Ahad, 26 Julai 2015

ULASAN BUKU : SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN


JUDUL: SATU SUDU TEH SELEPAS MAKAN
NO ISBN: 978-967-133-1804
PENULIS: PARA DOKTOR DAN BAKAL DOKTOR
JENIS: CATATAN
TERBITAN: STUDIO ANAI-ANAI
MUKA SURAT: 128



Buku ini boleh dikategorikan sebagai kumpulan catatan peribadi para doktor dan bakal doktor. Ala-ala buku Catatan Mat Luthfi. Sebelum saya taburkan buah fikir saya tentang buku ini, saya ada sedikit makluman. Saya bukan doktor, malah bukan juga bakal doktor. Jadi, tulisan saya ini adalah daripada seorang budak yang selalu berjumpa doktor dan hanya memerhati doktor. Maka, memang akan ada salahnya dalam penggunaan istilah kedoktoran, ubat-ubatan, peralatan atau apa-apa sahaja yang tidak saya pelajari dan ketahui tentang doktor. Kebetulan juga, saya membaca buku ini semasa menjaga umi saya di hospital, lalu pembacaan saya mendapat lebih aura doktor-doktor! (Umi masih di hospital sejak raya ketiga sehingga saat entri ini ditulis.) Kalau Catatan Saya di Hospital, saya akan kongsikan kemudian. Yang ini cuma catatan untuk buku sahaja.

Secara keseluruhannya, buku ini ditulis dari perspektif yang cukup berbeza iaitu dari sudut pandangan seorang doktor yang bertemu dengan pesakit-pesakitnya. Banyak perkongsian peribadi, namun dengan cukup profesional tidak langsung diceritakan secara terperinci tentang pesakit-pesakit yang ditemui melainkan cetusan rasa mereka semata-mata. (Kalau dalam Facebook, habis segala caci maki, nama datuk nenek sehingga saiz baju dan seluar dalam doktor ditulis secara esei demi menunjukkan ketidakpuasan hati pesakit apabila berjumpa doktor. Trend sekarang ramai pandai menulis esei dramatik menuntut simpati kononnya.)

Sesekali saya juga tersentap dengan tulisan doktor-doktor ini. Ada juga yang membuatkan saya tersengih sendiri dan menjentik otak saya untuk berfikir. Sungguh, doktor juga manusia. Macam saya, macam awak semua. Jadi, tidak salah doktor juga mahu meluahkan perasaan mereka. Pada hemat saya, tulisan dalam buku ini terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan tahap kepenatan, kesusahan, kecemasan dan segala ke-an yang dialami oleh doktor-doktor ini. (Mungkin saya juga dapat rasa, sebab sudah berhadapan dengan berpuluh-puluh doktor, pakar, misi dan segala yang ada di hospital semata-mata untuk membantu ayah saya suatu ketika dahulu sehingga hari ini dan akan terus lagi esok esok esok dan esok.) Buku ini cukup santai. Tiada sasteranya, tiada indienya, tiada bahasa doktor yang tinggi tahapnya. Mudah sahaja untuk difahami, diteliti dan dihadam sebagai orang yang berjumpa doktor atau dengan kata lain, pesakit. 

Saya kongsikan beberapa catatan dan tulisan yang saya suka dan rasanya menarik. APA ITU IRONI? tulisan Dr. Fahd Razy amat menarik. Ada tiga catatan dengan tajuk yang sama. Ironi itu apa? Secara ringkasnya ialah perkara yang bertentangan dengan apa yang dikatakan. Senang kata, cakap tak serupa bikin. Mudahnya macam merokok. Ramai tahu merokok itu memudaratkan, tetapi masih merokok. Itulah ironi! Seterusnya catatan bertajuk LADIES ONLY, PLEASE yang cukup panjang penceritaannya. Ringkasnya, tentang orang bersalin yang mahukan doktor perempuan kerana mahu menjaga aurat. Lalu didefinisikan aurat perempuan dengan perempuan Muslim adalah dari pusat sampai ke lutut. Maka, di mana jaga auratnya? Lebih kurang begitu. Kalau mahu tahu secara terperinci perkongsiannya, baca sendiri buku ini.

Tulisan Dr, Afiq Rahim bertajuk UBAT SERIBU DALAM SATU sangat bertepatan dengan kehidupan masa kini. Terlalu banyak produk itu ini yang kononnya boleh menyembuhkan segala-gala penyakit dengan  pengambilan yang kerap. Nak lebih mujarab, tulis sahaja dibacakan ayat al-Quran, dibawa ke tujuh puluh tujuh masjid untuk dibacakan ayat-ayat. Yang betul, betullah. Yang tipu, entah. Yang pasti orang percaya dan beli. Catatan bakal Dr. Nurlisa Kamal bertajuk DATANG KLINIK MAHUNYA APA? juga cukup menarik. Pesakit datang, tunggu punya lama tetapi akhirnya diberikan panadol dua biji dan disuruh balik. Kemudian merungut. Jadi, mahu panadol bersalut emas yang harganya berjuta-juta mungkin. 

Dr. Wan Aliaa pula menulis tentang PUSAT SERVIS MANUSIA. Ada logiknya juga. Memang hospital ini sama sangat seperti bengkel dan pusat servis. Dibaiki sana sini, kalau elok, boleh bawa balik. Kalau tak elok juga, buang sahaja. Erk... Tiada doktor buang pesakit sebenarnya. Saya lihat walau nyawa tinggal senafas, selagi mereka boleh bantu dengan kudrat manusia, mereka bantu. Hebat! Dr. Huda Kamarudin pula menulis catatan MACAM-MACAM DAH SAYA KENA, DOKTOR. Kisahnya tentang misi (nurse) yang rasanya lebih banyak meluangkan masa dengan para pesakit dan para penyakit. Banyak yang saya nak cerita tentang misi ini sebenarnya, maksud saya cerita daripada sudut saya yang melihat gerak-geri misi sepanjang saya di hospital, tetapi nantilah saya kongsi.

DISCHARGE TO HEAVEN pula ditulis oleh Dr. Ainul Arina. Sedap bunyi tajuknya. Tetapi realiti bukanlah sesedap bunyi. Logik akal pun, syurga dan neraka itu bukan untuk yang hidup dengan nafas di bumi. Maka, fahamlah. CERITA SERAM pula mengingatkan saya kepada pesanan sahabat. Katanya, tempat orang sakit ini memang tempat kesukaan syaitan. Mereka mudah memperdaya pesakit untuk berputus asa dan lupa kepada Pencipta. Jadi, duduk di hospital ini kena kuat imannya juga. Insya-Allah.Cerita LIMA daripada Dr. Fieza Nur dirasakan sebagai penutup yang sangat sesuai untuk muka surat terakhir buku ini. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu.

Terima kasih doktor-doktor (dan yang seangkatan yang ada kaitan dengan doktor walau secalit) untuk jasa kalian yang terlalu besar makna pengorbanannya. Hanya Allah, yang akan membalas segala-galanya saat amalan dihitung nanti. 


Jumaat, 10 Julai 2015

ULASAN BUKU: PANGGIL AKU NAJIHA (ANA BALQIS)


JUDUL: PANGGIL AKU NAJIHA
NO ISBN: 978-983-124-511-8
PENULIS: ANA BALQIS
JENIS: NOVEL
TERBITAN: ALAF 21
MUKA SURAT: 487
HARGA: SM RM19.90 / SS RM22.90


Katanya, rentak bahasa Ana Balqis ini terlalu indah. Lalu sejak itu saya terlalu ingin membaca keindahan tinta bahasanya. Kadang-kadang untuk mencari bukti, hanya dengan dua cabang niat sahaja - menikmati atau menafi. Panggil Aku Najiha dihabiskan dalam masa hampir seminggu. Memang saya begitu, lambat membaca. Apatah lagi untuk buku-buku yang muka suratnya mencecah 500. Bagi saya, setiap satu perkataan yang ditulis tidak boleh ditinggalkan sahaja. Saya mesti menikmati semuanya. Kalau tidak, saya seperti kehilangan cerita-cerita yang dibawakan oleh penulis. Tidak kisahlah bukunya bagus atau tidak, memang cara saya begitu. 

Panggil Aku Najiha merupakan novel Ana Balqis yang pertama saya baca. Pengamatan saya tidak dapat tidak, memang corak bahasanya indah. Mungkin tiada perkataan lain yang boleh digunakan selain indah. Definisi indah? Tidak terasa bosan walau untuk dialog-dialog mudah. Terasa 'sedap' membacanya. Setiap satu bab itu sarat dengan cerita-cerita berat yang kalau ditinggalkan bab itu, maka memang terlepaslah satu cerita dan cacatlah kesinambungannya pada bab yang berikutnya.

Mungkin perbandingan begini boleh saya buat. Ada novel, perihal nak makan sehingga makanan disuakan ke dalam mulut, sudah boleh habis satu bab. Lewah dan leweh penceritaannya, padahal cuma nak diceritakan tentang makan. Panggil Aku Najiha tidak begitu, perihal makan disulam dengan dialog-dialog, reaksi, perasaan yang mengalihkan perhatian pembaca daripada makan kepada kisahnya. Makan itu cuma rencah. Ah, saya tewas untuk mendefinisikan keindahan itu secara 'indah'.

Cukup perihal buku. Kita telusuri pula kisahnya. Ada saya hubungi Ana Balqis dengan berkongsi sedikit cetusan rasa. Rupa-rupanya saya yang tidak cakna, atau terlepas pandang dengan kisah yang dibawa. Kemudian, ini balasnya.

"Menulis, kena teliti. 
Walau karya kita kecil atau mudah, 
kita kena hati-hati."

Benarlah, sekecil-kecil peristiwa dalam Panggil Aku Najiha cukup dijaga. Tidak hadir sekadar hadir, tetapi berkaitan juga dengan keseluruhan cerita yang ada. Sebab itu saya katakan bahawa tidak boleh tertinggal baca walau satu perkataan.

Panggil Aku Najiha, cerita klise! Ya, klise dengan kisah kehidupan kita. Dekat, rapat dengan diri kita yang hidup dalam serba sederhana. Tiada kaya. Tiada bayangan indah tentang cinta yang tampak direka-reka. Tiada kahwin-paksa-benci-suka-bahagia. Tiada diplotkan santapan di restoran mewah. Tiada ditunjukkan aksesori diri dengan jenama itu ini. Tiada. Memang tiada. Kisahnya tidaklah miskin. Tidak juga papa. Cuma sederhana, macam kita-kita.

Seawal pembacaan, saya juga berteka-teki. Mungkinkah Najiha dan Ellina orang yang sama? Mungkinkah Najiha hadir selepas rajuknya Ellina dengan kisah silam yang duka? Mungkinkah juga mereka sebenarnya memang orang yang berbeza. Sepanjang pembacaan, fokus saya memang tertumpu kepada Najiha. Saya sendiri didesak rasa untuk mengenali Najiha. Apakah keistimewaannya dan siapakah dia sebenarnya?

Menurut Ana Balqis, Najiha tidak disempurnakan dengan gambaran kata berlebihan pada kecantikan, keturunan atau pangkat penasabnya memandangkan Najiha adalah sahabat kita, adik atau mungkin kawan-kawan rapat kita yang tidak pernah istimewa pada mata sesiapapun. Namun pada saya, Najiha itu sendiri berkemungkinan besar adalah diri kita sendiri yang bukan pada fizikal, tetapi jauh di ufuk hati yang dipendam.

Najiha, watak yang dilumurkan dengan masalah kehidupan yang bertubi-tubi menjatuhkannya. Namun berbekalkan semangat untuk melenyapkan sejarahnya, dia bangkit membina sebuah sejarah baharu. Najiha tidak kuat. Dia juga lemah berdepan dengan tamparan-tamparan yang merenyukkan jiwa perempuannya. Soal kasih, soal keliru dan soal jodoh, bukanlah mainan yang boleh digelaktawakan dan Najiha bergelumang dalam kelabunya kebahagiaan.

Benarlah, yang kita kenal hanya pada luaran. Senyumnya dia, gagahnya dia, mungkin berpaksikan silam yang tidak pernah hilang mencucuk-cucuk jiwa. Lalu siapa kita untuk menilai kehidupan seseorang yang kita tidak pernah tahu tahap peritnya derita dia, tahap sengsaranya seksa dia. Kadang-kadang, terlalu berahsia bukan kerana tidak jujur tetapi itulah kebahagiaan dalam melenyapkan sisi hitam yang cuba dilupakan. Najiha, mungkin juga saya, mungkin juga anda semua pernah berada dalam situasi yang sama. Membuat pilihan yang ada dua, derita atau bahagia. Tiada di tengah-tengah.

Panggil Aku Najiha, suara hati kita semua dalam menjejak makna kehidupan. Erti bahagia itu bukan pada tamatnya sebuah kesengsaraan. Kebahagiaan itu ialah proses kita mempelajari serba satu pengajaran yang dihadirkan kepada kita melalui keikhlasan yang paling jernih dalam ufuk sanubari setiap insan.


Rabu, 8 Julai 2015

INSPIRASI RAMADAN #23

21 RAMADAN 1436H

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Saya sekadar membelek halaman Ramadan yang berbaki beberapa  hari sahaja lagi - kurang sepuluh. Kalau diingat-ingat, beberapa hari sahaja hujan bertandang dalam bulan barakah ini. Bersesuaianlah dengan maksud Ramadan itu sendiri, kepanasan. Bersulamkan tiga fasa yang disebut acap kali, keberkatan, keampunan dan kebebasan daripada api neraka, maka Ramadan ini terus dimeriahkan dengan jutaan umat yang dahagakan ganjaran berganda-ganda. Dengan kata lain saya juga sama, terus menghadapi Ramadan ini seperti biasa - berpasakkan azam macam awak semua.

Sedari awal, saya seolah-olah dibisukan dengan kehadiran berita-berita yang di luar jangka. Asyik dapat dan terima. Jiwa saya asyik meronta-ronta. Seboleh-bolehnya mahu dikhabarkan kepada seluruh dunia, akulah manusia yang dimaksudkan itu. Allah, besar sungguh liku uji-Nya.

Semalam, satu perkara lagi. Menjemput sengih untuk saya. Debar, usah kata. Memang tinggi pengharapannya, walau saya sedar usahanya belum tentu setanding tahap harap itu. Malu sendiri. Hanya cebis syukur, saya benihkan dalam kesucian bulan ini. Biarlah bercambah subur, lalu digugurkan riak-riak kering yang boleh membinasakan setiap pahala yang dikurnia.

Tidak cukup dengan semalam, hari ini  sengih saya dipaksa untuk pegun sahaja. Hadir yang baharu pula. Lagi dan lagi. Bibir belum boleh dibalikkan kepada bentuk asal, mulut tanpa lekuk dan ukir. Apalah lagi yang mampu saya lakukan. Apalah lagi yang boleh saya sorokkan. Kata gembira itu terlalu besar, membuatkan saya semakin kerdil.

Nikmat Tuhan apa lagi yang saya mahu dustakan?
Allah.

RABU
8 JULAI 2015


Khamis, 2 Julai 2015

INSPIRASI RAMADAN #22

15 RAMADAN 1436H

Memasuki fasa pertengahan, ketika bulan menjadi purnama dan tampak indah pada pandang sesiapa pun. Juga dengan kecaknaan manusia perihal Zuhrah dan Musytari yang dikatakan akhirnya bertemu jua. Dua bintang ini menjadi perhatian manusia-manusia dalam beberapa hari ini - planet sebenarnya.

 Di masjid semalam, sebelum memulakan solat terawih, seorang hamba Allah ini mengambil mikrofon memberikan sedikit nasihat dan peringatan kepada jemaah. Katanya sudah memasuki pertengahan Ramadan. Maka ketika ini akan mulalah berkurangnya jemaah ke masjid. Sibuk hendak persiapkan diri dan keluarga untuk raya. Walhal sepatutnya menjelang penghabisan inilah, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan walau sekali terawih. Cubalah sedaya upaya memenuhkan malam-malamnya dengan kemeriahan yang serupa awalnya.

Semalam juga, saya bersolat di sebelah seorang pak cik yang pada saya sudah terlalu tua - generasi atuk nenek. Usai bersolat, seperti biasa kami akan bersalam-salaman. Cuma ketika bersalam, pak cik itu menggenggam tangan saya, lama. Saya angkat muka, memandang raut pak cik itu dengan huluran senyuman. Pak cik itu mengangguk kecil, jelas terpancar kegembiraan pada reaksinya. Pada sebelah tangan yang terjabat, sebelah lagi tangan pak cik itu mengusap-usap tangan saya. Dia ada mengatakan sesuatu, tetapi ucapnya tidak terdengar dan sebenarnya tidak jelas. Pak cik itu bangkit, lalu beredar sebelum doa diaminkan. 

Saya ditinggalkan dengan persoalan. Mungkinkah pak cik itu memang melayan anak muda seperti saya sebegitu? Atau pak cik itu menganggap saya seperti cucu-cucunya lalu dimesrai saya dengan senyum dan gembira?

2 JULAI 2015
KHAMIS