Jumaat, 20 Mac 2015

MEMAKNAKAN PENDIDIKAN


Saya akan cuba menulis catatan kali ini tanpa sebarang perkataan yang memberatkan mana-mana pihak. Saya bukan mahu menulis tentang politik, isu semasa mahupun perkara yang tersebar luas di media-media maya. Hanya sedikit perkongsian rasa yang dipendam - atau lebih tepat difikirkan.

Pernah dahulu seawal kemasukan saya ke universiti ini, saya berbual-bual dengan seorang rakan. Dia ceritakan kepada saya tentang kisah kehidupannya. Maka, saya terus kepada kesimpulan iaitu dia hebat! Kita semua tahu, perjalanan hidup kita ini penuh dengan ketundukan terhadap pelbagai perkara - daripada cara hendak berjalan sehingga berpakaian, daripada pendidikan sehingga perkahwinan, malah kematian juga perlu diturutkan sistem. Ya, kita semua tunduk kepada sistem. Semua yang dilakukan hanya berpaksikan kepada 'kehendak' dan 'kewajipan' yang tidak boleh dielak. Perlu diikutkan, atau pilih untuk hidup merempat tanpa kerja dan duit. (Namun tidak semua orang juga punya kerja, ramai sahaja yang menganggur.) 

Saya tidak pernah langsung terfikir, untuk tidak meneruskan pengajian. Mungkin kerana saya juga sudah disistemkan dengan liku-liku perjalanan yang telah diaturkan. Maka saya juga seorang penurut! Saya ikutkan sahaja, tanpa memikirkan sebarang kemungkinan seperti yang orang lain alami. Rakan saya itu sebagai contohnya. Dia bukan seorang penurut! Dia punya pilihan dan keputusan yang lahir bukan daripada sistem. Mendapat tawaran ke universiti, baginya ialah satu peluang yang teramat istimewa. Mereka memandang tinggi erti universiti itu. Mereka masih menggantungkan harapan kepada universiti yang akan menjadi sebuah jambatan menuju kejayaan. 

Sedangkan kami (lebih tepat saya) memandang semua itu dari sudut yang berbeza. Kami sudah diracunkan dengan kepentingan pendidikan, keharusan mengejar kertas bernama sijil dan kewajipan mencari nilai nombor-nombor yang paling besar hanya empat! Hasilnya, keberadaan kami di universiti dianggap 'biasa'. Sedangkan, ramai sahaja orang lain yang benar-benar mendaki setiap satu tangga dengan penuh kepayahan demi mencapai puncak menara gading.

Tempoh hari, saya berbual-bual pula dengan seorang lagi rakan. Kami bercerita tentang kepayahan mencari kerja dan perbezaan bentuk kebahagiaan yang dicapai oleh setiap insan. Sekali lagi saya diketuk dengan rasa malu. Katanya, dia tidak pernah memandang pendidikan. Semua itu terlalu payah untuk dicapai, terlalu sukar untuk digapai terutamanya bagi mereka yang bukanlah dari sekolah-sekolah terkemuka yang mempunyai pelajar-pelajar hebat.

Maka, dia telah menetapkan hala tujunya untuk meneruskan kehidupan dengan pekerjaan sekiranya tiada tempat buatnya untuk ke universiti. Dia juga saya anggap hebat! Setidak-tidaknya dia sudahpun tahu ke mana harus dituju. Pendidikan baginya hanya satu nilai tambah untuk seorang manusia sebelum mencapai sesuatu yang diimpikan -kejayaan berbentuk kebahagiaan. Syukur, dia kini bersama-sama saya di suatu tempat bernama universiti.

Sungguh, mereka berdikari dengan kehidupan sendiri, tidak pernah dimanjakan dengan suapan. Mereka bangun, mereka bangkit dengan kerelaan hati. Mereka memaknakan pendidikan itu dengan cara yang paling istimewa. Bagi saya, mereka juga masih berada di dalam ruang likup sebuah sistem. Namun mereka menelusuri sistem itu dengan impian tersendiri. Sedang saya, masih tercari-cari apakah makna pendidikan buat diri?