Ahad, 5 April 2015

MENGEJAR TABAH


Suatu tempoh yang dirasakan cukup panjang, biarpun sebenarnya tidak. Entahlah. Saya cuba mengejar apa sahaja yang boleh dikejar. Selagi terdaya - kononnya ada tenaga. Namun semakin dikejar, semakin jauh larinya. Hendak menyentuh walau sedikitpun, tidak tercapai. Saya sendiri buntu. Mungkinkah saya yang mengejar, atau saya yang dikejar?

Cuma satu yang pasti, jaraknya menjadi semakin jauh. Sukar digambarkan dengan kata-kata biasa. Yang tahu ukuran jauh itu hanya seketul naluri di ufuk paling legap dalam seketul hati. Dek kejauhan itu, perasaan untuk terus mengejar seperti sudah mula hanyut dan bakal tenggelam- karam dan tidak ditemukan lagi. Tidak! Kalau karam, itu bermakna putus asa. Sedangkan janji telah termeterai untuk terus berusaha. 

Benar, terasa jauh. Sangat jauh. Tiada lagi sebarang rasa yang membuatkan malu itu bertandang. Tiada rasa takut, tiada rasa bakal binasa. Aduh, di mana boleh dicari semula semua itu? Biar ditanam benih-benihnya, tanah itu sudah tidak mahu membiarkannya tumbuh lagi. Tanah itu sudah kosong, terbiar dan tidak akan ada lagi kesuburan yang akan menghidupkan sebuah kedamaian. Jika ada yang cuba menggembur semula, taburkan baja, rasanya masih ada secalit harapan. Agaknya.

Sekarang, berbalik kepada perkara yang dikejar. Kadang kala setiap kali perkara yang dikejar itu hampir sahaja untuk dicapai, pasti hadir pula perkara lain. Halangan yang membuatkan genggaman tangan terlepas, lalu bebaslah semula semuanya. Saat itu, bongkah kegagalan seolah-olah terus menghempap tubuh. Maka, matilah satu impian tanpa sempat dijunjung.

Aduh. Dalam tempoh ini juga kerap sungguh sakit itu hadir, berkunjung mesra menyapa dengan lagak biasa. Sekali hadir, seluruh masa terpaksa dikorbankan untuk memesrai sakit itu dengan layanan terbaik- sehingga urusan yang ada dilupakan secara paksa rela.

Andainya mampu saya katakan kepada sakit supaya keluar dan pergi ke tempat lain, 
tentunya sakit kecewa. Sudahlah datangnya sekali -sekala, dihalau pula. 
Sedangkan hadirnya membawa pesanan sahaja.

Katanya kepada saya, 
kau terlalu leka!