Selasa, 23 Disember 2014

FOTO KEJUJURAN


Seboleh-bolehnya, saya cuba untuk tidak menulis sebarang entri di blog ini lagi sehingga tahun baharu muncul kelak. Tetapi saya tidak berjaya. Saya tetap didesak untuk menulis. Sudah cuba ditahan dan disekat, keinginan untuk meluahkan perasaan berupa penghargaan terus memuncak.

Malam ini, saya dihiasi dengan persekitaran yang kalau digunakan perkataan kamus ialah gembira dan terharu. Namun kedua-duanya bukanlah perkataan yang tepat. Lebih daripada itu lagi. Dengan hanya meneliti sekeping foto, saya melihat gubahan senyuman yang sarat keikhlasan. Rentak dan gaya yang ceria dan galak dengan kepercayaan. 

Pernah saya terbitkan status di Facebook tempoh hari:

Jika kamu tahu ertinya kepercayaan,
kamu pasti cinta akan kejujuran.

Biarpun berbeza-beza.

Memang, itulah yang saya harapkan. Lebih daripada pengharapan yang biasa-biasa. Asbab ada debu yang cuba mengotori hamparan foto kejujuran itu. Dan perjalanan tadi telah melenyapkan debu-debu tersebut. Buat kalian, saya merasai semua itu bukanlah satu kepura-puraan.

Perjalanan kita adalah tentang kepercayaan, keikhlasan dan kejujuran.

Wanariahamiza

Selasa, 2 Disember 2014

SELIPAR TANPA KAKI


Saya berjalan sendirian. Menuju ke sana ke sini demi tugas yang menanti. Saya lihat. Dua kaki yang ada terus melangkah, melangkah dan melangkah. Sesekali terhenti. Terfikir juga saya, ke mana kaki ini sebenarnya mahu pergi? Sekadar mengikut telunjuk hati agaknya. Saya terus berjalan. Mempersibukkan diri, macam perdana menteri.

Entah mengapa, tiba-tiba perasaan itu kembali. Perasaan kosong yang sekosong-kosongnya. Padahal setiap hari penuh dengan aktiviti. Letih? Tidak sama sekali. Cuma rasanya seperti ada suatu kelesuan yang terbelenggu dalam diri. Saya cuba mencari, di mana letaknya. Sebenarnya, saya jumpa. Tetapi mata berbuat buta. Pendusta!

Biarkan. Saya yang ego, maka biarkan saya dengan kebutaan kebutaan yang disengajakan itu. Saya pelik sebenarnya. Macam darah seketul itu sudah tidak mahu jernih kembali. Seolah-olah terus diselimuti kehitaman, pekat, likat, legam. 

Khilaf, semua ini khilaf belaka. Sepatutnya saya perbetulkan kekhilafan yang ada. Bukan ditampal sesuka rasa semata-mata mahu menyorokkan kehilafan itu. Sudah, capai tahap merapu lagi.

Saya sebenarnya mahu bercakap dengan awak. Awak yang itu. Saya dapat merasakan awak mampu memahami saya. Bukan sedikit, bukan biasa. Tetapi lebih daripada itu. Saya masih menantikan awak biarpun awak...... mungkin tidak tahu.

Eh, mari kembali kepada kaki. Bahagiakah kaki sebenarnya? Bersarungkan sepatu cantik, kemas. Entah, saya sendiri tidak pernah tahu dan tidak mahu mengambil tahu. Yang saya tahu, saya bahagia. Permulaan bulan terakhir yang sengaja membawa hadiah senyuman buat saya. Saya terfikir lagi, entah berapa kali saya mengeluh, mungkin berjuta kali agaknya. Sedangkan, saban waktu hanya kejayaan berbentuk nikmat yang saya dapat. Tidak putus-putus Allah beri kepada saya. Namun, apakah nilai kesyukuran dalam diri saya? Sekadar sebarkan kepada satu dunia melalui alam leper tanpa wayar. Internet namanya. 

Biarkan saya dengan ketidaksyukuran itu! Nanti Allah tarik semula nikmat, baru padan muka. Saya ada terfikir juga, pernah saya kongsikan dengan kawan-kawan, gambar kasut saya. Cantik, merah warnanya. Agaknya, ketika itu mesti kaki berkecil hati. Tiada yang memujinya langsung. Hiraukan. Mungkin terlalu banyak yang saya kongsi. Dan tidak tahu mengapa hari ini, saya seolah-olah diejek-ejek oleh gambar-gambar itu. Saya tunjukkan yang saya gembira. Saya sebarkan yang saya ada segala-galanya. Sedangkan banyak mata-mata yang melihat, yang mungkin mengharapkan benda yang sama. Cuma takdir tidak membenarkan mereka mempunyai perkara-perkara itu. Sungguh, saya kesal. Terutamanya kepada mereka yang paling saya cinta. Sudah terlalu banyak lebihan-lebihan yang saya ada. Sedangkan mereka, hanya mampu melihat, senyum dalam duka. Saya tahu, keinginan itu ada, cuma tidak terluah dalam kata-kata. 

Mungkin sebagai penutup, selipar pada tajuk tiada sebarang makna. Atau ada juga kena mengena. Saya cuma terfikir, memang ini haluan saya. Namun sejauh mana saya akan berjalan, dan di mana perhentiannya, saya langsung tidak tahu. Sudah berbulan-bulan saya berhijrah lagi, di suatu negeri sunyi. Pada hati mahu laksanakan itu ini, namun tidak pernah pasti. Janji kekal sebagai janji. Lunasnya belum lagi. Dan kini, menghampiri penghujungnya. Saya masih kekal begini. Apakah bakti saya terhadap diri sendiri?

Empat bulan sesat di dalam peta mainan sendiri!

Oh ya, saya terlupa tentang kelesuan itu. Sebenarnya, kelesuan itu terletak di lubuk hati ini. Lesu kerana alpa daripada menjadi manusia yang dahagakan iman.

Selipar tanpa kaki, mati.

Wanariahamiza