Jumaat, 14 Ogos 2015

ULASAN BUKU : JAJAHAN BONDA (MD NIZAR PARMAN)


JUDUL : JAJAHAN BONDA
NO ISBN: 978-967-430-1590
PENULIS: MD NIZAR PARMAN
JENIS: NOVEL
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 185

Sebermula saya membaca Jajahan Bonda, saya seolah-olah terpukau dengan gaya bahasa yang digunakan. Setiap bait kata yang dikarang, mencetus rasa selesa ketika membacanya. Sukar saya definisikan selesa itu bagaimana. Mungkin bacaan yang mudah difahami, mungkin juga bacaan yang mudah dibayangi. Sebenarnya, membaca Jajahan Bonda tidak sekalipun mendesak saya untuk meneruskan pembacaan kerana perasaan ingin tahu. Sungguh, kisahnya mendatar sahaja. Namun begitu sukar untuk saya menghentikan pembacaan. Maka, buku ini saya khatamkan dalam masa yang cukup singkat (berbanding buku-buku lain yang saya baca).

Jajahan Bonda itu menurut penulis ialah suatu nama tempat. Ada kisahnya yang tersendiri. Asbab itu dinamakan Jajahan Bonda. Mungkin juga disinonimkan dengan kisah kewibawaan (lebih tepat ketabahan) wanita yang diangkat menjadi watak utama dalam novel ini. Masyarakat di desa Jajahan Bonda digambarkan sebagai penduduk kampung biasa. Hidup serba kekurangan, malah jauh sekali daripada kecanggihan teknologi yang sudah menakluk muka bumi. Sesekali terasa kehidupannya dekat dengan saya. Sesekali terasa juga yang sebenarnya saya tidak pernah mengalami semua yang dicerita. 

Kadang kala saya terfikir, benarkah wujud mereka yang terlalu rela berkorban dan mereka yang miskin sebegitu. Mungkin benar, selalunya pandangan mata kasar yang melihat kemiskinan hanyalah suatu bentuk kehidupan. Sedangkan jauh di sudut hati mereka, kemiskinan itulah udara untuk mereka hidup. Mungkin, saya sendiri tidak pernah merasai kemiskinan yang sedemikian rupa. Dalam kisah ini, banyak yang dilihat baik sahaja. Sehingga pertengahan ceritapun, masih yang baik belaka. Saya sedar, walaupun setiap perilaku watak dilihat mudah sahaja mendapat itu dan ini, realiti tidak begitu. Terlalu banyak ranjau, masalah dan risiko yang sentiasa menghimpit rapat tubuh-tubuh manusia. Lalu, dibisikkan kata putus asa oleh syaitan durjana. 

Jajahan Bonda membuka mata pembaca. Mahanum, gadis yang terlalu dewasa. Mengenal erti tanggungjawab sedari dia kecil, menjaga kebajikan adik-adiknya seperti dialah ibu dan dialah bapa. Mahanum bukan gadis kampung biasa. Dia juga punya impian untuk membesar dengan selesa. Namun, takdir kita semua tidak sama. Dia pasrah sepenuh jiwa dan raga.

Semaun, ayah yang terlalu bahagia. Biarlah dia bergadai urat tenaga, asalkan anak-anak senyum setiap masa. Semaun, macam ayah kita semua. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah diperah keringat sepenuhnya untuk rezeki keluarga yang dicipta. Kalung tanggungjawab sebagai suami dan bapa sentiasa dijaga rapi, kerana hanya itulah nadi untuk dia terus bernafas di bumi. Kisah Semaun terlalu besar maknanya buat saya, yang membuatkan saya berfikir berulang kali. Hidup ini cuma sekali, tidak akan ada ulangannya.

Akhirnya watak Kodin. Pemuda yang punya ilmu, digarap dengan usaha demi pembangunan warga desa. Tiba-tiba terasa kagum dengan kesungguhan Kodin. Dia memilih untuk bekerja yang orang tidak mahu bekerja. Bukan macam kita-kita, mahasiswa kini. Konon dengan sijil setebal gunung, impikan hidup penuh selesa, kerja yang gajinya mahal-mahal dan akhirnya boleh goyang kaki sambil minum teh di petang hari. Hidup sekarang bukan begitu, hanya usaha yang benar-benar akan membuatkan seseorang itu berjaya. Kaya, letak pilihan nombor dua. Oh, kami terlalu manja barangkali. Mewahnya kehidupan hari ini menjadikan kami tidak pandai 'berdikari', mengenal susah dan payah dalam mengecap kejayaan. Yang terpaku di minda sejak kecil, besar nanti mahu masuk universiti. Persis semuanya sudah terjamin, hanya perlu mengikut peredaran masa yang sudah disistemkan. Mudahnya.

Saya cukup berpuas hati membaca Jajahan Bonda. Ada keindahan yang diselitkan oleh pengarang melalui cerita ini. Kisah klise kehidupan masyarakat marhaen, membesar dalam suasana kampung, berusaha untuk berjaya dan akhirnya mengecap dewasa. Bagi saya, Jajahan Bonda ini tidak ada penamat noktahnya. 

Asbab itulah kehidupan kita semua.

Selasa, 11 Ogos 2015

HADIAH SASTERA PENULIS MUDA 2014


Kalau ditanya saya adakah ini makna kepuasan? Jawapan saya tentunya tidak. Sampai bila-bilapun kepuasan itu tidak akan tercapai. Lumrahlah manusia, bersyukur itu sangat sedikit dibaja dalam jiwa. Jadi apa yang saya dapat ini untuk apa? Untuk permulaan kepada kejayaan yang lebih besar? Ah, dari dahulu asyik ditulis permulaan, permulaan dan permulaan. Sedangkan permulaan sebenar telah lama bermula sedari saya lahir ke dunia dan setiap apa yang diperoleh merupakan perjalanannya. Penamatnya pula bila? Mati.

Kalau ditanya soal layak atau tidak, saya sendiri buntu. Sudah terima, makna layaklah agaknya. Berulang kali saya cuba baca semula cerpen itu. Biasalah, penulis yang membaca sendiri tentunya tidak menjumpai kekuatan mahupun kekurangan yang ada. Biar orang lain yang baca. Dan ya, saya pernah kirimkan cerpen itu kepada dua orang sahabat sebaik sahaja cerpen itu tersiar dalam majalah tahun lepas. Jadi, mereka sudah baca. Mereka tahu ceritanya. 

Pada saya, hadiah ini terlalu besar untuk saya yang seusia ini. Pengiktirafan sebegini rupa seharusnya mematangkan saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu. Bermutu itu definisinya bagaimana? Saya ambil ucapan seorang guru saya ini.

"Ambil peluang masukkan cerita-cerita 
kehebatan Islam dalam karya, 
jadi pejuang Islam melalui penulisan mata peta."

Alangkah bertuahnya jika saya mampu menghasilkan karya bermutu yang sebegitu. Bukan tidak mahu, tetapi masih berusaha sedaya upaya. Banyak kali saya cuba selitkan, cuma terlalu sedikit. Mungkin tidak terkesan oleh pembaca, mungkin juga tidak langsung difahami sesiapa. Kata Kak Ana Balqis, tidak perlu ditulis nama Tuhan berkali-kali semata-mata mahu menunjukkan bahawa karya itu berunsur Islam. Banyak lagi cara olahan cerita yang lebih menarik boleh digunakan dan itulah kekuatan penulis yang punya iman dalam dadanya.

Oh, tahun ini sahaja sudah terlalu banyak perkara-perkara besar yang hadir kepada saya. Kata orang, berkat usaha. Memang usaha itu usaha. Namun rezeki tetap faktor utama yang lebih besar nilainya. Kadang-kadang, terfikir juga sendiri. Allah kurniakan terlalu banyak rezeki biarpun hamba-Nya ini, pendosa yang sentiasa alpa. Allahu. 

Berbalik kepada cerpen yang dinilai itu. Mencari Gerbang Mahligai Bahagia, sebuah cerpen yang sudah lama saya karang, sudah lama saya hantar dan setelah sekian lama akhirnya tersiar. Maka dikira-kira tempoh masa proses cerpen itu disiapkan, hampir tiga empat tahun. Saya mengangkat watak Iman, seorang wanita yang setia. Hidup berdikari menempuh kehidupan yang sentiasa penuh dengan masalah yang datang bertimpa-timpa. Dek kekerasan hati yang sengaja dicipta, Iman akur dilihat ego dalam dewasa. Dia, akhirnya tewas dalam mengenal makna cinta. Direndahkan hati, bersujud kepada Pencipta. Di situlah, dia jumpa gerbang mahligai bahagia. 

Hadiah ini hanyalah untuk Abah dan Umi.
Cinta yang selama-lamanya.
Moga bernoktah di syurga.