Ahad, 26 Mei 2013

PADDINGON (BAHAGIAN IX) : PENAMAT TANPA NOKTAH


Aku dan Abang Tuah akhirnya tiba di Bayswater Station. Kesesatan yang mengajar kami tentang banyak perkara. Ketika itu sudah hampir jam 8.30 malam (waktu London). Kami turut berjumpa dengan beberapa orang ahli kembara yang lain, sedang berjalan pulang ke hotel penginapan. Pada fikirku, mereka tentu dengan pengalaman berbeza. Perjalanan mereka pasti tidak sama dengan apa yang kami lalui demi mencari 'sesuatu'. Dan yang paling aku pasti, mereka tidak tersesat seperti kami.

Kami singgah di The Malaysian Hall (restoran makanan Malaysia) untuk bersolat seketika. Usai, kami teringat. Bekalan wang 10.00 Pound yang diberikan kepada setiap peserta masih tidak luak digunakan. Kami punya dua pilihan, pertama; memesan makanan untuk santapan perut atau kedua; terus beredar pulang ke hotel.

Tanpa banyak bicara, pilihan kedua kami persetujui bersama-sama. Pulang ke hotel seketika, melawat keadaan seorang rakan kembara (sebilik dengan Abang Tuah) yang tidak dapat turut serta dalam tugasan ini akibat tidak sihat. Kemudian, kami mengatur langkah. Keluar semula dari hotel. Bukan untuk mencari restoran mahupun kedai makanan segera, sebaliknya dengan satu tujuan. Sebenarnya, kami merancang sesuatu semasa dalam perjalanan pulang tadi. 

Kami memilih untuk tidak makan malam kerana masing-masing masih kekenyangan. Seingat aku, untuk hari tugasan ini, sudah terlalu banyak yang kami makan sehingga lewat petang sebelum tugasan dimulakan. Aku, sebenarnya tidak begitu pasti untuk meneruskan rancangan kami. Namun, kerana adanya Abang Tuah bersama-sama, aku menjadi berani. Berani untuk turut serta dan mendalami sesuatu pencarian yang masih belum pasti. 

'Sesuatu' yang kami cari di kawasan Paddington, terus ditinggalkan hampa. Tidak lagi difikirkan cara untuk mencari 'sesuatu' itu lagi.Bukan sebab kami berputus asa, tetapi kami punya alasan rahsia. Tanpa membuang masa, kami menaiki tube di stesen yang sama. Menuju ke sebuah kawasan tumpuan manusia. 

Tibanya kami di sana, sekitar jam 9.15 malam. Yang mencuri perhatianku, kedai-kedai di sini sudah mula berkemas untuk menutup operasi mereka seawal jam 9.00 malam. Walhal, malam minggu seharusnya terus hidup dengan kemeriahan pengunjung yang ramai. Apatah lagi, kawasan ini tumpuan umum. Perjalanan diteruskan, kami berpusing-pusing mencari sebuah kawasan ini. Namun, hampa. Sukar ditemui walaupun kawasan tersebut besar dan terkenal sebenarnya.

Kami berjalan lagi. Aku, lebih banyak diam kali ini. Kesejukan cuaca malam begitu menyeksakan diriku. Teketar-ketar yang tidak tertahan lagi. Sepatah yang Abang Tuah tanya, separuh patah sahaja yang mampu terjawab. Ada juga, kami bertanya orang ramai yang lalu lalang. Arah ditunjukkan, dan kami terus ke sana. Dalam perjalanan juga, kami terjumpa peta yang dipamerkan pada papan tanda di stesen bas (seperti dalam gambar di bahagian paling atas). Dan, dengan peta itulah, kami pandukan diri kami untuk mencari tempat itu.

Akhirnya kami temui tempat yang kami cari. Sekadar nama tempat, bukan tempat sebenar yang dicari. Kami teruskan perjalanan untuk mencari tempat sebenar itu. Malangnya, berkali-kali kami mencari, memasuki lorong sana-sini, kami tetap tiba di tempat yang sama. Abang Tuah membuat kata putus, katanya;

"Kita cari lagi sekali. Kalau tak jumpa juga, kita balik saja"

Aku terus bersetuju. Dalam keinginan meneruskan pencarian, tetap terdetik di hati untuk kembali dengan segera. Terlalu sejuk sehingga hidungku merah menyedut udara dingin ini. Sesuatu yang menarik kami lalui lagi. Entah bagaimana boleh terdetik di hati untuk cuba mencari dengan inisiatif lain.Kami terlihat banyak 'beca London' di kawasan ini. Aku dan abang Tuah menghampiri sebuah 'beca London' itu. Menyapa lelaki di situ, kami berbasi-basi dan menyuruhnya membawa kami ke sana. 

Kami ditawarkan bayaran serendah 10.00 pound untuk perkhidmatan itu. Aku dan Abang Tuah, tanpa banyak fikir terus bersetuju. Lagipun duit bekalan kami masih tidak digunakan. Asalkan apa yang kami cari ditemui.

Perjalanan yang hanya tiga minit, membawa kami ke sebuah kawasan yang kami tidak pasti namanya. Sebaik sahaja kami diturunkan di kawasan itu, aku dan Abang Tuah tersenyum. Kami 'gagal' mencari 'sesuatu' di Paddington, tetapi kami tidak akan gagal buat kali kedua. Mencari 'sesuatu' yang baharu pula. 

PADDINGTON BAHAGIAN 1-9
TAMAT 

Wanariahamiza

Jumaat, 24 Mei 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN VIII) : 'SESUATU' YANG MENGHAMPAKAN


Bantuan yang kami terima daripada Abu Ahmad sudah cukup menggembirakan. Kami teruskan perjalanan dengan mengikut arah yang telah dikhabarkan. Seingat kami, sudah cukup jelas petunjuk yang dimaklumkan oleh Abu Ahmad. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui 'sesuatu' yang dicari. 

Dengan penuh ketelitian, kami memerhati setiap bangunan dan papan tanda yang terdapat di situ. Tetap tidak ditemukan apa yang dicari. Mungkin masih ada masa untuk kami berpatah semula dan berjumpa Abu Ahmad lagi untuk ditanya kembali tentang arah 'sesuatu' yang telah diberitahu. Namun, kami memilih untuk tidak ke sana lagi. Masa terus berjalan.

Kami membuat keputusan untuk terus berjalan dan mencari sahaja 'sesuatu' itu sendiri. Agak jauh juga rasanya. Ada juga beberapa kali kami bertanya orang awam yang lalu lalang, tetapi tetap dengan jawapan serupa iaitu mereka tidak tahu tentang 'sesuatu'.

Akhirnya, kami memilih untuk ke Stesen Tube yang terdekat. Berjalan dan terus berjalan, kami terjumpa sebuah Stesen Tube di kawasan tersebut. Kami masuk dan melihat peta yang ada. Malangnya, tempat yang kami mahu tuju tiada dalam perjalanan Tube di stesen tersebut. Kami menyapa seorang lelaki yang sedang bersandar di dinding. Mungkin menunggu seseorang barangkali. Namanya, terlupa kami bertanya.

Kami mahu pulang semula ke tempat kami menginap. Jadi, kami tanyakan arah stesen yang akan membawa kami ke sana. Dijawab mesra olehnya. Arah ditunjuk dengan penuh teliti. Timbul pula kehendak untuk bertanya tentang 'sesuatu'. Dia jawab, dia tidak tahu. Namun, yang menarik perhatianku tentang pertanyaan ini ialah, walaupun dia tidak tahu tentang 'sesuatu' tetapi dia bersungguh-sungguh cuba membantu. Dia memberi cadangan untuk ke beberapa tempat yang mungkin 'sesuatu' yang kami cari akan ditemui. Dan dia tamatkan jawapannya dengan;

"Mungkin itu sahaja yang dapat saya bantu. Saya tidak begitu pasti. Cuba tanyakan pula kepada pengawal di sana. Mungkin dia lebih tahu."

Kami hargai bantuannya serta kesungguhan yang ditunjukkan. Kami menghampiri pula pengawal di stesen itu. Bertanya beberapa soalan, lalu beredar mencari stesen yang sepatutnya kami pergi. 

Tiba di stesen yang dicari. Stesen ini seperti sebuah stesen yang tidak begitu menjadi tumpuan. Hanya terletak di tepi jalanan dengan pintu masuk yang kecil sahaja. Kami memasuki stesen tersebut dan tercari-cari peta perjalanan yang selalunya akan kami lihat hadapan pintu masuk. Kami panik. Tiada peta, dan tiada apa-apa petunjuk tentang nama stesen tersebut mahupun nama kawasan tempat kami berada.

Beberapa orang awam dilihat berjalan keluar dari stesen ini. Kami cuba menyapanya untuk mendapatkan maklumat tentang nama tempat ini.

Charlie yang membantu kami dengan menunjukkan peta melalui telefon pintarnya
Nama lelaki itu, Charlie. Kami bertanya tentang nama stesen ini. Rupa-rupanya, kami berada di Edgware Road Station. Dan stetsen ini sebenarnya tidak jauh dengan tempat penginapan kami. Hanya dua stesen berikutnya, kami akan tiba di Bayswater Station iaitu selepas melalui Stesen Paddington yang kami pergi pada awalnya. 

Aku terfikir, mungkin kesesatan yang kami lalui tidaklah jauh mana, cuma disebabkan tempat ini asing bagi kami, timbul kesusahan dalam mencari arah dan jalan. Setelah dijawab pertanyaan kami, sekali lagi aku dan Abang Tuah cuba bertanya tentang 'sesuatu' kepada Charlie pula. Mungkin dia tahu tentang 'sesuatu' ini. Namun, jawabnya juga menghampakan kami. Tetapi, sesuatu yang menarik tentang Charlie, sebaik sahaja kami bertanya tentang sesuatu, dia terus gunakan  telefon pintar miliknya untuk mencari peta  arah 'sesuatu' yang kami cari. Lama juga dia menghabiskan masa bagi membantu kami. 

Ya, peta yang ditunjukkan olehnya menggembirakan aku dan Abang Tuah. 'Sesuatu' ditemui, namun bukan di sekitar kawasan ini. Jauh lagi letaknya. Terima kasih diucap, lalu kami beredar untuk menaiki tube dan kembali.

'Sesuatu' yang menghampakan, tetapi masih memberi sinar harapan.

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

Isnin, 20 Mei 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN VII) : TUGASAN SIAP TANPA SEDAR


Kami melangkah keluar dengan harapan 'sesuatu' akan ditemui segera. Seingat aku, kami memilih untuk ke arah sebelah kiri ketika itu demi mencari sesuatu. Ketika ini, aku sudah tidak banyak berkata. Hanya melangkah cepat, dengan berpeluk tubuh serta mulut yang terketar ketar. Cuaca yang sangat sejuk. 

Kami cuba berjalan lagi tanpa hala tujuan, kecuali dengan harapan. Tidak jauh dari Paddington Station, kami terpandang sebuah bangunan yang tersergam indah. Ya, itulah bangunan yang melengkapkan tugasan kami. Tugasan terakhir kami yang siap tanpa dirancang. St Mary Hospital dijumpai. Maka, soalan dalam tugasan dapat dijawab. Sebuah hospital wujud di kawasan ini dan terletak berdekatan kawasan Stesen Paddington. 

Aku dan Abang Tuah tersenyum. Tugasan siap. Sebaik sahaja melihat Hospital St Mary ini, aku terus teringat cerita beberapa orang rakan kembara yang lain. Pada hari-hari pertama di sini, mereka ada pergi bersiar-siar secara sendiri. Sehingga mereka tersesat. Yang menjadi ceritanya, kesesatan mereka ada kaitan dengan hospital ini. Mereka kata mereka tersesat sampai ke St Mary Hospital. Namun, setelah berkali-kali mencari arah untuk pulang semula ke hotel penginapan, mereka tetap tiba di hospital ini; beberapa kali. Mujur, akhirnya jalan pulang ditemui. Dan kata salah seorang ahli kembara itu,kesesatan membuatkan jalan ke hospital ini sudah boleh dihafal. Tidak jauh sebenarnya. 

Aku dan Abang Tuah, tidak berfikir panjang. Kami tiada masa untuk mencari arah pulang kerana mungkin memakan masa. Lagipun, kami mencari 'sesuatu'. Kami perlukan 'sesuatu' segera dan secepat yang boleh.

Aku dan Abang Tuah sampai ke suatu kawasan yang tidak diketahui nama tempatnya. Kami sudah langsung tidak cakna dengan nama tempat dan keadaan sekeliling. Cadangku, kami perlu mencari restoran atau kedai yang menjual makanan halal. Sebabnya, mungkin mereka juga muslim dan lebih mudah untuk membantu kami. Ada beberapa penjaga kedai dan restoran yang cuba membantu, walaupun tidak mengetahui tentang 'sesuatu'. 

Cuma, ada sebuah kedai kecil tertera perkataan halal dengan seorang penjaga yang aku kira biadap. Kami bertanya secara sopan dan berhemah. Namun, pertanyaan kami dijawab mudah dan agak keras bunyinya dengan perkataan 'NO'. Aku anggap, mungkin dia tidak senang dengan kami sebagai Muslim. Sebabnya dia terus memalingkan muka dan tidak menghiraukan kami lagi. Aku ingat, ucapan terima kasih kami juga tidak dijawab. Sesal juga dengan keadaan ini. Mungkin juga penjenamaan HALAL itu sebagai daya penarik pelanggan sahaja. Namun, tiada yang sahih tentang status halalnya. 

Kami meneruskan perjalanan entah ke mana-mana. Tiba di sebuah restoran makanan segera, kami terlihat dua orang muslimah yang memakai hijab sedang menjamu selera. Aku cadangkan kepada Abang Tuah untuk bertanya wanita berdua itu. Mungkin mereka bermastautin di kawasan ini dan dapat membantu kami.

Restoran makanan segera, Chicken Cottage yang kami temui
Kami menyapa mereka dengan salam. Alhamdulillah, dijawab mesra. Mereka sedia membantu. Tanpa melengahkan masa, terus bertanya perihal 'sesuatu'. Namun, hampa. Mereka juga tidak tahu, sebab mereka pendatang baharu di kawasan tersebut. Kami mengucapkan terima kasih , dengan senyuman hampa lalu beredar. 

Nasib kami baik, ada seorang lagi lelaki tua di dalam restoran tersebut cuba menyapa kami. Namanya Abu Ahmad. Dia cuba membatu kami setelah melihat keadaan kami yang seperti  tercari-cari sesuatu. Aku fikir, mungkin dia tinggal di kawasan ini. Dia sanggup keluar dari restoran bagi menunjukkan arah untuk menuju ke  suatu kawasan bagi mencari 'sesuatu'. 

Aku dan Abang Tuah lega. Pencarian 'sesuatu' bakal tamat.

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

Selasa, 14 Mei 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN VI) : MENCARI 'SESUATU'


Tugasan hampir selesai. Kami sudah boleh melepaskan kerisauan tentang tugasan. Boleh tersenyum sepanjang perjalanan pulang nanti. Tugasan ini, tidak sukar seperti yang difikirkan. Tempatnya, tidak jauh seperti yang dibayangkan. Dan maklumat tentang Paddington juga tidaklah tersembunyi di ceruk yang begitu payah ditemui. Cuma, tinggal satu perkara yang belum ditemui jawapannya.

"What if you're ill: is there a hospital next door? "

Jadi, kami perlu mencari jalan keluar. Kami perlu meluaskan pencarian untuk meneliti kawasan persekitaran. Mencari sebuah hospital; yang masih tidak diketahui sama ada wujud atau tidak di kawasan Stesen Paddington ini. Kami rasakan tugasan ini dapat disiapkan dalam jangka masa yang begitu singkat. Namun, apabila dilihat sebuah jam yang terdapat di Stesen Paddington; rupa-rupanya sudah hampir pukul lima. Ketika itu, hari sudah mulai gelap. Di sana, jam 6.00 petang sudah malam. 

Kami mula tersedar, ada perkara yang kami terlupa. Aku dan Abang Tuah mula menjadi kaget. Mula melupakan tugasan itu dan terus dengan fikiran yang satu. Mencari 'sesuatu'. Perancangan asal, kami mahu duduk-duduk di stesen itu, meneliti takah setiap manusia yang berkeliaran dan berjalan di sana. Dan sebolehnya, satu puisi siap pada saat dan ketika itu. Kami pasti, banyak inspirasi akan terjana, banyak idea akan tumbuh dan mungkin subur sesuburnya jika kami berlama-lama di sana. Namun, perancangan tergendala. Kami  mula mengubah perancangan asal. Atau lebih tepat, membatalkan perancangan itu. 'Sesuatu' itu lebih penting. Lebih besar maknanya buat kami insan biasa.

Tanpa berlengah, kami mencari pintu keluar. Sebuah stesen yang besar, dan mengelirukan struktur binaannya. Kami terus mencari dan mencari. Berpandukan papan tanda yang tertulis 'EXIT', langkah dipercepat. Barangkali sedegup jantung bersamaan sederap langkah kami. Tiba di suatu tempat yang kami kira sebagai penghujung kepada arah yang ditunjukkan, kami menaiki tangga ke aras yang atas. Mungkin jalan lebih atas daripada kawasan ini. Tetapi kami  hampa. Tiada petunjuk tentang jalan keluar di aras tersebut. Kami menghampiri sebuah lif dan tanpa berfikir lagi, kami memasuki lif itu pula. 

Lucu juga, kami sangka lif tersebut akan membawa kami ke aras yang lebih atas, rupa-rupanya tidak. Lif itu hanya menurunkan kami di aras yang sama sebelum kami menaiki tangga. Tidak kisah. Kami cuba mara lagi. 'sesuatu' perlu dicari segera. Mungkin pintu keluar berada jauh ke hadapan. 

Tiba juga di pintu keluar daripada stesen, tetapi bukan pintu keluar utama. Hanya pintu keluar untuk mereka yang mahu menaiki kereta api bagi perjalanan yang jauh aku kira. Sebabnya, aku lihat banyak bagasi di kawasan itu. Kami terus berjalan dan berjalan sehingga tiba di kawasan parkir kereta. 

Sah, bukan jalan keluar ini yang kami cari. Kami menjadi tidak tentu hala. Namun ketika itu, ada seorang lelaki Inggeris berjalan seorang diri. Dibimbit sebuah beg kerja. Abang Tuah cuba menyapanya. Kami memperkenalkan diri dan bertanya tentang jalan keluar.

Nama lelaki itu Charlie. Dia begitu mesra saat disapa. Tersenyum dan benar-benar seperti mahu membantu kami sebagai orang asing di negaranya. Katanya, kami tersalah jalan. Kami harus berpatah semula dan pintu keluar sebenarnya  hanya di sekitar kawasan Kedai Paddington sahaja. Kami berasa sedikit terkilan. Perjalan sehingga ke parkir itu hampir sepuluh minit juga. Dan kami perlu berpatah semula untuk jangka masa lagi sepuluh minit. Penat, namun demi 'sesuatu' yang dicari, kami gagahkan diri.

Aku melihat, mereka di sini gemar membantu orang lain. Tidak kekok menunjukkan arah dan tidak kekok menjawab pertanyaan orang asing seperti kami. Akhirnya, pintu keluar yang kami cari ditemui. Ketika itu, sudah jam 7.00 seingat aku. Tersesat di sebuah stesen besar sehingga hampir dua jam. 

Namun, 'sesuatu' masih belum ditemui. 

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

Rabu, 8 Mei 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN V) : JAWAPAN DITEMUI


Aku dan Abang Tuah cuba menghampiri juruwang yang bertugas di kedai tersebut. Keadaan kedai yang agak lengang sewaktu ketibaan kami membuatkan kami lebih selesa untuk mencari maklumat. Mungkin juga kerana hari juga sudah hampir menutup tirai siang. Kami menyapa wanita tersebut. Senyuman dilemparkan ikhlas daripada riak wajah yang ditonjolkan. Namanya Martha yang berasal dari Kilburn.

Memandangkan kami sendiri tidak pasti tentang apa itu Paddington, kami memulakan perbualan dengan memperkenalkan diri kami sebagai penulis muda dari Malaysia dan sedang menyiapkan suatu tugasan. Soalan pertama yang kami ajukan ialah;

"Anda tahu apa-apa tentang Paddington?"
Ternyata soalan ini menjadi kunci kepada semua jawapan yang dicari. Juruwang wanita tersebut terus mengangguk dan menanti soalan seterusnya daripada kami. Kami terus bertanya; bertanya; bertanya dan terus bertanya.Kami cuba korek segala rahsia Paddington. Kami mahu kepulangan kami nanti bukan sahaja memberi kepuasan kepada diriku dan Abang Tuah, sebalikya akan memberikan kepuasan kepada ahli kembara yang lain apabila diceritakan nanti.

Mendengar penerangan Martha, aku sendiri teruja dengan kisah Paddington. Dan yang paling aku suka, Martha tidak menjadi juruwang semata-mata -menekan kekunci harga, mengambil wang daripada pelanggan dan memberikan duit baki beserta resit. Sebaliknya, Martha tahu tentang produk yang dijual di kedai tersebut, sejarah kedai tersebut dan cerita di sebalik penjenamaan Paddington. Walaupun mungkin tidak ramai yang bertanya tentang Paddington kepadanya, tetapi dia tahu dan dia berpengetahuan. Malah sentiasa bersedia menjawab semua persoalan tanpa sebarang rujukan. Membuatkan aku teringat kebanyakan juruwang di negara kita yang hanya menjalankan tugas sebagai 'juruwang' semata-mata.

Tugu gangsa Beruang Paddington yang diabadikan di ruangan sebelah eskalator untuk ke The Paddington Bear Shop
Pada plat ini tertulis:
"This statue was designed by Marcus Cornish is  based on the illustrations of Paddington Bear by Peggy Fortnum. It acknowledges the enermous pleasure which Michael Bond's creation has given to millions of children and adults throughout the world since his first book was published in 1958"



SINOPSIS PERBUALAN DENGAN MARTHA
Katanya, Paddington itu ialah nama yang diberikan kepada seekor beruang. Beruang yang dijumpai berkeliaran di stesen Paddington. Beruang itu katanya cekal, tabah dan kuat. Beruang yang gemar mengembara. Beruang itu, dijumpai bersendirian. Dengan kot labuh biru dan bertopi merah. Itulah identiti beruang kecil itu.

Mula keliru dengan ceritanya, kami bertanya; antara nama Stesen Paddington dan Paddington Bear yang mana datang dahulu?

Jawabnya, stesen itu memang namanya Paddington. Kemudian barulah nama Paddington diberikan kepada beruang kecil yang ditemui. Hebat, nama sebuah stesen kereta api diberikan kepada beruang itu. Dan dengan nama Paddington, beruang tersebut menjadi terkenal apabila wujud sebuah penjenamaan.

Sebenarnya, watak Paddington Bear yang berasal dari Darkest Peru hanyalah watak fiksyen yang diwujudkan untuk kanak-kanak. Tidak pasti pula jika memang benar seekor beruang ditemui di Paddington Stesen. Buku pertama tentang Paddington Bear telah diterbitkan pada tahun 1958, ditulis oleh Michael Bond dan gambar Paddington Bear pula telah diilhamkan dan diilustrasikan oleh Peggy Fortnum.

Hebat. Sebuah cerita rekaan yang berjaya memikat hati kanak-kanak sehingga wujud penjenamaan. Malah lebih mengagumkan, cerita Paddington bukan sahaja popular di United Kingdom, malah di banyak negara. Buktinya, Buku Paddington telah diterjemahkan kepada 30 bahasa lain yang mejadikan jenama ini cukup bersifat 'antarabangsa'. Stesen Paddington juga mendapat tempiasnya.

Gambar ini telah diambil oleh seorang wanita bernama Lisa yang sedang menunggu teman lelakinya di situ. Kami meminta bantuannya untuk mengabadikan gambar aku dan Abang Tuah di tugu gangsa Paddington Bear.

Pengembaraan masih belum selesai.
Ada beberapa tugas yang belum disiapkan,
yang masih memerlukan jawapannya.

BERSAMBUNG...

Wanariahamiza

Isnin, 6 Mei 2013

PADDINGTON (BAHAGIAN IV) : KEDAI MAKHLUK BERBULU


Aku dan Abang Tuah naik ke bahagian atas Stesen Paddington. Sedikit tergamam apabila melihat sebuah kawasan luas terbentang di hadapan mata. Lain daripada stesen-stesen tube lain yang tidak begitu besar. Stesen ini seperti sebuah pusat tumpuan orang ramai. Aku mula menjadi cemas. Pada fikirku, tugasan oleh Encik Wan ini terlalu sukar. Bagaimana kami mahu mencari makhluk berbulu di sebuah kawasan yang terlalu luas. Sebuah kawasan yang terlalu ramai orangnya. 

Aku dan Abang Tuah terus mencari kaunter pertanyaan bagi meneruskan tugasan kami ini. Kami pasti, mereka tahu tentang tempat mereka sendiri dan pasti dapat membantu kami mencari Paddington, makhluk berbulu.

Pertanyaan kami mendapat respon yang hampir mengecewakan. Dua orang pengawal di kaunter pertanyaan tersebut seperti tidak mengetahui tentang makhluk berbulu yang kami cari. Mungkin juga cara pertanyaan kami yang membuatkan mereka tidak faham.Kemudian, kami memberikan kertas tugasan kami kepada mereka. Dengan cara ini, tentu mereka lebih faham tentang pertanyaan kami.

Respon yang diterima menggembirakan. Mereka menunjukkan kami ke arah suatu sudut dengan menyatakan, mungkin kami sedang mencari tempat tersebut.


Kami menaiki eskalator ke aras dua dan menemui sebuah kedai, The Paddington Bear Shop. Makhluk berbulu akhirnya ditemui. Tetapi kami masih sangsi, makhluk berbulu ataupun kedai berbulu? Apakah Encik Wan mahu kami berbelanja di sebuah kedai ini? Atau Encik Wan mahu kami mencari sejarah kedai ini? Apakah kaitannya kedai ini dengan stesen Tube di sini?


Aku dan Abang Tuah memasuki kedai ini. Kami meninjau-ninjau barangan yang dijual. Semuanya dengan jenama Paddington. Ada patung beruang, buku, novel, cenderamata dan baju yang mempunyai gambar makhluk berbulu ini. Aku sangka, Paddington ini suatu jenama. Jenama yang mendapat sambutan hangat oleh penduduk setempat. Mungkin juga jenama ini sudah terkemuka sejak sekian lama. Sebabnya novel pertama tentang Paddington Bear telah diterbitkan pada tahun 1958.

Namun, apakah istimewanya jenama Paddington ini?

BERSAMBUNG...


Wanariahamiza