Sabtu, 24 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #33

29 RAMADAN 1438H

Terlalu sekejap rasanya Ramadan kali ini. Tahu-tahu sudah masuk hari terakhir berpuasa. Syukur, berkesempatan sehingga ke akhirnya walaupun tiada jaminan nyawa pada hari esok. Lalu ada setahun lagi tempoh untuk menanti Ramadan yang seterusnya. Kalau diizin Allah, dapatlah mengecap 1 Syawal bersama-sama. Oh, hari ini pasti sibuk. Mengemas, bersiap, memasak dan segala-galanya untuk berhari raya. Semoga dipermudahkan urusannya.

Ramadan tidak pernah menjanjikan manusia akan menjadi baik, tetapi dalam waktu menghadapi Ramadan, manusia boleh menjadi baik. Ramadan juga tidak menjamin syurga buat manusia, tetapi manusia boleh mencari syurga semasa Ramadan. Inilah bulan keberkatan, bulan keampunan yang seharusnya dimanfaatkan buat  seluruh umat manusia. 

Cukupkah keampunan yang dipinta? Cukupkah amalan yang dilaksana? Cukupkah berpuasa anggota? Cukupkah beristiqamah untuk pahala? Cukupkah tidak berbuat dosa? Cukupkah doa-doa yang dipinta? Pada hari terakhir Ramadan ini, cukupkah kita merendahkan jiwa memaknai diri sebagai hamba? Rugi, sungguh rugi buat sesiapa sahaja yang merasakan kecukupan untuk semua itu. Apatah lagi yang mensia-siakan Ramadan dengan nafsu - satu kerugian di akhirat nanti. Allah! 

Sesungguhnya, Allah yang berkuasa mebolak-balikkan hati-hati manusia. Hanya dengan keimanan yang teguh dan ketakwaan yang sebenar-benarnya akan menyelamatkan manusia daripada dilanda gelora yang mengubah warna hati, menjadi hitam likat - kering dan mati. Semoga Ramadan kali ini, ada pengajaran buat diri, ada peringatan untuk diteladani dan ada Allah di dalam hati. Jumpa lagi Ramadan!

SABTU
24 JUN 2017


Sabtu, 17 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #32

22 RAMADAN 1438H

Alhamdulillah. Serasa saya, batuk yang dialami sudah hilang sepenuhnya. Tidak ada lagi sisa batuk, mahupun rasa sakit tekak saat bangun untuk bersahur. Ketika ini, saya tiba-tiba terlupa rasa peritnya batuk. Saya ingat keadaannya, tetapi tidak dapat membayangkan sakitnya itu lagi. Saya masih lagi mengamalkan beberapa petua, masih makan ubat dan masih meneruskan waktu berbuka tanpa ais. Saya tidak langsung menyentuh ais, hatta meminum air sejuk lagi. Biarlah tiada nikmat minum air, asalkan kejadian itu tidak datang menimpa lagi. Saya mahu sihat, saya mahu sembuh. Nanti raya, banyak lagi ais yang akan terhidang - dan tidak mungkin saya mampu untuk menolak lagi.

Hari ini, masuk hari keempat saya berada di rumah. Juga merupakan permulaan cuti semester yang rasmi. Banyak perkara yang perlu diselesaikan, banyak juga yang perlu dirancang serapi yang mungkin. Saya fikir, cuti ialah waktu terbaik untuk saya lakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan. Tetapi tidak sebenarnya. Waktu cuti saya akan terhalang dengan banyak perkara, lalu saya tidak sempat mahu meneruskan agenda - perulangan yang sama setiap kali bercuti. Tak mengapalah. Memang itulah yang saya perlu hadapi, tanpa keluhan dan alasan.

Saya teringat semasa perjalanan pulang tempoh hari. Ketika itu kami singgah di sebuah hentian R&R. Seorang lelaki tiba-tiba menghampiri kami, lalu menceritakan masalahnya kepada kami. Katanya, tangki minyak hitam motornya bocor. Dia sudah membeli minyak hitam dan sudah kehabisan wang untuk meneruskan pejalanannya. Dia cuba meminta pertolongan kewangan dan berjanji mahu membayarnya semula nanti. Kami tidak terus percaya, tetapi cuba untuk melihat keadaan motornya dahulu. Kawan kami yang pergi tengok untuk mengesahkan kata-katanya itu. Setelah dilihat, memang benar ada kebocoran pada tangki minyak hitamnya. Kawan saya menghulurkan sedikit wang kepadanya dan dia meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi semula.

Sebenarnya, bukan senang mahu mempercayai orang yang baru sahaja ditemui. Apatah lagi apabila membabitkan wang. Rasa sangsi dan was-was pasti hadir. Membelenggu diri antara simpati dan ketidakpercayaan. Namun, hanya keikhlasan yang dapat meletakkan nilai kepada pemberian itu. Jika benar ikhlas, besarlah ganjaran buat pemberi. Jika ada sekelumit sangsi dan penyesalan, itu tandanya keikhlasan itu belum disertakan semasa memberi. Apapun, semoga kejadian itu adalah benar sahaja. Bukan dibuat-buat dan bukan untuk mengambil kesempatan atas ihsan dan simpati manusia-manusia yang sedang bermusafir. Moga diberkati.

SABTU
17 JUN 2017


Rabu, 7 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #31

12 RAMADAN 1438H

Bermula dari hari ketiga berpuasa sehingga hari ini, batuk yang dihidapi belum kebah sepenuhnya. Masih ada sisa-sisa batuk yang sesekali cukup mengganggu. Benarlah. Sekali sahaja Allah usik kesihatan, rasa tidak selesa akan bertubi-tubi hadir. Duduk tidak kena, baring tidak kena, tidur pun tidak kena. Paling menyakitkan adalah ketika bangun untuk bersahur. Pedihnya rasa tekak sehingga suara pun tidak begitu terluah. Saat itu sahaja yang mampu untuk saya reguk air sebanyak-banyaknya sebelum meneruskan puasa pada siang hari. Tentunya menanti waktu berbuka menjadi sesuatu yang cukup mencabar. Batuk berterusan, namun saya tidak boleh alirkan apa-apa untuk melegakan keperitan itu. Saya sudah makan ubat, kemam ubat dan apa sahaja yang disarankan oleh teman-teman. Insyaallah kalau ada keizinan, sedikit masa lagi pasti sembuh. 

Dalam tempoh ini juga, saya sebenarnya sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Betapa mencabarnya puasa kali ini. Peperiksaan yang berlangsung ketika bulan Ramadan, diselitkan pula dengan kesihatan saya yang tidak begitu sempurna. Saya sekadar memaksa diri untuk menghadapi semuanya. Jika saya terlalu turutkan rasa, entah peperiksaan akan terabai begitu sahaja. Tambahan pula masa yang terhad, tempoh dan jarak antara setiap peperiksaan hanya berselang sehari, hanya kekuatan yang paling maksimum yang selayaknya saya adakan. Apapun, saya telah cuba yang terdaya dan termampu. Keputusannya nanti diharapkan yang baik-baik sahaja.

Serasa saya, inilah kali pertama puasa saya dengan gangguan kesihatan. Ujian, itu pasti. Teguran, itu juga pasti. Siapa tahu? Entah segala apa yang sedang saya hadapi ini sebagai satu cara penghapusan dosa, mungkin juga sebagai halangan untuk saya daripada terus melakukan dosa. Memang, Ramadan menggandakan pahala amalan. Namun tidak pula dihentikan pemberian dosa buat insan yang mungkar dengan suruhan Allah. 

Tempoh hari, saya mendengar satu tazkirah. Ustaz yang saya lupa namanya itu ada memberikan analogi begini. 

"Kita berpuasa ni, kita akan diberikan 100 pahala. Dari pagi kita jumpa orang, sebut benda tak baik, dedah aurat, maki orang, pahala tu akan kurang sikit-sikit. Sampailah waktu berbuka, pahala dah jadi negatif. Betul, puasa itu sah. Tapi pahala negatiflah."

Maka, apalah makna berpuasa jika tidak ada sebarang ganjaran yang kita peroleh. Begitulah puasa sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi tidak pula dipuasakan anggota-anggota lain. Rugi bukan? Puasa ini memang waktu untuk kita melakonkan kebaikan. Kata ustaz itu, kalau sebelum ini kita sudah melakukan kebaikan, sekarang kita melipatgandakan kebaikan itu. Kalau sebelum ini kita baca al-Quran seminggu sekali pun payah, sekarang kita paksalah diri kita untuk baca satu dua ayat sehari. Kita gandakan, biar berganda-ganda. Sebab puasa kita ini memang semata-mata kerana Allah.

Hanya Allah yang tahu nilai ganjaran untuk setiap amalan yang kita lakukan. Walau dengan sekecil-kecil senyuman dan sangkaan baik terhadap insan.

RABU
7 JUN 2017




Sabtu, 27 Mei 2017

INSPIRASI RAMADAN #30

1 RAMADAN 1438H

Sebelum saya menitipkan kata-kata di sini, saya baca semula catatan Ramadan terakhir tahun lalu. Ada kenangan dalam catatan itu - saya coretkan kisah dengan sahabat. Lalu terdetik di hati ini untuk saya coretkan lagi kisah tentang sahabat itu kerana saya rindu, sedangkan dia sudah tidak peduli. Duhai sahabat yang saya panggil sahabat, sahutlah, sahutlah, sahutlah suara hati ini. Saya sudah tidak mampu meluah suara secara nyata.

Hari ini Ramadan tiba lagi dan sudah menjadi rutin tahunan untuk manusia-manusia ini berpuasa, bersahur, berpesta dengan makanan dan beribadah sebanyak-banyaknya. Maghrib semalam, saya bergelumang dengan persoalan-persoalan yang tiba-tiba hadir ke dalam benak fikiran. Apa sebenarnya yang saya nantikan dalam Ramadan? Apa sebenarnya yang saya mahukan daripada Ramadan? Apa erti Ramadan kepada saya? Ramadan ini sekadar rutin atau anugerah? Saya seperti tidak ada jawapannya. Saya buntu.

Kalau ketika kecil dahulu, memang saya nantikan Ramadan. Boleh bermain bunga api, mercun, makan yang sedap-sedap dan menunggu hari raya ialah tujuan utama. Bentuk keterujaan apabila hadirnya Ramadan sudah tidak seperti dahulu. Mungkin kedewasaan menjadikan Ramadan itu berbeza, atau sebenarnya Ramadan itu mendewasakan? Saya cuba untuk melupakan kedukaan dalam Ramadan-Ramadan terdahulu. Sebab saya tahu, sepatutnya saya senyum meraikan Ramadan, sepatutnya saya gembira bertemu Ramadan, dan sepatutnya saya berbahagia boleh mengecap nikmat Ramadan - Insyaallah.

Saya belum tahu apa-apa tentang hari esok. Malah tidak akan pernah tahu. Cuma saya mengharapkan hari-hari esok saya akan menjadi lebih baik, tentunya dengan manfaat Ramadan dan keberkatan yang ada. Jika Ramadan ini tidak menjadikan saya lebih baik, maka sayalah yang rugi kerana mensia-siakan tempoh yang cukup indah ini. Bukan salah bulan ini, bukan salah Ramadan ini dan tentunya bukan salah sesiapa jika kegagalan yang saya raih. Cuma saya masih belum menjumpai sesuatu yang sudah lama saya cari. Di mana letaknya hati saya?

SABTU
27 MEI 2017

Rabu, 10 Mei 2017

HARI INI


Saya memilih hari ini untuk saya tulis sesuatu. Hampir empat bulan, saya tidak mampu menitipkan rasa dalam ruang ini. Sungguh, saya terlalu rindu. Rindu terhadap ruang ini. Rindu akan diri saya yang dahulu. Rindu akan teman-teman yang pernah bergelak tawa bersama-sama. Tanpa sedar, saya sudah menyemadikan empat bulan lalu tanpa sebarang coretan untuk diingati. Bermakna saya tidak akan berpeluang untuk membaca kembali dan saya akan lupa semuanya. Entahlah, mungkin terlalu banyak kedukaan yang tidak terungkapkan. Mungkin juga kelukaan yang tidak sembuh-sembuh.

Kurang sebulan, ada satu kebahagiaan yang bakal tiba. Bulan yang penuh dengan cerita lalu dan tentunya dengan cerita-cerita mendatang yang diharapkan ada cahaya. Dalam tempoh ini, saya masih memegang satu amanah yang perlu diselesaikan sebelum bulan itu tiba. Tidak susah, tetapi berat amanahnya. Banyak sahaja jalan mudah untuk saya laksanakannya, tetapi tidak mungkin itu usaha yang berbaloi. Semoga ada kesempatan untuk saya sempurnakan amanah yang digalaskan itu. 

Diri -  kembalilah menjadi diri kamu yang dahulu. Kembalikan suaramu, kongsikan cerita-cerita kamu. Cukuplah membisu. Kamu sebenarnya teramat rindu untuk mengulangi masa lalu.

Teman - datanglah dan luangkan sedikit waktu. Tidakkah kamu sedar ada kelompongan dalam persahabatan itu?  Tidakkah kamu tahu ada rajuk yang terbuku? Atau kamu sudah tidak mahu ambil tahu?

Hari ini, saya berjaya menulis sesuatu. Saya masih tidak pasti, bilakah lagi saya akan ke sini untuk saya berkongsi kata. Maafkan saya.



Khamis, 26 Januari 2017

ULASAN BUKU : MENANTI KHALIDAH (ANA BALQIS)


JUDUL : MENANTI KHALIDAH
NO ISBN: 978-983-124-409-8
PENULIS: ANA BALQIS
JENIS: NOVEL
TERBITAN: ALAF 21
MUKA SURAT: 494

RANGKUMAN

Menanti Khalidah merupakan sebuah karya yang sangat rumit untuk diteliti. Jalan penceritaannya ialah kehidupan klise kita semua - klise di sini maksudnya realiti sebenar yang bukan direka dan diujudkan dengan sengaja. Serba satu kisah perlu difahami, ditelusuri dan diingati untuk memudahkan kefahaman dalam menamatkan pembacaan. Pengarang tidak sewenang-wenangnya memperbanyak watak sampingan untuk dijadikan ramuan tambahan dalam novel ini.  Sebaliknya ramuan yang tidak boleh tidak, perlu ada. Begitulah pintarnya pengarang dalam mengolah sebuah karya yang cukup rumit ini.

Walaupun watak utama iaitu Asyiqin (Qin) diangkat dengan jelas dalam plot cerita ini, watak sampingan lain juga berfungsi dengan penuh berani. Setiap seorang punya peranan tersendiri dalam menggerakkan perjalanan kehidupan Qin. Sedari awal penceritaan, memang tidak ada hatta satu watak yang paling istimewa dengan kurniaan kehidupan yang 'bahagia'. Tiada yang maksum, tiada yang suci bersih, tiada yang dominan. Mungkin jika diletakkan watak selain daripada Qin sebagai watak utama, pun boleh. 

Nijah, Rai Anirah, Hanim, Hudia, Amiruddin, Mustaffa Bakhtiar, Razaysham dan sesiapa sahaja yang dinamakan dalam Menanti Khalidah, hadir dengan masalah tersendiri. Masalah yang logik - yang bukannya masalah cinta semata-mata. Masalah kehidupan yang terlalu sukar untuk diselesaikan melainkan menghadapinya sehingga ke sudah. Hanya dengan mengenali kesemua watak yang ada, barulah Khalidah dapat ditemui. Itu pun hanya dua kali nama itu disebutkan dalam novel ini dan tentunya membuatkan pembaca tertanya-tanya, siapakah Khalidah?

Menanti Khalidah sebenarnya membawa kisah realiti kehidupan berumah tangga - dari kaca mata wanita, pelbagai perspektif, pelbagai cara dan pelbagai isunya. Khalidah juga (menurut pengarang) diwujudkan dengan harapan, sifat wanita yang merendah diri dan tidak menonjolkan dirinya dapat diangkat dalam keseluruhan ceritanya persis Siti Khadijah yang mulia. Khalidah ialah wanita yang dinantikan oleh Asyiqin sesudah dendam yang ditanggung akhirnya lebur dek kasih sayang; dan bukannya kerana kematangan diri yang dewasa.

CETUSAN RASA PEMBACA

Tentunya Menanti Khalidah ialah kisah yang berat buat saya. Fasa kehidupan yang dirangka sehingga lengkap keseluruhan cerita, bukan fasa kehidupan saya lagi (belum tiba masanya). Lalu menjadikan watak-watak yang ada tidak terlalu dekat dengan saya, tidak begitu saya jiwai tetapi masih saya mesrai. Mungkin saya masih remaja dan Menanti Khalidah menuntut pembaca dewasa yang memahaminya. Namun, tidaklah pula saya menafikan ketersampaian mesej yang digarap oleh pengarang. Saya faham, malah saya sendiri berkira-kira tentang kehidupan masa hadapan saya. Seperti kisah Menanti Khalidah, begitulah realiti yang saya akan hadapi - menemui manusia-manusia yang sarat dengan kisah dan rahsia tersendiri. 

Saya akur dengan pengarang, sebagai wanita yang menulis dengan jiwa wanita tentang kisah wanita (feminisme - jika tidak salah saya). Sekali lagi saya tidak dapat merapati watak-wataknya. Saya membaca jiwa wanita sebagai seorang lelaki, lalu apa yang harus saya katakan? Simpati, sedih, kasihan atau apa sahaja yang boleh menunjukkan rasa belas saya terhadap nasib wanita-wanita dalam Menanti Khalidah. Sungguh, bukanlah saya mahu menegakkan ego lelaki mahupun mempertahankan kelakian dan menyokong lelaki sepenuhnya, cuma benarlah apa yang pengarang tuliskan. Betullah apa yang pengarang sampaikan. Peritnya kehidupan yang perlu ditanggung, bukan semudah sembuhnya luka di jari, tetapi luka yang tidak pernah terlihat - tidak terzahir dalam bentuk kata mahupun air mata lagi. Lalu saya menjadi takut, semoga semua itu dijauhkan daripada saya (seorang lelaki).

Nijah, watak yang saya sangat suka sambil berharap supaya saya dikurniakan sahabat sebegitu juga. Teman yang setia menyokong walau dengan apa cara sekalipun. Watak yang tidak begitu ditonjolkan perasaannya dalam berteman, watak yang dirahsiakan isi hatinya dalam berkawan. Nijah punya pegangan, namun Nijah juga tidak tunduk kepada takdir semata-mata. Dia berani, dia jujur dan dia sangat tegas. Dalam ketegasannya, dia tidak mudah tewas kepada diri sendiri dan masih berpaut pada jati dirinya sebagai anak, sebagai wanita yang perlu patuh kepada orang tuanya - dan yang paling hebat, yakin dengan takdir tanpa mempersoalkan keraguan hatta setitik pun. Saya sendiri tidak tahu bagaimana lagi mahu saya gambarkan Nijah ini, tetapi pada saya Nijah sangat mengujakan - sifatnya, sikapnya. 

Mungkin saya tidak begitu teruja mengetahui siapa Khalidah, apa yang dinantikan, ke mana Khalidah pergi kerana pengarang pernah memberitahu sepintas lalu kisah Menanti Khalidah semasa saya menyertai suatu bengkel penulisan dua tahun lalu. Namun, yang menjadikan saya begitu terdesak adalah untuk mengetahui bagaimana hebatnya pengarang mengolah sebuah novel dengan hanya menyebut dua kali nama watak yang dijudulkan kepada Novelnya. Itulah keterujaan saya yang saya pendam sekian lama. Novel ini juga saya khatamkan dalam masa yang agak singkat, kerana keinginan yang membuak-buak untuk mengetahui kesudahan dan meneliti gaya penulisan pengarang. Hebat - itu sahaja yang saya mampu ungkapkan setelah tahu caranya. 

Saya amat menggemari cara pengarang memperincikan cara 'show but do not tell' dalam penulisannya. Sehingga satu perenggan pun, pengarang masih mampu menunjukkan ceritanya tanpa memberitahu apa yang terjadi. Yang paling banyak saya terkesan ialah apabila pengarang mahu menggambarkan suatu keadaan terkejut, marah, terkesima ataupun terkelu. Perkataan-perkataan yang saya sebutkan jelas sekali hanyalah pemberitahuan. Contohnya begini;

Dia terkejut. (Ayat saya yang biasa.)
Dia merasakan jantungnya disentap. Tercabut nafasnya, pecah urat sarafnya. Darah menyimbah ke mukanya. (Ayat pengarang -lebih kurang begini.)

Betapa saya yang membaca pun, merasai setiap satu perincian pengarang terhadap keadaan yang cuba ditunjukkan kepada pembaca, perasaan itu meresap ke dalam jiwa dan menjadikan saya juga berada seiring dengan watak pada ketika itu. 

Dua perkara yang benar-benar saya amati dalam Menanti Khalidah ialah kematian dan dendam. Perkara yang sebenarnya berkaitan, rantaian kehidupan. Asyiqin yang kuat juga, tewas dengan kematian dan dendam. Bagaimana pula saya, bersediakah? Cuma saya masih terfikir, dendam itu sebenarnya apa? Rasa sakit, kecewa, putus pertalian, kebencian, atau apa? Adakah dengan memaafkan, dendam itu terhapus? Adakah apabila sesorang itu memilih untuk tidak lagi mengambil tahu, lalu dianggap masih berdendam? Adakah apabila keadaan tidak lagi seperti sedia kala, itu juga kerana dendam? Bagaimana kalau semua itu hanyalah rasa, tetapi bukan dendam? Kemudian, bukankah dendam itu juga suatu rasa? Ah.

Akhirnya, Menanti Khalidah terlalu sarat dengan ranjau kehidupan. Bacalah buat mereka yang mahu mengerti makna berkasih. Bacalah buat mereka yang tahu mengasihi. Hanya yang sudah bersedia, mampu membaca naskhah ini dengan emosi yang tidak tertahan. Begitulah kesudahannya, sedih dan amat menyedihkan.

Khamis, 19 Januari 2017

BUKANKAH INI PELUANG


Saya baru sahaja selesai makan ketika itu. Saya henyakkan tubuh di atas kusyen kerusi, merehatkan diri sebelum meneruskan sebarang urusan yang lain. Telefon bimbit saya hidupkan, seiring dengan capaian internet. Berdecit-decit masuknya mesej dan notifikasi Facebook. Saya biarkan sehingga semuanya habis, barulah saya buka satu persatu. Tidak banyak yang menarik, saya sekadar membaca sekali lalu. Saya buka mesej yang lain pula. 

Satu arahan, atau lebih tepat tanggungjawab dikirimkan. Saya terus membalas kiriman mesej itu segera. Bertanyakan beberapa soalan yang perlu. Pada masa yang sama, ligat di dalam benak ini saya fikirkan penyelesaian kepada amanah itu. Jumpa. Terus saya membuat carian nama insan yang muncul dalam ingatan, saya kirimkan ucapan salam. Beberapa minit saya nantikan, saya menerima balasan mesej daripadanya. Terus kepada tujuan, gebang satu dua perkara, dia bersetuju. Saya lega, tersenyum. 

Sekonyong-konyong, satu panggilan masuk menerjah di paparan skrin. Getus hati saya, pasti perkara penting. Terus saya tatal butang menjawab panggilan, satu suara kedengaran. Menceritakan agenda dan penerangan yang lebih lagi untuk mesej yang dikirimnya sebentar tadi. saya sekadar mengiyakan, juga menyatakan bahawa nama seorang calon ini akan saya berikan. Panggilan dimatikan. Saya fikir, saya akan meneruskan urusan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Saya perlu menguruskannya sebaik mungkin, dan menyediakan apa yang sepatutnya saya sediakan.

Sekali lagi saya menerima panggilan masuk daripada orang yang sama. Debar tiba-tiba hadir. Tentu ada yang tidak beres.

"Tak ada orang lain lagi? Kamu ke? Kami dah bincang tadi, kalau tak ada orang lain sangat, takpelah dia pun," saya terpempam. Saya?

Bukankah tugas saya adalah untuk menyediakan dan bukannya melaksanakan? Entah, kata-kata tadi berupa pujukan atau lebih tepat pengharapan. Tetapi kalau saya yang benar-benar diinginkan, mengapa tidak terus dinyatakan sedari awal? Kasihan pula untuk saya menidakkan insan yang telah saya hubungi. Lagi pula, saya percaya kepadanya dan saya juga meletakkan harapan kepadanya. Namun, apalah kuasa yang saya ada apabila mereka lebih 'kenal' siapa dia. Saya hilang kata-kata.

Dalam celaru, rasa tanggungjawab itu seolah-olah perlahan-lahan cuba meresap ke dalam diri. Cuba untuk menyihir saya dengan ungkapan yang pernah saya bangunkan dahulu. Jujur, bukan janji tetapi satu pengharapan yang bukan untuk sesiapa sebenarnya. Pengharapan dalam diri saya sendiri. Kiriman mesej tadi seperti menuntut saya untuk melunaskannya. 

"Belum pernah ada dari sini. Jadi saya berharap untuk membangunkannya sehingga kita mampu meletakkan suatu tubuh di atas pentas penuh prestij itu nanti," pernah saya khabarkan begitu kepada panel penemu duga suatu masa lalu. Itulah yang saya mahu, itulah yang saya harapkan. Pernah saya cuba beberapa kali, dan saya tidak mampu bergerak sendiri. Apatah lagi apabila kurangnya sokongan dan penglibatan kelompok yang berpengetahuan, mahir akan bidang yang diceburi.

Saya sendiri pernah bermimpi untuk meletakkan diri sendiri di atas pentas itu, dan inilah peluang yang seharusnya saya ambil sederas-derasnya. Ini sahaja masa yang tinggal untuk saya lunaskan apa yang pernah saya katakan. Tiada lagi selepas ini, tiada lagi waktu lain. Buktikan, tunjukkan dan sudahlah beralasan. Saya mampu, tetapi mampukah saya sendiri? Sungguh, membuak-buak rasanya mahu turut serta. Mengalir laju semangat untuk melakukannya. Saya mesti luahkan.

Cuma, sembuhkah sudah luka itu? 
Biar dua cabang yang berbeza, tetapi akarnya sama!


Jumaat, 13 Januari 2017

SEJAHTERA


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya hulurkan buat jiwa-jiwa yang setia. Alhamdulillah, akhirnya saya berupaya untuk menitipkan coretan pertama untuk tahun baharu ini. Percayalah, bukan sesuatu yang mudah untuk saya karangkan kata-kata menjadi sebentuk luahan rasa. Banyak yang hanya terpendam sahaja kerana itulah sebaik-baik usaha yang mampu saya lakukan demi memastikan tidak akan ada lagi perkara-perkara pahit untuk diingati. Apabila tidak tertinta, maka esok atau lusa pasti akan hilang begitu sahaja, walaupun tidak sepenuhnya. Saya pinjam catatan seorang teman di Facebooknya.

Saya tidak akan mengabadikan kisah tentang insan yang pernah datang membina persahabatan demi kepentingan diri sendiri. Kemudian, berlalu pergi setelah kepentingannya tidak dilunasi. Kerana yang datang pada saya demi kepentingan diri, tidak perlu diabadikan dalam karya, (Syuhada Salleh, 2016).

Sungguh saya terkesan dengan kata-katanya. Saya memahaminya secara umum. Betapa selama ini saya merasakan dengan menulis, saya dapat melepaskan sedikit rasa tidak senang di dalam hati. Namun saya silap. Sebenarnya saya tidak perlu untuk meningati atau mengabadikan apa-apa yang saya tidak suka dalam apa jua media yang saya ada kerana suatu hari nanti pasti saya akan membacanya semula. Lalu, perasaan yang sama akan hadir kembali walau mungkin ketika itu saya sudah tidak ingat tentangnya. 

Namun saya tidaklah pula akan mematikan keinginan saya untuk menulis sepenuhnya, cuma untuk beberapa perkara sahaja. Penat sebenarnya melawan jiwa, menentang desakan yang betubi-tubi mencabar diri. Saya rasa, kini saya sudah terlalu lali dengan segala-galanya. Tidaklah saya anggap saya sudah kuat dengan segala cabaran yang ada, cuma saya rasa saya sudah semakin kuat. Banyak perkara yang boleh dipejamkan mata, didengar sahaja, dibiarkan pun tidak mengapa. Tidak perlu saya endahkan, tidak perlu untuk saya ambil tahu lagi. Rata-rata banyak yang sia-sia.

Pada usia baharu ini, saya semakin sedar. Terlalu besar langkah yang perlu saya lalui, terlalu banyak perkara yang mesti saya lunasi. Tanggungjawab yang bukan sekadar pada nama pelajar, tetapi manusia. Payah untuk diungkapkan perihalnya. Cuma begini boleh saya kata, pertanyaan kepada diri sendiri. Apa sumbangan yang sudah saya berikan sehingga saat ini? Apa? Apa? Sudah ada yang merasa manfaat atas jasa dan budi saya? Ada? Ada?

Kerdil rasanya. Ketika insan-insan lain sibuk dengan kebajikan dunia mahupun akhirat, saya masih di sini menyelak halaman sejarah diri. Masih dikelilingi oleh manusia-manusia lain yang penuh dengan kepelbagaian, baik hatta buruk sikapnya. Begitulah kehidupan dan untuk tahun baharu ini, saya mahu belajar tentang kehidupan yang selalu melihat kepada kebaikan - positif. Abaikan apa sahaja yang tidak membangunkan minda, buang sahaja kata-kata manusia yang membantutkan kemajuan dan biarkan sahaja tindakan manusia yang merosakkan emosi. Positif, pasti akan mencapai kemenangan.

Satu perkara yang masih saya fikirkan. Kalaulah takdir Tuhan menamatkan hayat saya pada waktu dan saat ini, sudahkah saya menjadi seperti Ahmad Ammar yang dimuliakan ketika perginya pada usia 20 tahun? Sudahkah saya memiliki kekuatan seperti Muhammad Al-Fateh yang menakluk Kota Konstatinopel pada usia 21 tahun? Sudah cukupkah amalan kebaikan untuk saya melalui detik kematian yang boleh datang pada bila-bila masa? Allah, sayu rasanya. Semoga ada kebaikan yang Allah pinjamkan lagi.

Biarlah apapun, saya hanya mahu mendoakan semua - sejahtera hendaknya.