Isnin, 28 April 2014

KEMBARA PESTA BUKU DI PWTC (BAHAGIAN 1)

PENGEMBARAAN BERMULA


Perjalanan 'Ilman dan keluarga dari Kemaman bermula jam 3.30 petang pada hari Jumaat, 25 April 2014. Tiba di Kuantan sekitar jam 4.45 petang untuk menjemputku. Kemudian kami ke Pekan, untuk menjemput 'Ishraf dari asramanya pula.

Jam 5.15 petang, perjalanan sebenar bermula. Singgah sebentar di kawasan rehat R&R pada waktu maghrib untuk berehat-rehat sebelum meneruskan perjalanan hampir sejam kemudiannya.

11.50 malam, kami berhenti di Petronas kerana Cikgu 'Ashri sudah terlalu mengantuk dan mahu tidur. Ketika itu, hanya aku dan 'Iffat sahaja yang tidak tidur. Jadi, kami berborak-borak berdua untuk menghilangkan rasa bosan.

12.30 pagi, perjalanan diteruskan dan 15 minit selepas itu, kami tiba di destinasi pertama. Rumah Mak Lang dan Pak Lang 'Ilman di Semenyih, Selangor. Selain untuk tumpang menginap, salah satu tujuan lain ke sini adalah kerana keluarga 'Ilman mahu melawat Pak Langnya yang sakit.

Ketibaan kami hanya disambut oleh menantu Pak Lang dan Mak Lang 'Ilman yang bernama Abang Hanif. Hanya dia yang belum tidur ketika itu. Syukur. Perjalanan panjang yang cukup memenatkan dan kami selamat tiba di sana. Sudah tentulah terasa mahu mandi dan tidur selena-lenanya. Cuma satu, pesanan yang kami terima pada malam itu sungguh mengharukan.

DI RUMAH NI TAK ADA AIR!!!

Wanariahamiza

Khamis, 24 April 2014

PERJALANAN BERMULA (PWTC)

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR

Insyaallah esok, aku akan ke Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya akan ke PWTC untuk memeriahkan lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Tahun lepas, pernah juga hendak ke sana. Cuma, masa tidak mengizinkan. Terpaksalah melupakan hasrat ketika itu.

Tahun ini, awal-awal lagi aku sudah beritahu 'Ilman yang aku mahu mengajaknya ke sana akhir bulan ini. Alhamdulillah, perancangan berjalan lancar. Pada asalnya, kami merancang hendak ke sana dengan bas sahaja. Entah macam mana, 'Ilman berbincang dengan keluarganya sehingga akhirnya, semua mahu sertai juga.

Kami tidak jadi menaiki bas, sebaliknya akan ke sana dengan kereta ayah 'Ilman. Nasib baik sudah biasa. Katanya, banyak perancangan ayahnya di sana nanti. Alang-alang dah berada di sana, semuanya mesti dilakukan. Kami akan menginap di rumah saudara 'Ilman. Mujurlah dah 'biasa' dengan keluarga dan saudara mara 'Ilman. Kurang sedikit rasa janggalnya.

Pada asalnya, merancang ke Kuala Lumpur pada hari ini. Namun disebabkan seorang lagi adik 'Ilman yang berada di asrama mahu turut serta, perjalanan ditangguhkan sehingga esok. Dan kata 'Ilman, ayahnya merancang untuk berada seharian di PWTC pada hari Sabtu nanti. Bolehlah dihabiskan masa mencari buku-buku dengan penuh suka hati.

Farriz Minarwan, Alip Hidayatullah dan Chong Iskanda pun mahu turut serta pada hari Sabtu. Insyaallah dapatlah berjumpa semula. Hampir sebulan asasi tamat, dan Sabtu ini akan bertemu lagi. Melunaskan rindu barangkali.

Jika segalanya diizinkan tuhan, Insyaallah perancangan akan berjalan lancar dan kami akan pulang semula pada hari Ahad. Esok, perjalanan akan bermula.
Insyaallah.

Wanariahamiza

Jumaat, 11 April 2014

ULASAN BUKU: SUNGAI TONG (NURLIZA MOHD NASIR)


JUDUL: SUNGAI TONG
PENULIS: NURLIZA MOHD NASIR
JENIS: NOVEL
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 197
HARGA: SM RM25 / SS RM30



Membaca sahaja tajuk novel ini, Sungai Tong, saya sudah dapat membayang suatu kisah yang mungkin ada kaitannya dengan ketenangan sesuatu tempat. Lebih spesifik, sungai yang terletak di kawasan kampung. Pasti ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh penulis melalui pemilihan tajuk Sungai Tong. Tentu kisahnya dekat dengan penulis. Melihat pula ilustrasi muka depan novel, sangkaan saya semakin kuat. Gambaran tiga orang wanita, berlatarbelakangkan rumah dan pokok kelapa. Terselah keindahan dan ketenangan kawasan yang mungkin menjadi latar tempat untuk kisah Sungai Tong. Melalui wikipedia, ini penerangannya.

"Kampung Sungai Tong merupakan sebuah kampung yang terletak di Mukim Hulu Nerus, Setiu, Terengganu Darul Iman. Kampung ini terletak bersempadan dengan daerah Kuala Terengganu di laluan utama jalan persekutuan yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan. Jarak di antara Pekan Seri Langkap ke Bandar Kuala Terengganu ialah sejauh 45 km, manakala jaraknya ke Bandar Permaisuri ialah sejauh 25 km."

Jadi, benarlah sangkaan saya. Tajuk novel ini memang ada kaitannya dengan nama suatu tempat. Secara keseluruhannya, saya merasakan novel ini ditulis penuh dengan emosi. Kisah cerita dan konflik kekeluargaan yang dibawakan cukup menyentuh hati. Teknik penceritaan yang mendatar, cukup jelas diterangkan satu persatu situasi yang berlaku. Penggunaan bahasanya mudah difahami. Rata-rata situasinya berlaku di sekitar Kampung Sungai Tong sahaja.

Konflik yang dibawakan dalam novel ini membabitkan tiga generasi. Generasi nenek datuk, generasi emak ayah dan generasi anak remaja. Penulis menjadikan generasi anak remaja sebagai watak utamanya. Hal ini mungkin kerana remaja dilihat lebih kuat dan lebih mudah terpengaruh dengan situasi-situasi yang berlaku dalam dunia hari ini. Seorang anak remaja yang meningkat dewasa, kerap kali memberontak terhadap tindakan datuk neneknya yang terlalu ego. Namun, anak muda ini jiwanya kental. Tidak pernah berputus asa untuk memastikan kehendaknya dituruti. Kehendak mendapatkan jawapan kepada keadaan yang berlaku.

Zinnirah, berusia 17 tahun, seorang anak yang cukup pintar. Jika di sekolah, semua orang menyenanginya. Namun berbeza apabila di berada di rumah Nek Som. Dia bukan sesiapa. Keegoaan Nek Som, nenek kandungnya terlalu tinggi. Nek Som sentiasa mengenepikan keluarga Zinnirah sehingga berputik rasa kebencian terhadap nenek sendiri. Kerap kali Zinnirah memberanikan diri, meminta jawapan daripada Nek Som terhadap perlakuan Nek Som kepada keluarganya, namun Zinnirah yang tewas. Menangis dan terus kecewa. Bebeza dengan ibu dan bapa Zinnirah yang sentiasa bersabar dan tidak pernah mendidik anak-anaknya untuk membenci nenek mereka sendiri.

Sikap dan kekuatan Zinnirah, akhirnya berjaya menyelesaikan krisis yang melanda keluarga mereka. Semuanya disaksikan oleh Sungai Tong kerana di sebalik Sungai Tong itu, ada ceritanya.

Wanariahamiza