Sabtu, 17 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #32

22 RAMADAN 1438H

Alhamdulillah. Serasa saya, batuk yang dialami sudah hilang sepenuhnya. Tidak ada lagi sisa batuk, mahupun rasa sakit tekak saat bangun untuk bersahur. Ketika ini, saya tiba-tiba terlupa rasa peritnya batuk. Saya ingat keadaannya, tetapi tidak dapat membayangkan sakitnya itu lagi. Saya masih lagi mengamalkan beberapa petua, masih makan ubat dan masih meneruskan waktu berbuka tanpa ais. Saya tidak langsung menyentuh ais, hatta meminum air sejuk lagi. Biarlah tiada nikmat minum air, asalkan kejadian itu tidak datang menimpa lagi. Saya mahu sihat, saya mahu sembuh. Nanti raya, banyak lagi ais yang akan terhidang - dan tidak mungkin saya mampu untuk menolak lagi.

Hari ini, masuk hari keempat saya berada di rumah. Juga merupakan permulaan cuti semester yang rasmi. Banyak perkara yang perlu diselesaikan, banyak juga yang perlu dirancang serapi yang mungkin. Saya fikir, cuti ialah waktu terbaik untuk saya lakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan. Tetapi tidak sebenarnya. Waktu cuti saya akan terhalang dengan banyak perkara, lalu saya tidak sempat mahu meneruskan agenda - perulangan yang sama setiap kali bercuti. Tak mengapalah. Memang itulah yang saya perlu hadapi, tanpa keluhan dan alasan.

Saya teringat semasa perjalanan pulang tempoh hari. Ketika itu kami singgah di sebuah hentian R&R. Seorang lelaki tiba-tiba menghampiri kami, lalu menceritakan masalahnya kepada kami. Katanya, tangki minyak hitam motornya bocor. Dia sudah membeli minyak hitam dan sudah kehabisan wang untuk meneruskan pejalanannya. Dia cuba meminta pertolongan kewangan dan berjanji mahu membayarnya semula nanti. Kami tidak terus percaya, tetapi cuba untuk melihat keadaan motornya dahulu. Kawan kami yang pergi tengok untuk mengesahkan kata-katanya itu. Setelah dilihat, memang benar ada kebocoran pada tangki minyak hitamnya. Kawan saya menghulurkan sedikit wang kepadanya dan dia meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi semula.

Sebenarnya, bukan senang mahu mempercayai orang yang baru sahaja ditemui. Apatah lagi apabila membabitkan wang. Rasa sangsi dan was-was pasti hadir. Membelenggu diri antara simpati dan ketidakpercayaan. Namun, hanya keikhlasan yang dapat meletakkan nilai kepada pemberian itu. Jika benar ikhlas, besarlah ganjaran buat pemberi. Jika ada sekelumit sangsi dan penyesalan, itu tandanya keikhlasan itu belum disertakan semasa memberi. Apapun, semoga kejadian itu adalah benar sahaja. Bukan dibuat-buat dan bukan untuk mengambil kesempatan atas ihsan dan simpati manusia-manusia yang sedang bermusafir. Moga diberkati.

SABTU
17 JUN 2017


Tiada ulasan:

Catat Ulasan