Ahad, 29 November 2015

BUKAN ZON BIASA


Mungkin, berada di tempat yang sama akan membuatkan kita dibelenggu dengan beban rasa yang serupa. Berat, sendat yang menjurus ke arah luka. Mungkin juga akibat memendam rasa. Sesekali, saya keluar dari zon yang memerangkap saya dalam dunia berlatarkan masa. Bukan untuk lari, bukan juga untuk sembunyi.

Tiba-tiba terdetik satu fikir yang saya tidak pernah jangka. Hadirnya, apabila saya berada di suatu tempat yang bukan zon biasa. Di situ, saya jumpa bahagia. Walau untuk tempoh yang tidak panjang, tetap senyum mendakap saya. Terlalu banyak yang ingin saya ungkap, juga kongsikan buat semua. Cuma saya tidak berupaya. Cukuplah sekadar rasa itu singgah menyapa, mencalit kenangan lama untuk ditinta dalam minda dan ingatan yang dipunggah semula.

Insan-insan yang saya jumpa, terima kasih atas segalanya.
Sekarang saya kembali ke zon biasa. Mungkin kalian, hanya menjadi bayangan lama dan konkrit-konkrit tidak sempurna akan menghempap tubuh kecil saya seperti sedia kala. Apapun, rindu itu bertaut dalam ukwah yang pernah kita bina.

Harap saya, mekar semuanya.
Biar indah belaka.

Sabtu, 7 November 2015

RESAH DI PADANG PASRAH


"Kerana kita sahabat. 
Nilai untuk hari ini tidak senilai hari esok. 
Biar aku betul-betul bernilai pada hari ini 
kerana dapat bersua dengan sahabatku 
sebelum esok yang entah aku ada atau tidak lagi."
Hafizul Faiz

Hampir sebulan saya tidak menulis langsung di laman ini. Saya cuba mengingat semula hari-hari semalam saya, mungkinkah saya yang memang sibuk sehingga terlupa untuk menitipkan tinta atau saya sengaja melupakan ruangan ini seketika. Saya tidak pasti. kedua-duanya boleh menjadi jawapan kepada persoalan yang saya wujudkan sendiri itu. 

Kadang-kala, wajar juga rasanya untuk saya rehatkan diri daripada terus mencoretkan buah fikir menjadi kata-kata bertulis. Saya cuba melawan desakan hati yang meronta-ronta mengarahkan jari-jemari saya supaya laju menaipkan apa sahaja yang dirasa. Puas saya bertarung, melawan jiwa yang memberontak merasakan bahawa dirinya raja, fikirnya konon bijaksana belaka. Saya cuba, sehabis daya. 

Tidak dinafikan, saya yang terseksa tetapi setidak-tidaknya saya telah melalui segala-galanya dalam resah di padang pasrah. Benar, kita tidak selamanya betul. Sesekali, ada juga yang akan terluka dek bait kata yang sebenarnya tajam menghiris, malah merobek rakus jiwa-jiwa insan yang sebenarnya terlalu tipis, penuh dengan kedukaan. Lalu, diam itu lebih baik bukan? Lebih banyak manfaatnya berbanding terus menjawab persoalan-persoalan yang mungkin akan terus menambah kepedeihan luka yang telah tersedia.

Banyak perkara yang berlaku, banyak juga yang saya hampir terlupa atau lebih tepat saya memang cuba melupakannya. Cara itu lebih baik saya kira. Memikirkan perkara-perkara yang tiada manfaatnya, hanya sia-sia. Saya cuba mencari kebahagiaan, walau saya tidak tahu bagaimana bentuknya. Saya cuba mencari ketenangan, walau saya tidak tahu bagaimana rasanya. Saya cuba mencari keseronokan, walau saya tidak tahu bagaimana rentaknya. Sebenarnya saya yang tiada matlamat dalam pencarian agaknya - masih berfikir.

Oh ya, ada insan yang membuatkan saya tahu rasa menghargai dan dihargai. Hanya dengan mengikis sedikit rasa ego, tampal dengan rasa tolak ansur. Tampak cacat barangkali, tetapi hasilnya lebih indah setelah diselongkar di sudut paling dalam hati manusia sejati. Manusia sejati itu seperti kata-kata yang saya kongsikan di ruangan teratas coretan ini agaknya. Bahasanya terlalu indah sehingga membuatkan saya teringat keindahan persahabatan yang ditakdirkan menjadi sebahagian daripada kalam hidup saya. Alhamdulillah.

Cinta?
Mungkin saya temukan tatkala bersua muka dengan insan-insan tersayang di rumah
untuk tempoh percutian yang seminggu ini
atau lebih daripada itu.
Terima kasih semuanya.


Selasa, 6 Oktober 2015

PURA-PURA


Dalam sebuah perjalanan yang terlalu panjang, kamu tekad mahu mengikut desakan jiwa yang membawa kamu sehingga ke suatu tempat asing yang kamu sendiri tidak pasti namanya. Mungkin pulau, bukit, gunung atau kayangan yang wujudnya di atas awan-awan putih dengan bidadari-bidadari bersayap, jelita. Kamu sendiri tertanya-tanya, perjalanan sebegitukah yang kamu mahukan? Atau kamu hanya menurut takdir yang mengalirkan kamu dalam detik masa yang tiada hentinya. Kamu acap kali mengeluh, kamu kerap kali mendengus, kamu banyak beralasan. Namun kamu tetap meneruskan  perjuangan. Atas dasar apa? Kamu perlu melihat kaki kamu. Gagahkan kaki itu agar kamu mampu berdiri sendiri. Bukannya dengan bantuan pengandas-pengandas ghaib yang membantu kamu untuk bangkit. Kamu lembik!

Kamu sudah sedia tahu perjalanan yang kamu lalui itu memang banyak ranjaunya. Luka-luka kecil, silih menghias betis kamu dengan calaran panjang yang menampakkan kesan kemerah-merahan. Kamu juga sedar langkah yang kamu atur sudah menyimpang daripada haluan sebenar. Kamu mungkin tidak akan sampai ke tempat yang sedang dituju kalau kamu terus begitu. Kamu boleh sesat! Itu bukan perjalanan kamu yang sepatutnya. Kamu perlu mendongak semula. Pandang ke hadapan dan hiruplah udara mewah itu agar kamu kembali bertenaga. Mulakan perjalanan semula. Kamu tidak akan mampu berpatah balik, melainkan kamu mahu tempuh dan cari jalan lain yang akan mempertemukan kau dengan cahaya yang menyilau itu semula. 

Puas kamu mengerah kudrat kamu, masih tidak berjumpa dengan jalan yang sepatutnya. Sesekali tersadung, kamu rebah. Kamu pejamkan mata, mengharapkan keajaiban yang bakal menamatkan segala kesusahan yang sedang kamu alami. Kamu bangkit dalam pasrah, tetapi kamu tidak berubah. Kamu ini, banyak angan-angan sahaja. Jangan sekadar berharap tanpa derap usaha yang mantap. Mungkin kamu menanti datangnya musibah lain, barulah kamu mendongak mengharap tabah.

Kamu hampir tiba ke sebuah tempat yang samar-samar sahaja tampaknya. Persis ada kehidupan yang sedang membina sebuah ketamadunan di situ. Kamu mula gusar. Kamu dan mereka tidak sama. Mungkinkah mereka akan menerima kamu atau kamu yang harus menerima mereka seadanya. Perlukah kamu mengikut lagak budaya mereka semata-mata mahu diterima sebagai salah seorang komuniti di situ? Kamu hilang arah. Yang kamu tahu kamu akan bertindak mengikut nafsu. Oh ya. Hanya dengan berpura-pura. Mereka pasti akan menerima kamu. Kamu memilih topeng-topeng gembira demi menutup kesengsaraan yang kamu kendong sepanjang perjalanan ke sini. Kamu tiba. Kamu diterima. Kamu bahagia dikelilingi mereka. Cuma kurangnya satu.

 Apakah kepura-puraan yang sedang kamu tunjukkan sebenarnya?

Puaskah begitu?


Sabtu, 5 September 2015

BUKAN KALI PERTAMA


Permulaan destinasi yang seterusnya. Tiada yang berbeza, semuanya sama - perjalanan yang panjang, kepenatan yang mencengkam, kelelahan turun naik tangga berulang kali dan persekitaran yang serupa. Masuk ke dalam bilik tanpa sesiapa, pintu-pintu yang tertutup rapat, sedikit selipar yang bertaburan, habuk-habuk yang berterbangan. Kononnya dipujuk hati, lebih baik seorang diri, bebas buat itu ini. Konon sahaja. Lama-lama nanti, hadir bisikan sunyi, deruan kata sepi dan akhirnya jiwa yang mati.

Biarlah, banyak lagi benih baharu yang boleh ditanam - atau sengaja mahu memilih untuk menyimpan benih itu sehingga akhirnya busuk dan buruk. Kalau usaha dan daya itu ada, akan subur pucuk keceriaan. Kalau malas, nasiblah dibelenggu rundum duka. Pilihan itu maksudnya untuk diterima satu dan ditolak satu lagi. Jadi buatlah pilihan.

Serasanya, kata-kata semasa cuti lalu sudah terkota walau tanpa pinta. Mungkin kalau tidak berlaku semua itu, sampai bila-bilapun mata akan kuyu dalam mamai angan-angan. Hendak dikata mabuk, bukan juga. Cuma, hidup yang sentiasa di dalam zon selesa - sebenarnya dalam kamus hidup cuma ada zon derita, kalau baik sedikitpun ialah zon bahaya. Itu sahaja dua zon yang dilalui, tidak pernah selesa apatah lagi menjadi orang kaya. Mungkin hanya kaya budi bahasa - agaknyalah.

Lalu kesinambungannya ialah dendam. Tertarik dengan kata-kata Mai Izyani dalam status Facebooknya.

"Mestikah dendam itu hitam warnanya?"

Persis ada ekor dendam yang diheret sehingga ke sini. Kalau tidak kerana kelantangan, rasanya mesti sudah terpadam dan tidak akan langsung wujud semula. Lalu salah siapa? Mengaku khilaf sendiri, ah! Manusia bukan suka mengaku. Masih tercari-cari juga, dendam yang terheret itu warnanya apa. Mungkin merah jambu, tetapi tetap dengan tompok hitam - mungkin. Ini anggapan, bukan kenyataan. Faham!

Kalau sudah faham, kita lihat pula tentang menggunakan, dipergunakan atau terguna-guna. Yang ini menjurus ke arah kedengkian. Sifat mazmumah - jangan diikut. Kelihatan seperti terlalu mudah jalan hidup mereka. Pernah atau tidak agaknya mereka rasa luka yang sembuhnya hanya dengan titik masa, juga payahnya untuk ke atas walau sekadar mendongak. Sudah tertinta buat mereka, jangan dipersoalkan lagi. Cuma terasa seperti akan ada yang dipergunakan dan terguna-guna demi dilihat mata-mata. Butakan sahaja, maksud saya buat-buat buta. 

Akhir sekali, ada satu tazkirah yang didengari tempoh hari yang katanya lebih kurang begini, kadang-kadang kita rasa kita mampu menjaga mereka, sedangkan Allah sudah ada untuk menjaga mereka. Jadi apa yang kita ada? Kudrat untuk doa, itu pesan sahabat yang tidak pernah putus-putus. Keajaiban itu, letaknya pada doa dan pengharapan kudus seorang hamba. Tunduklah wajah itu dalam hiba yang disorok melalui topeng sandiwara bercat bibir merah tersenyum.

Kubawa rindu pergi.
Kutinggal cinta hati.

Untuk yang kesekian kalinya.



Jumaat, 14 Ogos 2015

ULASAN BUKU : JAJAHAN BONDA (MD NIZAR PARMAN)


JUDUL : JAJAHAN BONDA
NO ISBN: 978-967-430-1590
PENULIS: MD NIZAR PARMAN
JENIS: NOVEL
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 185

Sebermula saya membaca Jajahan Bonda, saya seolah-olah terpukau dengan gaya bahasa yang digunakan. Setiap bait kata yang dikarang, mencetus rasa selesa ketika membacanya. Sukar saya definisikan selesa itu bagaimana. Mungkin bacaan yang mudah difahami, mungkin juga bacaan yang mudah dibayangi. Sebenarnya, membaca Jajahan Bonda tidak sekalipun mendesak saya untuk meneruskan pembacaan kerana perasaan ingin tahu. Sungguh, kisahnya mendatar sahaja. Namun begitu sukar untuk saya menghentikan pembacaan. Maka, buku ini saya khatamkan dalam masa yang cukup singkat (berbanding buku-buku lain yang saya baca).

Jajahan Bonda itu menurut penulis ialah suatu nama tempat. Ada kisahnya yang tersendiri. Asbab itu dinamakan Jajahan Bonda. Mungkin juga disinonimkan dengan kisah kewibawaan (lebih tepat ketabahan) wanita yang diangkat menjadi watak utama dalam novel ini. Masyarakat di desa Jajahan Bonda digambarkan sebagai penduduk kampung biasa. Hidup serba kekurangan, malah jauh sekali daripada kecanggihan teknologi yang sudah menakluk muka bumi. Sesekali terasa kehidupannya dekat dengan saya. Sesekali terasa juga yang sebenarnya saya tidak pernah mengalami semua yang dicerita. 

Kadang kala saya terfikir, benarkah wujud mereka yang terlalu rela berkorban dan mereka yang miskin sebegitu. Mungkin benar, selalunya pandangan mata kasar yang melihat kemiskinan hanyalah suatu bentuk kehidupan. Sedangkan jauh di sudut hati mereka, kemiskinan itulah udara untuk mereka hidup. Mungkin, saya sendiri tidak pernah merasai kemiskinan yang sedemikian rupa. Dalam kisah ini, banyak yang dilihat baik sahaja. Sehingga pertengahan ceritapun, masih yang baik belaka. Saya sedar, walaupun setiap perilaku watak dilihat mudah sahaja mendapat itu dan ini, realiti tidak begitu. Terlalu banyak ranjau, masalah dan risiko yang sentiasa menghimpit rapat tubuh-tubuh manusia. Lalu, dibisikkan kata putus asa oleh syaitan durjana. 

Jajahan Bonda membuka mata pembaca. Mahanum, gadis yang terlalu dewasa. Mengenal erti tanggungjawab sedari dia kecil, menjaga kebajikan adik-adiknya seperti dialah ibu dan dialah bapa. Mahanum bukan gadis kampung biasa. Dia juga punya impian untuk membesar dengan selesa. Namun, takdir kita semua tidak sama. Dia pasrah sepenuh jiwa dan raga.

Semaun, ayah yang terlalu bahagia. Biarlah dia bergadai urat tenaga, asalkan anak-anak senyum setiap masa. Semaun, macam ayah kita semua. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah diperah keringat sepenuhnya untuk rezeki keluarga yang dicipta. Kalung tanggungjawab sebagai suami dan bapa sentiasa dijaga rapi, kerana hanya itulah nadi untuk dia terus bernafas di bumi. Kisah Semaun terlalu besar maknanya buat saya, yang membuatkan saya berfikir berulang kali. Hidup ini cuma sekali, tidak akan ada ulangannya.

Akhirnya watak Kodin. Pemuda yang punya ilmu, digarap dengan usaha demi pembangunan warga desa. Tiba-tiba terasa kagum dengan kesungguhan Kodin. Dia memilih untuk bekerja yang orang tidak mahu bekerja. Bukan macam kita-kita, mahasiswa kini. Konon dengan sijil setebal gunung, impikan hidup penuh selesa, kerja yang gajinya mahal-mahal dan akhirnya boleh goyang kaki sambil minum teh di petang hari. Hidup sekarang bukan begitu, hanya usaha yang benar-benar akan membuatkan seseorang itu berjaya. Kaya, letak pilihan nombor dua. Oh, kami terlalu manja barangkali. Mewahnya kehidupan hari ini menjadikan kami tidak pandai 'berdikari', mengenal susah dan payah dalam mengecap kejayaan. Yang terpaku di minda sejak kecil, besar nanti mahu masuk universiti. Persis semuanya sudah terjamin, hanya perlu mengikut peredaran masa yang sudah disistemkan. Mudahnya.

Saya cukup berpuas hati membaca Jajahan Bonda. Ada keindahan yang diselitkan oleh pengarang melalui cerita ini. Kisah klise kehidupan masyarakat marhaen, membesar dalam suasana kampung, berusaha untuk berjaya dan akhirnya mengecap dewasa. Bagi saya, Jajahan Bonda ini tidak ada penamat noktahnya. 

Asbab itulah kehidupan kita semua.

Selasa, 11 Ogos 2015

HADIAH SASTERA PENULIS MUDA 2014


Kalau ditanya saya adakah ini makna kepuasan? Jawapan saya tentunya tidak. Sampai bila-bilapun kepuasan itu tidak akan tercapai. Lumrahlah manusia, bersyukur itu sangat sedikit dibaja dalam jiwa. Jadi apa yang saya dapat ini untuk apa? Untuk permulaan kepada kejayaan yang lebih besar? Ah, dari dahulu asyik ditulis permulaan, permulaan dan permulaan. Sedangkan permulaan sebenar telah lama bermula sedari saya lahir ke dunia dan setiap apa yang diperoleh merupakan perjalanannya. Penamatnya pula bila? Mati.

Kalau ditanya soal layak atau tidak, saya sendiri buntu. Sudah terima, makna layaklah agaknya. Berulang kali saya cuba baca semula cerpen itu. Biasalah, penulis yang membaca sendiri tentunya tidak menjumpai kekuatan mahupun kekurangan yang ada. Biar orang lain yang baca. Dan ya, saya pernah kirimkan cerpen itu kepada dua orang sahabat sebaik sahaja cerpen itu tersiar dalam majalah tahun lepas. Jadi, mereka sudah baca. Mereka tahu ceritanya. 

Pada saya, hadiah ini terlalu besar untuk saya yang seusia ini. Pengiktirafan sebegini rupa seharusnya mematangkan saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. Bermutu itu definisinya bagaimana? Saya ambil ucapan seorang guru saya ini.

"Ambil peluang masukkan cerita-cerita 
kehebatan Islam dalam karya, 
jadi pejuang Islam melalui penulisan mata peta."

Alangkah bertuahnya jika saya mampu menghasilkan karya bermutu yang sebegitu. Bukan tidak mahu, tetapi masih berusaha sedaya upaya. Banyak kali saya cuba selitkan, cuma terlalu sedikit. Mungkin tidak terkesan oleh pembaca, mungkin juga tidak langsung difahami sesiapa. Kata Kak Ana Balqis, tidak perlu ditulis nama Tuhan berkali-kali semata-mata mahu menunjukkan bahawa karya itu berunsur Islam. Banyak lagi cara olahan cerita yang lebih menarik boleh digunakan dan itulah kekuatan penulis yang punya iman dalam dadanya.

Oh, tahun ini sahaja sudah terlalu banyak perkara-perkara besar yang hadir kepada saya. Kata orang, berkat usaha. Memang usaha itu usaha. Namun rezeki tetap faktor utama yang lebih besar nilainya. Kadang-kadang, terfikir juga sendiri. Allah kurniakan terlalu banyak rezeki biarpun hamba-Nya ini, pendosa yang sentiasa alpa. Allahu. 

Berbalik kepada cerpen yang dinilai itu. Mencari Gerbang Mahligai Bahagia, sebuah cerpen yang sudah lama saya karang, sudah lama saya hantar dan setelah sekian lama akhirnya tersiar. Maka dikira-kira tempoh masa proses cerpen itu disiapkan, hampir tiga empat tahun. Saya mengangkat watak Iman, seorang wanita yang setia. Hidup berdikari menempuh kehidupan yang sentiasa penuh dengan masalah yang datang bertimpa-timpa. Dek kekerasan hati yang sengaja dicipta, Iman akur dilihat ego dalam dewasa. Dia, akhirnya tewas dalam mengenal makna cinta. Direndahkan hati, bersujud kepada Pencipta. Di situlah, dia jumpa gerbang mahligai bahagia. 

Hadiah ini hanyalah untuk Abah dan Umi.
Cinta yang selama-lamanya.
Moga bernoktah di syurga.


Ahad, 26 Julai 2015

ULASAN BUKU : SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN


JUDUL: SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN
NO ISBN: 978-967-133-1804
PENULIS: PARA DOKTOR DAN BAKAL DOKTOR
JENIS: CATATAN
TERBITAN: STUDIO ANAI-ANAI
MUKA SURAT: 128



Buku ini boleh dikategorikan sebagai kumpulan catatan peribadi para doktor dan bakal doktor. Ala-ala buku Catatan Mat Luthfi. Sebelum saya taburkan buah fikir saya tentang buku ini, saya ada sedikit makluman. Saya bukan doktor, malah bukan juga bakal doktor. Jadi, tulisan saya ini adalah daripada seorang budak yang selalu berjumpa doktor dan hanya memerhati doktor. Maka, memang akan ada salahnya dalam penggunaan istilah kedoktoran, ubat-ubatan, peralatan atau apa-apa sahaja yang tidak saya pelajari dan ketahui tentang doktor. Kebetulan juga, saya membaca buku ini semasa menjaga umi saya di hospital, lalu pembacaan saya mendapat lebih aura doktor-doktor! (Umi masih di hospital sejak raya ketiga sehingga saat entri ini ditulis.) Kalau Catatan Saya di Hospital, saya akan kongsikan kemudian. Yang ini cuma catatan untuk buku sahaja.

Secara keseluruhannya, buku ini ditulis dari perspektif yang cukup berbeza iaitu dari sudut pandangan seorang doktor yang bertemu dengan pesakit-pesakitnya. Banyak perkongsian peribadi, namun dengan cukup profesional tidak langsung diceritakan secara terperinci tentang pesakit-pesakit yang ditemui melainkan cetusan rasa mereka semata-mata. (Kalau dalam Facebook, habis segala caci maki, nama datuk nenek sehingga saiz baju dan seluar dalam doktor ditulis secara esei demi menunjukkan ketidakpuasan hati pesakit apabila berjumpa doktor. Trend sekarang ramai pandai menulis esei dramatik menuntut simpati kononnya.)

Sesekali saya juga tersentap dengan tulisan doktor-doktor ini. Ada juga yang membuatkan saya tersengih sendiri dan menjentik otak saya untuk berfikir. Sungguh, doktor juga manusia. Macam saya, macam awak semua. Jadi, tidak salah doktor juga mahu meluahkan perasaan mereka. Pada hemat saya, tulisan dalam buku ini terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan tahap kepenatan, kesusahan, kecemasan dan segala ke-an yang dialami oleh doktor-doktor ini. (Mungkin saya juga dapat rasa, sebab sudah berhadapan dengan berpuluh-puluh doktor, pakar, misi dan segala yang ada di hospital semata-mata untuk membantu ayah saya suatu ketika dahulu sehingga hari ini dan akan terus lagi esok esok esok dan esok.) Buku ini cukup santai. Tiada sasteranya, tiada indienya, tiada bahasa doktor yang tinggi tahapnya. Mudah sahaja untuk difahami, diteliti dan dihadam sebagai orang yang berjumpa doktor atau dengan kata lain, pesakit. 

Saya kongsikan beberapa catatan dan tulisan yang saya suka dan rasanya menarik. APA ITU IRONI? tulisan Dr. Fahd Razy amat menarik. Ada tiga catatan dengan tajuk yang sama. Ironi itu apa? Secara ringkasnya ialah perkara yang bertentangan dengan apa yang dikatakan. Senang kata, cakap tak serupa bikin. Mudahnya macam merokok. Ramai tahu merokok itu memudaratkan, tetapi masih merokok. Itulah ironi! Seterusnya catatan bertajuk LADIES ONLY, PLEASE yang cukup panjang penceritaannya. Ringkasnya, tentang orang bersalin yang mahukan doktor perempuan kerana mahu menjaga aurat. Lalu didefinisikan aurat perempuan dengan perempuan Muslim adalah dari pusat sampai ke lutut. Maka, di mana jaga auratnya? Lebih kurang begitu. Kalau mahu tahu secara terperinci perkongsiannya, baca sendiri buku ini.

Tulisan Dr, Afiq Rahim bertajuk UBAT SERIBU DALAM SATU sangat bertepatan dengan kehidupan masa kini. Terlalu banyak produk itu ini yang kononnya boleh menyembuhkan segala-gala penyakit dengan  pengambilan yang kerap. Nak lebih mujarab, tulis sahaja dibacakan ayat al-Quran, dibawa ke tujuh puluh tujuh masjid untuk dibacakan ayat-ayat. Yang betul, betullah. Yang tipu, entah. Yang pasti orang percaya dan beli. Catatan bakal Dr. Nurlisa Kamal bertajuk DATANG KLINIK MAHUNYA APA? juga cukup menarik. Pesakit datang, tunggu punya lama tetapi akhirnya diberikan panadol dua biji dan disuruh balik. Kemudian merungut. Jadi, mahu panadol bersalut emas yang harganya berjuta-juta mungkin. 

Dr. Wan Aliaa pula menulis tentang PUSAT SERVIS MANUSIA. Ada logiknya juga. Memang hospital ini sama sangat seperti bengkel dan pusat servis. Dibaiki sana sini, kalau elok, boleh bawa balik. Kalau tak elok juga, buang sahaja. Erk... Tiada doktor buang pesakit sebenarnya. Saya lihat walau nyawa tinggal senafas, selagi mereka boleh bantu dengan kudrat manusia, mereka bantu. Hebat! Dr. Huda Kamarudin pula menulis catatan MACAM-MACAM DAH SAYA KENA, DOKTOR. Kisahnya tentang misi (nurse) yang rasanya lebih banyak meluangkan masa dengan para pesakit dan para penyakit. Banyak yang saya nak cerita tentang misi ini sebenarnya, maksud saya cerita daripada sudut saya yang melihat gerak-geri misi sepanjang saya di hospital, tetapi nantilah saya kongsi.

DISCHARGE TO HEAVEN pula ditulis oleh Dr. Ainul Arina. Sedap bunyi tajuknya. Tetapi realiti bukanlah sesedap bunyi. Logik akal pun, syurga dan neraka itu bukan untuk yang hidup dengan nafas di bumi. Maka, fahamlah. CERITA SERAM pula mengingatkan saya kepada pesanan sahabat. Katanya, tempat orang sakit ini memang tempat kesukaan syaitan. Mereka mudah memperdaya pesakit untuk berputus asa dan lupa kepada Pencipta. Jadi, duduk di hospital ini kena kuat imannya juga. Insya-Allah.Cerita LIMA daripada Dr. Fieza Nur dirasakan sebagai penutup yang sangat sesuai untuk muka surat terakhir buku ini. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu.

Terima kasih doktor-doktor (dan yang seangkatan yang ada kaitan dengan doktor walau secalit) untuk jasa kalian yang terlalu besar makna pengorbanannya. Hanya Allah, yang akan membalas segala-galanya saat amalan dihitung nanti. 


Jumaat, 10 Julai 2015

ULASAN BUKU: PANGGIL AKU NAJIHA (ANA BALQIS)


JUDUL: PANGGIL AKU NAJIHA
NO ISBN: 978-983-124-511-8
PENULIS: ANA BALQIS
JENIS: NOVEL
TERBITAN: ALAF 21
MUKA SURAT: 487
HARGA: SM RM19.90 / SS RM22.90


Katanya, rentak bahasa Ana Balqis ini terlalu indah. Lalu sejak itu saya terlalu ingin membaca keindahan tinta bahasanya. Kadang-kadang untuk mencari bukti, hanya dengan dua cabang niat sahaja - menikmati atau menafi. Panggil Aku Najiha dihabiskan dalam masa hampir seminggu. Memang saya begitu, lambat membaca. Apatah lagi untuk buku-buku yang muka suratnya mencecah 500. Bagi saya, setiap satu perkataan yang ditulis tidak boleh ditinggalkan sahaja. Saya mesti menikmati semuanya. Kalau tidak, saya seperti kehilangan cerita-cerita yang dibawakan oleh penulis. Tidak kisahlah bukunya bagus atau tidak, memang cara saya begitu. 

Panggil Aku Najiha merupakan novel Ana Balqis yang pertama saya baca. Pengamatan saya tidak dapat tidak, memang corak bahasanya indah. Mungkin tiada perkataan lain yang boleh digunakan selain indah. Definisi indah? Tidak terasa bosan walau untuk dialog-dialog mudah. Terasa 'sedap' membacanya. Setiap satu bab itu sarat dengan cerita-cerita berat yang kalau ditinggalkan bab itu, maka memang terlepaslah satu cerita dan cacatlah kesinambungannya pada bab yang berikutnya.

Mungkin perbandingan begini boleh saya buat. Ada novel, perihal nak makan sehingga makanan disuakan ke dalam mulut, sudah boleh habis satu bab. Lewah dan leweh penceritaannya, padahal cuma nak diceritakan tentang makan. Panggil Aku Najiha tidak begitu, perihal makan disulam dengan dialog-dialog, reaksi, perasaan yang mengalihkan perhatian pembaca daripada makan kepada kisahnya. Makan itu cuma rencah. Ah, saya tewas untuk mendefinisikan keindahan itu secara 'indah'.

Cukup perihal buku. Kita telusuri pula kisahnya. Ada saya hubungi Ana Balqis dengan berkongsi sedikit cetusan rasa. Rupa-rupanya saya yang tidak cakna, atau terlepas pandang dengan kisah yang dibawa. Kemudian, ini balasnya.

"Menulis, kena teliti. 
Walau karya kita kecil atau mudah, 
kita kena hati-hati."

Benarlah, sekecil-kecil peristiwa dalam Panggil Aku Najiha cukup dijaga. Tidak hadir sekadar hadir, tetapi berkaitan juga dengan keseluruhan cerita yang ada. Sebab itu saya katakan bahawa tidak boleh tertinggal baca walau satu perkataan.

Panggil Aku Najiha, cerita klise! Ya, klise dengan kisah kehidupan kita. Dekat, rapat dengan diri kita yang hidup dalam serba sederhana. Tiada kaya. Tiada bayangan indah tentang cinta yang tampak direka-reka. Tiada kahwin-paksa-benci-suka-bahagia. Tiada diplotkan santapan di restoran mewah. Tiada ditunjukkan aksesori diri dengan jenama itu ini. Tiada. Memang tiada. Kisahnya tidaklah miskin. Tidak juga papa. Cuma sederhana, macam kita-kita.

Seawal pembacaan, saya juga berteka-teki. Mungkinkah Najiha dan Ellina orang yang sama? Mungkinkah Najiha hadir selepas rajuknya Ellina dengan kisah silam yang duka? Mungkinkah juga mereka sebenarnya memang orang yang berbeza. Sepanjang pembacaan, fokus saya memang tertumpu kepada Najiha. Saya sendiri didesak rasa untuk mengenali Najiha. Apakah keistimewaannya dan siapakah dia sebenarnya?

Menurut Ana Balqis, Najiha tidak disempurnakan dengan gambaran kata berlebihan pada kecantikan, keturunan atau pangkat penasabnya memandangkan Najiha adalah sahabat kita, adik atau mungkin kawan-kawan rapat kita yang tidak pernah istimewa pada mata sesiapapun. Namun pada saya, Najiha itu sendiri berkemungkinan besar adalah diri kita sendiri yang bukan pada fizikal, tetapi jauh di ufuk hati yang dipendam.

Najiha, watak yang dilumurkan dengan masalah kehidupan yang bertubi-tubi menjatuhkannya. Namun berbekalkan semangat untuk melenyapkan sejarahnya, dia bangkit membina sebuah sejarah baharu. Najiha tidak kuat. Dia juga lemah berdepan dengan tamparan-tamparan yang merenyukkan jiwa perempuannya. Soal kasih, soal keliru dan soal jodoh, bukanlah mainan yang boleh digelaktawakan dan Najiha bergelumang dalam kelabunya kebahagiaan.

Benarlah, yang kita kenal hanya pada luaran. Senyumnya dia, gagahnya dia, mungkin berpaksikan silam yang tidak pernah hilang mencucuk-cucuk jiwa. Lalu siapa kita untuk menilai kehidupan seseorang yang kita tidak pernah tahu tahap peritnya derita dia, tahap sengsaranya seksa dia. Kadang-kadang, terlalu berahsia bukan kerana tidak jujur tetapi itulah kebahagiaan dalam melenyapkan sisi hitam yang cuba dilupakan. Najiha, mungkin juga saya, mungkin juga anda semua pernah berada dalam situasi yang sama. Membuat pilihan yang ada dua, derita atau bahagia. Tiada di tengah-tengah.

Panggil Aku Najiha, suara hati kita semua dalam menjejak makna kehidupan. Erti bahagia itu bukan pada tamatnya sebuah kesengsaraan. Kebahagiaan itu ialah proses kita mempelajari serba satu pengajaran yang dihadirkan kepada kita melalui keikhlasan yang paling jernih dalam ufuk sanubari setiap insan.


Rabu, 8 Julai 2015

INSPIRASI RAMADAN #23

21 RAMADAN 1436H

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Saya sekadar membelek halaman Ramadan yang berbaki beberapa  hari sahaja lagi - kurang sepuluh. Kalau diingat-ingat, beberapa hari sahaja hujan bertandang dalam bulan barakah ini. Bersesuaianlah dengan maksud Ramadan itu sendiri, kepanasan. Bersulamkan tiga fasa yang disebut acap kali, keberkatan, keampunan dan kebebasan daripada api neraka, maka Ramadan ini terus dimeriahkan dengan jutaan umat yang dahagakan ganjaran berganda-ganda. Dengan kata lain saya juga sama, terus menghadapi Ramadan ini seperti biasa - berpasakkan azam macam awak semua.

Sedari awal, saya seolah-olah dibisukan dengan kehadiran berita-berita yang di luar jangka. Asyik dapat dan terima. Jiwa saya asyik meronta-ronta. Seboleh-bolehnya mahu dikhabarkan kepada seluruh dunia, akulah manusia yang dimaksudkan itu. Allah, besar sungguh liku uji-Nya.

Semalam, satu perkara lagi. Menjemput sengih untuk saya. Debar, usah kata. Memang tinggi pengharapannya, walau saya sedar usahanya belum tentu setanding tahap harap itu. Malu sendiri. Hanya cebis syukur, saya benihkan dalam kesucian bulan ini. Biarlah bercambah subur, lalu digugurkan riak-riak kering yang boleh membinasakan setiap pahala yang dikurnia.

Tidak cukup dengan semalam, hari ini  sengih saya dipaksa untuk pegun sahaja. Hadir yang baharu pula. Lagi dan lagi. Bibir belum boleh dibalikkan kepada bentuk asal, mulut tanpa lekuk dan ukir. Apalah lagi yang mampu saya lakukan. Apalah lagi yang boleh saya sorokkan. Kata gembira itu terlalu besar, membuatkan saya semakin kerdil.

Nikmat Tuhan apa lagi yang saya mahu dustakan?
Allah.

RABU
8 JULAI 2015


Khamis, 2 Julai 2015

INSPIRASI RAMADAN #22

15 RAMADAN 1436H

Memasuki fasa pertengahan, ketika bulan menjadi purnama dan tampak indah pada pandang sesiapa pun. Juga dengan kecaknaan manusia perihal Zuhrah dan Musytari yang dikatakan akhirnya bertemu jua. Dua bintang ini menjadi perhatian manusia-manusia dalam beberapa hari ini - planet sebenarnya.

 Di masjid semalam, sebelum memulakan solat terawih, seorang hamba Allah ini mengambil mikrofon memberikan sedikit nasihat dan peringatan kepada jemaah. Katanya sudah memasuki pertengahan Ramadan. Maka ketika ini akan mulalah berkurangnya jemaah ke masjid. Sibuk hendak persiapkan diri dan keluarga untuk raya. Walhal sepatutnya menjelang penghabisan inilah, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan walau sekali terawih. Cubalah sedaya upaya memenuhkan malam-malamnya dengan kemeriahan yang serupa awalnya.

Semalam juga, saya bersolat di sebelah seorang pak cik yang pada saya sudah terlalu tua - generasi atuk nenek. Usai bersolat, seperti biasa kami akan bersalam-salaman. Cuma ketika bersalam, pak cik itu menggenggam tangan saya, lama. Saya angkat muka, memandang raut pak cik itu dengan huluran senyuman. Pak cik itu mengangguk kecil, jelas terpancar kegembiraan pada reaksinya. Pada sebelah tangan yang terjabat, sebelah lagi tangan pak cik itu mengusap-usap tangan saya. Dia ada mengatakan sesuatu, tetapi ucapnya tidak terdengar dan sebenarnya tidak jelas. Pak cik itu bangkit, lalu beredar sebelum doa diaminkan. 

Saya ditinggalkan dengan persoalan. Mungkinkah pak cik itu memang melayan anak muda seperti saya sebegitu? Atau pak cik itu menganggap saya seperti cucu-cucunya lalu dimesrai saya dengan senyum dan gembira?

2 JULAI 2015
KHAMIS


Ahad, 28 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #21

11 RAMADAN 1436H

Tiba di kampung halaman. Tempat yang paling membahagiakan. Malam ini saya berterawih di sini. Surau lama yang memang menjadi kebiasaan saya sejak kecil. Kini surau itu sudahpun dinaik taraf menjadi masjid. Sejak hampir dua tahun lalu, solat Jumaat sudah diadakan di masjid tersebut. Fizikal masjidnya pun sudah banyak berubah - semakin besar, selesa dan yang terbaru, sudah dibina sebuah kolah untuk berwuduk. 

Saya menapak masuk. Hawa sejuk dirasai dan saya memang terlupa masjid ini memang sudah lama dipasang dengan air-cond.  Mujur tidak terlalu sejuk. Saya sekadar memerhati wajah-wajah yang ada. Cuba juga mencari-cari tubuh yang pernah duduk belajar di dalam kelas yang sama, termasuk mereka yang memang biasa terlihat di masjid itu. 

Hampa, tidak seorang pun yang dikenali. Mungkin ramai yang masih belum bercuti, sedang menuntut ilmu di sana sini. Agaknya tiba penghujung Ramadan nanti pasti akan ada mereka yang dicari. Untuk wajah-wajah tua yang selalu saya lihat dahulu, juga tidak dijumpai. Mungkin, mereka sudah tiada kudrat untuk ke masjid itu lagi - faktor usia barangkali. Mungkin juga sudah ada sebahagian daripada mereka yang telah bersemadi di alam sana. Allah. 

Tiba-tiba saya terasa seolah-olah saya berada di suatu tempat baharu yang bukan tempat saya. Jika hari-hari sebelum ini, saf akan dipenuhi dengan jiwa-jiwa muda sarat dengan kudrat yang berganda-ganda. Hari ini saya dikelilingi oleh insan-insan yang perlahan setiap satu gerak solatnya, kedutan tangan jelas menampakkan usianya bukan seperti saya, berdirinya tidak lama, ramai yang duduk sahaja. Sayunya hati. 

Saya, antara jiwa-jiwa muda yang ada. Melihat imam dan bilal di situ, saya fikir mereka juga seusia saya. Ramadan ini, mereka yang memimpin terawih untuk seluruh warga - tahun sebelum ini pun begitu. Sudah tiba masanya makna kedewasaan itu ditelusuri dengan tindakan dan pemikiran yang di luar jangka. Sampai bila mahu melihat mereka sebagai warga tua dan aku sebagai warga muda? Esok lusa, hanya kami yang akan terus menapak ke dalam masjid itu lagi. Sebab apabila tiba masa, mereka yang berusia bakal pergi dan kami akan menggantikan mereka sebagai warga tua yang baharu.

Sebenarnya tanggungjawab terhadap dunia, sudah lama tergalas di atas bahu para pemuda.
Saya, kau dan mereka.

AHAD
28 JUN 2015


Khamis, 25 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #20

8 RAMADAN 1436H

Sudah menjadi kebiasaan. Hanya pada permulaan waktu sahaja, saf akan penuh - sehingga kadang-kadang ada yang terpaksa ditambah tikar dan sejadah di ruang-ruang tambahan semata-mata mahu menampung jumlah jemaah yang ramai. Kemudian, sehari ke sehari jumlahnya mula menyusut. Sejadah dan tikar tambahan tidak lagi digunakan, disimpan dan dilipat rapi kembali ke tempat asalnya - stor. Tunggu hari raya nanti, pasti akan digunakan semula. 

Saban tahun pun begitu. Pesta bermusim. Oh, sudah seminggu berpuasa. Menghampiri pertengahan bulan. Operasi berbuka dan bersahur terus dilaksanakan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan - rasanya sudah cukup sederhana. 

Terawih di sini (maksud saya di surau kolej tumpangan saya ini) juga sama seperti yang saya ceritakan di atas. Cuma ada sesuatu yang berbeza. Mungkin juga mengubah sedikit persepsi klise saya tentang sebab berkurangnya warga terawih di surau.

Sebenarnya kami di sini masih dalam tempoh peperiksaan akhir semester. Maka, sehari ke sehari semakin ramai yang menamatkan peperiksaan mereka. Asbab itu juga warga yang ada di sini semakin berkurang kerana ramai yang mula pulang ke kampung halaman. Jadi, saf terawih memang terus berkurang dan berkurang. Saya sekadar memerhati wajah-wajah yang masih tinggal. Wajah-wajah yang sedang menahan keperitan rindu mahu berpuasa bersama-sama keluarga dan menanti waktu untuk menghabiskan peperiksaan masing-masing.

Saya pula, Insyaallah esok ialah terawih terakhir di sini dan lusa petang akan tamatlah perjuangan menempuh peperiksaan - maka berkurang seorang lagi warga di sini.

KHAMIS
25 JUN 2015


Isnin, 22 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #19

5 RAMADAN 1436H

Sebermula sehari sebelum Ramadan, saya mendapat panggilan daripada satu pihak ini. Memang tidak dijangkakan apa-apa memandangkan dalam masa terdekat ini saya tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan pihak tersebut. Walau bagaimanapun, berita yang disampaikan cukup mengejutkan saya. Saya sekadar sengih sebaik sahaja mendengar serba satu perkataan yang disebutkan. Mungkin sekarang belum tiba masanya untuk saya kongsikan. Insyaallah dalam masa dua bulan lagi. Kalau panjang umur, sempatlah.

Semalam, saya benar-benar tertarik dengan tazkirah ringkas yang dikongsikan semasa solat terawih. Perkongsian yang pada saya sangat perlu untuk difahami dengan lebih mendalam dan mesti dipegang - sepatutnya!

"Allah bukan nak lihat apa yang kita buat dalam bulan Ramadan ni saja. Allah nak tengok apa yang kita buat selepas Ramadan nanti. Sebab nak tengok kita jadi hamba Ramadan atau hamba kepada Allah."

Maka, betullah apa yang dikatakan. Bulan Ramadan ini adalah medium untuk kita mempersiapkan diri. Melatih diri untuk terus melaksanakan yang serupa seusai Ramadan nanti. Kalau berjaya di-istiqamah-kan, Insyaallah impak Ramadan terhadap hati kita akan kekal utuh dengan kemanisan iman yang tidak akan pernah hilang.

Maka kalau Ramadan masih tidak dapat mencegah kemungkaran, pasti ada yang tidak kena pada hati. Pesan sahabat, mintalah 'hati yang baharu'. Mungkin itu sahaja cara terbaik dalam mencari penyelesaian kepada sebuah ketidakadilan pada diri iaitu kemaksiatan.

Makna hamba itu, bukan terletak pada sujudnya. Sebaliknya hamba itu terletak pada sejauh mana rendahnya hati, menjadi abid buat Pencipta. (Juga hubungan sesama manusia.)

ISNIN
22 JUN 2015


Rabu, 3 Jun 2015

MENOKTAHKAN KEPUASAN


Banyak perkara yang berlaku dalam minggu ini atau secara rangkumannya dalam masa terdekat ini. Saya seolah-olah hilang kata-kata untuk dituturkan kepada sesiapa. Maksud saya, kata-kata yang bermanfaat - bukan celoteh kosong sekadar suka-suka. Mungkin juga saya yang telah lemas, ditimbun dengan urusan dunia yang sebenarnya baik tetapi disalahgunakan oleh tuan empunya badan. Biarkan dahulu, nanti saya cerita - kalau saya mahu.

Sekarang saya suka pada gambar di atas. Saya sekadar ingin berkongsi gambar ini. Saya tangkap sendiri tanpa sebarang pengeditan melalui kamera telefon mahupun aplikasi edit gambar - kecuali dengan klik butang tangkap dan 'watermark' nama itu semata-mata. Berkali-kali saya melihat gambar ini, seolah-olah tiada kepuasan untuk saya noktahkan dan saya sememangnya gemar dengan suasana dan pemandangan di situ. Ya, di dalam kampus tempat ilmu ditimba. 

Oh, ya! Siang tadi saya ada kongsikan satu kata-kata (bukan saya reka) pada laman Facebook. Saya sangat tertarik dengan kata-kata itu yang terlalu besar maknanya.

"PEOPLE WHO DO NOT UNDERSTAND YOUR SILENCE 
WILL NEVER UNDERSTAND YOUR WORDS"

Saya sudah penat sebenarnya. Banyak kali bersuara, kemudian dibisukan serta-merta. Banyak kali saya berusaha untuk memahamkan mereka, kemudian saya yang dikata tidak berusaha. Ah! Memang saya tidak mahu lagi. Saya terlalu penat - mungkin dianggap lari daripada tanggungjawab. Agaknya. Tempoh hari saya lakukan yang sama sekali lagi. Lalu seperti biasa, saya yang disalahkan semula. Biasalah, tin kosong seperti saya bunyinya nyaring dan bising. Isinya tiada, sudah ditelan ke perut menuju usus dan bakal menjadi najis sisa. Nampak persis saya yang keras kepala, tidak mahu mendengar teguran. Baik, mungkin itu yang terakhir kalinya. Tiada lagi selepas ini. Sekejap, perenggan ini bukan luahan rasa, hanya cerita kepada kata-kata yang ditulis di atas. 

Berbalik kepada tajuk. Menoktahkan kepuasan, sebenarnya hanya angan-angan. Kepuasan itu tidak akan pernah terhenti, lumrah manusia yang tidak pernah puas - tidak tahu bersyukur barangkali. Dalam masa terdekat ini, saya sedang menanti untuk menduduki peperiksaan akhir semester, menunggu kehadiran Ramadan dan mendambakan cuti semester yang diharapkan menyubur bahagia. Ha, tentang Teratak Berjasa - biar sahaja menjadi rahsia.

Sebelum saya akhiri tulisan ini, satu perkongsian lagi daripada saya. Semakin dewasa, atau sebenarnya angkara masa, sudah mula ada yang tidak jujur. Mungkin semuanya hanya sebuah keterpaksaan demi menampakkan kebaikan yang benar-benar semula jadi. Saya sekadar memerhati. Saya tidak lagi berani, mencampuri hidup manusia yang mula punya kaki untuk berdikari dalam dunia sebenar seorang dewasa yang kaya dengan kebebasan dan hak. Saya tiada sedikitpun kuasa, hatta secalitpun, untuk menentukan hidup dia, dia dan dia. 

Jadi, sampai bila-bila kepuasan itu tidak dapat dinoktahkan.
Melainkan dengan kematian.


Rabu, 20 Mei 2015

KUMPULAN CERPEN REMAJA TERATAK BERJASA


1 Mei 2015

Awal pagi 2 Mei, saya dikhabarkan bahawa buku Kumpulan Cerpen Remaja Teratak Berjasa akhirnya siap dicetak. Penantian inilah yang paling mendebarkan, juga menggembirakan. Dalam kesibukan menguruskan urusan keluarga di rumah, hadir berita yang saya tidak langsung diduga. Sempat juga buku ini berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 untuk beberapa hari. Cuma terkilan, tidak berkesempatan untuk ke sana tahun ini.

Teratak Berjasa merupakan sebuah kumpulan cerpen remaja yang menghimpunkan 15 buah cerpen secara keseluruhannya. Rata-rata kisahnya berbentuk cerita perkongsian yang mungkin akan menggugah perasaan pembaca, barangkali. Banyak kisah yang dikongsikan berkisarkan kisah diri seorang pelajar, juga catatan pengalaman semasa pengembaraan. 

Oh ya, buku ini sebenarnya dihasilkan sebagai buah tangan kami yang ke kota Eropah suatu masa lalu. Sebab itulah adanya kisah pengembaraan dalam buku ini. Tidak banyak, tetapi tetap ada. Juga kisah-kisah yang berkaitan dengan persediaan sebelum dan selepas pengembaraan. 

Melihat wajah buku ini tanpa memegang sendiri umpama penyeksaan yang teramat menyakitkan. Namun hari ini, 20 Mei 2015 akhirnya saya telah dapat melihat dan memegang buku ini secara nyata. Sungguh, keterujaan itu menjadi luar biasa. Gembiranya tidak terkata. Syukurlah kuntuman rasa yang paling setia harapnya. 

Teratak Berjasa, dahulu saya hanya menanti.
Hari ini sudah menjadi realiti.

"Sayang semakin pudar, 
kasih semakin rapuh. 
Lama-lama hampir 
pupus.

-Teratak Berjasa- 


Ahad, 5 April 2015

MENGEJAR TABAH


Suatu tempoh yang dirasakan cukup panjang, biarpun sebenarnya tidak. Entahlah. Saya cuba mengejar apa sahaja yang boleh dikejar. Selagi terdaya - kononnya ada tenaga. Namun semakin dikejar, semakin jauh larinya. Hendak menyentuh walau sedikitpun, tidak tercapai. Saya sendiri buntu. Mungkinkah saya yang mengejar, atau saya yang dikejar?

Cuma satu yang pasti, jaraknya menjadi semakin jauh. Sukar digambarkan dengan kata-kata biasa. Yang tahu ukuran jauh itu hanya seketul naluri di ufuk paling legap dalam seketul hati. Dek kejauhan itu, perasaan untuk terus mengejar seperti sudah mula hanyut dan bakal tenggelam- karam dan tidak ditemukan lagi. Tidak! Kalau karam, itu bermakna putus asa. Sedangkan janji telah termeterai untuk terus berusaha. 

Benar, terasa jauh. Sangat jauh. Tiada lagi sebarang rasa yang membuatkan malu itu bertandang. Tiada rasa takut, tiada rasa bakal binasa. Aduh, di mana boleh dicari semula semua itu? Biar ditanam benih-benihnya, tanah itu sudah tidak mahu membiarkannya tumbuh lagi. Tanah itu sudah kosong, terbiar dan tidak akan ada lagi kesuburan yang akan menghidupkan sebuah kedamaian. Jika ada yang cuba menggembur semula, taburkan baja, rasanya masih ada secalit harapan. Agaknya.

Sekarang, berbalik kepada perkara yang dikejar. Kadang kala setiap kali perkara yang dikejar itu hampir sahaja untuk dicapai, pasti hadir pula perkara lain. Halangan yang membuatkan genggaman tangan terlepas, lalu bebaslah semula semuanya. Saat itu, bongkah kegagalan seolah-olah terus menghempap tubuh. Maka, matilah satu impian tanpa sempat dijunjung.

Aduh. Dalam tempoh ini juga kerap sungguh sakit itu hadir, berkunjung mesra menyapa dengan lagak biasa. Sekali hadir, seluruh masa terpaksa dikorbankan untuk memesrai sakit itu dengan layanan terbaik- sehingga urusan yang ada dilupakan secara paksa rela.

Andainya mampu saya katakan kepada sakit supaya keluar dan pergi ke tempat lain, 
tentunya sakit kecewa. Sudahlah datangnya sekali -sekala, dihalau pula. 
Sedangkan hadirnya membawa pesanan sahaja.

Katanya kepada saya, 
kau terlalu leka!


Jumaat, 20 Mac 2015

MEMAKNAKAN PENDIDIKAN


Saya akan cuba menulis catatan kali ini tanpa sebarang perkataan yang memberatkan mana-mana pihak. Saya bukan mahu menulis tentang politik, isu semasa mahupun perkara yang tersebar luas di media-media maya. Hanya sedikit perkongsian rasa yang dipendam - atau lebih tepat difikirkan.

Pernah dahulu seawal kemasukan saya ke universiti ini, saya berbual-bual dengan seorang rakan. Dia ceritakan kepada saya tentang kisah kehidupannya. Maka, saya terus kepada kesimpulan iaitu dia hebat! Kita semua tahu, perjalanan hidup kita ini penuh dengan ketundukan terhadap pelbagai perkara - daripada cara hendak berjalan sehingga berpakaian, daripada pendidikan sehingga perkahwinan, malah kematian juga perlu diturutkan sistem. Ya, kita semua tunduk kepada sistem. Semua yang dilakukan hanya berpaksikan kepada 'kehendak' dan 'kewajipan' yang tidak boleh dielak. Perlu diikutkan, atau pilih untuk hidup merempat tanpa kerja dan duit. (Namun tidak semua orang juga punya kerja, ramai sahaja yang menganggur.) 

Saya tidak pernah langsung terfikir, untuk tidak meneruskan pengajian. Mungkin kerana saya juga sudah disistemkan dengan liku-liku perjalanan yang telah diaturkan. Maka saya juga seorang penurut! Saya ikutkan sahaja, tanpa memikirkan sebarang kemungkinan seperti yang orang lain alami. Rakan saya itu sebagai contohnya. Dia bukan seorang penurut! Dia punya pilihan dan keputusan yang lahir bukan daripada sistem. Mendapat tawaran ke universiti, baginya ialah satu peluang yang teramat istimewa. Mereka memandang tinggi erti universiti itu. Mereka masih menggantungkan harapan kepada universiti yang akan menjadi sebuah jambatan menuju kejayaan. 

Sedangkan kami (lebih tepat saya) memandang semua itu dari sudut yang berbeza. Kami sudah diracunkan dengan kepentingan pendidikan, keharusan mengejar kertas bernama sijil dan kewajipan mencari nilai nombor-nombor yang paling besar hanya empat! Hasilnya, keberadaan kami di universiti dianggap 'biasa'. Sedangkan, ramai sahaja orang lain yang benar-benar mendaki setiap satu tangga dengan penuh kepayahan demi mencapai puncak menara gading.

Tempoh hari, saya berbual-bual pula dengan seorang lagi rakan. Kami bercerita tentang kepayahan mencari kerja dan perbezaan bentuk kebahagiaan yang dicapai oleh setiap insan. Sekali lagi saya diketuk dengan rasa malu. Katanya, dia tidak pernah memandang pendidikan. Semua itu terlalu payah untuk dicapai, terlalu sukar untuk digapai terutamanya bagi mereka yang bukanlah dari sekolah-sekolah terkemuka yang mempunyai pelajar-pelajar hebat.

Maka, dia telah menetapkan hala tujunya untuk meneruskan kehidupan dengan pekerjaan sekiranya tiada tempat buatnya untuk ke universiti. Dia juga saya anggap hebat! Setidak-tidaknya dia sudahpun tahu ke mana harus dituju. Pendidikan baginya hanya satu nilai tambah untuk seorang manusia sebelum mencapai sesuatu yang diimpikan -kejayaan berbentuk kebahagiaan. Syukur, dia kini bersama-sama saya di suatu tempat bernama universiti.

Sungguh, mereka berdikari dengan kehidupan sendiri, tidak pernah dimanjakan dengan suapan. Mereka bangun, mereka bangkit dengan kerelaan hati. Mereka memaknakan pendidikan itu dengan cara yang paling istimewa. Bagi saya, mereka juga masih berada di dalam ruang likup sebuah sistem. Namun mereka menelusuri sistem itu dengan impian tersendiri. Sedang saya, masih tercari-cari apakah makna pendidikan buat diri?


Selasa, 17 Februari 2015

MENDONGAK


Sisa-sisa hari yang berbaki untuk dinikmati dengan penuh kebahagiaan. Harapnya. Kelihatan seperti mudah, tetapi tidak sebenarnya. Masa yang ada itu terlalu singkat - cepat dan rakus. Tidak sempat mahu dilakukan segala-galanya yang terfikir - jua terancang sebelum pulang tempoh hari.

Cuti semester yang kurang dua puluh hari. Saya rangkumkan sahaja percutian ini sebagai harapan. Impian yang masih belum dicapai - belum terlaksana. Dalam tempoh kurang dua puluh hari ini juga, tentunya kami dengan debaran yang menghentam kuat, penuh setia menantikan keputusan peperiksaan akhir semester yang lalu.

Semestinya semua orang mahukan keadilan, keputusan yang setimpal dengan usaha. Sudah sepanjang hari bergulat dengan buku, menghafal serba satu maklumat, khatamkan buku rujukan setebal-tebal alam dari kulit ke kulit. Mampu? Kekuatan dan kemampuan itu hanya hadir tatkala peperiksaan tiba. Tipikal manusia bergelar pelajar. Saya juga begitu sebab saya manusia dan saya pelajar. 

Baiklah. Kurang sebulan, keputusan siap. Saya tidaklah begitu teruja, apatah gembira dengan apa yang saya terima. Mungkin usaha saya teramat kurang - atau mungkin kurang berkatnya. Yang saya harapkan tentunya tidak tercapai. Seperti selalu juga. Apa nak dikisahkan? Saya bukanlah budak pandai. Maka, wajarlah takat itu sahaja yang saya dapat. Dari pandangan kasarnya, macam tidak bersyukur. Saya diam dahulu.

Syukur, sepatutnya hadir dengan keikhlasan. Dua-dua yang tidak mampu dinilai dengan kata-kata sebenarnya. Cuma dari dalam hati, diri sendiri yang tahu kesucian syukur dan ikhlas yang dizahirkan. Tidak kira apa jua caranya.

Jadi saya memilih untuk tersengih dan tersenyum sendiri. Seorang diri, melepasi saat-saat yang berlalu pergi. Pasakkan dalam hati, selepas ini buat yang lebih baik. Biar tidak pandai, asalkan ada usaha. Lebih daripada biasa, berganda-ganda. Jadi sengih lagi. Sebab tahu, semua itu hanya kata-kata dusta memujuk hati. Buatnya entah sedikit, entah langsung tiada. Baik, malu pada tubuh sendiri.

Sengih-sengih sampai ke pipi.
Tiba-tiba terdengar riuh.
Dongak sahaja.
Oh, ramai lagi di atas.

Usai mendongak, sekali lagi malu pada tubuh sendiri. Konon-konon sahaja hiburkan hati. Tak kisah. Yang penting sengih itu bernilai. Bukan sengih kosong. Biar tidak seperti mereka yang di atas sana, asalkan saya mampu tersengih juga.

Oh ya, berapa saya dapat? Cukup-cukup minum sahaja. Kalau mahu makan, kena usaha lebih lagi nampaknya. Bukan kena sebenarnya, mesti. Ya, satu kemestian.


Selasa, 10 Februari 2015

ULASAN BUKU : CATATAN MAT LUTHFI


JUDUL: CATATAN MAT LUTHFI
NO ISBN: 978-967-369-279-8
PENULIS: MAT LUTHFI 
JENIS: KUMPULAN CATATAN 
TERBITAN: PUTEH PRESS
MUKA SURAT: 239
HARGA: RM25

Buku ini saya beli pada awal Disember yang lalu. Hari ini baru berkesempatan membacanya. Tiga jam setengah masa digunakan untuk menelusuri kisahnya dari kulit ke kulit. Memandangkan buku ini merupakan kompilasi tulisan-tulisan Mat Luthfi, tentunya satu nama tersohor yang dikelilingi dengan penyokong dan peminat yang ramai, siapalah saya untuk mengulas tulisan-tulisannya. 

Sudah dijudulkan sebagai Catatan Mat Luthfi, tidak dinafikan hampir setiap muka surat berkisahkan kehidupan empunya nama. Ditambah dengan perasa sarkastik dan mesej-mesej yang sekali dua perlu difikir. 

Serasa saya, buku ini bukanlah bahan jenaka. Bukan juga untuk suka-suka. Bacaan saya tidak menemui butang gelak yang membolehkan saya ketawa. Sesekali sahaja tersengih sendiri. Mungkin bukan lawak, cuma terkena pada batang hidung sendiri.

Baiklah. Soal menarik atau tidak, tentunya menarik! Buku penuh warna-warni, diselitkan kartun-kartun comel dan meriah dengan sususan yang tampak kemas dan tersusun. Soal isinya, masing-masing punya pendapat. Kalau suka, sukalah. Kalau tidak (rasanya taklah sampai tidak menarik), tidaklah. Pada mulanya saya fikir bahan ini boleh dibaca secara santai, namun sebaliknya. Hampir 50% tulisannya dalam Bahasa Inggeris yang serba sedikit mengganggu keterujaan para pembaca (tentu saya dilabel sebagai 'tak pandai English la tu'). Katakan apa sahaja. Setiap orang ada cara membaca yang tersendiri. Keasyikan membelek dan meneliti satu persatu perkataan pastinya tidak serupa. Cukup.

Saya teruskan dengan satu catatan Mat Luthfi yang sangat menarik.
Letaknya di halaman 207.


Tentang kebebasan untuk pilih menjadi baik apabila berada di tempat orang. Atau jauh daripada orang-orang dikenali. Tidak semestinya perlu berada di luar negara. Mudah sangat menjadi baik apabila diri dicap sebagai orang asing dan hidup sendiri-sendiri.

Sedangkan di negara sendiri atau di tempat sendiri, menjadi baik ini ada syaratnya. Menjadi baik itu perlu mengikut spesifikasi tertentu yang telah ditetapkan oleh pandangan dan kata-kata orang awam. Mungkin dengan memakai serban, barulah menjadi baik. Mungkin dengan memakai tudung labuh, barulah menjadi baik. Huh, susah.

Dan panopticotic- saya tidak pasti maksudnya yang sebenar. Yang saya faham, panopticon itu adalah seolah-olah berada dalam lingkungan yang sempit dan kecil, yang sentiasa diperhatikan dan dikawal. Atau dengan kata lain- terkongkong. 

Agaknya begitulah yang cuba disampaikan oleh Mat Luthfi melalui
 kefahaman saya sendiri. 
Agaknyalah.

Wanariahamiza

Khamis, 15 Januari 2015

BERTITIKNOKTAHKAN PERMULAAN


Hari-hari semalam yang berat.

Jika difikir soal mahu, mulut terlebih dahulu menyata tidak sedangkan kudrat setia menabur manfaat. Terasa terlalu singkat, mengimbau permulaan yang tidak sedikitpun ada senyuman dan kegembiraan. Dalam perih ketidakrelaan, perjalanan diteruskan biar terikat dengan keterpaksaan. Sungguh, ada dia dan Dia yang sentiasa menyedia tongkat, ampu, agar tidak rebah tersungkur mencium tanah. 

Cuba - hanya kata dusta. 
Usaha - nilai sendiri cerminan jiwa. Mampu - itu yang dia kata.

Sekarang, sudah tiba noktah pertama. Berat, masih terasa sama. Apa penantian ini suatu pengorbanan? Mungkin. Kata dia, sejati. Apalah sangat erti sejati? Biarlah.

Menanti hari-hari esok pula. Dua perkara perdana yang menjanjikan senyuman. Dua kepastian, bukanlah bukti untuk mendepang dada ke depan. Sekadar persinggahan, mungkin ubat untuk kelaraan.

Wanariahamiza

Jumaat, 9 Januari 2015

DOA USAHA TAWAKAL


Klise sangat tajuknya. Semua orang akan menggunakan tiga kata ini dalam kehidupan seharian. Namun sejauh mana sebenarnya seseorang itu meletakkan doa, usaha dan tawakal sebagai medium perantara sebelum sesuatu kejayaan ditempa. Ya, kejayaan. Sangat subjektif. Apapun yang dicapai, sedikit mahupun banyak, bernilai atau tidak, kejayaan tetap kejayaan. 

Sebenarnya, saya amat tertarik untuk berkongsi sebuah cerita yang dikongsikan oleh rakan-rakan melalui whatsapp beberapa hari lalu. Kisahnya mudah, berkisahkan kehidupan semasa anak muda tentang doa, usaha dan tawakal. Cerita ini, bukan saya yang tulis. Saya sekadar berkongsi. 


"Tak nak tidur lagi ke? Esokkan dah exam. Aku tengok kau dah banyak malam stay up study. Rasa aku apa yang kau study dah habiskan?" 

"Emm habis. Tapi aku risau otak aku ni haa. Kalaulah tiba-tiba 'hang' waktu jawab esok, hancur result aku" 

Sahabatnya bingkas bangun mendekatinya.
"Kau kena ingat, otak tu makhluk Allah, ciptaan Allah, asalkan kau tahu, apa saja yang bernyawa dalam dunia ni semua Allah kawal. Termasuk otak kau, otak aku. Sahabat ingat ya, sekuat mana pun kau study, kau hafal, kau takkan pernah rasa cukup "

"Kau nak tahu kenapa? Sebab usaha tanpa tawakal. Aku rasa masa-masa macam ni bila-bila pun, kau yakin, kau tawakal pada Allah dengan apa kau belajar malam ni"

"Ingat, bukan otak kau cemerlangkan kau, bukan tangan lecturer yang buat kau dekan, tapi tu semua Allah"

"Nasihat aku, cukuplah kau study semampu kau, selebihnya kau serahkan pada Allah, minta rahmat dari-Nya moga apa yang kau study semua Allah pulangkan pada kau bila kau perlukan semua ilmu tu balik. Ilmu tu Allah yang punya. "

"Tawakal bukan untuk exam sahaja, lepas exam, dapat result, semualah. Yakin pada Allah ok" 

Looking forward for Allah's blessing throughout the examinations day and everyday in life.


Saya terdiam sendiri membaca cerita ini. Lalu saya teringatkan mereka. Saya lihat mereka bersungguh-sungguh menyemak semula jawapan mereka sebaik sahaja keluar dari dewan peperiksaan. Kalau betul, seronoklah. Kalau salah, muncul kekecewaan. Eh, bukan mereka sahaja. Saya juga! 

Betapa tipisnya erti tawakal dalam diri. Saya tidak boleh ikut cara mereka. Saya bukan seperti mereka, sepatutnya!Tawakal itu kebergantungan kepada Allah, bukan suku, bukan separa, bukan sebahagian tetapi sepenuhnya! Mungkin disebut tawakal, tetapi tindakan langsung tidak mengertikannya. 

Doa usaha tawakal,
rahsia kejayaan sebenar.

Wanariahamiza