Selasa, 27 Ogos 2013

MANISNYA MIMPI YANG SEMENTARA

Mimpi semalam benar-benar memberi aku satu perasaan yang sukar diduga. Manisnya mimpi itu, barangkali boleh mengalir air mata. Mimpinya sangat mudah. Namun kutidak pasti, apakah sebabnya aku masih ingat mimpi itu sehingga kini. Pasti; ada sebabnya.

Tujuaanku bukan mahu berkongsi mimpi yang aku alami Bukan juga kuingin perihalkan apa yang terjadi. Cuma, yang sangat jelas; mimpi itu manis. 

Pasti anda semua pernah mengalami mimpi di dalam mimpi.
Kronologi mimpiku sangat pendek. Kubermimpi tentang satu peristiwa bahagia yang benar-benar bermakna. Sekelip mata, kuterjaga terpinga-pinga. Dengan kecewa, kejadian itu hanyalah mimpi semata-mata. Saat terjaga itu, terasa begitu bertuah tatkala semuanya menjadi realiti. Dan ketika itu juga, mataku terbuka menjengah ke alam nyata sekali lagi. Dua kali mimpi.

Ternyata, aku bermimpi yang aku sedang bermimpi. Mungkin mimpi itu tersirat sesuatu yang kutidak fahami. Mungkin juga sekadar menguji kekuatan dan keteguhan diri. Sama ada kupercaya mainan mimpi, atau kumuhasabah diri untuk dinilai jatinya jasad ini.

Ya Allah, semoga yang baik-baik mengiringi hidupku.
Amin.

Wanariahamiza

Rabu, 7 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #9

29 RAMADAN 1434H

Hari terakhir berpuasa. Awal-awal pagi lagi dapur dah meriah. Padahal pengumuman raya tiada lagi. Seperti biasa, setiap tahun kami sekeluarga akan bergotong-royong memasak dan menyediakan juadah untuk beraya esok hari. 

Sinki dipenuhi ayam. Atas dapur arang ada periuk besar dipenuhi ketupat. Atas dapur gas ada periuk dan kuali. Atas lantai ada santan, bawang, cili dan bahan-bahan basah lain.

Ruang tamu, dihiraukan seketika. Malam nanti baru diusik.

Ketika zaman kecilku dahulu pernah kuterfikir, bagaimana agaknya rupa anak bulan sehingga keterlihatannya mampu menyebabkan penyimpan mohor besar raja-raja mengisytiharkan raya.
Nampak anak bulan, maka raya.

Dan sejak tahun lepas, insan yang menjadi penyimpan mohor besar raja-raja telah bertukar orangnya. Saban tahun melihat muka yang sama, kini muka baharu. Lebih muda bergaya.

RABU
7 OGOS 2013

Wanariahamiza

Selasa, 6 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #8

 28 RAMADAN 1434H

Hari ini aku dan umi ke bazar Ramadan lagi. Kutinjau-tinjau, sudah banyak gerai yang ditutup. Barangkali mereka sudah pulang ke kampung. Esok, tentu lebih banyak gerai yang ditutup. Lusa Insyaallah kita semua akan beraya. Sekejap betul rasanya. Kupinjam kata-kata LEGASI OAKHEART ini:



"Ramadan 1434H,Malam ini, malam terakhir kita bertarawih.
Subuh esok, subuh terakhir kita bersahur.
Hari esok, hari terakhir kita berpuasa.
Malam esok, malam terakhir kita berbuka.

Moga, Ramadan kali in bukan yang terakhir buat kita.
Moga, kita bertemu lagi dengan Ramadan akan datang,
Ramadan 1435H."

Malam ini, Kuantan dilanda hujan. Mungkin inilah tanda kesedihan alam terhadap Ramadan yang bakal berlalu pergi. Jika alam juga bersedih, apakah kita manusia alpa ini tidak sedikitpun mempunyai perasaan yang sama? Atau mungkin segala kesedihan itu diselimuti kegembiraan raya yang sebenarnya lebih banyak lalai dan leka.

Kita, mampu menilai diri sendiri. Mungkin Ramadan ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Mungkin juga lebih teruk daripada yang sebelumnya. Semoga dijauhkan daripada yang tidak elok belaka. Amin.

SELASA
6 OGOS 2013

Wanariahamiza

Isnin, 5 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #7

 27 RAMADAN 1434H

Seharian bergelumang dengan habuk dan debu. Selalunya, apabila tiba hari terakhir Ramadan barulah kami mengemas rumah. Entah kenapa tahun ini, kami mengemas lebih awal. Seperti biasa apabila sudah bermain dengan habuk, aku yang menjadi mangsa. Bersin, bersin dan terus bersin. Sudah sakit dan merah hidungku. Kesannya, sampai esok pun belum tentu elok lagi. Memang alah dengan habuk. Demi raya, segala-galanya ditempuh jua.

Malam, kami keluar lagi. Terlalu sesak keadaan di pasar raya dan pusat beli belah hari ini. Yang pasti, esok dan malam raya nanti tentu lebih banyak potongan harga dan harga lelong yang ditawarkan. Masing-masing seperti dirasuk nafsu membeli dan terus membeli sesuka hati. Aku hairan juga sebenarnya, baju raya baharu terus dibeli menggantikan yang lama. Kewajipan atau kehendak semata-mata?

Aku, turut membeli baju baharu tahun ini. (Sejujurnya, aku bukanlah yang suka dan pandai membeli pakaian baharu.) Cuma aku tidak membeli sehelai tetapi kubeli dua helai baju. Satu untukku dan satu lagi untuk sahabat baharuku.

ISNIN
5 OGOS 2013

Wanariahamiza

Ahad, 4 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #6

26 RAMADAN 1434H

Kami berbuka puasa beramai-ramai hari ini. Saudara-mara sebelah umi yang berkunjung ke rumah kami. Memandangkan umi anak sulung dan jarak umur antara umi dengan adik keduanya agak jauh, kami adik-beradik agak besar dari aspek usia berbanding sepupu-sepupu kami yang lain.

Jika dahulu, kehadiran sepupu-sepupu kami yang masih kecil ini begitu dinantikan. Kami mahu bermain-main dengan mereka. Kemudian, mereka menginjak usianya menjadi kanak-kanak yang riang dengan tawa. Kami pula menjadi lebih remaja. Mereka bermain sesama mereka, kami seperti sudah tidak serasi.

Hari ini, mereka datang lagi. Masing-masing sudah besar. Pada tangan pula, ada gajet belaka. 

Masa terus pergi tanpa menoleh lagi.

AHAD
4 OGOS 2013

Wanariahamiza

Sabtu, 3 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #5

 25 RAMADAN 1434H

Buat kedua kalinya, aku sesali Ramadan hari ini. Bukan Ramadan itu yang salah, cuma diriku yang alpa dan leka. Oh Ramadan.

Aku benar-benar terpukul dengan beberapa kenyataan oleh kawan-kawanku. Tempoh hari sudah ada beberapa kenyataan seumpamanya. Hari ini, satu lagi kenyataan yang serupa. Kenyataan yang membuatkan aku berasa bersalah. Contohnya:

"Agak-agak tahun ni dapat lagi tak kad raya daripada Hanif."
"Menanti kad raya daripada Hanif."
"Hanif terlupa sesuatu tahun ni."

Sejujurnya, setiap tahun  akan kuhantar kad raya kepada teman-temanku melalui pos. Walaupun bukan kepada semua, tetapi ada yang akan menerimanya saban tahun. Cuma, tahun ini aku agak terkilan. Kekurangan masa membuatkan aku benar-benar tidak sempat menguruskan hal kad raya ini.

Mungkin bagi  kebanyakan orang, kad raya sudah tidak relevan dengan kewujudan gajet-gajet moden dan canggih. Bagiku, tiada yang menjadi masalah. Kesal juga, apabila sudah tidak banyak kad raya yang dijual di pasar raya.

Yang pasti, aku tahu rakan-rakanku benar-benar menghargai kad raya yang aku kirimkan kepada mereka. Buktinya, mereka bertanya soal kad raya apabila tahun ini tiada kad raya daripadaku yang mereka terima.
Maaf jika aku menghampakan semua.

SABTU
3 OGOS 2013

Wanariahamiza

Jumaat, 2 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #4

24 RAMADAN 1434H

Betapa nikmatnya berada di rumah. Untuk hari yang ke 24 berpuasa tahun ini, barulah aku berkesempatan  bersahur dan berbuka puasa bersama-sama keluarga. Memang selama ini, aku merupakan pelajar yang tinggal di asrama dan sudah terbiasa dengan semua ini. Cuma tahun ini rasanya lain sedikit.

Kehidupan baharu sebagai seorang penuntut universiti lebih banyak cabarannya. Lebih banyak yang perlu dihadapi. Ramadan sebagai pelajar sekolah berasrama dan pelajar universiti ternyata benar-benar berbeza. 

Aku, rindu akan kehidupan Ramadan di alam persekolahan.

JUMAAT
2 OGOS 2013

Wanariahamiza

Khamis, 1 Ogos 2013

INSPIRASI RAMADAN #3

 23 RAMADAN 1434H

Awal pagi yang begitu hambar. Pembelajaran dalam dewan kuliah tidak begitu meriah. Masing-masing sudah berkhayal dengan kampung halaman yang melambai-lambai dalam ingatan minda. Juga, lagu-lagu raya yang asyik berputar dalam media ingatan. Sungguh, tiada jiwa di dalam kelas melainkan tubuh lesu yang dipaksa rela menghadiri kelas. 

2.00 petang, Abang Atan tiba. Menjemput aku dan Ilman dari Kolej Perindu. Sepatutnya aku menaiki bas untuk pulang ke Kuantan, tetapi Ilman begitu bersungguh-sungguh mengajakku untuk menaiki kereta bersama-samanya. Aku ikut. Melalui jalan lama yang begitu memeningkan, aku memilih untuk tidur. Walaupun tidak mengantuk, hanya untuk menghilangkan rasa mual dan loya yang tiba-tiba hadir.

Dalam perjalanan, Abang Atan singgah di sebuah kedai runcit membeli berbungkus-bungkus roti. Mungkin mahu dibawa pulang ke kampung. Aku sungguh hairan dan tertarik dengan tindakan Abang Atan. Rupa-rupanya, roti-roti yang dibeli bukannya untuk dimakan. Sebaliknya, sebaik sahaja melalui beberapa  kawasan yang terdapat banyak monyet sedang berkeliaran, Abang Atan akan menghentikan keretanya. Lalu, roti-roti itu akan dibaling kepada monyet-monyet itu. Lebih mengejutkan aku, kesemua roti yang dibeli sememangnya diniatkan untuk diberikan kepada monyet-monyet yang berkeliaran. Mulia sungguh rasanya. Logiknya, siapa yang mahu mengambil tahu tentang monyet-monyet liar di hutan bukan?

Tiba di Temerloh, Kampung Ilman. Ada juga kuterlihat sebuah surau usang yang sudah buruk dan besemak-samun. Tidak lagi digunakan. Lalu aku teringat banyak cerpen dan novel yang aku baca tentang surau yang tidak dimeriahkan, ditinggalkan dan langsung tidak dipedulikan. Mungkinkah surau itu juga menerima nasib yang sama? Atau punya cerita lain yang aku tidak dapat jangkakan? 

Kami berehat seketika sementara menunggu waktu berbuka. Kemudian ke sebuah masjid dan berbuka di sana. Kuperhatikan banyak benda. Suasana kampung yang masih jelas kampungnya. Jalan yang sempit, banyak hutannya, penduduk yang ramah dan saling mengenali antara satu sama lain. Meriah rasanya menjadi penduduk kampung yang benar-benar 'kampung'.

Ilman, kelihatan tidak kekok bertegur sapa dengan penduduk di situ. Seolah-olah semuanya dia kenali. Bersalaman, bertegur sapa. Yang paling aku suka, cara panggilan nama penduduk kampung. Pasti pangkat akan disertakan dengan nama. Sebagai contoh, Mak Su Mah, Pak Lang Seman, Mak Teh Jenab. Pengalaman seperti ini mungkin tidak dapat kulalui sendiri. Sebabnya aku tiada 'kampung' seperti ini. Tidak pernah merasai pulang ke kampung. Kawasan rumahku pula, hanya namanya masih Kampung, tetapi empat penjuru dipenuhi dengan perumahan terancang. 

Mungkin, aku bukanlah budak kampung sebenar yang boleh menceritakan perihal kampung yang begitu mengasyikkan.

KHAMIS
1 OGOS 2013

Wanariahamiza