Selasa, 27 Mei 2014

ULASAN BUKU: LANGIT RUNTUH (DAYANGKU MASTURA)



JUDUL: LANGIT RUNTUH
NO ISBN: 978-967-430-168-2
PENULIS: DAYANGKU MASTURA
JENIS: KUMPULAN CERPEN 
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 120
HARGA: SM RM20 / SS RM25
NO RESIT: ITBM02000393

LANGIT RUNTUH: KEMATANGAN WATAK-WATAK
Oleh: Wan Muhammad Hanif bin Wan Abd Hamid

Percikan warna merah seolah-olah darah dengan kesan cakaran sudah cukup untuk menggambarkan tragisnya kisah yang dibawa dalam buku ini. Pemenang hadiah saguhati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH kategori kumpulan cerpen ini memilih Langit Runtuh sebagai judul bukunya. Maka, langit yang seluruh mahkluk tahu berwarna biru muda cair telah digambarkan dengan sesuatu yang cukup kontra, mengatasi had pemikiran kita yang sepatutnya. Juga, frasa "Langit Runtuh" sendiri memperlihatkan satu keadaan yang berada di luar jangkaan kita. Langit, tanda kebesaran Ilahi berada di ruangan angkasa tanpa tiang dan sokongan. Namun, akhirnya langit itu runtuh!

Buku ini memuatkan sepuluh buah cerpen yang diadun sebati, dekat dengan diri penulis yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu. Kisah-kisah yang dibawakan menuntut pembaca untuk berfikir berkali-kali tentang mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan. Terdapat dua keistimewaan yang penulis tonjolkan dalam buku ini. Pertama, memandangkan hampir keseluruhan cerpen menggunakan latar di kepulauan Borneo, penulis banyak menggunakan istilah, loghat atau lebih tepat dialek warga Sabah dan Sarawak dalam penulisannya. Di akhir cerita, glosari disediakan bagi memberi kefahaman kepada para pembaca. Kedua, penulis dengan cukup bijaksana dan begitu teliti telah mencanai unsur-unsur alam yang cukup indah bagi digubah dan dikarang sebuah cerpen yang cukup bermakna.  Penulis cukup mahir memanfaatkan unsur alam yang ada, sehinggakan empat buah cerpennya dijudulkan menggunakan unsur alam iaitu Gerhana, Kelekatu, Langit Runtuh dan Tanah dan Air.

Kebanyakan cerita yang disampaikan juga, mendesak pembaca untuk membacanya dengan emosi dan penuh perasaan. Rasanya, tiada satu pun cerpen yang diakhiri dengan kegembiraan. Semuanya membawa pengakhiran yang sedih, diulit penyesalan dan penutup yang tidak diduga. Jadi, saya kira buku ini cukup berat untuk dihadami setiap satu cerpen yang ada. Saya cukup tertarik dan menggemari cara penulis mengolah bahasanya, dikaitkan dengan alam semula jadi, dan disimbolikkan pula kepada kehidupan manusia. Secara keseluruhan, buku ini memperkenalkan watak-watak yang diuji kematangan diri mereka. Watak dewasa yang digugah dengan kegoyahan nilai jati diri serta pegangan sehingga menjadikan kematangan mereka tertimbus oleh perasaan, nafsu dan gelora hati yang tidak menentu. Penulis berjaya menghimpunkan sepuluh buah cerita kehidupan dengan satu tapak yang kukuh, iaitu budaya.

Cerpen Asun menjadi pembuka tirai yang cukup baik. Sebuah cerita yang pada saya, paling mudah difahami dan dihadami sebelum meneruskan layar pembacaan cerpen-cerpen berikutnya yang mendesak sanubari untuk turut menyelami watak sedalam-dalamnya. Plot penceritaan biasa yang membawa konflik antara seorang guru dengan muridnya.  Namun, keistimewaan cerpen Asun ialah pada latar kehidupan seorang guru yang bukan  seperti guru-guru biasa. Kematangan Ain sebagai seorang guru mula tergugat apabila dia ditempatkan ke sebuah sekolah yang jauh di pedalaman. Melihatkan keadaan yang serba daif, Ain didesak perasaan sendiri untuk melihat anak muridnya sempurna, dalam aspek pembelajaran mahupun pemakaian. Namun, keadaan dan situasi di tempat tersebut bukanlah seperti yang diharapkan. Cerpen ini cukup sarat mesej berdasarkan polemik penempatan para pendidik baharu ataupun lama yang sering menjadi masalah pada masa kini. Penulis cuba untuk memperlihatkan pengorbanan seorang guru yang sanggup ke lembah mana sekalipun demi ilmu yang mahu dicurahkan. Juga, penulis memberi peringatan kepada para pendidik supaya kembali sedar dan celik tentang maksud dan peranan guru sebenar, serta tanggungjawab yang digalas di atas bahu.

Cerpen Gerhana dan cerpen Hanya Sebaris Ayat, dua kisah berbeza namun dengan tonggak yang sama-manusia mudah hilang pegangan diri lalu bertindak seperti kebudak-budakan. Watak-watak yang diperkenalkan turut menonjolkan sifat kematangan diri yang goyah apabila wujudnya medium luar yang cuba mempengaruhi fikiran. Cerpen Gerhana menuntut pembaca untuk bersifat terbuka dan bersyukur dengan segala rezeki yang telah diperolehi. Cerpen Gerhana diolah dengan latar masa kurang 24jam. Seorang peraih ikan yang mahu hidupnya berubah telah membuat keputusan untuk sama-sama mengikut jejak masyarakat yang mudah hilang pedoman akibat tawaran wang yang beribu-ribu ringgit. Watak 'Dia' digambarkan sebagai seorang lelaki yang penat dengan kehidupan miskinnya dan mahukan perubahan yang serta-merta. Maka, dia turut serta mencari cicak Tokek yang menjadi kegilaan masyarakat untuk masa dan ketika itu. Mudahnya pegangan diri seorang manusia berubah, apabila didesak oleh persekitaran. 'Dia' akhirnya berjaya menjumpai seekor cicak Tokek, namun menerima padah yang cukup mengerikan.

Hanya Sebaris Ayat sekali lagi menonjolkan watak 'Dia' tetapi kali ini sebagai seorang bilal yang lalai dan alpa terhadap tanggungjawabnya. Kegilaan dan percambahan rasa cinta terhadap Cikgu Aliza yang dilihat selalu melalui kawasan tersebut tidak dapat dibendung. Cinta bertepuk sebelah tangan, dengan perasaan yang membuak-buak. Cerpen ini memperlihatkan sikap manusia yang juga mudah berubah apabila pegangan jati diri itu lemah. Tidak kira siapapun orang itu, pangkat apapun dia, apabila lemah jati dirinya, maka segala-galanya akan mudah goyang dan terumbang-ambing. 'Dia' yang dikaburi perasaan cinta, kuat pegangan agamanya, akhirnya tewas dengan hasutan kawannya, juga syaitan yang tidak jemu-jemu menyesatkan manusia. 'Dia' dengan pemikiran kontot akhirnya memilih untuk mensyirikkan Allah demi cinta yang cuba dicari dan diraih daripada Cikgu Aliza.

Cerpen Kayuhan Kasih mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang dan juga kesetiaan yang begitu utuh dalam jiwa seorang manusia. Seorang atuk yang berkorban jiwa dan raganya, demi seorang cucu yang bakal memulakan alam persekolahan. Hanya dengan rezeki daripada kayuhan beca usang, dia terus gigih dan tabah demi cucu tercinta. Dia yang mewarisi pekerjaan mengayuh beca, cukup kuat dan cuba mempertahankan pekerjaan yang menjadikan dia dan keluarganya mampu membesar dan mempunyai kehidupan yang sempurna di atas muka bumi ini. Peritnya kayuhan demi sesuap nasi dengan pendapatan yang tidak seberapa, melawan kemodenan yang semakin menghakis rezeki hasil daripada kayuhan, diceritakan satu persatu dalam cerpen ini. Cerpen yang mengangkat kenderaan warisan ini sebenarnya cuba memperkenalkan dan cuba menceritakan perihal beca yang entah dikenali atau tidak oleh generasi kini. Dunia yang mengejar masa, mungkin melupakan beca. Lambat dan lembap. Namun, tanpanya tidak mungkin wujud inovasi kenderaan seperti yang kita  miliki hari ini.

Cerpen Kelekatu, Langit Runtuh dan Rasung dan Royang pula berkisah tentang adat dan budaya oleh penduduk warga Borneo yang semakin pupus dan tidak lagi diamalkan. Kedua-dua cerpen ini  cukup unik dan penuh ilmu baharu buat pembaca yang sememangnya anak jati di semenanjung Malaysia. Cerpen Kelekatu menggambarkan suasana bermukun iaitu suatu adat yang diamalkan untuk bersuka ria. Pembaca dapat merasai kemeriahan dan keseronokan pesta mukun  apabila penulis dengan cukup teliti memahami dan berjaya mengolah cerpen tersebut sehingga membuatkan pembaca mampu berimaginasi tentang apa yang sedang berlaku. Kelekatu disimbolikkan sebagai kebergantungan manusia terhadap sesuatu. Watak 'Dia' seorang pengamal adat dan budaya ini, memperoleh jodohnya melalui adat ini, akhirnya berdendam dan memusuhi adat ini. Semuanya angkara kematian anak dan menantunya yang kemalangan semasa hendak menghadiri cara bermukun. Lebih perit, cucunya kini menabur hasrat untuk menyertai kumpulan mukun yang baginya sesuatu yang amat merisaukan. Kerana sumpahan mukun sudah menguasai keluarganya.


Sumber gambar: kampungtellian.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Adat Bermukun

Cerpen Langit Runtuh pula mengisahkan Antom yang cuba mempertahankan adat dalam memulakan sebuah mahligai perkahwinan oleh masyarakat Iban. Cinta terhadap manusia yang bersulam adat, membuatkan dia sanggup menunggu Gina menghabiskan pengajiannya, dalam masa yang sama dia mengumpulkan barang hantaran untuk proses peminangan Gina nanti. Istilah barian digunakan bermaksud hantaran kahwin. Dalam adat yang diceritakan, hantaran kahwin yang digunakan bukanlah hantaran kahwin  moden, iaitu wang dan barang-barang berjenama sebagai hadiah. Namun mereka menggunakan tajau lama  (seperti dalam gambar di bawah) iaitu binungkul dan tiluan. Kedua-dua jenis tajau ini ialah tajau lama yang semakin sukar dicari dan sudah semakin sedikit bilangan keluarga yang memiliki dan menyimpannya. Pemberian tajau sebagai hantaran kahwin melambangkan kekayaan adat mereka yang dipegang, seterusnya menunjukkan betapa sukarnya menjaga dan mempertahankan adat. Pinangan wakil Antom, Ampal terhadap Gina ditolak, menyebabkan Antom dikuasai dan kerasukan jiwa yang gila. Dia hilang kewarasan sehingga cuba meracuni seluruh ahli keluarga Gina. Namun, berita daripada Ampal tentang keluarga Gina yang mahu berunding semula tentang pinangan tersebut meragut jiwa Antom yang sedang bersuka ria dengan dendam yang baru sahaja dilunaskan.


Sumber gambar: www.utusan.com.my
Baca selanjutnya di sini: Tajau Lambang Kekayaan Iban

Cerpen Rasung dan Royang melalui judulnya sahaja sudah diketahui, bahawa rasung dan royang merupakan sejenis alatan dalam adat dan budaya. Rasung ialah lingkaran logam yang dipakai di betis dan royang ialah lingkaran logam yang dipakai di tangan. Adat ini diamalkan oleh gadis Bidayuh sebagai lambang kedewasaan dan keberanian. Penulis turut mengangkat tema warisan, adat dan budaya yang semakin dilupakan lagi. Pemakaian rasung dan royang dianggap kolot dan adat lapuk ini menyakitkan serta menyeksa diri sendiri. Watak seorang tua yang kecewa dengan anaknya yang tidak mahu meneruskan adat ini sedari kecil cukup menghibakan. Adat dan budaya yang begitu berharga ini ditinggalkan, malah dia yang masih memakai rasung dan royang juga diketepikan oleh anaknya sendiri. Turut diselitkan suasana kemeriahan si tua semasa tinggal di rumah panjang. Keakraban, kemesraan dan kesatuan yang diamalkan juga hilang apabila dia dibawa oleh anaknya untuk tinggal di rumah moden. Barangan logam, merupakan lambang kekayaan masyarakat ini dahulu. Namun, apabila adat dan budaya merentasi kemodenan, semuanya menjadi karut, tetapi masih ada yang setia mempertahankan budaya dan adat tersebut. Cerpen ini mengangkat watak golongan muda yang tidak tahu dan tidak mahu menghargai warisan adat dan tradisi peninggalan nenek moyang. Tanpa adat dan tradisi, pasti masyarakat itu tidak bernama manusia.


Sumber gambar: myhomeniaga.blogspot.com
Baca selanjutnya di sini: Tradisi Yang Bakal Pupus

Cerpen Merangkul Rindu dan cerpen Tanah dan Air, dua buah cerpen yang diserikan dengan aktiviti-aktiviti masyarakat setempat. Kedua-dua cerpen ini memperlihatkan kepada pembaca tentang cara, peralatan yang digunakan dan hasilnya sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat di sana. Aktiviti-aktiviti yang merupakan sumber kepada pendapatan dan sumber kehidupan yang dilakukan atas tuntutan kemiskinan dan warisan yang mesti dilaksanakan. Cerpen Merangkul Rindu, tentang penuaian sarang burung-layang di Gua Gomatong. 'Dia' telah melepaskan tanggungjawab sebagai ketua penuai kepada anaknya Usin setelah kematian isterinya. 'Dia' terus menerus menabur rindu pada sebatang pokok mangga yang ditanam oleh isterinya suatu ketika lalu. Detik masa bergerak seiring dengan usianya menjadikan dia semakin tua. Namun, keegoan yang ada dalam dirinya, membuatkan dia ingin kembali melakukan aktiviti tersebut. Alatan seperti piattau dan sesungkit digunakan untuk menuai sarang burung layang-layang. Cerpen ini cukup berat dan sangat sukar untuk saya hadami. Namun, mesejnya sangat penting. Kita perlu sentiasa ingat akan keterbatasan kudrat dan tenaga kita sebagai manusia. Kadang-kala, keegoaan itu mampu membinasakan diri dan merendahkan keegoan itu merupakan sesuatu yang mampu memberi kebahagiaan.

Cerpen Tanah dan Air pula, tentang warisan pusaka membuat tajau. Sekali lagi watak pemuda ditonjolkan sebagai pemuda yang tidak menghargai warisan itu. Nilai kesyukuran terhadap perjuangan ayahnya yang mempertahankan warisan tersebut turut dipersoalkan. Dia tidak mahu mewarisi kepandaian membuat tajau, dia mahukan kehidupan yang lebih baik. Kehidupan yang tidak dilumuri tanah lumpur sehingga mengotori tangannya yang mulus. Sekali lagi latar masyarakat yang tinggal di rumah panjang diselitkan dalam cerpen ini. Cerpen Tanah dan Air ini sebenarnya mengingatkan kita sebagai manusia supaya ingat akan asal usul kita. Bersyukur dengan apa yang kita punya seadanya. Juga, peringatan sebagai manusia yang berasal dari tanah dan akhirnya tetap kembali kepada tanah, asal usul abadi manusia.

Akhir sekali cerpen Sampah. Saya cukup menggemari cerpen ini kerana sindirannya yang cukup kena kepada seluruh masyarakat kini. Olahan cerpen ini menggunakan sudut pandangan roh yang melihat jasadnya  terbujur kaku, namun kelu tidak dapat membuat apa-apa atas tindakan golongan yang menziarahinya asbab putusnya hubungan manusia dengan dunia sebaik sahaja nyawa dicabutkan daripada jasad. Jasad 'dia' seorang tukang sapu sampah, dibiarkan sendirian tanpa ada yang sudi menguruskannya. Bukan kerana jijik terhadap dia dan pekerjaannya, tetapi kerana dirinya sendiri yang penting diri. Dia penting diri dalam beribadat, tidak pernah diajak rakannya untuk turut serta beribadat bersama-sama. Dia tidak menyertai jemaah di masjid, semata-mata kerana kekurangan pada diri yang dirasakan miskin dan tidak berharta. Padahal, keihklasan itu penting dalam setiap apa yang dilakukan. Akhirnya, ada yang sudi membantu. Namun kehidupan di dunia, walau dah mati sekalipun, memerlukan wang untuk urusan itu dan ini. Amalan jariah pun berbayar. Kemiskinan, membuatkan dia sekali lagi ditinggalkan golongan tersebut. Akhirnya, hanya harapan kepada kasih Rahman dan Rahim-Nya yang dinanti. Maka, kata penulis, kerana hati manusia yang tidak bersih, manusia dan sampah tidak jauh bezanya.

Selesai kesepuluh-sepuluh cerpen diulas. Keseluruhan cerpen dengan mesej berat untuk kita semua. Penulis lebih menggemari penggunaan watak utama dengan sudut pandangan kata ganti nama diri ketiga "dia", tanpa menamakan watak tersebut. Saya kira, walaupun penulis tidak menggunakan sudut pandangan diri pertama, penulis sudah berjaya membuatkan setiap cerita itu dekat dengan diri pembaca. Gambaran suasana, olahan elemen alam semula jadi, ditulis penuh teliti dengan keindahan bahasa yang cermat dan padat.

Latar tempat dan masyarakat di kepulauan Borneo menjadi signifikan untuk hampir keseluruhan cerpen dalam buku ini. Juga deskripsi aktiviti, adat dan budaya yang sangat terperinci, memberikan ilmu baharu buat pembaca seperti saya yang berasal dari semenanjung. Banyak perkara masih belum saya faham tentang adat dan budaya di sana. Jadi, untuk pemahaman dan pandangan yang lebih jelas, telahpun saya cari maklumatnya di internet. Sesuatu yang unik dan luar biasa bagi saya. Pembaca didedahkan dengan cara kehidupan masyarakat di sana yang terlalu berharga dan tidak ternilai. Warisan budaya yang ditonjolkan dirasakan cukup dekat diri penulis. Langit Runtuh, sebuah buku tentang tradisi yang dicemari pemikiran moden masyarakat kini. Syabas dan tahniah buat Dayangku Mastura!

Wanariahamiza

Jumaat, 16 Mei 2014

CIKGU, IZINKAN SAYA KE TANDAS


Sejak pertama kali menjejak kaki ke sebuah tadika, aku mula mengenal seorang cikgu. Ketika itu, aku tidak tahu nama sebenar guruku. Yang aku tahu, namanya 'Cikgu'. Dan sejak itu juga, kami diajar dengan dua ayat yang paling biasa disebut oleh seorang murid. Yang paling diingati dan sentiasa membuatkan aku tergelak apabila difikirkan semula.

"Please teacher may I go out?"
"Cikgu, izinkan saya ke tandas."

Pada fikirku, ayat dalam bahasa Inggeris itu membawa maksud "Cikgu, izinkan saya ke tandas". Padahal, bukan. Mungkin juga ketika itu, daya penerimaan apa yang diajar senang diingat, walaupun masih tidak difahami. Setelah aku memasuki alam sekolah rendah, barulah aku mengetahui maksud setiap perkataan itu.

Aku terus mengenali lebih ramai cikgu di sekolah baharu. Aku tidak begitu ingat sama ada sewaktu aku bersekolah tadika, sambutan hari guru diadakan atau tidak. Sejak memasuki Darjah Satu, aku mengetahui pula wujudnya hari guru. Hari untuk meraikan cikgu-cikgu. Bagaimana? Oh, dengan memberikan hadiah. Kepada semua guru? Ya, yang mengajar dalam kelas kita. Ramai juga. Hampir sepuluh orang.

Jadi, aku meminta daripada umi untuk belikan hadiah kepada para guru. Kata umi, tak perlulah diberi hadiah besar-besar macam orang lain. Yang biasa-biasa sudah cukup. Aku terima. Beberapa kuntum ros kaca dengan cecair berwarna dalamnya umi belikan. Aku tulis nama-nama guru kelasku sendiri. 

Pada hari guru, tentu sekali terkilan juga. Melihat ramai yang membawa hadiah berbungkus cantik, besar dan nampak mewah. Walhal aku, bunga murah yang mungkin tiada harga berbanding hadiah mereka. Tidak kisah, yang penting aku memberikan cikgu-cikguku hadiah. Sebabnya, hari guru disambut dengan memberi hadiah. Ketika itu, terdetik dihati. Cita-citaku mahu menjadi seorang cikgu. Aku mahu hadiah!

Semakin menginjak usia, aku mula berfikir. Benarkah hari guru ini, wajib disambut dengan memberi hadiah? Apakah nilai hadiah itu buat seorang guru? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berkemampuan membeli hadiah. Sambutan ini sudah menjadi suatu bebanan untuk mereka. Suatu kesusahan pula. 

Semakin lama, aku sedar dan faham. Hadiah bukanlah kewajipan untuk seorang murid. Hadiah tetap punya nilai sendiri. Namun, ingatan, penghormatan dan kejayaan rupa-rupanya merupakan cara penghargaan terbaik buat seorang murid kepada gurunya. 

Dan, aku kini sedar. Cikgu bukanlah mereka yang bekerja di sekolah semata-mata. Usia enam tahunku bukanlah saat pertama aku mengenali cikgu. Tetapi aku sebenarnya telah menemui guru sejak awal kelahiranku. Merekalah umi dan abah yang menjadi guru pertamaku. Aku diajar dengan kasih. Aku dididik dengan sayang. Aku dicurahkan ilmu berguna walau tanpa buku teks dan buku kerja. 

Ternyata, sudah ramai yang menjadi guruku. Walaupun hanya sedikit sumbangan seseorang insan itu, mereka tetap bergelar seorang guru. Sungguhpun tanpa watikah pelantikan mahupun sijil akuan. Umi, abah, keluarga, cikgu-cikgu, sahabat, teman-teman, kawan-kawan, guru-guru, ustaz ustazah, kenalan-kenalan, sahabat pena, sahabat alam maya dan insan-insan yang pernah berkongsi ilmu, terima kasih aku ucapkan. Anda semua guru yang pernah berkongsi ilmu denganku. 

Tanpa insan bergelar cikgu, tiada murid seperti aku. Yang bersarungkan kemeja putih sebagai uniform persih sewaktu menuntut ilmu.

Al-Fatihah buat guru-guru yang telah meninggalkan nama dengan ilmu di dunia demi menyahut seruan Allah untuk menerus hidup di alam sana.

SELAMAT HARI GURU
BUAT CIKGU-CIKGU

#ENTRI INI PERNAH DITERBITKAN PADA 16 MEI 2013


Wanariahamiza

Selasa, 13 Mei 2014

ULASAN BUKU: TETAMU ISTIMEWA (MOHD HELMI AHMAD)



JUDUL: TETAMU ISTIMEWA
NO ISBN: 978-967-430-401-0
PENULIS: MOHD HELMI AHMAD
JENIS: KUMPULAN CERPEN REMAJA
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 146
HARGA: SM RM20 / SS RM25
NO RESIT: ITBM02000393

TETAMU ISTIMEWA: TENTANG JIWA REMAJA
Oleh: Wan Hanif Wan Hamid

Bertepatan dengan jenis buku ini, semua cerpen yang dimuatkan begitu serasi dan berpadanan dengan jiwa-jiwa remaja. 15 cerpen eceran yang sarat pengajaran pernah mendapat tempat dalam media-media tempatan, dikumpulkan lalu menjadi sebuah kumpulan cerpen berjudul Tetamu Istimewa.

Secara keseluruhannya, cerpen-cerpen dalam buku ini banyak menonjolkan nilai-nilai murni, kekeluargaan, persahabatan dan nilai kemasyarakatan yang sangat dekat dengan diri seorang remaja. Mesej yang dibawa, sangat mudah difahami dan jelas cara penceritaannya. Paling signifikan, remaja dijadikan sebagai watak utama yang memanipulasi dan menjadi tonggak kepada tema cerpen-cerpen dalam buku ini. 

Cara olahan ceritanya cukup mantap dan senang difahami kerana persekitaran dan suasana yang digambarkan digarap daripada gaya dan cara kehidupan normal masyarakat marhain di negara Malaysia. Garapan konflik dalam setiap kisah dirasakan cukup dekat dengan diri penulis sebagai seorang guru dan tidak langsung kelihatan seperti direka-reka. Jadi, buku ini tidaklah begitu 'berat' dan sesuai untuk dijadikan bahan bacaan kepada semua golongan usia termasuklah murid-murid sekolah rendah, sekolah menengah juga golongan dewasa.

Cerpen pertama bertajuk Rancanganku Rancangan-Mu begitu memberi kesan dan menarik hati. Cerpen yang menjadikan Amirul, seorang anak bandar sebagai watak utama, membawa kisah dirinya yang pertama kali merasai percutian di sebuah kampung. Kisahnya mudah, tentang budaya, tentang persekitaran dan tentang jiwa seorang remaja yang dibesarkan dengan suasana moden sehingga tidak mengenali asal-asul dirinya. Penulis dengan cukup teliti menggunakan makanan, cara kehidupan dan permainan tradisional sebagai medium untuk menguatkan tema yang diketengahkan supaya sampai kepada pembaca. Dengan berlatarkan negeri Kedah, penulis berjaya menggunakan setiap keistimewaan dan warisan negeri tersebut  terutamanya sawah padi untuk dimuatkan dalam cerpen ini. Penceritaan bukan sahaja membuatkan pembaca memahami jalan ceritanya, malah turut menjadikan pembaca turut serta dalam percutian di kampung tersebut.

Cerpen Kedondong untuk Cikgu dan cerpen Haruan di Pinggir Sawah pula hampir sama kisahnya. Dua cerpen ini membawa kisah konflik antara seorang guru dengan anak muridnya yang berakhir dengan penyesalan dan kekesalan guru tersebut atas sikap mereka terhadap anak muridnya. Menurut penulis, idea untuk kedua-dua cerpen ini memang lahir setelah membaca cerpen Paku Payung Limau Mandarin karya Azizi HJ Abdullah dan cerpen Sebatang Pensel karya Ali Majod. Cerpen Kedondong untuk Cikgu  menampilkan watak Cikgu Asmalita yang bergelut dengan perasaan amarah dan negatifnya terhadap Zahir, seorang murid pemalas yang selekeh dan tidak terurus. Klimaks cerpen ini adalah apabila cikgu Asmalita yang mengidamkan buah kedondong, masih tidak mendapat apa yang diidamkan sehingga hampir melahirkan anak yang dikandungnya. Namun perasaan tidak senang terhadap Zahir akhirnya terkubur setelah Zahir dan neneknya datang melawat dirinya di hospital dengan membawa buah kedondong.

Seterusnya Cerpen Haruan di Pinggir Sawah. Jika diteliti konflik dalam cerpen ini, kisahnya ada sedikit persamaan dengan cerpen Sebatang Pensel tulisan Ali Majod. Cerpen Sebatang Pensel ini juga turut diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris dengan judul The Pencil dan dijadikan komponen kajian sastera untuk murid-murid menengah rendah suatu masa lalu. Namun cerpen Haruan di Pinggir Sawah ada keistimewaannya yang tersendiri, ikan haruan dijadikan sebagai item pencetus konflik yang hadir dan peleraian masalah yang terjadi. Watak Kamal ditonjolkan sebagai seorang anak yang sanggup berkorban untuk membantu bapanya membeli ubat-ubatan. Bapanya, seorang penangkap ikan haruan, terpaksa dipotong kakinya setelah disengat ikan keli yang ditambah dengan impak penyakit kencing manis. Konflik yang melanda membuatkan Kamal bercita-cita mahu menjadi seorang penangkap ikan haruan.

Cerpen Tetamu Istimewa yang turut dipilih menjadi judul buku ini merupakan cerpen paling unik yang dikarang oleh penulis. Pada awal pembacaan, para pembaca pasti akan membuat tafsiran yang salah terhadap kata 'tetamu' yang digunakan oleh penulis. Ditambah dengan frasa-frasa seperti 'bermain dengan tetamu' dan 'tetamu menyondol kaki', pasti para membaca meneka bahawa 'tetamu' itu ialah haiwan peliharaan yang mungkin kucing atau mungkin juga arnab. Walau bagaimanapun, 'tetamu' sebenar yang dimaksudkan ialah penyakit yang datang menyerang seluruh penduduk kampung. Cerpen ini berbentuk cerpen sindiran terhadap segolongan masyarakat yang suka membawa cerita atau umpatan lalu dijaja kepada orang lain. Kekuatan cerpen ini pula terletak pada mesejnya yang mungkin boleh dikaitkan dengan peribahasa sudah terhantuk baru tengadah. Apabila seluruh penduduk kampung sudah dijangkiti penyakit, barulah fasiliti klinik dibina di kampung itu untuk merawat penyakit tersebut.

Seterusnya cerpen Mercun dari Kuala Lumpur, cerpen Hanya Geran dan cerpen Pulut Durian Santan Kelapa membawa tema kekeluargaan. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga cerpen ini diplotkan dengan kisah yang berbeza-beza. Cerpen Mercun dari Kuala Lumpur mengetengahkan sikap masyarakat yang gemar meletakkan kesalahan diri sendiri atas diri orang lain. Tujuannya adalah untuk menutup aib diri sendiri supaya tidak dipersalahkan dan terlepas daripada menjadi mangsa keadaan. Watak Aku, seorang lelaki tua dipersalahkan oleh anaknya sendiri, Azman kerana menyebabkan cucunya cedera akibat bermain mercun. Walau bagaimanapun, watak Aku sebenarnya tidak bersalah. Bukan dia yang berikan mercun itu kepada cucunya tetapi Azman sendiri yang memberinya. Akhirnya, Azman ditangkap polis kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengeradaran dadah.

Cerpen Hanya Geran pula sebenarnya berkisahkan penjualan tanah orang kampung yang disimbolikkan sebagai menjual maruah bangsa. Mesej cerpen ini sangat kuat dan cukup kena dengan dunia kini. Sungguhpun sudah banyak karya-karya dengan mesej seumpama ini diterbitkan, masalah pengkhianatan maruah bangsa tidak pernah surut, malah semakin menjadi-jadi. Kerakusan manusia-manusia dalam mengejar kemewahan dunia, wang dan kesenangan sementara cukup mengecewakan sehingga ada yang tergamak dan sanggup menindas orang lain secara halus mahupun terang-terangan. Dalam cerpen ini, watak Ayop menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap penghianatan tersebut. Dia bukan sahaja memujuk penduduk kampung, malah lebih teruk dia sanggup memaksa ayahnya untuk menjual tanah mereka yang sekangkang kera.

Cerpen Pulut Durian Santan Kelapa pula bermain dengan imbauan nostalgia semasa zaman kanak-kanak. Diceritakan pengorbanan ibu dan ayah dalam sebuah keluarga miskin yang sanggup tidak menjamah durian yang dibeli, semata-mata mahu melihat anak-anak mereka keseronokan dan tersenyum menikmati durian kegemaran. Durian yang dibeli pula bukanlah durian yang elok bakanya, sebaliknya durian yang dilonggokkan kerana harganya jauh lebih murah. Walau bagaimanapun, tidak semua durian itu elok. Pasti ada yang buruk dan masam. Cerpen ini turut menyindir golongan peniaga durian yang gemar meletakkan harga tinggi sesuka hati apabila bukan musim durian. Namun, duriannya tidak elok dan tidak berkualiti. Dengan plot imbas kembali yang menyentuh kalbu, penulis sebenarnya mahukan pembaca sedar dan faham erti kesyukuran terhadap nikmat yang diperoleh. 

Tiga buah cerpen iaitu cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin, cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin dan cerpen Rombongan Masuk Jawi merupakan cerpen-cerpen yang diselitkan unsur adat dan budaya. Melalui judulnya sudah jelas digambarkan elemen-elemen berkenaan.  Cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin bertemakan adat dan budaya dalam mengendalikan majlis perkahwinan secara gotong-royong yang semakin pudar dalam masyarakat moden kini. Mungkin bagi golongan remaja atau generasi-Y kini, istilah rewang itu sendiri sudah menjadi asing dalam diri. Namun, dalam cerpen ini penulis telah menceritakan secara terperinci bagaimana proses kenduri kahwin dijalankan secara bergotong-royong oleh warga kampung terdahulu. Cukup meriah, cukup utuh keakraban antara warga kampung. Paling menarik, penulis ada menceritakan tentang kenduri yang mana makanannya sedia terhidang di atas meja untuk para tetamu. Budaya yang mungkin masih ada, atau sudah pupus ditelan kemodenan. Lantas, cerpen ini memberikan pengetahuan baharu buat generasi muda yang belum pernah mengetahuinya. Hari ini, tentu sukar sekali mencari suasana seperti itu lagi. Cerpen ini telah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2010 Kategori Cerpen Remaja.

Cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin pula menggunakan watak-watak masyarakat berbangsa Cina yang dilanda konflik kekeluargaan. Dalam cerpen ini, turut dicanai unsur perpaduan kaum yang menjadi kelaziman di Malaysia. Watak Lim Pooi, seorang yang cukup ego menghalau dan tidak mengakui Lim Meng sebagai anaknya kerana beberapa malapetaka yang berlaku iaitu kematian abang Lim Meng iaitu Lim Foong dan kebankrupan perniagaannya. Semuanya diletakkan atas bahu Lim Meng yang dikatakan membawa malang sejak dilahirkan. Lim Pooi akhirnya sedar setelah isterinya, Sim Pau bersuara dan meluahkan segala kebenaran. Menjelang malam Tahun Baharu Cina, mereka berkumpul semula sebagai peleraian kepada konflik yang berlaku. Cerpen ini pula telah memenangi hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil 2011 Kategori Cerpen Remaja.

Cerpen Rombongan Masuk Jawi pula menggabungkan dua watak daripada bangsa berbeza-beza. Faizal, seorang Melayu dan Wei Feng seorang Cina. Cerpen ini menggunakan watak kanak-kanak di fasa awal keremajaan yang bakal melalui proses berkhatan. Persahabatan dengan Wei Feng mengundang sedikit permasalahan apabila Wei Feng bertanya tentang istilah masuk jawi. Pertanyaan tersebut sukar dijawab oleh Faizal kerana pada fikirnya, masuk jawi hanya untuk orang Islam dan mungkin boleh menyentuh sensitiviti perkauman. Sungguhpun begitu, Faizal akhirnya mendapat jawapan yang sesuai tentang hikmah berkhatan setelah diterangkan oleh ustaznya di sekolah. Dia kemudiannya berkongsi dengan Wei Feng sehingga akhirnya Wei Feng membuat keputusan untuk turut serta masuk jawi demi mendapatkan hikmah tersebut.

Watak remaja turut dibangkitkan lagi dalam tiga cerpen lain iaitu cerpen Pusaka Tanpa Nilai, cerpen Setitis Budi Semarak Kasih dan cerpen Piala Penentuan. Ketiga-tiga cerpen ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis untuk menyampaikan pengajaran kepada para pembaca melalui konflik dan kehidupan para remaja hari ini. Setiap satu cerpen tersebut diadun dengan kisah tersendiri. Cerpen Pusaka Tanpa Nilai mengangkat konflik tipikal remaja yang terlalu mudah terjerat dengan cinta, terlalu mudah membiarkan perasaan cinta terbit dalam diri tanpa memikirkan kebaikan dan keburukan mendatang. Berlatarkan kehidupan remaja di alam universiti, memang sudah sebati kehidupan yang sebegitu, yang dipanggil sebagai kejutan budaya. Cerpen ini membawa tema persahabatan yang cukup tinggi nilainya. Watak Zira yang hadir untuk menyelamatkan sahabatnya Eliza yang semakin lemas dalam kancah percintaan. Zira yang cakna terhadap perubahan sikap Eliza, akhirnya mengambil tindakan untuk membendung masalah lebih besar daripada berlaku.

Bertentangan dengan sikap Eliza, cerpen Setitis Budi Semarak Kasih pula menampilkan watak Hazwani yang sentiasa memikirkan pengorbanan ayahnya yang sanggup bekerja keras sehingga dia berjaya ke menara gading dan memperoleh segulung ijazah demi mengubah kehidupannya. Melalui penceritaan dan jalan cerita, watak Hazwani dilihat sebagai seorang yang bersyukur dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk menyambung pelajaran di universiti kerana dia tahu akan tanggungjawab dan amanah yang digalas sebagai seorang anak dan sebagai seorang pelajar yang dahagakan ilmu.

Cerpen Piala Penentuan pula mengangkat isu kepentingan bersukan, di samping kepentingan menuntut ilmu. Cerpen ini berkisahkan Amar yang sangat meminati permainan badminton, namun dihalang oleh ibunya yang mahu dia terus fokus dalam pelajaran. Namun, kesungguhan dan usaha yang jitu akhirnya membuahkan hasil buat diri Amar.

Dua cerpen terakhir iaitu Muhammad al-Islam dan Tentang Waris merupakan cerpen-cerpen yang diolah dengan cukup kuat jalan ceritanya serta berbeza berbanding 13 cerpen sebelumnya. Diselitkan unsur-unsur Islamik, dengan tema keagamaan demi menyampaikan mesej dan peringatan buat pembaca khususnya yang beragama Islam. Cerpen Muhammad al-Islam melalui tajuknya sudah menggambarkan seorang individu bernama Muhammad al-Islam. Dia yang goyah pegangan agamanya, langsung tidak selari dan tidak berpadanan dengan nama yang diberikan. Jati dirinya sebagai seorang Islam juga lenyap daripada diri. Maka, tinggallah jasad seorang lelaki yang hanya bertopengkan nama al-Islam. Islam hanya pada nama, Islam hanya pada kad pengenalan. Namun, Islam dalam hati itu, masih tiada malah jauh dari diri. Cerpen ini, menyindir kita semua. Ramai yang tahu bercakap tentang agama, namun praktikalnya tiada.

Akhir sekali, cerpen Tentang Waris. Olahan cerita ini turut bermain dengan unsur keagamaan. Penulis banyak menggunakan ayat-ayat yang mudah, tetapi penuh maksud tersirat dan perlu difikirkan. Kisahnya mudah sahaja, seorang kenamaan meninggal dunia. Hanya ada isteri di rumah, dan menanti kepulangan anak-anak dari luar negara. Namun, akibat harta, nama dan pangkat yang dikejar, keluarga ini kosong pegangan agamanya. Si isteri berpangkat datin hanya memasangkan kaset bacaan ayat al-Quran sementara menunggu anak-anaknya pulang kerana dia tidak tahu mengaji. Setelah anak-anaknya pulang, jenazah masih belum dikebumikan. Apabila ditanya sebabnya, si datin menjawab yang dia sedang menunggu pihak media untuk membuat rakaman pengurusan jenazah suaminya yang terkenal. Sungguh, mesej yang ada dalam cerpen ini begitu bermakna buat semua.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa penulis berjaya menghasilkan cerpen-cerpen yang kena dengan jiwa remaja. Kebanyakan cerita yang disampaikan sarat dengan emosi dan perasaan yang menggugah jiwa. Signifikan watak remaja yang digunakan menjadikan plot penceritaannya mudah difahami dan mudah dihadami oleh para pembaca. Bahasa yang digunakan untuk hampir keseluruhan cerpen-cerpen yang ada, cukup mudah, tidak terlalu berat dan sangat memberi kesan kepada jiwa. 

Jadi, sangatlah tidak rugi untuk memiliki naskah buku ini. Semua cerpennya punya kisah dan mesej tersendiri. Bagi kalian yang ingin memilikinya, boleh berhubung terus dengan penulis melalui blog http://mieadham86.blogspot.com. Penulis ada membuat promosi, bayaran RM20 untuk sebuah buku termasuk kos penghantaran. Dapatkan segera.

Wanariahamiza

Khamis, 8 Mei 2014

CORETAN PENGEMBARAAN KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2014

Alhamdulillah, selesai semuanya. 
Pengembaraan selama tiga hari bersama-sama 'Ilman dan 'Iffat.
Coretan ringkas ini, sengaja saya terbitkan dalam blog ini.
Untuk perkongsian kepada semua.


Pengembaraan singkat,
dalam masa yang terhad,
diisi cukup padat,
dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat.

Wanariahamiza

KEMBARA PESTA BUKU DI PWTC (BAHAGIAN 5)

KOLEKSI BAHARU

Selesai pengembaraan ke PWTC. Jadi, saya kongsikan judul-judul buku yang telah dibeli semasa ke pesta buku tersebut. Saya tidak membeli banyak. Sekadar menghabiskan baucer buku yang ada. Cukuplah dengan jumlah buku yang dibeli. Apabila ada masa, akan dihabiskan pembacaan semua buku ini.  Kalau ada kewangan lebih kelak, boleh dibeli lagi.


1) KUMPULAN CERPEN DI BAWAH LANGIT COPENHAGEN (SALINA IBRAHIM)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)

2) JAJAHAN BONDA (MD NIZAR PARMAN)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
PEMENANG SAGUHATI NOVEL SAYEMBARA PENULISAN 
NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BERITA HARIAN


3) KUMPULAN CERPEN SANG AKTOR (SUBARI AHMAD)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)

4) KUMPULAN CERPEN NARASI GUA DAN RAQIM (MAWAR SAFEI)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
PEMENANG SAGUHATI CERPEN SAYEMBARA PENULISAN 
NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BERITA HARIAN


5) KUMPULAN CERPEN LANGIT RUNTUH (DAYANGKU MASTURA)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
PEMENANG SAGUHATI CERPEN SAYEMBARA PENULISAN 
NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BERITA HARIAN

6) KUMPULAN CERPEN CINTA SENAFAS ANGSA (TUAH SUJANA)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)



7) KUMPULAN CERPEN REMAJA TETAMU ISTIMEWA (MOHD HELMI AHMAD)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
*dihadiahkan kepada 'Iffat 'Ashri

8) PUISI TEPI JALAN (FYNN JAMAL)
TERBITAN RABAK-LIT
*dihadiahkan kepada Asyraaf Zakaria


9) TUNAS (HLOVATE)
TERBITAN JEMARI SENI

10) aA+Bb (HLOVATE)
TERBITAN JEMARI SENI


11) 13 JAM A380 (EVELYN ROSE)
TERBITAN KARYA SENI
*dihadiahkan kepada adik

12) YA MAULANA (HANA ILHAMI)
TERBITAN KARYA SENI 
*dihadiahkan kepada adik


13) SEGALA YANG TERCINTA ADA DI SINI 
(DISELEGGARA OLEH NOR AZAH ABD AZIZ)
TERBITAN UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
PEMENANG KATEGORI CERPEN REMAJA HADIAH SASTERA 
KUMPULAN UTUSAN 2004

14) 6:20 (SITI JASMINA IBRAHIM)
TERBITAN UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
PEMENANG KATEGORI NOVEL REMAJA HADIAH SASTERA 
KUMPULAN UTUSAN 2005


15) PUSAKA CENDANA (DISELENGGARA OLEH NOR AZAH ABD AZIZ 
DAN ROZLAN MOHAMED NOOR)
TERBITAN UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
PEMENANG KATEGORI CERPEN REMAJA HADIAH SASTERA 
KUMPULAN UTUSAN 2006

16) KEMBARA AMIRA (AMER HMZAH L. KADIR)
TERBITAN UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
PEMENANG KATEGORI NOVEL REMAJA HADIAH SASTERA 
KUMPULAN UTUSAN 2005


17) KOLEKSI CERPEN REMAJA INSPIRASI CINTA
(ROZNINAH ABD. AZIB)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
*dihadiahkan kepada 'Ilman 'Ashri


18) KUMPULAN CERPEN MELAWAN YANG MUSTAHIL (RUHAINI MATDARIN)
TERBITAN INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
PEMENANG TEMPAT PERTAMA CERPEN SAYEMBARA PENULISAN 
NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BERITA HARIAN
*dihadiahkan kepada cikgu 'Ashri


19) DOA UNTUK AKU (BAHRUDDIN BEKRI)
TERBITAN SYOK!
*dihadiahkan kepada Faris Haikal


****************************

Setelah ditambah dan ditolak, maka daripada 19 tinggallah 12 buku buat diriku. 
Insyaallah akan cuba dibaca semuanya nanti apabila berkesempatan.
Buku-buku ini boleh dikira sebagai buku-buku baharu yang benar-benar 'baharu' dari segi fizikal dan keadaannya setelah koleksi buku lama yang sedia ada rosak akibat banjir akhir Disember lalu.

CATATAN UNTUK KEMBARA INI TAMAT DI SINI.

ENTRI SEBELUM INI:

Wanariahamiza

Rabu, 7 Mei 2014

KEMBARA PESTA BUKU DI PWTC (BAHAGIAN 4)

PERJALANAN PULANG

 Sebenarnya, sebaik tiba di gerai ITBM, aku ada menaip mesej untuk dihantar kepada cikgu Helmi (penulis buku Tetamu Istimewa). Katanya, dia juga ke PBAKL pada hari yang sama. jadi, manalah tahu kalau ada rezeki, dapat berjumpa. Selesai urusan di gerai ITBM, aku semak semula telefon bimbitku. Sedihnya rasa ketika itu, mesej yang ditaip tidak dihantar. Semuanya angkara kecuaianku sendiri yang 'terlupa' menekan butang hantar. Memang tiada rezeki. Mesej sudah ditaip, cuma tidak terhantar dan ketika itu kami sudahpun mahu pulang. 

Sudah petang dan kami belum makan tengah hari lagi. Sengaja kami tidak makan semata-mata mahu memanfaatkan masa kami yang sangat terhad semasa di PWTC. Jadi, kami bercadang untuk ke KLCC, makan sebentar sebelum pulang ke rumah mak saudara 'Ilman di Selayang. 


Ketika di Stesen LRT PWTC, terlalu ramai orang yang sedang beratur membeli tiket. Terlalu sesak. Kalau kami beratur, ada juga memakan masa hampir setengah jam. Memandangkan masa kami cukup terhad, kami memilih untuk membeli kad touch and go di kaunter lain. Kami turut bertanya penjaga laluan masuk ke Stesen LRT tentang cara hendak ke KLCC. Alhamdulillah, mereka membantu kami dengan cukup mesra. Katanya, kami perlu mengambil LRT ke Stesen Masjid Jamek. Kemudian, di sana nanti kami perlu bertanya pula orang-orang di sana untuk memudahkan perjalanan.


Tiba di Stesen Masjid Jamek, kami mencari peta laluan LRT terlebih dahulu. Syukur sahaja peta itu mudah difahami. Kami hanya perlu mengambil LRT bawah tanah menghala ke Kelana Jaya dan berhenti di hentian ketiga selepas itu iaitu di Stesen KLCC. 

'Ilman dan 'Iffat sedang menuruni eskalator 
untuk menaiki LRT di Stesen Masjid Jamek.

Peta laluan LRT. Ketika ini kami di Stesen Masjid Jamek
dan hanya perlu berhenti selepas tiga stesen berikutnya untuk ke KLCC.


Dalam masa sepuluh minit, kami akhirnya tiba di KLCC. Aku pernah ke sini hampir tiga kali. Ketika darjah empat, darjah enam dan tingkatan satu. Kami agak kepenatan sebenarnya. Sebuah bangunan yang agak besar. 'Iffat mahu makan Pizza Hut. Jadi, kami pun mencari restoran tersebut. Puas kami mencari, bertanya orang, tetapi tidak dijumpai. Dari aras bawah sampai ke tingkat paling atas kami pergi, tetap tidak jumpa. Akhirnya, kami merujuk pelan lantai dan kedudukan kedai-kedai di dalam KLCC ini. Mencari dan terus mencari, akhirnya jumpa. Cuma kedudukan agak terpencil dan tersorok (bagi kami yang tidak biasa dengan kawasan ini).

Kami makan sehingga hampir jam 7.00 malam dan ketika itu, pak cik 'Ilman, Pak Cik Sham menghubungi 'Ilman. Katanya dia mahu pulang ke rumah bersama-sama kami. Jadi, kami perlu ke Stesen LRT Gombak dan berjumpa di sana. Hampir sepuluh stesen juga dilalui sebelum tiba di Stesen Gombak. Isteri Pak Cik Sham iaitu Cik Ira, akan menjemput kami di Stesen Gombak.


Dalam perjalanan pulang ke rumah Cik Ira di Selayang, kami singgah di Giant. Tidak pasti lokasinya. Lagipun sudah malam. Sebenarnya, kami singgah untuk membeli kek hari  jadi buat adik 'Ilman, Alia namanya sempena ulang tahun kelahirannya yang kesebelas. Sengaja dibeli dan disambut awal sehari. Sebabnya esok kami akan bertolak pulang ke rumah di Kemaman dan Kuantan semula.


Kami tiba di rumah Cik Ira sekitar jam 9.00 malam. Alhamdulillah. Perjalanan yang cukup memenatkan. Kami mandi dan bersiap-siap. Malam itu, kami sambut hari lahir Alia (bertudung). Selesai makan, berborak-borak dan kami terus tidur.

Keesokan harinya, kami bersarapan dan terus berkemas untuk bertolak pulang. Sekitar jam 10.00 pagi kami meninggalkan rumah Cik Ira. Perjalanan kami dimulakan dengan menghantar Kakak 'Ilman, Kak Amalina ke kolejnya semula yang juga letaknya di Selayang. 

Kemudian jam 12.00 tengah hari kami tiba di Lanchang dan singgah di rumah saudara 'Ilman di situ pula. Ada perkara yang Cikgu 'Ashri hendak selesaikan di situ. Sekitar jam 2.00 petang, kami meneruskan perjalanan untuk menghantar adik 'Ilman, 'Ishraf ke asramanya di Pekan. Jam 5.00 petang, kami tiba di Pekan. Berehat di kantin sekolahnya untuk makan nasi sebentar. Kemudian, memulakan perjalanan semula pada jam 6.15 petang. Akhirnya kami tiba di rumahku sekitar jam 6.45 petang. Maka, bermulalah percutian 'Ilman di rumahku seperti yang sudah dicoretkan dalam entri terdahulu. Boleh baca di sini.

Sebuah perjalanan panjang yang cukup bermakna. Banyak cerita dan memorinya.
Tiga hari sarat dengan aktiviti, ke sana ke sini.
Demi merasai kemeriahan pesta buku di PWTC.
Alhamdulillah.

ENTRI SEBELUM INI:

Wanariahamiza

Selasa, 6 Mei 2014

ULASAN BUKU: ANTHEM (HLOVATE)


JUDUL: ANTHEM
PENULIS: HLOVATE
JENIS: NOVEL
TERBITAN: JEMARI SENI
MUKA SURAT: 593
HARGA: SM RM24 / SS RM27


Alhamdulillah. Selesai menghabiskan novel Anthem, karya Hlovate. Buku saya ini cetakan kesepuluh dan dibeli secara atas talian pada tahun 2013. Namun belumpun sempat dibaca, buku ini sudah ditenggelami banjir pada Disember 2013 yang lalu. Mujurlah tidak rosak teruk (lihat gambar). Masih boleh dibaca. Hanya jemur dan keringkan sahaja. Cuma keadaannya sudah tidak baru dan banyak kedutan.

Secara umumnya, novel ini mungkin ditulis berpandukan satu kata-kata yang cukup membina ini. Kata-kata ini saya fikir telah dijadikan sebagai tema kepada jalan penceritaannya.

"Everybody has a past. Everybody lives a present. And Everybody deserves a future."

Bagi penggemar karya-karya Hlovate, pasti kalian tahu cara penulisannya. Menggunakan bahasa santai dan selamba, namun penuh dengan mesej yang tersendiri. Memang seronok membaca novel ini. Mudah difahami dan mudah dibayangkan keadaan yang dinyatakan oleh penulis. Tidak banyak yang ingin saya katakan tentang novel ini. Namun, banyak yang saya akan kongsikan tentang apa yang saya dapat daripada novel ini.

Secara rangkumannya, novel ini mengisahkan seorang anak muda bernama Nur Dania Dashrin sebagai watak utama. Walau bagaimanapun, Dania dibesarkan dengan cara barat sehingga menjadikannya seorang yang cukup 'liar'. Rakan-rakannya juga disuruh memanggilnya dengan nama Dash sahaja. 

Kisahnya bermula apabila Dash dihantar ke Malaysia oleh ibu dan bapanya untuk tinggal di asrama. Dash, dengan kehidupan dan cara tersendiri. Dia tidak mahu menjadi hipokrit. Dia mahu menjadi dirinya sendiri. Bagaimana dia dibesarkan, begitulah caranya di asrama. Dash tidak kisah dengan kata-kata rakan-rakannya tentang cara penampilannya. Dia selesa begitu. Di tempat tinggalnya, tiada yang hiraukan jika dia ingin berpakaian begitu begini.

Memasuki alam universiti, Dash memilih untuk terus berada di Malaysia. Dia ingin menjadi dirinya yang sebenar. Dia tekad. Yang lebih mudah dilakukan apabila berada jauh daripada keluarganya. Bukan untuk disorok, cuma apabila dilakukan di tempat yang lumrah masyarakatnya memang begitu, tiada yang akan nampak pelik dan janggal dengan apa yang dilakukan.

Kini, Dash terus berdegil untuk menjadi dirinya. Dia cuba untuk tidak menjadikan pemikiran masyarakat setempat sebagai penghalang dan persekitaran sebagai ikutan kepada dirinya. Dia akan mengikut kata hatinya. Kesungguhan dan keyakinan dirinya untuk menjadi seorang Nur Dania Dashrin.

**************

Kisah dalam novel ini cukup kena pada diri. Ramai orang ingin berubah. Namun, persekitaran sentiasa menjadi penghalang yang membuatkan usaha kita untuk berubah terbatut dan tidak dapat dilaksanakan. Kadang-kadang benar juga. Berada jauh di tempat asing, lebih mudah untuk menjadi diri sendiri. Sebabnya, tiada siapa yang mengenali kita, tiada siapa yang akan mengata kita sesuka hati dan perubahan kita bukanlah sesuatu yang pelik untuk dilihat.

Untuk berubah, cukup susah. Kalau dalam novel ini, pemikiran ibu bapa dan persekitaran Dash dibesarkan yang menjadi penghalang kepada niat suci Dash. Namun, dia terus lakukan apa yang dia ingin lakukan. Walaupun terpaksa disorok, terpaksa melakukan secara sedikit-sedikit agar perubahannya tidak begitu ketara. 

Situasi dengan diri kita mungkin berbeza. Kita sememangnya sudah dibesarkan dalam persekitaran yang sudah diajarkan ilmu agama, dipenuhi dengan masyarakat seagama dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai agama itu sendiri. Namun, halangannya ialah sebanyak mana nilai-nilai itu dilaksanakan. Sebanyak mana nilai-nilai itu cuba difahami dan cuba dihadami oleh diri?

Memang kita Islam. Lumrah dilahirkan sebagai seorang Islam dan dikurniakan keimanan yang merupakan salah satu nikmat terbesar kita sebagai manusia. Namun, ada dua pula jenis manusia tersebut.

"Muslims and practicing Muslims are two different things."

Terlalu banyak yang kurang pada diri ini. Alangkah ruginya kita, yang berilmu, berakal namun mensia-siakan nikmat itu. Sedangkan ramai lagi, yang tersalah langkah dan merangkak-rangkak cuba untuk kembali semula kepada jalan Allah. Syukur buat semua yang mendapat hidayah, dan menerima hidayah itu dengan berlapang dada. Yang lain-lain, sebenarnya hidayah itu sudah ada di depan mata. Cuma diri, sama ada mahu ambil atau tidak. Terasa terlalu jauh dengan maksud Islam itu sendiri iaitu taat, patuh dan tunduk kepada Allah.

Saya kongsikan beberapa kata-kata dalam novel ini yang cukup bermakna:

__________________________________________

"Sebenarnya apabila kamu mengakui Allah sebagai tuhan dan Islam sebagai agama kemudian kamu lafazkan syahadah yang sebenar, kamu sepatutnya merasai tanggungjawab  yang perlu kamu laksanakan sebaik sahaja kamu melafazkan syahadah ini."

____________________________________________

"Being a Muslim is not just a title that entitled you to celebrate hari raya, it's beyond that."
_____________________________

"Perkara yang sudah lepas hanyalah titik rujukan untuk tengok sejauh mana kita dah berubah."

_____________________________________________

"Wrong is wrong even if everyone is doing it and right is right even if you are the only one doing it."
______________________________

"The beginning of fear wisdom is fear of the Lord."

_______________________________________________

"We're all born with heaven's key. Either we retain it or lose it."
______________________________

"You can't control your emotion, but you can control your action."

______________________________________________

Ya, saya kira novel ini sebuah novel tarbiah buat diri. Moga kalian yang membacanya juga, berjaya memahami mesej yang cuba disampaikan. Mungkin pemahaman kita berbeza-beza. Namun, saya pasti penghujungnya tetap sama. Menoktahkan diri di halaman silam dan memulakan tinta di halaman baharu.

"Allah tengok usaha, bukan natijahnya."
(Hlovate)

Wanariahamiza

Isnin, 5 Mei 2014

KEMBARA PESTA BUKU DI PWTC (BAHAGIAN 3)

BERSESAK-SESAK MEMILIH BUKU

Masuk sahaja ke dalam PWTC, kelibat manusia-manusia semakin ramai dilihat. Masing-masing dengan beg sandang, plastik dan ada juga yang membawa bagasi semata-mata mahu memborong buku. Yang seronoknya, ada juga rombongan sekolah-sekolah yang membawa para pelajar ke sini untuk membeli buku-buku. Cuma agak bersimpati dengan rombongan pelajar sekolah-sekolah rendah. Murid-muridnya kecil, perlu berebut-rebut dengan orang dewasa yang memenuhi kawasan ini.


Kami memulakan pencarian di aras paling bawah. Sekadar meninjau-ninjau dan melihat telatah dan gelagat manusia-manusia yang laparkan buku. Di aras ini, kami singgah di booth Buku Fixi. Bukan mahu membeli buku sendiri, tetapi buku buat seorang sahabat yang jauh di Sabah sana, Asyraaf namanya. Sungguh mengagumkan, terlalu ramai orang. Di kaunter bayaran pula, punyalah panjang barisan. Terpaksalah beratur juga selama hampir sepuluh minit hanya untuk sebuah buku.

Semasa beratur, kuterdengar perbualan dua orang wanita. Katanya:
"Orang Malaysia ini bagus sebenarnya. Suka membaca. Tengok dekat sini sudahlah. Orang-orang muda yang ramai. Cuma, entahlah. Orang-orang muda ni suka membaca yang seronok-seronok saja."
Benar juga katanya. Budaya membaca di Malaysia semakin bercambah. Cuma jenis bahan bacaan yang bagaimana, itulah yang perlu diteliti.


Seterusnya kami ke gerai Jemari Seni. Tidak begitu ramai orang. Aku ke situ untuk membeli dua buah novel yang memang sudah dirancang untuk dibeli. 'Ilman dan 'Iffat pula membeli empat buah novel lain di situ. Kami bayar sekali. Jumlahnya RM100 untuk enam buah novel. Kami singgah juga di gerai Galeri Ilmu. Di sini, hanya 'Ilman yang mencari buku. Katanya, buat adik-adiknya di rumah. Dia beli novel dan buku cerita Islamik buat adik-adiknya. 

Selesai. Kami teruskan perjalanan untuk mencari buku-buku kiriman lagi. Kali ini kami ke gerai Karya Seni. Membeli novel-novel lagi. Banyak novel-novel terbitan Karya Seni yang sudah diadaptasi menjadi drama di televisyen. Bertuahnya kami, dapat berjumpa dengan Rosyam Nor di situ. Rosyam Nor merupakan salah seorang pelakon yang membintangi sebuah drama yang diadaptasi daripada novel Karya Seni. Tajuknya, aku terlupa. Kami hanya pandang, dan berlalu sahaja. 


Selesai di aras pertama. Ketika itu sudahpun pukul 2.00 petang. Kami singgah di sebuah gerai makanan, dan makan ais-krim terlebih dahulu. Kemudian, kami membuat keputusan untuk mencari surau dan bersolat. Selepas itu, barulah dimulakan semula pencarian buku-buku yang hendak dibeli. Selesai solat, kami berehat-rehat dahulu. Kami cuba menghubungi Chong dan Farriz yang sudah merancang untuk berjumpa, namun mereka tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana ada kerja yang hendak dilakukan. Mungkin memang bukan rezeki untuk berjumpa.

'Ilman pula berjumpa dengan rakan sekolah lamanya dahulu. Khair Zawawi namanya (tengah). Yang berbaju biru pula bernama Amirul, rakan kepada Khair. Aku dan Khair pula, pertama kali berjumpa. Selama ini hanya berkawan melalui Facebook sahaja.


Usai berborak-borak, hampir jam 3.00 petang. Kami memulakan semula perjalanan membeli buku. Dalam perjalanan mahu ke aras dua, kami terserempak pula dengan Abang Hazwan. Ketika itu Abang Hazwan sudahpun selesai membeli buku, penuh satu bagasi.


Naik sahaja ke aras dua, kami terus menuju ke booth Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Hasratku mungkin dapat berjumpa dengan sesiapa yang dikenali di sini. Namun, nasib tidak menyebelahi. Rakan-rakan Kembara London pun tidak ke PWTC pada hari tersebut. Baucer buku berbaki RM100 dihabiskan disini. Di sini paling banyak diskaun yang kami dapat. Dengan menggunakan baucer ITBM, setiap buku diberi diskaun sebanyak RM10 sehingga ada buku yang dibeli dengan harga serendah RM5. Jadi, kami pilih sembilan buah buku dengan jumlah RM100. Cukup berpuas hati.

Sedang duduk-duduk di pentas sofa putih ITBM, Alip (baju biru) menelefon aku dan 'Ilman. Katanya dia di surau dan mahu berjumpa dengan kami. Memang sudah dirancang sebenarnya. Jadi, kami hanya berjumpa di booth ITBM dan berborak-borak seketika.

Kami turut singgah di gerai Dewan Bahasa dan Pustaka. Aku mencari beberapa buah buku, tetapi tiada pula. Kami juga singgah di gerai Telaga Biru. 'Ilman mencari novel Terasing karya Hilal Asyraf, namun sudah habis dijual. Juga novel Hero kerya penulis yang sama. Pun habis dijual. 

Hampir jam 5.00 petang, kami bercadang untuk pulang. Tidak terdaya lagi mahu ke aras tiga dan empat walaupun kami tahu, masih banyak gerai buku di sana. Cukup lima jam berada di PWTC, menghabiskan baucer buku dan membeli buku-buku yang sudah disenaraikan untuk dibeli.

Syukur, merasai suasana meriah di pesta buku tersebut.

ENTRI SEBELUM INI:

Wanariahamiza