Selasa, 9 Ogos 2016

RINDU DALAM MIMPI


Sebelum Ramadan tempoh hari, saya dihidangkan dengan sebuah mimpi yang ada rindu di dalamnya. Betapa mimpi itu cukup mendamaikan, membahagiakan dan semestinya menjadikan saya insan yang tagihkan mimpi itu untuk kembali semula. Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan guru mengaji saya setelah begitu lama tidak berhubung. Entah di majlis apa, mungkin kenduri dan mungkin juga sekadar suatu latar yang mempertemukan. Sebaknya saya ketika itu tatkala saya memandang ke arahnya. Wajah tua guru mengaji saya itu penuh keterujaan dan dalam senyuman menyebut nama saya seperti yang dipanggilnya dahulu. Allah, insan yang sudah berusia sepertinya masih mampu mengingati nama saya, anak muridnya yang sudah terlalu lama meninggalkan zaman kecil dahulu. 

Babak mimpi itu sungguh bermakna, sangat mensyahdukan. Saya ketika itu seboleh-bolehnya mahu memperdengarkan bacaan al-Quran saya kepadanya, biar diketahui bahawa saya sudah lancar mengaji, jauh lebih jelas bacaannya berbanding zaman kanak-kanak dahulu. Saya rindu untuk mendengar bacaan saya diperbetulkan, kemudian saya turuti bacaanya satu persatu. Biarpun kadang-kala saya terhenti dek nafas yang pendek, pasti akan diulanginya sehingga mampu saya kejar semula. Dalam mimpi itu, saya seperti ke suatu tempat sebelum kembali semula kepadanya untuk melunaskan hajat itu. Cuma ternyata, mimpi itu tidak sampai penghujung. Saat saya kembali berdiri di hadapannya, ketika itu jugalah saya tersedar daripada tidur dalam hiba dan air mata. Mimpi itu membuatkan saya menangis di dalam tidur. Itukah tanda sebenar rindu?

Memang saya amat mahu menemuinya lagi. Sembilan tahun lalu, itulah detik terakhir pertemuan kami. Sepanjang tempoh itu, ada juga saya terdengar khabar yang sayup-sayup sahaja. Seorang demi seorang guru mengaji kami telah dijemput menghadap Pencipta. Sekali lagi saya sebak, terbayangkan insan-insan yang pernah mengenalkan kami huruf-huruf al-Quran, bacakan kami kisah-kisah nabi dan ajarkan kami hukum-hakam agama suci. 

Mungkin juga dalam rindu itu ada pesan. Tempoh kedewasaan saya ada kalanya melekakan dengan kesibukan. Lalu al-Quran itu dipinggirkan tanpa belaian dan bacaan. Jika dahulu setiap hari al-Quran itu menjadi teman seusai persekolahan, ditadaruskan bersama-sama teman di asrama tetapi kini? Tiada lagi jadual yang mengikat diri ini dengan al-Quran, melainkan diri sendiri yang berpegang dengan iman. Saya benar-benar mahu, menjadikan al-Quran itu kawan, sahabat yang berdampingan. Ini bukan impian, tetapi inilah kehidupan. Pernah saya rasakan iri dengan mereka yang al-Quran itu bukan letaknya pada kitab, tetapi subur dalam hati, basah di bibir setiap hari. Memang saya bukan seperti mereka, namun saya juga manusia yang menuju jalan-jalan serupa.

Allah, jika kami selalu mengabaikan kalam-Mu, jangan pernah dikeraskan lidah kami sehingga tidak tersebut lagi kalimah-kalimah suci-Mu secara sempurna. Berikanlah kami kefasihan dalam mengalun, kefahaman dalam menghadam dan kekuatan dalam mengamal. Sejahteralah semua yang ajarkan kami 'mengaji'. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...