Rabu, 26 Jun 2013

APA LAGI YANG KAMU MAHU?


Hari ini, aku membaca sekali lagi cerpen bertajuk Apa Lagi Yang Kamu Mahu, karya seorang penulis hebat Mohd Fudzail Mohd Nor. Cerpen ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad, 23 Jun 2013 yang lalu. Entah mengapa, cerpen ini dirasakan begitu dekat dengan kehidupanku sebagai seorang anak yang baru sahaja menjejak kaki ke alam universiti. Cerpen ini juga dirasakan begitu bermakna dalam setiap mesej yang cuba disampaikan. Membuatkan aku berfikir berkali-kali tentang kebenaran yang cuba disampaikan oleh penulis.

"Apakah kamu yakin ada kerja selepas tamat pengajian? Apakah kamu akan suka dengan kerjaya yang dipilih? Apa pun secara amnya, ada berita buruk untuk generasi selepas kita. Teknologi masa kini akan melupuskan keperluan menggaji manusia daripada kegiatan ekonomi sepenuhnya"

Petikan dialog yang dipetik daripada cerpen ini ditulis seawal permulaan penceritaan. Lalu terus manarik perhatianku untuk terus kubaca dan kufahami apakah yang cuba disampaikan oleh penulis. Sukar juga ditelah. Isu semasa tentang pengangguran yang berleluasa walaupun jutaan manusia punya sijil pengajian yang hebat-hebat belaka. 

Aku sendiri, sebagai seorang mentah yang masih belum pasti tentang masa depan dan hala tuju turut disentak dengan soalan dalam dialog tersebut. Apakah aku sudah benar-benar berada di landasan yang betul, dengan bidang yang aku ceburi? Apakah masa depanku benar-benar terjamin dengan apa yang kumiliki saat ini?

Banyak lagi perkara yang ditekankan dalam cerpen ini. Menarik kiranya jika dibaca dan dihayati sendiri. Aku hanya berkongsi apa yang aku fahami.

1) Pengangguran bukan kerana pendatang luar yang semakin ramai atau kelemahan siswazah dalam berbahasa Inggeris secara keseluruhannya, tetapi kerana kerja yang semakin berkurang

2) Jurusan Bahasa Melayu dianggap tiada dalam agenda pendidikan dan wawasan negara maju

3)Bahasa Inggeris pula dianggap bahasa dunia yang membawa kemajuan dan taraf intelektual

4) Had penulisan di laman Twitter yang menghadkan jumlah perkataan menjadi satu lagi penyumbang kepada permasalahan kerosakan bahasa selepas medium khidmat pesanan ringkas (SMS)

5) Menjadi suatu kepelikan apabila mesej yang dihantar terlalu panjang kerana tiada kependekan dan akronim yang digunakan

6) Pendidikan tinggi tidak menjamin pekerjaan yang baik, malahan ada yang menganggur selamanya sedangkan kos pengajian universiti dan kolej terus meningkat dan meningkat

Satu lagi dialog yang menarik perhatianku:

"Ada kemungkinan universiti akan menjadi seperti kasino, hebat untuk penjudi yang menang, tetapi sebenarnya kita lebih baik tidak masuk universiti daripada membayar harga mahal untuk masuk dan gagal untuk menang sebagai pekerja bergaji besar!..."

Petikan ini pula kupetik daripada kenyataan Puan Nisah Haron. Baca selanjutnya di https://www.facebook.com/nisah.haron

"Jika seseorang itu masuk belajar di universiti supaya dia mudah dapat kerja, ini suatu pendekatan yang tidak tepat. Universiti bukanlah kilang tempat melahirkan pekerja. Universiti seharusnya menjadi tempat membina keperibadian dan sahsiah mahasiswa. Ya, mungkin untuk menjawat jawatan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera, perlu meneruskan pengajian di universiti. Namun, mereka perlu mendapatkan falsafah pendidikan melalui jurusan masing-masing. Jika tidak, seseorang itu hanya memiliki kerja tetapi tidak mempunyai keperibadian dan nilai terhadap tugasnya. Berapa ramai yang masuk universiti kerana dia mahu 'mencipta' kerjaya, bukannya sibuk mencari kerja selepas itu?"

Wanariahamiza