Tinta ini ditaip buat diri yang alpa. Juga terlupa akan sesuatu yang lebih berharga dan besar nilainya. Insyaallah, kita cuba.

Wanariahamiza

Rabu, 12 Februari 2014

SEBUAH ANUGERAH BUAT INSAN SEPI


Dalam hidup ini, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik. Kita mahukan sesuatu yang sempurna! Walaupun kita sedar, kesempurnaan itu bukan kepunyaan umat manusia. Kita tahu, semua itu mustahil. Namun, kita boleh terus berusaha. Cuba dan terus mencuba. Meskipun harapan kadang kala mengecewakan.

Ditakdirkan kita berjumpa dengan seseorang yang dianggap terbaik. Sedetik kebetulan yang mempertemukan kita. Sebuah pertemuan yang mengikat persahabatan lalu membenih cinta. Maka, suburlah ukhwah yang mengakrabkan kita. 

Mendapat yang terbaik, cukup merumitkan. Sehingga perkara remeh-temeh pun mampu membuatkan diri terkesan dan kecewa. Entah mengapa, sukar dicari ketenteraman. Kita cuba untuk tidak mengendahkan perkara yang tidak penting. Tetapi cukup sukar. Perasaan ingin memiliki sentiasa menyelimuti diri. Mendakap penuh berani.

Mungkin, hanya kita yang menganggapnya sebagai anugerah yang hadir buat diri. Dia? Belum tentu. Atau cuma kita yang tidak tahu. Seboleh-bolehnya, kita tidak mahu kehilangannya. Kita tidak mahu melepaskannya. Kita tidak mahu membenarkan orang lain menghampirinya!

Kita mahukan dia. Kita perlukannya pada setiap detik dan ketika. 

Walaupun semua itu, hanya dusta semata-mata.
Kita tidak mampu memilikinya kerana dia bukan hak dan milik kita sepenuhnya.

Hanya asbab perkara yang terus berlegar dalam diri, kita yang sengsara. Kita yang merana. Cuba untuk diluahkan, namun tiada yang boleh dipercayai. Sebenarnya lebih tepat, kita yang tidak berani. Biarlah hati yang menangis, dan kata-kata yang menjadi saksi untuk kesedihan itu.

Perkara remeh yang sia-sia. Terlalu kecil untuk dirisaukan. Bukan tidak penting, cuma tidak perlu dianggap penting jika terus mengganggu emosi dan perasaan seorang insan sepi.

Untuk hidup bahagia, jaga hubungan dengan manusia jaga hubungan dengan Yang Esa. Barulah muncul ketenteraman dan ketenangan dalam jiwa. 

Sesudah kegelapan, Nur perlu dicari. Bukan dinanti untuk diterangi. 

Caranya bukan dengan menghebohkan di sini dan di sana. Bukan juga ditunjukkan dengan tingkah laku yang berbeza. Tetapi kembali kepada jalan yang sudah sahih ada cahayanya. Jalan menuju syurga.

Jika yang kecil sudah dilihat besar dan bermakna, mengapa tidak pernah dilihat dan difikirkan perkara yang lebih besar pula. Yang sebenarnya lebih menakutkan dan lebih merisaukan.

Hubungan dengan Sang Pencipta.

Insyaallah kedamaian ada di sana. 
Cuba senyum walaupun beban seberat gunung.
Demi cinta.

Wanariahamiza