Rabu, 31 Julai 2013

INSPIRASI RAMADAN #2

22 RAMADAN 1434H

Banyak perkara yang berlaku hari ini. Pertama, semasa kelas ELC080 tadi, pensyarah dengan baik hatinya telah menggunakan satu jam masa yang ada dengan memberi peluang kepada kami untuk menyanyikan lagu-lagu yang mengingatkan kami kepada kampung halaman. Penghabisan kelas kami, lagu Balik Kampung oleh Sudirman dinyanyikan. Raya oh Raya!

Kedua, pada sebelah petang kami semua warga Kolej Perindu telah diberikan semangkuk bubur lambuk dan sebungkus kuih bangkit. Lagu raya rancak dimainkan. Terasa seperti sudah raya pula. Yang menariknya, takah kawan-kawanku. Ketika itu aku masih di bilik. Mereka pula sudah mengambil bubur lambuk lebih awal. Lalu dihebohkan kepada warga bilik yang lain. Kata mereka,
"Turunlah ke Dataran Perindu. Dapat bubur lambuk dan bahulu percuma!"
Walhal sebenarnya bahulu yang dimaksudkan ialah kuih bangkit. Generasi kami, kurang mengenali nama kuih-kuih ini. Generasi akan datang?

Ketiga, sewaktu berbuka puasa. Aku dan Ilman memilih untuk ke Restoran Baraa bersama-sama beberapa  orang kenalan sekelas. Yang menariknya, aku berkesempatan berjumpa dengan seorang rakan dari sekolah lama. Aufa namanya. Kebetulan mereka mengadakan iftar kelas di restoran yang sama. Hampir dua bulan menjejakkan kaki di universiti, inilah kali pertama aku berjumpa semula dengan rakan lama.Gembira juga.

Keempat, aku dan Ilman bertungkus-lumus menulis 29 kad raya kepada rakan-rakan sekelas pada sebelah malamnya. Penat, tetapi seronok rasanya. Lebih seronok, melihat gelagat beberapa orang rakan sebilik yang pertama kali menulis kad raya kepada kenalan mereka. Aku tergelak juga. Mereka menggunakan pembaris sebagai petanda untuk menulis. Tujuannya untuk memastikan tulisan mereka lurus sahaja. Tulisan mereka juga tidak ditunjukkan seperti terlalu rahsia. Ada juga yang menggunakan pensel terlebih dahulu sebelum diikut semula menggunakan pen. Lebih haru, menulis sekeping kad raya memakan masa melebihi satu jam. Yang penting, mereka punya pengalaman menulis kad raya yang dianggap sudah tidak relevan kini.

Bagiku, kad raya lebih bermakna.

RABU
31 JULAI 2013

Wanariahamiza

Selasa, 30 Julai 2013

INSPIRASI RAMADAN #1

 21 RAMADAN 1434H

Kesal dengan sikap mereka yang tidak tahu bersungguh-sungguh. Semalam, aku tidak dapat mengikuti perancangan mereka kerana aku sudah ada rancangan lain yang sudah dirancang lebih awal. Oleh sebab rasa bersalah yang melanda, aku cuba bertoleransi hari ini. Cuba merancang dan mencadangkan lebih awal. Namun, aku menerima respon menghampakan. Tidak kisahlah. Mungkin mereka sudah ada perancangan lain. Jadi, aku terus merancang aktiviti lain. Usai kuliah hari ini, tiba-tiba mereka bersetuju dengan cadangan aku tadi. Walhal aku sudah merancang sesuatu yang lain. Membara juga rasa hati ini. Keputusan yang tidak disertakan dengan kesungguhan dan akhirnya dipersetujui pada penghujungnya. Sesuatu yang menyusahkan.
Sejujurnya, kesungguhan dalam persetujuan amat penting demi menjaga hati seorang kawan.

Pada sebelah malam, dua insiden terjadi kepadaku. Pertama, aku dicuit dari belakang oleh seorang lelaki. Kemudian disapa "Macam ni kau sekarang, sombong!" Tangan dihulur, aku sambut. Cuma selepas bersalam, lelaki tersebut terus beredar. Segan barangkali. Sungguh, aku tidak mengenalinya. 

Kedua, aku dan Faz ke sebuah kedai ice blended. Kemudian kami disapa oleh penjualnya.
 "Adik beradik ke?"
 Untuk yang kesekian kalinya kami ditegur kerana mempunyai muka yang sama. Kata abang tersebut, mata dan kening yang sama.
Kembar ditemui.

SELASA
30 JULAI 2013

Wanariahamiza

Ahad, 14 Julai 2013

RESEPI KEK BATIK


BAHAN-BAHAN
  • Satu paket biskut Marry (350g - 375g)
  • Setengah tin susu pekat manis
  • 2 cawan milo (lebihkan kalau suka Milo yang banyak)
  • Setengah cawan marjerin
  • Empat biji telur
  • Satu cawan air panas


CARA PENYEDIAAN

  1. Patah-patahkan biskut Marry.
  2. Cairkan milo dan susu pekat manis dengan air panas.
  3. Pukul telur.
  4. Panaskan campuran milo dengan susu di dalam periuk.
  5. Masukkan majerin, kacau sehingga cair.
  6. Masukkan telur, kacau sehingga rata (jangan bagi kering kalau nak biskut rasa lembap).
  7. Masukkan biskut Marry, gaul rata.
  8. Selesai, masukkan ke dalam bekas adunan.
  9. Ratakan dan mampatkan.
  10. Simpan di dalam peti dan siap untuk dimakan.

Isnin, 1 Julai 2013

UKURAN SEBUAH KEHEBATAN


Hari ini, aku tergerak untuk memetik semula kata-kataku di laman Facebook pada 26 Jun 2013 yang lalu. Bukan apa, sebabnya semasa di dalam kelas 'Critical Thinking' bersama-sama Mr. Choy tadi, beliau ada menekankan perihal yang sama. Secara sepintas lalu, kata-kata Mr. Choy kelihatan seperti hanya sebuah jenaka yang sudah sebati dalam ucapan dan kata-katanya. 

Namun apa yang aku fahami dan teliti, kata-kata beliau sebenarnya menekankan perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan oleh kita, manusia dengan bahasa. Aku berani menyatakan di sini, majoriti ahli kelasku memahami apa yang disampaikan oleh Mr. Choy sebentar tadi. Cuma hanya minoriti yang benar-benar menghayati mesej yang cuba disampaikan.

 Mungkin bukan aku sahaja yang berfikir tentang perkara ini, tetapi ramai lagi manusia  punya perasaan yang sama terhadap perkara yang ditekankan.

"Kehidupan di alam universiti mempertemukan aku dengan ramai orang yang berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Tidak menjadi masalah untuk itu. Cuma, hairan dan kesal dengan mereka ini. Setiap satu ayat mereka pasti terselit perkataan-perkataan yang langsung tidak enak didengar. Adakah cara tersebut membuktikan anda hebat berbahasa asing, atau gaya bahasa begitu menjadi satu ritma yang wajib disertakan dalam percakapan? Yang pasti, semua bahasa di dunia indah jika dihargai."

-Wan Hanif Wan Hamid-
-Facebook-
-26 Jun 2013-

Status Facebookku ini, tentu difahami. Perkara ini juga yang disebut oleh Mr. Choy di dalam kelas tadi. Tentang adab dan sopan dalam berbahasa. Nampak seperti tidak penting, tetapi perkara remeh seperti inilah yang merosakkan keindahan bahasa sesuatu bangsa.

Renung kembali. Cuba fikir secara logik dengan kewarasan akal yang dimiliki. Sejak kecil kita diajarkan cara berbahasa yang paling sopan apabila berinteraksi dengan sesiapa. Kita diajar menghormati orang yang lebih dewasa dengan santun bahasa. Kita akan dimarahi apabila berkata-kata kesat atau lebih tepat mencarut. Perkara-perkara ini sering dianggap memori zaman kecil. Keterpaksaan dalam menjaga percakapan dan berkata-kata yang sopan-sopan. Menginjak dewasa, ramai yang mula lupa, alpa dengan bahasa.

Yang lucah dan tidak senonoh menjadi mainan bicara. Tiada rasa malu dan segan dalam mengeluarkan kata-kata. Pelik bukan.

Satu lagi, perkara yang disebut oleh Mr. Choy. Jika kita menyebut perkara-perkara yang tidak elok dalam Bahasa Melayu, bunyinya terlalu kasar dan tidak sopan didengar. Lain pula kata-kata tidak senonoh dalam Bahasa Inggeris yang dianggap biasa dan diterima umum. Walhal apa jua bahasa, yang tidak elok tetap tidak elok. Tiada istilah diterima atau tidak diterima.  Mengapa jadi begini? Bahasa Inggeris dengan sulaman perkataan-perkataan 'empat huruf' (yang tidak elok) mungkin menjadi ukuran kehebatan mereka dalam berbahasa asing. Kujelaskan di sini, Bahasa Inggeris tidak bersalah. Cuma pengguna bahasa itu yang menampakkan bahasa tersebut seolah-olah membawa ke arah negatif sahaja.

Jika dahulu, jika penutur kata-kata tidak elok itu lelaki, masih boleh diterima. Kononnya sepadan dengan lelaki yang bersikap kasar secara zahirnya (namun tetap tidak elok). Jika wanita pula, mereka dianggap terlalu tidak sopan apabila berkata-kata begitu.

Namun era zaman moden kini, wanita dan lelaki tiada beza bukan? Memang sudah menjadi kewajipan mereka dalam memasukkan perkataan-perkataan yang tidak elok apabila berbicara (bukan semua). 

"Saya amat terkesan dengan kata-kata manusia Melayu zaman kini yang menunjukkan bahawa apabila kita pandai berbahasa Inggeris maka kita adalah orang yang pandai. Saya terkesan kerana kata-kata ini adalah kata-kata 'tak ada keyakinan diri' manusia Melayu yang memandang rendah terhadap bahasanya sendiri, bangsanya sendiri, dan paling memalukan, dirinya sendiri yang sekali tengok pun mukanya adalah muka manusia berdarah Melayu. Saya terkesan dengan perasaan marah dan kecewa terhadap manusia jenis ini."

Petikan ini pula dipetik daripada Kak Sayidah Mu'izzah. Baca selanjutnya di http://sayidahmuizzah.blogspot.com

Aku bukanlah sasterawan negara. Aku bukanlah pencipta bahasa. Aku cuma manusia biasa.
Aku punya perasaan terhadap bahasa. Aku sakit mendengar pencemaran kata-kata.
Aku memang tidak pandai mengatur bicara. Aku hanya menulis luahan rasa.

Wanariahamiza