Ahad, 28 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #21

11 RAMADAN 1436H

Tiba di kampung halaman. Tempat yang paling membahagiakan. Malam ini saya berterawih di sini. Surau lama yang memang menjadi kebiasaan saya sejak kecil. Kini surau itu sudahpun dinaik taraf menjadi masjid. Sejak hampir dua tahun lalu, solat Jumaat sudah diadakan di masjid tersebut. Fizikal masjidnya pun sudah banyak berubah - semakin besar, selesa dan yang terbaru, sudah dibina sebuah kolah untuk berwuduk. 

Saya menapak masuk. Hawa sejuk dirasai dan saya memang terlupa masjid ini memang sudah lama dipasang dengan air-cond.  Mujur tidak terlalu sejuk. Saya sekadar memerhati wajah-wajah yang ada. Cuba juga mencari-cari tubuh yang pernah duduk belajar di dalam kelas yang sama, termasuk mereka yang memang biasa terlihat di masjid itu. 

Hampa, tidak seorang pun yang dikenali. Mungkin ramai yang masih belum bercuti, sedang menuntut ilmu di sana sini. Agaknya tiba penghujung Ramadan nanti pasti akan ada mereka yang dicari. Untuk wajah-wajah tua yang selalu saya lihat dahulu, juga tidak dijumpai. Mungkin, mereka sudah tiada kudrat untuk ke masjid itu lagi - faktor usia barangkali. Mungkin juga sudah ada sebahagian daripada mereka yang telah bersemadi di alam sana. Allah. 

Tiba-tiba saya terasa seolah-olah saya berada di suatu tempat baharu yang bukan tempat saya. Jika hari-hari sebelum ini, saf akan dipenuhi dengan jiwa-jiwa muda sarat dengan kudrat yang berganda-ganda. Hari ini saya dikelilingi oleh insan-insan yang perlahan setiap satu gerak solatnya, kedutan tangan jelas menampakkan usianya bukan seperti saya, berdirinya tidak lama, ramai yang duduk sahaja. Sayunya hati. 

Saya, antara jiwa-jiwa muda yang ada. Melihat imam dan bilal di situ, saya fikir mereka juga seusia saya. Ramadan ini, mereka yang memimpin terawih untuk seluruh warga - tahun sebelum ini pun begitu. Sudah tiba masanya makna kedewasaan itu ditelusuri dengan tindakan dan pemikiran yang di luar jangka. Sampai bila mahu melihat mereka sebagai warga tua dan aku sebagai warga muda? Esok lusa, hanya kami yang akan terus menapak ke dalam masjid itu lagi. Sebab apabila tiba masa, mereka yang berusia bakal pergi dan kami akan menggantikan mereka sebagai warga tua yang baharu.

Sebenarnya tanggungjawab terhadap dunia, sudah lama tergalas di atas bahu para pemuda.
Saya, kau dan mereka.

AHAD
28 JUN 2015


Khamis, 25 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #20

8 RAMADAN 1436H

Sudah menjadi kebiasaan. Hanya pada permulaan waktu sahaja, saf akan penuh - sehingga kadang-kadang ada yang terpaksa ditambah tikar dan sejadah di ruang-ruang tambahan semata-mata mahu menampung jumlah jemaah yang ramai. Kemudian, sehari ke sehari jumlahnya mula menyusut. Sejadah dan tikar tambahan tidak lagi digunakan, disimpan dan dilipat rapi kembali ke tempat asalnya - stor. Tunggu hari raya nanti, pasti akan digunakan semula. 

Saban tahun pun begitu. Pesta bermusim. Oh, sudah seminggu berpuasa. Menghampiri pertengahan bulan. Operasi berbuka dan bersahur terus dilaksanakan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan - rasanya sudah cukup sederhana. 

Terawih di sini (maksud saya di surau kolej tumpangan saya ini) juga sama seperti yang saya ceritakan di atas. Cuma ada sesuatu yang berbeza. Mungkin juga mengubah sedikit persepsi klise saya tentang sebab berkurangnya warga terawih di surau.

Sebenarnya kami di sini masih dalam tempoh peperiksaan akhir semester. Maka, sehari ke sehari semakin ramai yang menamatkan peperiksaan mereka. Asbab itu juga warga yang ada di sini semakin berkurang kerana ramai yang mula pulang ke kampung halaman. Jadi, saf terawih memang terus berkurang dan berkurang. Saya sekadar memerhati wajah-wajah yang masih tinggal. Wajah-wajah yang sedang menahan keperitan rindu mahu berpuasa bersama-sama keluarga dan menanti waktu untuk menghabiskan peperiksaan masing-masing.

Saya pula, Insyaallah esok ialah terawih terakhir di sini dan lusa petang akan tamatlah perjuangan menempuh peperiksaan - maka berkurang seorang lagi warga di sini.

KHAMIS
25 JUN 2015


Isnin, 22 Jun 2015

INSPIRASI RAMADAN #19

5 RAMADAN 1436H

Sebermula sehari sebelum Ramadan, saya mendapat panggilan daripada satu pihak ini. Memang tidak dijangkakan apa-apa memandangkan dalam masa terdekat ini saya tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan pihak tersebut. Walau bagaimanapun, berita yang disampaikan cukup mengejutkan saya. Saya sekadar sengih sebaik sahaja mendengar serba satu perkataan yang disebutkan. Mungkin sekarang belum tiba masanya untuk saya kongsikan. Insyaallah dalam masa dua bulan lagi. Kalau panjang umur, sempatlah.

Semalam, saya benar-benar tertarik dengan tazkirah ringkas yang dikongsikan semasa solat terawih. Perkongsian yang pada saya sangat perlu untuk difahami dengan lebih mendalam dan mesti dipegang - sepatutnya!

"Allah bukan nak lihat apa yang kita buat dalam bulan Ramadan ni saja. Allah nak tengok apa yang kita buat selepas Ramadan nanti. Sebab nak tengok kita jadi hamba Ramadan atau hamba kepada Allah."

Maka, betullah apa yang dikatakan. Bulan Ramadan ini adalah medium untuk kita mempersiapkan diri. Melatih diri untuk terus melaksanakan yang serupa seusai Ramadan nanti. Kalau berjaya di-istiqamah-kan, Insyaallah impak Ramadan terhadap hati kita akan kekal utuh dengan kemanisan iman yang tidak akan pernah hilang.

Maka kalau Ramadan masih tidak dapat mencegah kemungkaran, pasti ada yang tidak kena pada hati. Pesan sahabat, mintalah 'hati yang baharu'. Mungkin itu sahaja cara terbaik dalam mencari penyelesaian kepada sebuah ketidakadilan pada diri iaitu kemaksiatan.

Makna hamba itu, bukan terletak pada sujudnya. Sebaliknya hamba itu terletak pada sejauh mana rendahnya hati, menjadi abid buat Pencipta. (Juga hubungan sesama manusia.)

ISNIN
22 JUN 2015


Rabu, 3 Jun 2015

MENOKTAHKAN KEPUASAN


Banyak perkara yang berlaku dalam minggu ini atau secara rangkumannya dalam masa terdekat ini. Saya seolah-olah hilang kata-kata untuk dituturkan kepada sesiapa. Maksud saya, kata-kata yang bermanfaat - bukan celoteh kosong sekadar suka-suka. Mungkin juga saya yang telah lemas, ditimbun dengan urusan dunia yang sebenarnya baik tetapi disalahgunakan oleh tuan empunya badan. Biarkan dahulu, nanti saya cerita - kalau saya mahu.

Sekarang saya suka pada gambar di atas. Saya sekadar ingin berkongsi gambar ini. Saya tangkap sendiri tanpa sebarang pengeditan melalui kamera telefon mahupun aplikasi edit gambar - kecuali dengan klik butang tangkap dan 'watermark' nama itu semata-mata. Berkali-kali saya melihat gambar ini, seolah-olah tiada kepuasan untuk saya noktahkan dan saya sememangnya gemar dengan suasana dan pemandangan di situ. Ya, di dalam kampus tempat ilmu ditimba. 

Oh, ya! Siang tadi saya ada kongsikan satu kata-kata (bukan saya reka) pada laman Facebook. Saya sangat tertarik dengan kata-kata itu yang terlalu besar maknanya.

"PEOPLE WHO DO NOT UNDERSTAND YOUR SILENCE 
WILL NEVER UNDERSTAND YOUR WORDS"

Saya sudah penat sebenarnya. Banyak kali bersuara, kemudian dibisukan serta-merta. Banyak kali saya berusaha untuk memahamkan mereka, kemudian saya yang dikata tidak berusaha. Ah! Memang saya tidak mahu lagi. Saya terlalu penat - mungkin dianggap lari daripada tanggungjawab. Agaknya. Tempoh hari saya lakukan yang sama sekali lagi. Lalu seperti biasa, saya yang disalahkan semula. Biasalah, tin kosong seperti saya bunyinya nyaring dan bising. Isinya tiada, sudah ditelan ke perut menuju usus dan bakal menjadi najis sisa. Nampak persis saya yang keras kepala, tidak mahu mendengar teguran. Baik, mungkin itu yang terakhir kalinya. Tiada lagi selepas ini. Sekejap, perenggan ini bukan luahan rasa, hanya cerita kepada kata-kata yang ditulis di atas. 

Berbalik kepada tajuk. Menoktahkan kepuasan, sebenarnya hanya angan-angan. Kepuasan itu tidak akan pernah terhenti, lumrah manusia yang tidak pernah puas - tidak tahu bersyukur barangkali. Dalam masa terdekat ini, saya sedang menanti untuk menduduki peperiksaan akhir semester, menunggu kehadiran Ramadan dan mendambakan cuti semester yang diharapkan menyubur bahagia. Ha, tentang Teratak Berjasa - biar sahaja menjadi rahsia.

Sebelum saya akhiri tulisan ini, satu perkongsian lagi daripada saya. Semakin dewasa, atau sebenarnya angkara masa, sudah mula ada yang tidak jujur. Mungkin semuanya hanya sebuah keterpaksaan demi menampakkan kebaikan yang benar-benar semula jadi. Saya sekadar memerhati. Saya tidak lagi berani, mencampuri hidup manusia yang mula punya kaki untuk berdikari dalam dunia sebenar seorang dewasa yang kaya dengan kebebasan dan hak. Saya tiada sedikitpun kuasa, hatta secalitpun, untuk menentukan hidup dia, dia dan dia. 

Jadi, sampai bila-bila kepuasan itu tidak dapat dinoktahkan.
Melainkan dengan kematian.