Sabtu, 15 Mac 2014

ASASI UNDANG-UNDANG KPTM (PI007) DAN UITM (PI005)


#DIKEMAS KINI PADA 27 MEI 2017

Untuk mendapatkan nota, sila rujuk kepada pautan yang telah disediakan di bawah senarai subjek. Hanya beberapa nota sahaja yang ada dan bukannya semua. Terima kasih.

#DIKEMAS KINI PADA 7 MAC 2016

Tempat baharu program asasi ini ialah di Dengkil. Dinamakan Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil. Semua program asasi dipusatkan di sini termasuklah Asasi Sains, Asasi Undang-undang, Asasi Kejuruteraan dan Asasi TESL.

SYARAT AM KEMASUKAN

1. Warganegara Malaysia ; dan
2. Lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengan mendapat
sekurang-kurangnya LIMA (5) kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus
dalam mata pelajaran Sejarah (SPM 2013 dan ke atas) dalam peperiksaan SPM.

SYARAT KHAS PROGRAM 

Terbuka kepada Bumiputera Sahaja

SYARAT LAIN

1. Gred A- dalam Bahasa Inggeris
2. Kepujian Matematik / Matematik Tambahan
3. Gred A- dalam mana-mana TIGA (3) mata pelajaran lain (tidak termasuk Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris)

#Keutamaan akan diberikan kepada calon-calon yang mendapat keputusan cemerlang

MAKLUMAT UNTUK DIHUBUNGI

Pusat Asasi UiTM,
Universiti Teknologi MARA,
Cawangan Selangor,
Kampus Dengkil,
43800 Dengkil,
SELANGOR.

No Tel : +603 8924 5417(Talian umum)
No Fax : +603 8924 5634

#DIKEMAS KINI PADA 10 FEBRUARI 2016

Segala maklumat di sini bukan lagi maklumat terbaharu. Namun, masih boleh digunakan untuk rujukan kalian dan sebagai pendedahan untuk semua. Saya dimaklumkan terdapat beberapa perubahan kini.

1. Semua program Asasi Undang-Undang UiTM dan KPTM sudah dipindahkan ke kampus baharu iaitu di Dengkil (saya sendiri tak pasti di mana) bermula semester 2 2015/2016 iaitu pada 12 Disember 2015.

2. Kampus di Kuantan dan Merbok sudah ditutup. Di Shah Alam pula tiada lagi program asasi.

3. Ada beberapa subjek yang ditukar kepada subjek baharu. (Saya tiada maklumat ini).

#DIKEMASKINI PADA 9 FEBRUARI 2015

Buat adik-adik, semua ini sekadar perkongsian.

1. Jangan pernah takut untuk memilih asasi undang-undang.

Banyak kelebihan yang akan kalian ketahui nanti. Dan percayalah, bagi yang betul-betul mahu meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang, belajar elok-elok dan dapatkan keputusan yang terbaik. Bagi yang tak mahu meneruskan bidang undang-undang, tak bermakna kalian boleh belajar sambalewa. Kalian juga perlu mendapatkan keputusan yang terbaik bagi memastikan permohonan kalian untuk kemasukan program ijazah nanti dipermudahkan. Jangan risau. Tidak wajib untuk semua pelajar asasi undang-undang meneruskan pengajian undang-undang. Kalian bebas untuk memilih bidang yang kalian suka sewaktu ijazah nanti. Syaratnya, buat elok-elok semasa asasi. Sekurang-kurangnya kita dapat ilmu yang perlbagai. Saya sendiri, memilih untuk tidak meneruskan bidang undang-undang.


2. Jangan pernah takut dengan penguasaan Bahasa Inggeris kalian yang lemah.


Kalian akan berada dalam persekitaran yang akan menggalakkan kalian untuk berbahasa Inggeris. Biarlah berterabur, yang penting akan wujud keyakinan untuk kalian menggunakan bahasa tersebut. Jangan fikir orang lain terlalu hebat apabila menggunakan Bahasa Inggeris. Kalian juga boleh, walau tak hebat, sekurang-kurangnya kalian akan menggunakan juga bahasa Inggeris untuk pembentangan dan proses pembelajaran. Tiada masalah. Hanya kalian, nak atau tidak.

3. Jangan pernah takut dengan jumlah subjeknya yang banyak.

Kalau dilihat banyak, memang banyak. Nak pusing macam mana pun, tetap banyak. Tapi percayalah, hanya satu dua yang sedikit mencabar. Yang lain, kalau fokus dan belajar lebih sedikit, tentu boleh jawab juga. Mungkin ada subjek yang kalian tak minat langsung. Jangan risau, teruskan sahaja. Tak akan ada orang yang gagal kerana berusaha kan? Jadi, jumlah subjek bukanlah masalah besar.

4. Jangan fikir kalau gagal, kalau tak lepas, kalau tak layak

Memanglah asasi sedikit mencabar. Syaratnya juga agak ketat. Sebab itu asasi ini hanya untuk jangka masa yang pendek. Jadi, kalau sudah tahu lemah di satu dua bahagian nanti, tentu kalian sendiri sudah tahu dan boleh mengagak. Oleh itu, berusaha lebih sedikit untuk bahagian yang lemah itu. Jangan biarkan diri kalian menggagalkan peperiksaan yang akan diambil. Sekurang-kurangnya, letakkan target untuk lulus (lagi elok cemerlang atau baik) bagi memastikan keputusan keseluruhan nanti tidak terjejas dan memudahkan urusan mendatang.

#DIKEMAS KINI PADA 23 MEI 2014

Saya akan kongsikan sedikit info tentang program Asasi Undang-undang yang ditawarkan di UiTM. Terdapat tiga buah kampus asal yang menempatkan pelajar-pelajar asasi ini iaitu di Shah Alam, Kuantan dan Merbok Kedah. Namun bermula 12 Disember 2015, semua program asasi dipindahkan dan dipusatkan di Dengkil. Program ini terbahagi kepada dua. Pertamanya ialah Asasi Undang-undang KPTM PI007  kod UPU E0600 (Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia) dan yang kedua ialah Asasi Undang-Undang UiTM PI005 kod UPU E0600. 

Bezanya, program asasi dengan kod PI007 boleh memohon mana-mana universiti lain setelah tamat program asasi kelak. Program asasi dengan kod PI005 (kod UPU E0601) pula hanya boleh meneruskan pengajian di UiTM sahaja melalui sistem serapan setelah tamat asasi kelak.

Untuk kedua-dua program asasi ini, semua pelajar akan menerima elaun berjumlah RM2400+ persemester. Apabila ditolak dengan yuran kolej dan yuran pengajian, tinggallah RM1900+ untuk digunakan sepanjang tempoh hampir empat bulan bagi satu semester.

Bagi pelajar-pelajar PI007 yang mahu meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang, syarat yang wajib dipenuhi adalah dengan memperoleh gred CGPA 3.5 ke atas, MUET band 4 dan lulus temu duga yang diadakan manakala untuk pelajar-pelajar PI005, syarat yang perlu dipenuhi ialah memperoleh gred CGPA 3.0 ke atas, MUET band 4 dan lulus temu duga. Untuk kedua-dua program, hanya empat subjek undang-undang akan dikira bagi menentukan gred CGPA pada akhir program asasi (mana-mana empat terbaik) dengan syarat tiada subjek yang gagal bagi subjek-subjek yang tidak dikira.

Untuk mendapatkan gred CGPA 3.5 ke atas bukanlah susah. Hanya perlukan usaha yang lebih sistematik tentang cara pembelajaran dan cara memahami soalan. Lagipun, sebelum peperiksaan akhir, 40% sudah pun boleh diperoleh dengan cara menyiapkan tugasan-tugasan dan pembentangan. Syaratnya, siapkan tugasan betul-betul. Insyaallah pensyarah boleh memberikan markah terbaik. Lagi 60% pula perlu dikutip dalam peperiksaan akhir nanti.
____________________________________________________________

Saya rumuskan subjek-subjek yang akan dipelajari.

SEMESTER 1:

1. ELC 080 – English for Foundation Studies I
Subjek ini lebih menekankan cara untuk menjawab MUET, termasuk pembacaan, pendengaran dan penulisan

2. ELC 091 –Critical Reading and Reasoning for Foundation Studies 
Subjek ini pula tentang cara menganalisis artikel secara kritikal. Subjek ini tidak termasuk dalam peperiksaan akhir semester.

3. CSC 134 – Computer and Information Processing
Subjek ini tentang komputer. Lebih kepada pembelajaran asas-asas komputer termasuklah komponen yang ada dan perkara-perkara paling asas tentang komputer.

4. CTU 085 – Tasawwur Islam
Satu-satunya subjek dalam Bahasa Melayu. Lebih kurang subjek Pendidikan Islam, cuma lebih mendalam sedikit.Salah satu tugasan yang perlu dilakukan ialah hafazan Surah Al-Mulk.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBeUd0NVlBcTVrTUU?usp=sharing

5. LAW 012 – Introduction to Law I
Subjek ini tentang asas-asas undang-undang. Lebih mementingkan kefahaman. Mudah untuk dijawab soalan peperiksaanapabila faham sesuatu kes.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBSGVFbEZZVDZRYVU?usp=sharing

6. LAW 016 – Introduction to Malaysian System of Government and Politics
Subjek ini pula lebih kepada sistem pentadbiran di Malaysia, termasuk parlimen, kuasa Yang-Di Pertuan Agong dan sejarah Malaysia.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBeTJsbDFKc2N6aHc?usp=sharing

7. LAW 038 – Legal Reseacrh and Information Processing Skills
Subjek ini pula tentang cara melakukan pencarian info berkaitan undang-undang yang ada di Malaysia.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBQURHWHdjcjFTZzA?usp=sharing

SEMESTER 2:

1. ELC 092 – Communicative Skills for Foundation Studies
Tiga tugasan perlu disiapkan untuk subjek ini. Pengucapan awam, debat dan forum. Tidak ada peperiksaan akhir semester untuk subjek ini.

2. ELC 093 – Academic Writing for Foundation Studies
Dalam subjek ini pula, dua tugasan penulisan esei perlu disiapkan, termasuk satu ujian pertengahan semester. Namun, tidak ada  peperiksaan akhir semester juga untuk subjek ini.

3. CTU 086– Asas-asas Syariah
Subjek yang mudah juga. Ditekankan tentang asas-asas syariah yang sudah dipelajari semasa di sekolah dahulu. Untuk semseter dua, surah as-Sajaddah mesti dihafal.

4. ECO 099 – Introduction to Economics
Subjek ini tentang pengenalan kepada asas-asas ekonomi.Tidak begitu sukar, lebih kepada pembacaan graf dan kefahaman sahaja.
5. LAW 037 – Introduction to Law II 
Lebih kurang sama seperti subjek LAW038. Cuma lebih ditekankan jenis-jenis undang-undang yang ada.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBM25TbEVlXzljcUk?usp=sharing

6. LAW 039 – Introduction to Social Psychology and Criminology
Subjek ini tentang psikologi. Memerlukan kefahaman yang cepat dalam subjek ini tetapi apa yang dipelajari sangat menarik.

Notahttps://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBbk1oTWtxMjI5Qzg?usp=sharing

7. LAW 087– Introduction to Law III
Dalam subjek ini, ada tiga jenis undang-undang yang akan dipelajari. Undang-undang Jenayah, Undang-undang Tort dan Undang-undang Kontrak.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBX3lDaDNyNzgxdFE?usp=sharing

8. LAW 088– Contemporary Global And Legal Issues
Dalam subjek ini pula, lebih kepada pembelajaran tentang isi-isu semasa dan antarabangsa.

Nota: https://drive.google.com/drive/folders/0B795_INcogMBMG93QWVNNmtqUWc?usp=sharing

_________________________________________________________

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan semasa mengikuti program Asasi Undang-undang di UiTM.

+ Anugerah kecemerlangan bagi mereka yang memperoleh gred CGPA 3.5 ke atas atau dikenali sebagai Anugerah Dekan.

+ Lawatan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Semua pelajar asasi terlibat. Kami dibenarkan untuk melihat sendiri proses perbicaraan sebenar kes-kes di mahkamah tersebut.

+ Majlis makan malam untuk pelajar-pelajar asasi.Ketika majlis ini jugalah, anugerah kecemerlangan turut diberikan.

+ Menyiapkan tugasan melakonkan keadaan sebenar di dalam mahkamah. Semuanya perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul. Pakaian juga perlu mengikut pakaian sebenar hakim, peguam dan lain-lain.

+ Hari sukan asasi. Pelbagai aktiviti sukan yang ada untuk disertai oleh pelajar-pelajar asasi dan pertandingan adalah mengikut kelas. 

Banyak lagi aktiviti lain yang boleh disertai. Dalam kehidupan ini, tiada yang mudah. Semuanya perlu berasakan usaha gigih seseorang. Kemudian, barulah kejayaan boleh dikecapi. Insyaallah. Selamat berjaya adik-adik yang bakal menempuh alam ilmu yang lebih luas kelak! 


Isnin, 10 Mac 2014

KAPTEN NORUDIN ABD MAJID: PERBINCANGAN SECARA SPIRITUAL TENTANG MH370

Kapten Norudin

Saya berkesempatan menonton perbincangan khas di TV3 pada jam 9.00-9.30 malam tadi. Bagi saya perbincangan yang sangat berguna dan lain daripada yang semua sedang fikirkan. Sebelum tu, saya tegaskan di sini.

SAYA BUKANLAH PAKAR. 
Saya cuma berkongsi apa yang saya rasa memandangkan perbincangan tadi juga disiarkan secara umum dan SEMUA ORANG TAHU.

Kapten Norudin Abd Majid merupakan orang pertama yang membawa balik pesawat jenis Boeing 777 (jenis pesawat MH370) ke Malaysia. Beliau berpengalaman luas dan sangat arif tentang pesawat tersebut.

Ayuh kita fikirkan bersama-sama. Apabila ditanya oleh pengacara tentang komen terhadap tragedi ini, jawab kapten pesawat itu memang 100 peratus hilang. Hilang tanpa dapat dikesan langsung oleh beberapa alat-alat yang ada (ada dinyatakan, cuma saya terlupa). Katanya lagi, kalau satelit yang ada boleh mengesan orang yang menaiki basikal dan mengetahui siapakah orang itu, sangat mustahil jika satelit tidak berjaya mengesan pesawat besar yang melalui ruangan udara.

Saya begitu tertarik apabila melihat reaksi pengacara yang mula membuka soalan kepada kapten dalam keadaan yang agak tidak teratur. Pengacara cuba bertanya jika teknologi dan kaedah saintifik juga masih belum menemukan pesawat yang hilang, apakah ada kemungkinan lain yang kapten fikirkan?

Pengacara seolah-olah sangat ingin mengetahui sesuatu daripada kapten. Maksud saya sesuatu yang di luar fikiran logik manusia. Jika kalian perasan, pengacara cuba sedaya upaya mengatur ayat yang terbaik supaya perbincangan mereka dilihat ilmiah dan bukan di luar skop perbincangan.

Namun, pengacara akhirnya ada meluahkan dan meminta pandangan daripada kapten daripada aspek yang berbeza. Lebih kurang begini kata-kata pengacara, 

"Jika penonton perasan dan melihat personaliti kapten, kapten memulakan bicaranya dengan basmalah. Dan jika penonton berada di studio, penonton pasti dapat bau minyak atar yang kuat."

Yang saya faham, pengacara cuba menyampaikan dan cuba mengandaikan bahawa kapten merupakan seorang yang sangat menjaga agamanya. Juga, pengacara cuba meminta pandangan daripada seorang yang tinggi ilmunya, dan bukan sekadar seorang juruterbang semata-mata.

Jawab kapten: Segala-galanya dengan kuasa Allah. Tetapi Insyaallah dengan cara-cara tertentu dan oleh orang-orang tertentu, pasti akan dijumpai semula. 

Pengacara kemudiannya memotong dan mengunci jawapan kapten lalu bertanya lagi, jika pesawat itu 'hilang' dan kapten menyatakan boleh dijumpai semula, dengan 'cara' apakah dan siapakah 'orang-orang' tertentu itu?

Jawab kapten lebih kurang begini. Orang-orang yang tinggi ilmunya dan dengan cara-cara seperti berdoa dan mengadakan solat hajat.

Banyak lagi yang dibincangkan, cuma itu sahaja yang saya ingin kongsikan. Pengacara akhirnya membuat kesimpulan bahawa semuanya perlu menerima qada' dan qadar Allah. Juga meneruskan usaha berdoa untuk keselamatan MH370. Semoga usaha pencarian bakal menemui penamatnya kelak. Insyaallah. Amin.

Maka, sekali lagi saya menegaskan.
SAYA BUKAN SESIAPA DAN TIDAK CUBA-CUBA MEREKA CERITA.
APA YANG SAYA KONGSIKAN INI PULA SUDAH DISIARKAN SECARA UMUM DALAM TV3. MUNGKIN SEDIKIT BERBEZA, TETAPI MESEJNYA SAMA.

Boleh tonton video perbincangannya di sini. Cuma video ini sudah dipendekkan berbanding durasi sebenar yang hampir 30 minit.


Wanariahamiza