Isnin, 28 Mac 2016

ANGAN-ANGAN UNTUK BERIMPIAN


Impian itu tidak akan berpenghujungkan kesedihan bukan? Tentunya yang bisa melarik senyum, atau paling tidak memalit sedikit rasa bahagia dalam jiwa. Walau bukan semua impian akan terlaksana, setidak-tidaknya mempunyai impian itu juga sudah meletakkan kita di suatu tahap gembira. Kadang-kadang, impian itu terlihat cukup besar sehingga hampir mustahil untuk dicapai. Hampir mustahil, maksudnya masih ada peluang untuk dicapai juga. Walaupun 99% peluang untuk gagal itu sudah tertulis jelas, masih ada 1% lagi yang tidak boleh disia-siakan. Itu juga boleh menjadi impian. 

Ah. Saya juga punya impian. Ada yang besar, jua yang kecil. Saya sebenarnya tidak pasti, yang saya rasa ini ialah impian, atau angan-angan, atau mungkin juga harapan, atau gumpalan kekeliruan yang tidak dirungkaikan. Impian ini kecil sahaja. Kalau saya ceritakan tentang impian ini, tidak ada yang pedulikan saya. Mereka anggap cerita saya hanya sebuah kelucuan yang biasa. Mereka lebih mengerti pada gelak dan tawa. Sedih bukan, tidak ada yang faham barangkali - tetapi tidak penting pun untuk faham tentang impian orang lain, impian sendiri perlu dipuncakkan paling tinggi.

Biarkan. Baiklah, baca semua ini sebagai kisah dongeng sahaja. Mengapa dongeng? Sebab kisah dongeng ialah kisah yang tidak akan pernah berlaku, baik dahulu, kini dan selama-lamanya. Pernah suatu masa, saya mengharapkan untuk mendapat seorang teman yang benar-benar memahami. Teman yang apabila saya pulang dari kelas, saya boleh bawakan pisang goreng dan keropok untuk dijamah, teman yang apabila saya di kedai makan, saya akan menghubunginya jika dia ada pesanan, teman yang boleh saya kongsikan gelak apabila menonton video lawak di Facebook, teman yang akan saya ajak ke sana ke mari walaupun hanya untuk membeli sebatang pen, teman yang akan saya sapa sebaik pintu dibuka, teman yang akan saya kongsikan kisah sepanjang hari yang memenatkan, atau teman yang akan saya beritahu setiap satu perkara yang akan saya lakukan. 

Dan semua itu hanyalah impian dalam kisah dongeng seorang saya yang hanya boleh berangan-angan. Penat juga memasang angan-angan. Bukan kerja mudah rupa-rupanya. Saya cuba membilang hari, masih panjang perjalanan yang perlu saya hadapi. Seksanya bergelumang dengan ketulan-ketulan rasa yang hitam, tidak terlihat langsung jernihnya walau setitis. Keseksaan ini sudah ditanggung lama dan akan berlarutan dalam tempoh tiga bulan lagi, entah bernanah nanti - akhirnya mati dalam busuk dan hanyir yang meraja. Perkara ini remeh sahaja sebenarnya. Asbab itu tiada yang peduli. 

Dalam satu kelas ini, pensyarah saya kerap kali menyelitkan video motivasi yang sarat dengan pengajaran. Acap kali juga, beliau berbicara soal teman dan kawan. Lalu, ketika itu saya cukup tersentuh. Saya akan dengarkan kata-katanya dengan penghayatan paling dalam. Saya seperti disindir diri sendiri - membuatkan saya diam menunduk. Sesekali ada juga hiba yang mengetuk rasa, menumpang dalam sanubari hingga ke hari ini. Petang tadi, sekali lagi beliau membawa kisah serupa dan kata-katanya ini sudah berkali-kali disebut-sebut.

      "You need to know who are your friends, your best friends, your special friends, 
      your very best friends, your very very very best and special friend. It's important 
      to classify your friends into groups, so that you know you have chosen the right 
      friends in your life. Some of them will just have laugh with you, but the one who 
      stay with you in your difficulties is the best."

Kemudian saya mula mengira, siapa kawan baik saya, siapa kawan istimewa saya, siapa kawan karib saya, siapa sahabat saya?

Tiada barangkali. Ternyata saya tewas untuk mengelaskan mereka kepada kumpulan-kumpulan yang dinyatakan. Entahlah, agaknya mereka semua hanyalah kawan. Sama seperti kawan lain. Serupa, tiada bezanya. Mungkin bukan mereka yang gagal dalam berteman, tetapi saya yang gagal dalam mengenali teman. 

Semua impian ini hanyalah angan-angan sahaja. 

Jumaat, 18 Mac 2016

SAYA BUKAN ORANG BAIK


Berkali-kali dia katakan kepada saya, "Saya bukan orang baik". Saya keliru untuk bereaksi. Hanya sengih dan saya hanya mendengar, ralit. Sesekali saya ber-uh-ah. Sesekali saya ajukan soalan sehingga dia memulakan cerita baharu pula. Seronok mendengar ceritanya. Dia tidak sedikitpun lokek untuk bercerita tentang dia, hidupnya, perasaan malah sehingga kepada nalurinya penuh dengan kerendahan jiwa.

Ahad, 13 Mac 2016

MENUMPANG TAWA


Sekarang, jarang sekali saya dapat berhujungminggukan Ahad. Apatah lagi waktu pagi sebagai ruang untuk saya coretkan apa-apa. Dan sememangnya pagi bukanlah waktu saya menulis. Untuk tempoh hampir empat minggu ini, saya seperti sentiasa dihimpit dengan keresahan. Segala macam yang terjadi penuh dengan dongkolan rasa tidak senang hati. 

Benarlah. Cukup mengharapkan manusia. Hatta manusia bernama teman sekalipun, bukanlah tempat untuk kita letakkan kepercayaan dan harap sepenuh rasa lagi. Teman itu siapa? Saya sendiri terkulum dengan jawapan yang tidak pasti. Sekejap, mungkin sebagaimana payahnya untuk diletakkan kepercayaan dan harap kepada mereka, maka begitu susah juga mereka untuk percayakan saya. Begitu? Atau memang saya ini tidak layak dipercayai? Memang tidak ada yang percayakan saya untuk saya percaya mereka? Ah, harap itu memang terlalu sukar. Kadang-kadang, saya yang seperti terlalu mencari sehingga melemahkan semangat sendiri. Sanggup dibazirkan masa-masa yang ada hanya kerana rasa tidak selesa yang membelenggu benak hati.

Biarlah. Teruskan sahaja berharap dalam nada rasa kecewa. Biarkan harapan itu setidak-tidaknya menjadi penghubung yang tidak akan memutuskan sebuah perkenalan itu. Jalan paling selamat barangkali. Cuma, bersedia selalu untuk merasa kewalangan yang dicari dan dicipta sendiri. Tetapi, benarkah saya ini mengharapkan teman-teman? Apa memang saya tidak pandai berdikari? Ataupun berdikari itu yang tidak mampu berdiri sendiri? Atau teman-teman yang tidak memahami erti berdikari? 

Entahlah. Bilang sahaja berapa kali nasihat cuba diberi. Ada yang ikut? Ada yang setuju? Sampai ke sudah nasihat-nasihat itu sebenarnya menjadi ejekan yang menjengkelkan. Mana mungkin ada yang mahu menurut, apatah lagi melihat sumber nasihat itu daripada insan yang banyak dosanya. Tahu, lihat nasihat dan bukan orangnya. Namun lumrah masa kini, kalau tidak dilihat pada fizikal itu, tidak sah syarat menjadi manusia. 

Lalu, akan terkait pula keikhlasan dalam menasihati. Kata orang, cukup sekadar nasihat. Mahu diikut atau tidak, urusan empunya badan - pemilik akal di aras kematangan. Cuma setidak-tidaknya, kikislah walau sedikit rasa ego yang tebal itu. Sehingga satu tahap, memang saya merasakan bahawa orang baik ini walau baik macam mana sekalipun tetap angkuh dengan ego bahawa dirinya sudah cukup berhemah dalam melaksanakan sesuatu tindakan (hanya persepsi sendiri, bukan kenyataan). Saya tahu, ini hanyalah prasangka. Malah kalau dikitabkan prasangka itu, berjilid-jilid banyaknya. Salahkah berprasangka? Sangkaan awal. Perasaan. Anggapan. 

Saya lemas - hampir lemas - pura-pura hampir lemas - terfikir untuk pura-pura hampir lemas. Terlalu banyak ragam yang melonggok di atas kepala ini. Serba satu yang menyusahkan - dan menyusahkan itu ialah perkara yang hadir paling akhir setelah beberapa fasa yang tidak perlu saya nyatakan. Saya ini mungkin ditakdirkan terlalu suka memikirkan hal orang lain, pada saya mengambil berat - pada orang lain menjaga tepi kain. Titik tolaknya, saya yang dianggap penyibuk. Tapi memang saya sibuk. Jadi, kesibukan yang membuatkan saya sibuk dan akhirnya orang yang sibuk dipanggil penyibuk. Sama sahaja kan? 

Selalu saya rasakan kasihan kepada orang, namun mereka pernah kasihankan diri sendiri? Kadang-kadang saya dipalitkan dengan rasa geram apabila melihat teman-teman (yang saya syok sendiri menganggap sebagai teman) diperlakukan tidak baik oleh teman-teman mereka. Malah sehingga ada yang mempergunakan teman-teman ini sebagai alat untuk kepentingan diri sendiri. Mungkin secara kasarnya begini, ada yang meludah dan menjilat semula. Tanpa rasa malu, tanpa rasa segan silu. Kebiasaan atau kemurahan maruah sebenarnya? Maruah-Marah-Murah? Sungguh saya marah. Dia? Katanya dalam rangka usaha. Saya biarkan, mungkin saya ini terlalu tegas. Kurang pula tolak ansurnya. 

Dan begitulah juga dengan ragam-ragam yang lain. Ketegasan ditafsirkan sebagai ketidakhemahan dalam tindakan. Entah sampai bila, saya akan dilumuri perasaan-perasaan sebegini. Kawan-kawan yang dianggap sebagai teman, sahabat, rakan, taulan dan apa sahaja perkataan yang memaksudkan perkara yang sama, tidak pernah memantulkan semula anggapan itu. Saya ini hanya memandang ke arah dinding hitam, sifatnya legap, gelap dan langsung tidak menampakkan apa-apa. Saya cukup terkesan dengan soalan pensyarah tempoh hari. 

"Berapa ramai kawan yang kamu ada?"
"Berapa ramai kawan baik yang kamu ada?"
"Berapa ramai kawan terbaik yang kamu ada?"

Dan saya gagal untuk menjawab soalan-soalan ini dalam waras akal yang paling berhikmah. Jawapan untuk soalan-soalan ini mungkin akan saya perolehi dalam keluasan peta kehidupan yang akhirnya akan mempertemukan semula saya kepada titik permulaan - ketika jasad sendiri tanpa nyawa.

Lalu saya ini sebagai apa? Hanya suara yang menumpang tawa.