Khamis, 26 Januari 2017

ULASAN BUKU : MENANTI KHALIDAH (ANA BALQIS)


JUDUL : MENANTI KHALIDAH
NO ISBN: 978-983-124-409-8
PENULIS: ANA BALQIS
JENIS: NOVEL
TERBITAN: ALAF 21
MUKA SURAT: 494

RANGKUMAN

Menanti Khalidah merupakan sebuah karya yang sangat rumit untuk diteliti. Jalan penceritaannya ialah kehidupan klise kita semua - klise di sini maksudnya realiti sebenar yang bukan direka dan diujudkan dengan sengaja. Serba satu kisah perlu difahami, ditelusuri dan diingati untuk memudahkan kefahaman dalam menamatkan pembacaan. Pengarang tidak sewenang-wenangnya memperbanyak watak sampingan untuk dijadikan ramuan tambahan dalam novel ini.  Sebaliknya ramuan yang tidak boleh tidak, perlu ada. Begitulah pintarnya pengarang dalam mengolah sebuah karya yang cukup rumit ini.

Walaupun watak utama iaitu Asyiqin (Qin) diangkat dengan jelas dalam plot cerita ini, watak sampingan lain juga berfungsi dengan penuh berani. Setiap seorang punya peranan tersendiri dalam menggerakkan perjalanan kehidupan Qin. Sedari awal penceritaan, memang tidak ada hatta satu watak yang paling istimewa dengan kurniaan kehidupan yang 'bahagia'. Tiada yang maksum, tiada yang suci bersih, tiada yang dominan. Mungkin jika diletakkan watak selain daripada Qin sebagai watak utama, pun boleh. 

Nijah, Rai Anirah, Hanim, Hudia, Amiruddin, Mustaffa Bakhtiar, Razaysham dan sesiapa sahaja yang dinamakan dalam Menanti Khalidah, hadir dengan masalah tersendiri. Masalah yang logik - yang bukannya masalah cinta semata-mata. Masalah kehidupan yang terlalu sukar untuk diselesaikan melainkan menghadapinya sehingga ke sudah. Hanya dengan mengenali kesemua watak yang ada, barulah Khalidah dapat ditemui. Itu pun hanya dua kali nama itu disebutkan dalam novel ini dan tentunya membuatkan pembaca tertanya-tanya, siapakah Khalidah?

Menanti Khalidah sebenarnya membawa kisah realiti kehidupan berumah tangga - dari kaca mata wanita, pelbagai perspektif, pelbagai cara dan pelbagai isunya. Khalidah juga (menurut pengarang) diwujudkan dengan harapan, sifat wanita yang merendah diri dan tidak menonjolkan dirinya dapat diangkat dalam keseluruhan ceritanya persis Siti Khadijah yang mulia. Khalidah ialah wanita yang dinantikan oleh Asyiqin sesudah dendam yang ditanggung akhirnya lebur dek kasih sayang; dan bukannya kerana kematangan diri yang dewasa.

CETUSAN RASA PEMBACA

Tentunya Menanti Khalidah ialah kisah yang berat buat saya. Fasa kehidupan yang dirangka sehingga lengkap keseluruhan cerita, bukan fasa kehidupan saya lagi (belum tiba masanya). Lalu menjadikan watak-watak yang ada tidak terlalu dekat dengan saya, tidak begitu saya jiwai tetapi masih saya mesrai. Mungkin saya masih remaja dan Menanti Khalidah menuntut pembaca dewasa yang memahaminya. Namun, tidaklah pula saya menafikan ketersampaian mesej yang digarap oleh pengarang. Saya faham, malah saya sendiri berkira-kira tentang kehidupan masa hadapan saya. Seperti kisah Menanti Khalidah, begitulah realiti yang saya akan hadapi - menemui manusia-manusia yang sarat dengan kisah dan rahsia tersendiri. 

Saya akur dengan pengarang, sebagai wanita yang menulis dengan jiwa wanita tentang kisah wanita (feminisme - jika tidak salah saya). Sekali lagi saya tidak dapat merapati watak-wataknya. Saya membaca jiwa wanita sebagai seorang lelaki, lalu apa yang harus saya katakan? Simpati, sedih, kasihan atau apa sahaja yang boleh menunjukkan rasa belas saya terhadap nasib wanita-wanita dalam Menanti Khalidah. Sungguh, bukanlah saya mahu menegakkan ego lelaki mahupun mempertahankan kelakian dan menyokong lelaki sepenuhnya, cuma benarlah apa yang pengarang tuliskan. Betullah apa yang pengarang sampaikan. Peritnya kehidupan yang perlu ditanggung, bukan semudah sembuhnya luka di jari, tetapi luka yang tidak pernah terlihat - tidak terzahir dalam bentuk kata mahupun air mata lagi. Lalu saya menjadi takut, semoga semua itu dijauhkan daripada saya (seorang lelaki).

Nijah, watak yang saya sangat suka sambil berharap supaya saya dikurniakan sahabat sebegitu juga. Teman yang setia menyokong walau dengan apa cara sekalipun. Watak yang tidak begitu ditonjolkan perasaannya dalam berteman, watak yang dirahsiakan isi hatinya dalam berkawan. Nijah punya pegangan, namun Nijah juga tidak tunduk kepada takdir semata-mata. Dia berani, dia jujur dan dia sangat tegas. Dalam ketegasannya, dia tidak mudah tewas kepada diri sendiri dan masih berpaut pada jati dirinya sebagai anak, sebagai wanita yang perlu patuh kepada orang tuanya - dan yang paling hebat, yakin dengan takdir tanpa mempersoalkan keraguan hatta setitik pun. Saya sendiri tidak tahu bagaimana lagi mahu saya gambarkan Nijah ini, tetapi pada saya Nijah sangat mengujakan - sifatnya, sikapnya. 

Mungkin saya tidak begitu teruja mengetahui siapa Khalidah, apa yang dinantikan, ke mana Khalidah pergi kerana pengarang pernah memberitahu sepintas lalu kisah Menanti Khalidah semasa saya menyertai suatu bengkel penulisan dua tahun lalu. Namun, yang menjadikan saya begitu terdesak adalah untuk mengetahui bagaimana hebatnya pengarang mengolah sebuah novel dengan hanya menyebut dua kali nama watak yang dijudulkan kepada Novelnya. Itulah keterujaan saya yang saya pendam sekian lama. Novel ini juga saya khatamkan dalam masa yang agak singkat, kerana keinginan yang membuak-buak untuk mengetahui kesudahan dan meneliti gaya penulisan pengarang. Hebat - itu sahaja yang saya mampu ungkapkan setelah tahu caranya. 

Saya amat menggemari cara pengarang memperincikan cara 'show but do not tell' dalam penulisannya. Sehingga satu perenggan pun, pengarang masih mampu menunjukkan ceritanya tanpa memberitahu apa yang terjadi. Yang paling banyak saya terkesan ialah apabila pengarang mahu menggambarkan suatu keadaan terkejut, marah, terkesima ataupun terkelu. Perkataan-perkataan yang saya sebutkan jelas sekali hanyalah pemberitahuan. Contohnya begini;

Dia terkejut. (Ayat saya yang biasa.)
Dia merasakan jantungnya disentap. Tercabut nafasnya, pecah urat sarafnya. Darah menyimbah ke mukanya. (Ayat pengarang -lebih kurang begini.)

Betapa saya yang membaca pun, merasai setiap satu perincian pengarang terhadap keadaan yang cuba ditunjukkan kepada pembaca, perasaan itu meresap ke dalam jiwa dan menjadikan saya juga berada seiring dengan watak pada ketika itu. 

Dua perkara yang benar-benar saya amati dalam Menanti Khalidah ialah kematian dan dendam. Perkara yang sebenarnya berkaitan, rantaian kehidupan. Asyiqin yang kuat juga, tewas dengan kematian dan dendam. Bagaimana pula saya, bersediakah? Cuma saya masih terfikir, dendam itu sebenarnya apa? Rasa sakit, kecewa, putus pertalian, kebencian, atau apa? Adakah dengan memaafkan, dendam itu terhapus? Adakah apabila sesorang itu memilih untuk tidak lagi mengambil tahu, lalu dianggap masih berdendam? Adakah apabila keadaan tidak lagi seperti sedia kala, itu juga kerana dendam? Bagaimana kalau semua itu hanyalah rasa, tetapi bukan dendam? Kemudian, bukankah dendam itu juga suatu rasa? Ah.

Akhirnya, Menanti Khalidah terlalu sarat dengan ranjau kehidupan. Bacalah buat mereka yang mahu mengerti makna berkasih. Bacalah buat mereka yang tahu mengasihi. Hanya yang sudah bersedia, mampu membaca naskhah ini dengan emosi yang tidak tertahan. Begitulah kesudahannya, sedih dan amat menyedihkan.

2 ulasan:

  1. Hai Assalamualikum anak muda, lama tak menjengah ni;), sedap ulasan novel ni. Terima berkongsi.

    BalasPadam
  2. Hai wan. Ko tercalon dalam award aku. Haha. tq for sharing.

    http://ilhamremaja.blogspot.my/2017/03/sunshine-blogger-award.html

    BalasPadam