Selasa, 16 Februari 2016

SUDAH TERLALU HAMPIR


Cukuplah. Sudah tidak tertanggung lagi untuk memikul tahniah yang kamu semua berikan. Saya rela, kamu sedekahkan tahniah-tahniah yang ada buat mereka yang lebih layak menerimanya. Bukan tidak mahu lagi menghargai, saya tidak punya ruang yang cukup untuk diselitkan tahniah kamu semua. Maafkan saya, terpaksa saya letak sahaja di atas tanah, di dalam kocek, di bawah kerusi dan di sana sini. 

Nanti saya akan kutip semula, tiup habuk-habuk yang melekat lalu saya akan susun, simpan di dalam kotak kenangan. Bilik saya juga sudah penuh. Mungkin stor lama masih punya kekosongan. Jangan risau. Saya tidak akan membuangnya. Kalau-kalau di kemudian hari saya tidak lagi terima tahniah daripada kamu semua, akan saya cari kotak kenangan itu dan bongkar semula tahniah silam yang usang. 

Sudah dua kali, saya benar-benar terlalu hampir dengan punat yang apabila disentuh, maka terangkatlah tubuh dijunjung dan dijulang dalam sebuah majlis yang dimahu-mahukan oleh ramai orang. Namun, masih juga saya gagal menyentuhnya. Sekejap, bukan gagal. Cuma belum berpeluang, nanti akan tiba juga tuah untuk saya andai diizin Tuhan. Mana ada orang yang gagal sekarang ini. Yang ada cuma orang-orang yang tersilap. Lalu kesilapan boleh diubah bukan? Biarpun tidak secara nyata, tetapi jiwa tahu perubahan yang terlaksana. Kadang-kadang, cuba juga memujuk diri dengan lagak selamba konon tidak kecewa. 

"Tak apalah. Memang itu kemampuannya."
"Tak apalah. Tak ada rezeki."
"Tak apalah. Nak buat macam mana."
"Tak apalah. Banyak lagi yang perlu dirai."
"Tak apalah. Boleh usaha lagi."

Walau sudah tahu tahap dan kemampuan diri, apa salahnya kalau berusaha lebih lagi? Mungkin kerana sudah terlalu selesa, kemudian semakin tidak cakna, culas dalam mendalami sebenar-benar makna. Mungkin, Tuhan sudah letakkan akal bijaksana sebagai nikmat dalam hidup. Namun sampai bila? Ilmu sekadar ilmu, maka lebih baik jadi buku. Manusia kalau berilmu, gunakan. Barulah subur bersama-sama iman. 

Terlalu kerdil rasanya menerima keputusan yang sebegitu. Angka-angka itu tersenyum dalam sinis ketawa. Saya diamkan sahaja, malas mahu bertelagah. Biarkan angka-angka itu penat sendiri. Nanti mereka akan senyap, mungkin mati. Sungguh malu. Usaha yang terlalu kecil untuk menerima pulangan yang sebanyak itu. Persis tidak layak untuk tinta-tinta huruf sebegitu berdiri dengah gah di atas sekeping kertas yang fizikalnya digital. 

Bukan mempersoal takdir, malah jauh sekali daripada tidak bersyukur. Mungkin jarak yang terlalu hampir itu hanya pesanan. Teguran yang menyelinap melalui ruang kosong itu untuk mengetuk jiwa agar lebih bersedia. Semua nampak mudah, tetapi apabila Allah tidak mahu beri, tetap tidak akan dapat yang diingini. Duduklah berteleku, kira kelekatu malam. Sambil-sambil itu, renung ke dalam diri. Tentu ada khilaf semasa melangkah mencipta jejak tempoh hari. Lalu punat itu terus menjauh dan mungkin tidak mampu tercapai lagi. 

Cuma saya cukup pasti. Saya sudah terlalu hampir.


Selasa, 9 Februari 2016

KALAU MAHU MENCICIP BAHAGIA


Bertebaran kisah dia - tentang senyumannya yang ada sentiasa, lawak jenaka yang mesra, budi tulusnya saat bersapa. Coret teman-teman yang saya baca, dipuput rasa syahdu. Dalam kalam kalbu, saya pendam kagum yang paling mekar buat dia, dia dan dia-dia yang lain. Sungguh, bukanlah insan yang saya kenal. Cuma setiap kali ada berita begini, saya didesak pinta untuk mengamati tampang berukir sengih dan senyum mereka. Saya amati dengan sebak yang membuku sambil berbisik perlahan kepada jiwa, moga senyuman sebegini juga menjadi milik mereka di alam sana. Orang baik ketika perginya dia, pasti disebut-sebut. Entah seluruh alam juga mengenalinya, mendoakannya agar menjadi tetamu syurga. 

"Orang baik selalu pergi awal kan," pernah saya ungkapkan ini buat sahabat setia.

"Allah sayang. Tak nak bagi lagi banyak dosa," dia jawab seperti biasa.

"Kau pun baik. Tersangat baik..." saya tambah sambil memandangnya dengan kuyu.

"Belum cukup baik. Banyak lagi yang tak sempurna. Tapi kalau Allah nak ambil juga, nak buat macam mana," masih tenang jawabnya dan saya hanya terus menadah telinga.

Nyawa sekarang terlalu rapuh. Kematangan usia tidak langsung menguatkan ketahanan panjangnya tempoh untuk berbakti atas muka bumi ini. Kalau tiba masa untuk dipulangkan pinjaman yang tidak abadi itu, maka pejamkanlah mata dan zikirkan syahadah sedaya kudrat yang tersisa. Insyaallah, kita semua mahu yang sebegitu. Membiarkah roh melangkah keluar dalam laluan husnul khatimah.

Tipulah kalau saya tidak berimpian untuk menjadi sebegitu. Namun saya cuba berkira-kira pahala yang telah saya pajakkan sebagai bekalan, malunya rasa melihat palit dosa lebih banyak, tidak terkira. Dilumurkan dalam dunia penuh alpa, tenggelam dalam bisik goda makhluk yang sentiasa tidak berputus asa mencari golongan yang mudah leka, malah mengingkari nikmat yang teragung yang dikalung pada tubuh. Saya cuba juga untuk menghitung amal baik yang pernah saya taburkan buat umat manusia, termengah-mengah jadinya. Tidak terjumpa, entah ada entah langsung tiada. Allah. Saat terasa besar di sebuah agungnya negeri, rupanya terlalu kerdil untuk menghadapi mati. 

Semua orang mahukan kedamaian dan saya tahu tempat letaknya. Di sebuah dusun ketenangan yang dipenuhi pohonan kasih. Merimbun lebat cinta dan sayang. Saya taburkan baja-baja keikhlasan untuk menyuburkan semua rasa yang tumbuh itu, biar mekar, biar saujana tampaknya. Sudahpun boleh bermimpi beralaskan kehijauan rasa kongsi, mengapa perlu dibazirkan dengan rasa benci? Rugi, teramatlah rugi. Masa yang ada tidak akan langsung berganti. Selagi nyawa bersatu dalam tubuh, jangan biarkan apa-apa pun mati - terutamanya hati! Ya Rabb, janganlah pernah wujud walau sehama perasaan benci kerana alir kasih itu terlalu suci menyerap ke dalam seluruh jiwa ini.

Rabu, 3 Februari 2016

PERIHAL CINTA ORANG MUDA



"Orang yang celik, adalah yang membaca kehidupan. Sekalipun bukan soal jodoh, segala sesuatu menuntut kita untuk berfikir (celik mata hati) sebelum membuat keputusan. Belajar daripada setiap yang Allah hantar dalam kedewasaan.Ada penceritaan hidup yang orang lain terpaksa hadap, dan kita hanya perlu lihat dan belajar daripadanya." 


Saya petik kata-kata ini, terus saya sandarkan kepada diri saya sendiri. Perihal cinta orang muda, bukanlah satu perkara baharu untuk dunia hari ini tetapi seperti menjadi satu kewajipan apabila seorang remaja mula bertapak ke alam dewasa. Hatta ada yang mula menjinjitkan kaki menerokai cinta seawal kanak-kanak menuju remaja. Hebat. Orang kata, cinta monyet. Pada saya, tidak. Kemodenan hari ini tidak dapat lagi mempercayai kemonyetan cinta itu kerana manusia semakin cerdik dan berakal. Lalu dalam tempoh ketidakmatangan menghadapi kehidupan, mereka sudah mengambil serius tentang cinta, menyayangi berlebih-lebihan sehingga melimpah rasa yang tidak sepatutnya dicurahkan lagi. 

Dahulu, jiwa saya juga pernah diejek-ejek oleh gelodak rasa keinginan apabila melihat terlalu ramai yang bernikah pada usia yang sangat muda. Malah yang seusia dan jauh lebih muda daripada saya. Abah dan Ummi sendiri, memulakan alam berkeluarga pada usia muda. Namun tidaklah pula saya cuba mencari mana-mana benang kasih untuk saya sulamkan rasa cinta itu kepada sesiapa. Pada saya, belum tiba masanya lagi. 'Masanya' itu pula merujuk kepada pelbagai perkara - kesediaan, kekuatan, kepercayaan dan segala-gala ke-an yang lain.

"Aku mula takut soal jodoh," saya katakan kepadanya. Benar, saya tidak menipu. Mungkin tiba satu tahap, saya akan takut pula kepada wanita. Klise jodoh, tentunya apabila ada dua manusia bernama lelaki dan wanita yang dijentikkan rasa untuk saling mengasihi.

"Buat apa nak takut? Perasan tak, kita terlalu memikirkannya. Itulah masalah kita," balas dia mudah. 

"Jadi, takut aku ada asasnya kan, aku takut melihat terlalu ramai yang kahwin muda. Punya zuriat sebaik sahaja berkahwin." saya cuba yakinkan dia. 

"Takut apanya. Tak ada sebab nak rasa insecure. Tengok statistik perceraian. Betapa ramainya yang bercerai sekarang. Berapa ramai yang benar-benar jaga hubungan dengan Allah?" dia mula berhujah. Saya biarkan. 

"Itulah ketakutan aku. Bukan sebab insecure, tapi takut," saya jelaskan kepada dia. Mungkin dia sendiri telah tersalah faham dengan kenyataan saya tentang ketakutan tadi. Perbincangan kami menjadi panjang, terus rancak dengan persilangan pendapat yang sarat.

Benarlah. Kita semua, termasuk saya sendiri tidak terlepas dengan 'terlalu asyik memikirkan' soal jodoh dan kahwin. Semua dilihat mudah, difikir mudah dan digambarkan mudah sehingga akhirnya urusan perkahwinan memang menjadi terlalu mudah. Sediakan sahaja duit setebal yang boleh, pinang dan kahwinlah dengan wanita pilihan. Carilah pelamin tercantik, rakamlah foto dengan permandangan terindah dan muat naik dalam akaun sebagai  tujuan hebahan yang memungkinkan ratusan tanda suka diperoleh. Siap satu episod perkahwinan. Senyumlah berpanjangan.

Ramai yang tidak sedar barangkali. Perkahwinan itu satu ikatan yang membawa kita sama ada ke syurga ataupun neraka. Kami, lelaki lebih-lebihlah berat urusannya. Bernikah, menjadikan kami lelaki sebagai anak, menantu, suami, bakal ayah hatta ketua dalam banyak perkara. Belum pula dari sudut diri seorang wanita, saat ikatan itu menjadi sah, maka suamilah tempat taat dan turut setelah seorang wali melepaskan tanggungjawabnya untuk diganti pikul oleh si suami. Allah, terlalu besar tanggungjawab dan amanah yang terkandung dalam sebuah kitab perkahwinan. Tidak termampu untuk saya coretkan dengan perkataan lagi. Baca ini, mungkin lebih faham (Saat Si Ayah Berkata).

Sungguh, bukannya mudah. Anak-anak yang bakal dilahirkan pula, itulah senjata kita. Senjata untuk kita bina ummah yang bisa menjadikan agama sebagai pertahanan termulia buat khalifah yang bijaksana. Ini baru perihal agama. Belum pula dikisahkan tentang kehidupan sosial yang mendesak dengan kesempitan hidup yang tidak kaya dan tiada punya harta. Memang harta tidak dibawa bersama-sama sesudah mati, namun dengan harta itulah kita boleh mencari jalan untuk menemui kekasih abadi. Setiap harta yang kita ada akan ditanya ke mana perginya. Bahagia bukan, kalau harta itulah baja yang digunakan sebagai penyubur untuk dituai pahala. 

Mungkin yang terlihat indah sahaja. Drama menjanjikan kehidupan penuh bahagia, sarat dengan tiba-tiba sehingga akhirnya minda kita semua dituba dengan impian sedemikian rupa. Hakikinya, semua itu mainan mata dan perasaan semata-mata. Lorong kehidupan berkeluarga, jauh lebih payah untuk dilaksanakan. Tambah-tambah apabila ada amanat yang perlu sentiasa kita jaga. Mahkota Islam yang bertatahkan mutiara keimanan. 

Ketakutan ini tidak bermakna saya mengangkat bendera putih dan mengaku kalah untuk memiliki cinta. Saya cuma berkongsi, tentang suatu rasa yang kerap kali bermain dalam minda saya. Mungkin juga ada insan lain yang berfikir serupa seperti saya. Kita, terlalu mudah lemas dan sesat dalam cinta. Padahal, ada banyak lagi jalan cinta yang kita tidak endahkan. Kita berjalan terus tanpa perasankan cinta-cinta yang paling dekat di tepian kita. 

Cinta diri sendiri,
Cinta keluarga.
Cinta Tuhan Yang Esa.

"Kalau kamu faham dengan apa yang aku katakan ini,
maka binalah diri kamu mulai hari ini.
Kemudian dengan yakin, kamu lamarilah dia.
Tak semestinya dia itu jodoh kamu,
tetapi kalau kamu silap, kamu tidak akan kecewa.
Sebab kamu faham bahawa kamu 
bukan berkahwin kerana dia."

Hilal Asyraf, Terasing

Bersediakah kita?
Bersediakah saya?

Jika sudah bersedia, apa salahnya.