Isnin, 13 Oktober 2014

ULASAN BUKU : BUKAN DORMAN (LEGASI OAKHEART)




JUDUL: BUKAN DORMAN
NO ISBN: 978-967-11289-1-6
PENULIS: 14 PENULIS 
JENIS: ANTOLOGI CERPEN 
TERBITAN: LEGASI OAKHEART
MUKA SURAT: 152
HARGA: RM25

MEMANG BUKAN DORMAN
Oleh: Wan Hanif Wan Hamid

Bukan Dorman? Dorman itu apa? Saya sendiri tidak memahaminya. Kalau tidak faham, mengapa beli? Tentulah sebab ada tarikan yang memancing saya untuk memiliki buku ini. Perkataan ‘bukan’ itu yang menarik perhatian sebenarnya. Mengapa? Sebab ‘bukan’ itulah yang menjadi ceritanya. Sebagai contoh, saya tulis ‘bukan Superman’. Maka, kita sudah cukup arif dengan personaliti, ciri-ciri dan kehebatan Superman. Persoalannya, mengapa bukan? Apa yang cuba disampaikan? Mungkin sesuatu yang langsung tak terduga dek minda separa sedar warga yang ralit dengan sesentuh itu dan ini. Jadi, apa itu Dorman? Cuba cari sendiri. Kalau malas, klik di sini

Empat belas cerpen dengan cara penyampaian yang tersendiri. Unsur sedih? Macam tiada. Kisah kekeluargaan yang menyentuh perasaan, tidak pasti. Yang pasti Bukan Dorman ini lain. Sekadar mahu berkongsi. Saya memulakan pembacaan daripada cerpen pertama sehingga ketujuh mengikut urutan. Kemudian saya baca cerpen kesebelas sehingga keempat belas secara urutan terbalik dan akhirnya menyambung pembacaan bermula cerpen kelapan sehingga kesepuluh. Mengapa? Sengaja mahu mencari kelainan. Saya mahu mencari kepuasan dalam pembacaan. Dan saya menjumpai kepuasan yang saya mahu pada penghujung pembacaan. Coretan ini hanya bersifat peribadi. Maka, saya juga 'bukan'. Ya, BUKAN PROFESIONAL.

BUKAN DORMAN SUKA KAFE

Yang ini, bukanlah sesuatu yang penting atau mesej utama dalam antologi Bukan Dorman. Saya sekadar menulis kesukaan saya apabila saya  berjaya menziarahi banyak kafe dalam Bukan Dorman. Penyenaraian yang membuatkan saya terfikir. Mungkin penulis-penulis ini menghasilkan karya di kafe-kafe, agaknya.

Pertama, saya ke Kopitiam Puncak Putra. Saya mendapati kopi O gula perang dan roti bakar kaya menjadi pilihan watak. Saya fikir, pilihan ini bersandarkan kesukaan penulis, Fathul Khair Mohd Dahlan dalam cerpen Sukma.

Kedua, saya ke Kopitiam Terminal Satu.  Penulis mempertemukan empat pasang mata atas satu tujuan. Cerpen Sebuah MP3 Biru ini merupakan karya Masturah Mohd Zin.

Seterusnya saya ke Kafe Chawan, Publika. Air teh O ais limau menjadi pilihan. Tidak cukup dengan itu, saya singgah di gerai jalanan, memesan teh O panas dan kuih seri muka. Semuanya dalam cerpen Merah Jambu tulisan Hafizul Osman.

Terasa inginkan kelainan, saya memberanikan diri untuk ke Kafe De’ Flasi, dan mencuba Ekspresso Americano, juga kopi kacang hazel. Menikmati kopi-kopi ala Inggeris dalam cerpen Ceteris paribus, Armageddon Pun Terjadi karya Shamsul Amin.

Puas dengan kopi dan teh O, saya sekadar singgah di sebuah kafeteria setelah kehujanan. Sengaja saya cicip pula teh Chamomile dan teh pudina. Ditambah dengan roti bersapu mentega. Penutup perjalanan saya di kafe-kafe dalam cerpen Cik Hujan karya Wafa Aula Alias.

Sungguh, perjalanan saya dengan Bukan Dorman membuatkan saya kenyang. Dahaga hilang, mendapat kepuasan dengan kepelbagaian. Variasi jenis minuman yang menyegarkan.

EKSPRESI SENI ATAS KANVAS 

Yang ini juga sekadar penyenaraian atas faktor kesukaan saya sendiri. Tiga buah cerpen dijumpai menggunakan eksperi seni dalam karya mereka. Unsur-unsur yang mungkin dekat dengan diri penulis, persekitaran kehidupan penulis atau mungkin juga sekadar rekaan yang sengaja dicipta untuk membina plot cerpen.

Cerpen Sukma tulisan Fathul Khair Mohd Dahlan menonjolkan sebuah potret seorang lelaki yang menjadi sebahagian daripada jalan cerita. Siapa lelaki itu? Penulis ada menjawabnya pada pengakhir cerpen.

Saya anggap cerpen Merah Jambu karya Hafizul Osman juga mewujudkan potret dalam karyanya. Wajah seorang gadis, lengkap berbaju kurung yang dilukis atas kanvas. 

Akhir sekali cerpen Tangan Artistik karya Sanisha Bogaraja yang sudah jelas melalui judulnya membiacarakan tentang subjek kesenian. Lukisan-lukisan menjadi sebahagian daripada bahan yang memenuhi tuntutan jalan cerita.

KESUKAAN SAYA

Seperti biasa, ulasan saya hanya akan bertumpu kepada 'yang saya suka' sahaja. Atau dengan kata lain, yang menjadi kegemaran saya dalam antologi ini. Banyak kelainan yang saya temui dalam Bukan Dorman, lalu membuatkan saya sendiri sukar menentukan kesukaan saya. Kalau mahu dicari yang menyentap nubari atau yang kena pada diri saya, rasanya tidak ada. Jadi itulah kelainan Bukan Dorman. Karya-karya bersifat umum dan berkisarkan kehidupan masyarakat. Meluas.

Saya mulakan dengan cerpen yang paling saya suka. Kalau diiukutkan urutan, cerpen ini ialah cerpen kesepuluh dalam Bukan Dorman. Tetapi menjadi bacaan saya yang paling akhir. Srikandi Bonda karya Khaliq Ghazali. Cerpen ini saya kira bersifat antarabangsa. Latar yang disebut dan cuba disampaikan membuatkan saya faham bahawa situasi yang berlaku, situasi yang menjadi persoalan kepada cerpen bukanlah di negara kita. Cara penceritaan seorang manusia yang diasak dengan soalan-soalan daripada suara tanpa rupa, mungkin tampak biasa. Namun, soalan-soalan itu membawa kita kepada suatu perasaan ingin tahu. Mungkin juga membongkar serba sedikit situasi antarabangsa yang kita sendiri tidak pernah tahu. Simpati hadir apabila saya tiba di pertengahan cerita, tetapi simpati itu deras dipadam oleh penulis dengan menegaskan kembali kebenaran yang seharusnya dilaksanakan. Bukan menurut sekadar menurut. Walau bagaimanapun, penutup cerita yang menyedarkan watak daripada mimpi dan tidur mengusik keterujaan saya dalam cerpen ini. 

Cerpen Cik Hujan karya Wafa Aula Alias pula agak mudah. Penceritaan ala-ala kisah percintaan dengan bibit-bibit cinta yang lahir setelah pertemuan yang seketika menjadi penyebab kepada sebuah jalan cerita. Cuma yang saya tertarik dengan cerpen ini adalah tentang isu yang dibawakan oleh penulis. Isu akidah yang kini diputar belit, sehingga ada yang sekadar mengikut walaupun salah. Selesai membaca cerpen ini, saya tidak puas sebenarnya. Saya didesak dengan perasaan inginkan lebih penerangan.  Mungkin penulis boleh menyediakan sambungan cerpen ini? 

Seterusnya cerpen dengan tajuk terpanjang. Cerpen ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ karya Hafiz Latiff. Keegoan saya untuk menidaksukakan cerpen ini tertanya gagal. Tahniah abang Hafiz untuk kejayaan menakluki jiwa saya. Cuma, mungkin ada singkatan untuk menyebut tajuknya? Saya sukakan mesej yang dibawa dalam cerpen ini. Mungkin ada kaitannya dengan isu yang terjadi baru-baru ini. Isu anak kurang upaya yang mendapat liputan media dengan luasnya. Namun, penulis tidak langsung menceritakan perihal 'anak' itu. Klise jika semua orang menulis tentang 'anak' itu semata-mata. Kelainan pada cerpen ini ialah penulis menggarap cerpen ini daripada sudut yang berbeza demi  mengkritik sesebuah pihak tertentu. Mempunyai penutup yang ringkas, tetapi dengan kesinisan yang cukup jelas maksudnya. 

Dua cerpen terakhir yang mengikut timbangan saya, berat pada dasar ceritanya. Cerpen Zombie Rumi karya Mohamad Haniff Mohammad Yusuff dan cerpen Ceteris Paribus, Armagedon Pun Terjadi karya Shamsul Amin. Kedua-dua cerpen ini berbeza daripada plot penceritaannya. Juga pegangan yang dibawa sehingga terciptanya cerpen-cerpen tersebut.

Cerpen Zombi Rumi ditampilkan dengan kisah yang tampak bersahaja, persis sebuah fiksyen. Mungkin jika dibaca tanpa cuba difahami, cerpen ini serupa seperti filem zombi yang pernah ditayangkan. Hadir satu penyebab kepada penjelmaan zombi, muncul penyelamat dan keadaan kembali seperti sedia kala setelah penawar dijumpai. Memang konsep itulah yang diguna pakai oleh penulis. Tetapi cerpen ini sebenarnya membawa kita semua untuk kembali sedar daripada menjadi alat mainan dunia dan zombi terhadap budaya sendiri. Penggunaan frasa-frasa dalam cerpen ini sangat menarik dan unik. Bunga-bunga bahasa dicipta dengan keindahan dan kesantunan budaya.

Shamsul Amin dengan cerpennya Ceteris Paribus, Armageddon Pun Terjadi cukup berani.
Penulis menampilkan dua watak berlainan agama, Islam dan Yahudi. Berkisahkan perbincangan dua sahabat tentang masalah dunia. Tentang kepercayaan masing-masing terhadap agama sendiri. Melalui judul, jelas sekali cerpen ini merujuk kepada Hari Kiamat. Olahan maklumat yang dimasukkan ke dalam cerpen ini saya kira cukup berilmiah. Dengan keberanian mengupas isu berkaitan agama dan kepercayaan ini, saya pasti pembacaan yang teliti dan pengetahuan yang tinggi sangat diperlukan. Maka, cerpen ini yang paling berat. Cerpen yang mencabar kita semua sebagai pembaca untuk melihat realiti dunia sebenar. Wujudnya kuasa-kuasa yang memonopoli kehidupan kita sehingga kita tewas secara lahiriah, tetapi akan terus kuat jika jiwa kita berpasakkan pegangan yang benar-benar utuh dan kukuh tapaknya.

Secara keseluruhan, pembacaan saya tamat dengan kepuasan yang pelbagai. Bukan Dorman, membuka minda pembaca untuk menelusuri perjalanan dalam sangkar kehidupan yang lain.

*********
Untuk mendapatkan Bukan Dorman, sila berhubung terus dengan Hafiz Latiff melalui Facebook atau mengunjungi http://www.katalogoakheart.blogspot.com/.

Wanariahamiza