Selasa, 6 Oktober 2015

PURA-PURA


Dalam sebuah perjalanan yang terlalu panjang, kamu tekad mahu mengikut desakan jiwa yang membawa kamu sehingga ke suatu tempat asing yang kamu sendiri tidak pasti namanya. Mungkin pulau, bukit, gunung atau kayangan yang wujudnya di atas awan-awan putih dengan bidadari-bidadari bersayap, jelita. Kamu sendiri tertanya-tanya, perjalanan sebegitukah yang kamu mahukan? Atau kamu hanya menurut takdir yang mengalirkan kamu dalam detik masa yang tiada hentinya. Kamu acap kali mengeluh, kamu kerap kali mendengus, kamu banyak beralasan. Namun kamu tetap meneruskan  perjuangan. Atas dasar apa? Kamu perlu melihat kaki kamu. Gagahkan kaki itu agar kamu mampu berdiri sendiri. Bukannya dengan bantuan pengandas-pengandas ghaib yang membantu kamu untuk bangkit. Kamu lembik!

Kamu sudah sedia tahu perjalanan yang kamu lalui itu memang banyak ranjaunya. Luka-luka kecil, silih menghias betis kamu dengan calaran panjang yang menampakkan kesan kemerah-merahan. Kamu juga sedar langkah yang kamu atur sudah menyimpang daripada haluan sebenar. Kamu mungkin tidak akan sampai ke tempat yang sedang dituju kalau kamu terus begitu. Kamu boleh sesat! Itu bukan perjalanan kamu yang sepatutnya. Kamu perlu mendongak semula. Pandang ke hadapan dan hiruplah udara mewah itu agar kamu kembali bertenaga. Mulakan perjalanan semula. Kamu tidak akan mampu berpatah balik, melainkan kamu mahu tempuh dan cari jalan lain yang akan mempertemukan kau dengan cahaya yang menyilau itu semula. 

Puas kamu mengerah kudrat kamu, masih tidak berjumpa dengan jalan yang sepatutnya. Sesekali tersadung, kamu rebah. Kamu pejamkan mata, mengharapkan keajaiban yang bakal menamatkan segala kesusahan yang sedang kamu alami. Kamu bangkit dalam pasrah, tetapi kamu tidak berubah. Kamu ini, banyak angan-angan sahaja. Jangan sekadar berharap tanpa derap usaha yang mantap. Mungkin kamu menanti datangnya musibah lain, barulah kamu mendongak mengharap tabah.

Kamu hampir tiba ke sebuah tempat yang samar-samar sahaja tampaknya. Persis ada kehidupan yang sedang membina sebuah ketamadunan di situ. Kamu mula gusar. Kamu dan mereka tidak sama. Mungkinkah mereka akan menerima kamu atau kamu yang harus menerima mereka seadanya. Perlukah kamu mengikut lagak budaya mereka semata-mata mahu diterima sebagai salah seorang komuniti di situ? Kamu hilang arah. Yang kamu tahu kamu akan bertindak mengikut nafsu. Oh ya. Hanya dengan berpura-pura. Mereka pasti akan menerima kamu. Kamu memilih topeng-topeng gembira demi menutup kesengsaraan yang kamu kendong sepanjang perjalanan ke sini. Kamu tiba. Kamu diterima. Kamu bahagia dikelilingi mereka. Cuma kurangnya satu.

 Apakah kepura-puraan yang sedang kamu tunjukkan sebenarnya?

Puaskah begitu?