Sabtu, 30 Januari 2016

ULASAN BUKU : ZOMBI RUMI (HANIFF YUSOFF)


JUDUL : ZOMBI RUMI
NO ISBN: 978-967-11289-7-8
PENULIS: HANIFF YUSOFF
JENIS: KUMPULAN CERPEN
TERBITAN: LEGASI OAKHEART
MUKA SURAT: 87

Buat pencinta bahasa, Zombi Rumi adalah antara naskhah terbaik untuk kalian baca. Buku 87 muka surat ini merupakan kumpulan 11 buah cerpen hasil garapan kecintaan Haniff Yusoff yang benar-benar sayang akan bahasanya. Sukar untuk saya katakan cerpen-cerpen di dalam ini lebih sesuai kepada golongan yang mana. Remaja boleh, dewasa pun boleh. Menghabiskan buku ini, saya berpendapat bahawa penulis memang seorang yang suka berimaginasi dan berfantasi.

Rata-rata karyanya mengangkat suatu subjek yang luar dari pemikiran waras seorang manusia, namun tetap berlandaskan kritikan yang mahu dibawa - naratif agaknya perkataan yang sesuai. Penulis tidak banyak menggunakan laras bahasa yang terlalu tinggi, cukup mudah untuk difahami dengan susunan yang sangat cantik. Perkara-perkara lewah sukar ditemukan dalam cerpen-cerpennya, sebaliknya terus kepada cerita yang hendak disampaikan.

Cerpen Naskhah Toklah, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut, Zombi Rumi, Leluhur dan Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami dilihat begitu sarat dan berat dengan mesej diadun rapi dalam plot keseluruhannya. Cerpen Seredup Belantara Cinta, Semoga Alam Tidak Mentertawakan Kita Lagi, Asar di Penghujung Tahun, Anak Si Penjual Santan, Dunia Baruku dan Kongsi pula lebih ringan kisahnya, mengangkat kisah kehidupan biasa masyarakat dalam menempuh hari-hari yang berlalu.

Tiga buah cerpen menjadi kesukaan saya iaitu Leluhur, Kongsi dan tentunya Zombi Rumi yang menduduki carta teratas (pernah juga saya nyatakan tentang kesukaan ini dalam ulasan buku Bukan Dorman yang lalu).

Cerpen Kongsi hanya kisah mudah yang mengangkat erti perkongsian, persahabatan dan pengharapan. Mungkin juga kisah ini selalu berlaku dalam kehidupan kita semua sehari-harian. Walaupun sudah dipasakkan dalam fikir bahawa sesuatu pemberian itu perlulah ikhlas tanpa mengharapkan pembalasan, sesakali kita juga dimamah emosi apabila tergelincir dalam kekecewaan.

Cerpen Leluhur pula pada hemat saya adalah kisah yang cuba mengangkat tentang tulisan jawi dan kemusnahan legasinya pada masa kini. Watak Abang Awi dan Tok Mat adalah perlambangan kepada tulisan jawi itu sendiri dan generasi terdahulu yang menggunakannya. Olahan cerita penulis membuatkan saya benar-benar berada di Negeri Silam dan Negeri Sekarang yang permai. Cerpen Leluhur ini turut tersenarai sebagai 30 cerpen terbaik dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 yang lalu.

Akhirnya, cerpen Zombi Rumi bukan sekadar kisah zombi. Isunya diangkat di Lorong 152 iaitu perlambangan kepada Akta 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan. Saya tidak tahu kenapa, cerpen ini sangat menarik dan seperti ada sumpahan yang memaksa saya untuk menyukainya.

Secara keseluruhan, buku Zombi Rumi mungkin tampak tipis pada fizikalnya. Namun, tebalnya ketelitian dan sentuhan penulis menjadikannya hebat, malah berat untuk diangkat jika tanpa ilmu yang padat.



Isnin, 25 Januari 2016

DIA : SEBAHAGIAN DIRINYA ADA DALAM TERASING


Terasing. Berkali-kali saya cuba mencarinya. Berkali-kali juga saya berusaha untuk mendapatkan buku ini. Masih saya tidak menjumpainya. Yang ini, juga bukan milik saya. Hanya dipinjam daripada seorang teman. Sudah memadai untuk saya membacanya, namun tetap belum puas untuk memilikinya. Saya didesak runtunan jiwa sendiri, saya mesti membacanya. Kali ini, saya tidak berniat untuk mengulas apa-apa tentang buku ini. Betapa saya merasakan buku ini adalah jiwa yang tidak boleh saya bongkarkan - yang perlu saya jaga. Saya cuma mahu berkongsi, tentang rasa, tentang cerita yang mungkin tidak ada sesiapa yang lain yang mengalaminya. 

Pernah dahulu, dia bersungguh-sungguh ceritakan kepada saya tentang buku ini. Tanpa pinta, dia penuhkan minda saya dengan sinopsis jalan cerita - tentunya dengan mesej yang ada dalam setiap plot perjalanan dan makna di sebalik judul yang diguna. Saya tidak tahu kenapa, mencari buku ini seperti satu impian ketika itu. Bukan semata-mata atas cadangan dia sebagai seorang teman, tetapi kerana satu keinginan. Mungkin juga, satu amanah daripadanya walaupun dia sendiri tidak berikan kepada saya- atau Tuhan sengaja meletakkan takdir untuk saya membaca Terasing dengan sentuhan-Nya. 

Terasing bukan sekadar buku. Itu kata saya kepadanya. Sungguh, dia adalah sebahagian daripada Terasing. Saya gagal menelusuri Terasing dalam rencam jalan cerita penulis, saya tewas untuk menikmati kisah yang dibawa. Saya melihat - dia dalam setiap kata dan dia dalam setiap peristiwa. Allah, sentuhan sebak itu hadir berkali-kali. Kalaulah itu tuntutan syukur yang perlu saya lunaskan, ruginya saya menjadi manusia yang sentiasa berfikir untuk maju ke depan, tetapi ditinggalkan hati dan iman. Terima kasih teman.

"Kalau kamu faham apa yang aku katakan ini, 
maka binalah diri kamu mulai hari ini. 
Kemudian dengan yakin, kamu lamarilah dia." 
(Terasing, Hilal Asyraf)



Rabu, 20 Januari 2016

ULASAN BUKU : KUNANG PESISIR MORTEN (RAIHA BAHAUDIN)


JUDUL : KUNANG PESISIR MORTEN
NO ISBN: 978-967-0723-21-1
PENULIS: RAIHA BAHAUDIN
JENIS: NOVEL
TERBITAN: NUBOOK
MUKA SURAT: 212

Saya tidak tahu dari mana harus saya mulakan ulasan ini. Masih seperti biasa, ulasan saya hanya picisan jika mahu dibandingkan dengan karyanya. Buku ini, bukan milik saya. Cuma dipinjam daripada teman atas cadangannya. Saya tidak akan menyentuh sinopsis novel ini, tetapi terus kepada perkara-perkara menarik yang diterjemahkan dalam kefahaman saya sendiri. Kita lihat dahulu kulitnya. Dari awal lagi redup mata anak kecil itu memanggil-manggil saya untuk menelusuri kisah di dalamnya. Senyumnya tanpa makna, mungkin belum tahu apa itu kehidupan dan lagaknya, saya simpulkan sebagai anak jalanan. Puas saya larikan pandangan saya ke beberapa sudut, tetap dengan sumpahan yang tidak terlawan - anak kecil itu masih memandang saya tanpa henti. Ah, saya tewas. Saya harus berkenalan dengannya. Mungkin dia sedang beruasaha untuk sampaikan kepada saya satu rahsia.

Saya perlu pecahkan ulasan ini kepada beberapa perkara. Pertama, wataknya. Pembawaan penulis persis mengangkat watak Dhiya sebagai tonggaknya. Namun, watak Aku (yakni Adi) lebih menyerlah apabila setiap perilaku dan takah Dhiya diceritakan oleh Adi. Bermakna Dhiya bergerak seiring dengan Adi. Lalu saya keliru, entah yang mana satu perlu saya fokuskan. Sebenarnya, penggunaan watak Aku menjadikan saya lebih dekat dalam perjalanan cerita ini, seolah-olah saya yang sedang berkawan dengan Dhiya, macam saya yang bermain bersama-sama Dhiya dan seperti Dhiya bergelak tawa dengan saya. Yang pasti, dekat! Kemudian hadir pula Lim, watak yang menjadi penyambung kepada cerita yang dibawa. Banyak lagi watak lain yang disebut, mungkin sekadar penambah perasa - tetapi tanpa mereka tidak pula sempurna ceritanya. Jadi, hadir mereka juga penting, bukan hadir suka-suka. Ha, saya terfikir mungkin penulis ialah Dhiya dan mungkin juga penulis ialah Adi yang memerhati persekitaran hidupnya ketika kecil, kemudian sengaja diwujudkan Dhiya sebagai penggerak kepada keseluruhan Kunang Pesisir Morten.

Penulis cukup berani. Mewatakkan kanak-kanak seusia sembilan tahun untuk mengawal keseluruhan emosi pembaca, juga untuk mendukung tanggungjawab memimpin sesiapa sahaja yang tersesat ke Kampung Morten dari kulit buku sehingga kulit penutupnya. Kewibawaan kanak-kanak ternyata lebih berkesan. Selaku 'orang tua', saya juga terus melayan sahaja kisah anak-anak yang tampak seperti tidak penting - melayan sehingga akhirnya saya temui sesuatu yang mereka cuba katakan melalui cara mereka. Lalu tidak salah kalau saya katakan, buku ini layak dibaca oleh kanak-kanak yang sukakan buku cerita. Juga layak dibaca remaja yang mahu mengenal ilmu tentang tempat di Melaka. Akhirnya, layak buat golongan dewasa yang lebih matang dalam menilai makna dan mengkaji tentang suatu luahan rasa. Kisah Dhiya, sesuatu yang baharu buat saya. Landskap kehidupan dan geografi yang berbeza pasti sekali akan membentuk manusia mengikut cara yang tidak serupa. Ah, zaman kanak-kanak saya tidak seperti mereka. Jauh bezanya, saya tidak tahu bermain ketam, saya tidak membesar dalam setinggan dan saya tidak pernah merasa kesusahan. Tentu sekali, Dhiya tidak mahu bersahabat dengan saya. 

Cukup. Kita lihat pula ruang lingkup kehidupan Dhiya. Penulis sengaja menyempitkan kawasan untuk Dhiya, Adi dan Lim berlegar-legar. Cukup dari Kampung Morten ke Kampung Jawa dan beberapa jalan ceruk di Kota Melaka, saya ulang beberapa. Tidak sampai satu negeri langkah mereka berlari, tetapi membuatkan penghayatan pembaca menjadi lebih luas dari sekadar tanah Melaka. Bukan imaginasi, hatta ilusi. Hanya yang baca tahu sejauh mana mereka mampu pergi bersama-sama Dhiya, Adi dan Lim. Terminalnya satu sahaja, Kampung Morten. Fikir saya, sesuai dengan usia mereka untuk tidak berjalan jauh dari rumah dan keluarga. Mereka tetap kanak-kanak yang perlu patuh pada arahan orang tua. 

Sehingga hari ini, saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke Melaka. Yang saya tahu, gahnya Melaka dengan nama bandaraya, A Famosa yang diabadikan dalam foto setiap kaki yang memijak tanah sana, juga dengan sejarah kegemilangan dalam buku teks yang diulang sebut tanpa dijadikan pedoman untuk mengembalikan sejarahnya. Namun penulis telah memperkenalkan saya kepada Melaka (walaupun untuk gambaran sekitar 1984) yang lebih kecil skopnya, yang lebih miskin latarnya, yang lebih berat budayanya. Kalaulah masih wujud kawasan seperti yang diceritakan (yang asli seperti dalam buku), tentu saya akan jejakkan tubuh ke sana untuk bertemu Dhiya. Saya akan bawakan hadiah buatnya agar dia tahu makna gembira dalam beri dan terima. Ah, Morten - Dhiya - Melaka - macam sudah bermukim dalam minda saya.

Banyak persoalan yang boleh saya nyatakan. Cuma nanti kalau saya senaraikan satu persatu, jadi skema seperti buku teks komsas di sekolah. Saya tahu penulis cuba membawakan luahan yang lebih besar maknanya, kritikan sosial yang lebih mencabar dan tentunya kekesalan yang lebih mendalam terhadap pemodenan di kawasan kediaman Dhiya sehingga hilangnya sebuah warisan atas dasar pembangunan. Saya tidak begitu tertarik dengan kisah Dhiya, Adi dan Lim berniaga untuk mengumpul duit, juga kisah mereka berusaha untuk menyelesaikan kes kehilangan harta warisan milik Haji Ibrahim. Yang saya benar-benar terkesan ialah apabila penulis menjadikan watak kanak-kanak sebagai penghubung kepada dua bangsa yang saling hidup dalam kotak bangsa sendiri tanpa mahu bergaul kecuali atas dasar 'baik harus dibalas baik'. Mungkin kanak-kanak lebih mudah untuk masuk ke rumah bangsa yang lain, akalnya lebih cetek, si dewasa juga tidak begitu kisah kerana mereka hanya budak-budak. Sedangkan, perkara kecil sebegitulah sebenarnya mampu menjadi akar kepada sebuah perpaduan yang tidak pernah disangka-sangka. Bukti literalnya, ada dalam novel ini apabila Lim menyahut salam perkenalan oleh Dhiya dan mereka berdua menjual makanan bangsa berbeza di kawasan bangsa mereka (cucur udang dan popia nyonya). Baca sendiri untuk tahu kisah jualan itu. 

Saya cukup faham tentang nilai persahabatan anak-anak kecil yang lebih tulus, lurus dan hampir kosong dendam dan hasad. Senang kalau saya kata suci. Penulis tidak perlu pun memaparkan nilai satumeleysea dengan memasukkan ketiga-tiga bangsa yang begitu sinonim dengan perpaduan tetapi cukup dua bangsa, jadi satu cerita dan tali persahabatan yang sangat indah terbina. Zaman kanak-kanak, tidak perlu terlalu banyak fikirnya. Berjumpa pada petang hari untuk bermain bersama-sama seperti sudah masuk  ke pintu syurga. Jiwa saya, walau kental tetap terusik dalam babak-babak terakhir novel ini. Saat Lim dan Adi tahu bahawa Dhiya dan ibunya bakal berpindah, mereka sedaya upaya mencari sesuatu yang berharga untuk diberikan kepada Dhiya kerana mereka tahu, perpisahan adalah noktah fizikal yang bakal mereka hadapi. Apalah daya anak kecil untuk menghalang perpisahan, tambahan pula untuk tahun 1984 yang tiada Whatsapp, Facebook, malah surat pun tidaklah sebati buat budak sembilan tahun. Cuma jiwa mereka, kekal bertaut dalam persahabatan yang dicipta. Saya tewas untuk ini.

Satu lagi, penulis cuba membawa satu isu yang macam tiada penyelesaiannya di negara kita. Dhiya dan Tam diangkat sebagai budak hingusan yang mempunyai IQ yang sangat hebat. Pada awal pembacaan, saya terasa seperti tidak logik apabila Dhiya berjaya menyelesaikan satu kes kematian dengan bukti ala-ala detektif. Namun, semakin lama saya mula faham. Dhiya bukan budak biasa yang tahu ke sekolah, balik bermain dan ulangi semuanya sehingga tamat persekolahan dalam kitaran sistem pendidikan yang sudah dipasang cip 'turut' pada otak setiap bayi yang lahir di Malaysia. Dhiya ialah kanak-kanak luar biasa yang dewasa, dia ini mungkin satu dalam seratus atau entah-entah satu dalam sepuluh. Maka, jumlah mereka seperti ini adalah ramai dan bukannya sedikit. Begitu juga Tam. Dia memilih untuk tidak bersekolah kerana sudah terlalu bosan dengan apa yang dipelajarinya, lalu memilih untuk bertindak di luar jangka dengan kemahiran dan kepandaian yang dia ada kerana baginya keseronokan itu lebih bahagia daripada kebosanan menundukkan kepala menurut sistem yang dungu. Namun, ada satu perkataan yang sangat perlu untuk diteliti.  'Ketirisan' yang digunakan oleh penulis untuk mengangkat isu ini sudah terlalu mendalam terjemahan dan huraiannya. Carilah sendiri apa yang tiris, apa yang tidak.

Saya tidak pasti yang ini hanya saya syok sendiri atau memang benar penulis yang sengaja coretkan begitu. Ada satu perca dalam novel ini ditulis seperti satu catatan penulis. Dikisahkan mengapa watak kanak-kanak digunakan, apa isu yang cuba disampaikan dan seperti secara terus menjawab beberapa persoalan yang bermain di benak fikir pembaca. Baiklah, lupakan kekalutan untuk perenggan yang ini.

Kunang Pesisir Moreten, sebuah kisah yang sangat hebat. Mungkin saya lebihkan Dhiya, namun saya tetap tidak melupakan Aku (yakni Adi) yang menceritakan perihal Dhiya. Juga Lim dan segala watak yang mewarnai sisi setinggan tepi sungai di sebuah kota - Melaka. 

Mereka ialah kunang-kunang yang memberi cahaya
kepada Kampung Morten.


Ahad, 17 Januari 2016

JANGAN MANJA JANGAN MISKIN


Seputar awal tahun baharu yang cukup sarat dengan pelbagai arca kehidupan baharu, juga cebis-cebis kedewasaan yang mendesak semua minda untuk sedar - bangkit dengan tunjang kecerdikan yang berteraskan iman. Hati, terus pasakkan pada acuan ketuhanan jika mahu cahaya hadir menerangkan kesuraman jiwa seorang manusia berdosa. Hampir seminggu setelah saya menamatkan peperiksaan akhir semester, kini barulah saya benar-benar lapang. Maksud saya, lapang daripada urusan perjalanan yang jauh. Pembacaan saya banyak tertumpu kepada beberapa 'isu semasa' (yang datang dan akan pergi sedikit masa lagi) terutamanya tentang kelaparan. Saya fikir ini ialah isu kemanusiaan. Mungkin sudah tiba masanya bantuan makanan perlu disalurkan ke negara ini juga - risau jika ada yang kebuluran.

"Dalam ralit bergulat dengan nota-nota, tadi terbaca sesuatu yang menggugah rasa. Tulisnya, kadang- kadang yang selalu main-main, tidak hadir kuliah, baca sekali sebelum periksa, terus faham dan ingat. Ada juga yang berkali-kali diulang kaji subjek dan kursus, masih juga tidak mampu mencapai keputusan yang terbaik. Dirangkumkan olehnya, mungkin pahala kedua-dua cara berlainan kiraannya. Yang berterusan berusaha, yang sekali suap sahaja. Juga, tahap keikhlasan dalam memahami apa yang dipelajari tentunya tidak sama. Di situlah kita akan faham, makna sebenar ilmu."

Facebook, 10 Januari 2016

Catatan ini saya coretkan dalam Facebook kira-kira seminggu yang lalu. Saat itu, saya terasa betapa miskinnya saya dengan ilmu. Tempoh pengajian yang panjang disimpulkan hanya untuk dua atau tiga hari sebelum berjuang di medan peperiksaan. Bersenjatakan pen dan kertas, semata-mata. Sedang nota-nota dalam ingatan hanya untuk dimuntahkan sepenuhnya sewaktu pertempuran. Akhirnya, kosong semula otak. Tiada yang dihadam, tiada yang kekal sebagai ilmu. Lalu tunduklah diri, menoleh semula melihat permulaannya. Niat itu letaknya kepada siapa? Ah, persis bukan perjuangan namanya! Kalau benar menara gading dijejak demi ilmu, puncaknya bukan dewan peperiksaan tetapi taman-taman syurga yang harum dengan kerendahan hati yang menerimanya. Sungguh, miskin ilmu terlalu menyeksakan. Saya petik pula kata-kata seorang teman yang mengulas tentang manjanya mahasiswa. 

"Maka ketika itu, 
mahasiswa universiti memang manja. 
Menjadi mahasiswa universiti tetapi 
tidak mahu memperdalam ilmu selain 
apa yang ada di bilik-bilik kuliah, 
tidak mahu memberatkan kepala 
dengan penerokaan ilmu yang lebih luas, 
tidak mempunyai rasa kebertanggungjawaban 
terhadap masyarakat luar 
melainkan belajar hanya 
untuk kesenangan diri semata-mata, 
dan tidak mahu peduli apa yang sedang berlaku 
sekurang-kurangnya dalam negara sendiri 
asalkan mampu dapat CGPA tinggi."

Ahmad Muziru Idham, Facebook

Membaca buah fikirnya, lalu saya sendiri keliru. Saya memikirkan tentang kemiskinan dalam diri seorang mahasiswa dan dia pula mentakrifkan sikap mahasiswa yang sebegitu sebagai manja. Saya tidak berani untuk mengulas tentang isu-isu yang sedang diperkatakan. Saya faham mereka, baik di pihak satu, baik di pihak dua. Saya juga faham (walaupun tidaklah sehingga arif) tentang kehidupan dan corak perjalanan serta liku-liku mahasiswa. Namun saya tidak pernah berada dalam mana-mana situasi. Mungkin Allah sudah menganugerahkan saya dengan kecukupan yang di luar jangka, walau saya tahu pengertian cukup itu sahaja sudah bervariasi terjemahannya. Cuma satu, lihat sahaja di sekeliling. Dek kerana makhluk bernama duit, bencana emosi, pertelagahan buah fikir, malah pengabdian disanggupi oleh kita semua (termasuk saya). 

Mana perginya khalifah dengan akal cendekia? 
Mana letaknya waras seorang hamba? 

Selagi berpegang dengan agama, memaknai ilmu yang ada, nescaya tidak sesatlah kita mencari pintu syurga. Allah, kalau saya dikurniakan kepandaian dengan cara sebegitu, lebih rela saya menjadi tidak tahu agar saya sentiasa sedar ada Tuhan yang meminjamkan cerdik buat hamba yang daif ilmunya.


Sabtu, 2 Januari 2016

MENYELAK HATI SEORANG INSAN


Alhamdulillah. Tentunya kata syukur yang melintasi bibir-bibir manusia sempena hadirnya suatu tahun dengan lembaran baharu. Saya juga tergolong dalam kalangan manusia itu. Percayalah, peralihan tahun itu hanya angka yang akan terus-menerus membebani diri ini dengan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah - yang penamatnya ialah mati. Lalu saya teringatkan usia saya yang sudah menjangkaui satu fasa angka. Ya, fasa Ahmad Ammar dan Siti Hajar yang pergi pada usia 20 tahun.  Nyawa yang dicabut pastinya merentap kesakitan yang tidak terperi, namun mereka pergi dalam keadaan yang terbaik pada pandangan kita (harapnya pada pandangan Allah juga). Allah, salahkah kalau saya pinta untuk mati seperti mereka?

Mungkin, nafas yang saya hela ini hanya peluang yang sengaja dipinjamkan lagi. Buat diri bertaubat - pilih jalan yang paling suci, jalan Illahi. Mungkin juga buat saya berbakti kepada Abah dan Umi sehabis daya yang saya ada dan jika kekuatan itu dipinjamkan dalam skala yang lebih hebat, mungkin saya dihidupkan buat umat. Saya teringat perbualan saya dengan seorang teman.

"Mengapa dahulu kauberiya-iya menidakkan 
dan sekarang akhirnya kau buat juga?"
"Dahulu saya menidakkan kerana diri saya 
dan sekarang saya buat demi mereka."

Saya hadamkan ungkapan itu. Dia, teman yang sentiasa memungkiri kata-katanya. Namun dia hadirkan pula hikmah atas setiap peri laku yang dia pilih. Betapa dia sudah terlalu banyak mengorban dirinya buat manusia, lebih daripada buat dirinya sendiri. Syabas teman!

Perjalanan masa kini terlalu laju. Kalau emaslah masa itu, entah nilainya tidak lagi terkira. Kalau pedanglah masa itu, tajamnya entah bagaimana rupa. Menyingkap tahun-tahun sudah, banyak yang gembira tetapi lumrah jiwa tetap terkenangkan yang duka. Diri ini persis takut untuk terus ke hadapan. Takut untuk menghadapi entah apa pula dugaan yang bakal Allah turunkan. Sungguhpun begitu, saya sudah cuba malah sentiasa berusaha untuk terus berlapang dada. Juga berada dalam keadaan yang paling sedia. Kalau Allah sayang, Allah pasti mahu jumpa. Mungkin saya, mungkin mereka. Allah, ambillah kami sewaktu dalam reda-Mu.

Sungguh, terlalu banyak perkara yang bukan lagi untuk dimain-mainkan. Kebangkitan, kesedaran dan kedewasaan. Kalau saya asyik menunggu, sampai bila? Mahu menyesal dahulu?Tidak, saya akan buat. Saya akan lakukan. Saya mahu melihat air mata yang mengalir menyentuh ukiran senyum bibir. Saya mahu mendengar ungkapan bisik yang menyapa lembut jiwa dengan kasih. Saya mahu semuanya walau sekadar angan-angan.

Allah, saya dipertemukan dengan terlalu ramai orang - yang tentunya mendatangkan manfaat buat diri ini kerana-Mu. Hadir mereka atas kehendak-Mu, pergi mereka juga merupakan aturan-Mu. Ada yang mahu menjatuhkan dan saya tidak selalunya kuat untuk menahan. Kadang-kala, saya juga terduduk sehingga ada masanya rebah mencium tanah. Perit tersungkur, pedih menahan luka-luka dan sakitnya menanti sembuh. Saya tidak akan bangkit demi mereka, malah tidak akan mahu membuktikan apa-apa kepada mereka. Saya sekadar mendongak untuk memastikan saya tahu ada yang di atas - Allah. 

Buat semua yang pernah hadir, terima kasih tetap menjadi ucap paling istimewa yang termampu saya lakukan. Saya tidak kaya untuk bayarkan duit kepada anda. Hanya Tuhan, menghitung segala-galanya. Biar kita semua teguh berjalan, riang bersorakan, menuju syurga Tuhan!

Allah, hamba ini perlukan hati baharu.