Jumaat, 20 Mei 2016

SEBELUM TERPADAM SISA CAHAYA


Sukar untuk mendapat yang indah-indah sahaja setiap masa. Sesekali akan terpalit keburukan yang semua orang pastinya tidak mahu. Saya berbual-bual dengan seorang teman. Melayani rasa mengantuk, cuma tidak membiarkan mata terus tertutup. Sengaja saya buka satu topik perbincangan yang sedikit serius. Dalam masa sunyi sebegitu selalunya yang terungkap itu benar, ikhlas dan pastinya jujur. 

Acap kali ada suara-suara yang dibawa angin, masuk ke dalam pendengaran kita. Pujian demi pujian yang dilemparkan dengan penuh keterujaan. Paling terkesan adalah apabila ada yang memandang diri kita terlalu tinggi, sanjungan yang diberikan tidak sedikitpun berbelah bagi. Allah. Sungguh saya cukup malu. Malu dengan diri sendiri, malu dengan semua. Benar yang terlihat itu baik-baik sahaja, indah dan mengagumkan. 

Yang terlihat itu, zahir sifatnya. Masih ada sudut dan ruang yang tersembunyi di sebalik diri seorang insan yang dikenali. Kita tahu siapa diri kita, kita tahu hubungan kita dengan Allah belum benar-benar sempurna dan kita tahu seberapa banyak dosa yang pernah kita lakukan dari kecil sehingga kita menjadi dewasa. Mungkin pada saat saya menaip kata-kata ini, akaun dosa saya terus bertambah tanpa henti, tanpa ada petanda untuk berakhir kecuali mati.

"Kaunampak tak? Betapa besarnya kuasa Allah? Walaupun kita kenal diri kita, tapi orang yang tak kenal kita pandang kita tinggi. Allah boleh tutup aib kita. Tak ada orang pun tahu aib kita."

Saya putus kata-kata. Setiap butir perkataannya tertusuk tepat ke dalam diri. Perkara sebegini yang jarang sekali terlintas dalam diri. Mungkin terlindung di sebalik keegoan yang menggunung dalam tubuh, padahal nyawa itu pinjaman. Saya terus menanti dia untuk bersuara lagi.

"Ramai yang tak sedar. Kenapa Allah tutup aib kita? Kalau Allah nak buka, sekelip mata kita binasa. Allah nak bagi peluang kepada kita. Peluang kedua untuk kita berubah menjadi lebih baik."

Sekali lagi saya dipukul dengan kata-katanya. Cukup baikkah saya? Sudahkah saya berubah? Dia pula diam. Menanti balasan kata daripada saya, sedang saya sudah lemas tenggelam dalam dunia kelam yang baru sahaja muncul. Tentang aib, hubungannya lebih besar dengan tuhan yang mengetahui segala-galanya. Dan manusia, hanya  penggerak dunia yang memunculkan keaiban untuk disebarkan ke serata alam.

Saya bertanya pula tentang keutamaan dalam sebuah perhubungan yang namanya persahabatan. Mengapa ada yang tidak sedar tentang kepentingan untuk mengerti keutamaan yang seharusnya diambil tahu? Mengapa dibiarkan insan-insan yang (mungkin) lebih banyak boleh membantu terkontang-kanting seperti tidak langsung ada maknanya buat mereka? Atau memang mereka tidak pernah melihat perhubungan itu sebagai sesuatu yang berharga, sehingga sanggup dikorbankan tanpa secebispun rasa. 

Sungguh saya tanamkan kecewa itu buat diri sendiri. Ada ketikanya, kita memang terlalu mengharapkan manusia. Sifat hakiki untuk rasa memerlukan dan diperlukan, bukan? Malah sebenarnya kita berpegang kepada satu tonggak penghubung yang mendekatkan iaitu kepercayaan. Namun apabila ada yang mula hilang percaya, ada yang tidak pernah langsung mengecap rasa percaya, apa lagi yang akan tinggal? Siapa yang harus kita percayai?

Satu jawapan daripadanya yang menyelesaikan semua persoalan. Jawapan yang tidak boleh dilawan lagi. Cuma satu, mulut boleh sahaja mengucap itu dan ini. Pada hakikatnya, menggerakkan tindakan yang seharusnya dilakukan dalam kehidupan adalah sesuatu yang amat sukar. Perit rasanya sehingga boleh terluka dalam keterpaksaan. Ah, kepercayaan terhadap manusia, tidak selamanya sama. Hari ini naik, esok menurun, entah-entah lusa terus hilang dan lenyap. Lalu kepada siapa lagi boleh kita letakkan kepercayaan yang paling tinggi tarafnya?

"Allah."



Selasa, 3 Mei 2016

APABILA KESEDIAAN MENJADI SATU PILIHAN


Lama blog ini sunyi. Diam tanpa luahan kata dan rasa - hambar. Mungkin sama seperti jiwa saya yang sunyi (bukan untuk waktu ini). Mungkin juga serupa dengan hati saya yang sendiri (bukan juga untuk waktu ini). Berkali-kali saya pendam, saya bisukan jari-jari ini daripada menukilkan apa sahaja yang tidak sepatutnya dibaca oleh sesiapa. Perkara yang ada kotak batas dalam dunia realiti ini. Dan mungkin saya berjaya untuk tidak berkongsi, tetapi tetap tewas untuk melupakannya. Saya cuba, biarlah walau hilang secalit. Asalkan saya tidak akan menanggung lagi suatu dongkolan tidak selesa yang membelenggu hari-hari saya. Banyak juga yang saya sudah lupa sebenarnya. Tempoh hampir sebulan yang penuh dengan keseksaan yang cukup mendewasakan. Pada usia ini, saya harus berdiri - bukan berpaut lagi. Pelajari apa sahaja kaedah untuk terus menggenggam tabah agar tidak terlepas dan terlerai menjadi air mata yang melukakan.

Saya ini, terlalu mahu mendukung jiwa ke sana ke sini. Walau kadang-kadang kaki terjelepok, tersungkur mencium tanah. Jiwa itu jatuh, retak memenuhi permukaan. Apa lagi yang mampu saya lakukan? Lihat sahaja dengan kekesalan, padah mengagungkan keangkuhan yang tidak akan membawa jaya ke mana-mana. Ah, banyak yang mahu saya tuliskan. Banyak yang mahu saya kongsikan. Banyak yang mahu saya luahkan, dan hanya blog ini yang paling setia memberikan ruang yang secukupnya untuk melayan bebelan seorang manusia yang terlalu banyak berdalih di sebalik aksara-aksara kecil yang disusun membentuk kata dan rasa. 

Sebenarnya ada, ada insan-insan yang saya alirkan cerita-cerita biarpun dalam gelak dan tawa. Cuma saya tidak pasti, sedarkah mereka? Atau saya yang bermonolog dengan tubuh-tubuh yang tidak cakna? Biar. Kalaulah benar ada keikhlasan dan kepercayaan yang dihulurkan kepada saya, tentu mereka akan faham - dengan setiap senyum, kata, lirik mata, cerita hatta nada suara yang zahir pada pancaindera mereka. 

Cuma, perlukah untuk mereka faham? Pentingkah untuk diambil tahu? Sahabat, kesediaan itu bukan pilihan. Semuanya menjadi citra kehidupan yang harus dilalui dengan keyakinan. Bercakap tentang kehidupan, siapa saya untuk menjadi penglipur lara kisah kehidupan insan-insan di sekeliling bumi ini? Layakkah saya untuk menjadi manusia dengan suara yang kononnya dipadu dalam rentak nasihat yang membantu? Cubalah perhatikan jika masih ada yang mahu taburkan rasa untuk dikongsi, masa untuk diluang bagi membincangkan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Jika benar ada, baguslah. Boleh sahaja saya undurkan diri dengan dongkolan kekecewaan yang tidak akan sembuh lagi. Saya juga akan malas suatu hari nanti. Malas untuk mengambil tahu lagi. Ketika itu, semua akan melihat masa silam saya sebagai seorang penghasut yang tidak berguna.

Mengapa perlu saya runsingkan semua itu ya? Jalan saya sendiri belum cukup terang bersuluh dengan jalur cahaya yang menampakkan masa depan. Perkara remeh temeh seperti itu, ada yang tidak hiraukan pun. Ada yang langsung tidak pernah mengambil tahu. Dan saya, masih menurut telunjuk hati yang tidak pernah henti mengarahkan diri untuk berfikir itu dan ini. Sekarang saya cuba sedarkan diri, masa itu terlalu mahal. Untuk mendapatkan walau sedetik masa daripada insan yang dipercayai, bukannya mudah dan percuma. Segalanya perlu dibayar dengan pengorbanan. Dan pengorbanan itu, hanya yang tahu menghargai sahaja yang akan memilikinya. Tidak semua rela, tidak semua faham tentangnya. 

Tidak mengapa. Hidup ini, walau apa jua corak rentaknya tetap akan akan berjalan menuju hari kehancuran. Semakin dekat dan hampir. Dalam masa terdekat ini juga, ada hadiah yang akan diberikan kepada seluruh umat manusia. Saya kagum melihat mereka mula bersedia. Jiwa mereka terlalu suci untuk menyahut hadiah yang dinamakan anugerah itu. Saya hanya mampu mengiyakan dengan kecemburuan yang membuak-buak. Dalam keadaan seperti ini, mereka waras dalam mencari kehabagiaan hakiki. Saya cuba menumpang, walaupun tidak diundang. Cuma saya pasti, kalau mereka boleh mempersiap diri, saya juga sebenarnya telah lama bersedia. Selangkah lagi.

Pengakhiran coretan ini, saya akur.
Kesediaan itu bukan satu pilihan.