Ahad, 29 November 2015

BUKAN ZON BIASA


Mungkin, berada di tempat yang sama akan membuatkan kita dibelenggu dengan beban rasa yang serupa. Berat, sendat yang menjurus ke arah luka. Mungkin juga akibat memendam rasa. Sesekali, saya keluar dari zon yang memerangkap saya dalam dunia berlatarkan masa. Bukan untuk lari, bukan juga untuk sembunyi.

Tiba-tiba terdetik satu fikir yang saya tidak pernah jangka. Hadirnya, apabila saya berada di suatu tempat yang bukan zon biasa. Di situ, saya jumpa bahagia. Walau untuk tempoh yang tidak panjang, tetap senyum mendakap saya. Terlalu banyak yang ingin saya ungkap, juga kongsikan buat semua. Cuma saya tidak berupaya. Cukuplah sekadar rasa itu singgah menyapa, mencalit kenangan lama untuk ditinta dalam minda dan ingatan yang dipunggah semula.

Insan-insan yang saya jumpa, terima kasih atas segalanya.
Sekarang saya kembali ke zon biasa. Mungkin kalian, hanya menjadi bayangan lama dan konkrit-konkrit tidak sempurna akan menghempap tubuh kecil saya seperti sedia kala. Apapun, rindu itu bertaut dalam ukwah yang pernah kita bina.

Harap saya, mekar semuanya.
Biar indah belaka.

Sabtu, 7 November 2015

RESAH DI PADANG PASRAH


"Kerana kita sahabat. 
Nilai untuk hari ini tidak senilai hari esok. 
Biar aku betul-betul bernilai pada hari ini 
kerana dapat bersua dengan sahabatku 
sebelum esok yang entah aku ada atau tidak lagi."
Hafizul Faiz

Hampir sebulan saya tidak menulis langsung di laman ini. Saya cuba mengingat semula hari-hari semalam saya, mungkinkah saya yang memang sibuk sehingga terlupa untuk menitipkan tinta atau saya sengaja melupakan ruangan ini seketika. Saya tidak pasti. kedua-duanya boleh menjadi jawapan kepada persoalan yang saya wujudkan sendiri itu. 

Kadang-kala, wajar juga rasanya untuk saya rehatkan diri daripada terus mencoretkan buah fikir menjadi kata-kata bertulis. Saya cuba melawan desakan hati yang meronta-ronta mengarahkan jari-jemari saya supaya laju menaipkan apa sahaja yang dirasa. Puas saya bertarung, melawan jiwa yang memberontak merasakan bahawa dirinya raja, fikirnya konon bijaksana belaka. Saya cuba, sehabis daya. 

Tidak dinafikan, saya yang terseksa tetapi setidak-tidaknya saya telah melalui segala-galanya dalam resah di padang pasrah. Benar, kita tidak selamanya betul. Sesekali, ada juga yang akan terluka dek bait kata yang sebenarnya tajam menghiris, malah merobek rakus jiwa-jiwa insan yang sebenarnya terlalu tipis, penuh dengan kedukaan. Lalu, diam itu lebih baik bukan? Lebih banyak manfaatnya berbanding terus menjawab persoalan-persoalan yang mungkin akan terus menambah kepedeihan luka yang telah tersedia.

Banyak perkara yang berlaku, banyak juga yang saya hampir terlupa atau lebih tepat saya memang cuba melupakannya. Cara itu lebih baik saya kira. Memikirkan perkara-perkara yang tiada manfaatnya, hanya sia-sia. Saya cuba mencari kebahagiaan, walau saya tidak tahu bagaimana bentuknya. Saya cuba mencari ketenangan, walau saya tidak tahu bagaimana rasanya. Saya cuba mencari keseronokan, walau saya tidak tahu bagaimana rentaknya. Sebenarnya saya yang tiada matlamat dalam pencarian agaknya - masih berfikir.

Oh ya, ada insan yang membuatkan saya tahu rasa menghargai dan dihargai. Hanya dengan mengikis sedikit rasa ego, tampal dengan rasa tolak ansur. Tampak cacat barangkali, tetapi hasilnya lebih indah setelah diselongkar di sudut paling dalam hati manusia sejati. Manusia sejati itu seperti kata-kata yang saya kongsikan di ruangan teratas coretan ini agaknya. Bahasanya terlalu indah sehingga membuatkan saya teringat keindahan persahabatan yang ditakdirkan menjadi sebahagian daripada kalam hidup saya. Alhamdulillah.

Cinta?
Mungkin saya temukan tatkala bersua muka dengan insan-insan tersayang di rumah
untuk tempoh percutian yang seminggu ini
atau lebih daripada itu.
Terima kasih semuanya.