Khamis, 23 Jun 2016

INSPIRASI RAMADAN #28

18 RAMADAN 1437H

Kelmarin saya telefon Umi, bertanyakan keputusan perbicaraan terakhir untuk kes Abah yang dihadiri sehari sebelumnya. Saya terpaksa tangguhkan masa untuk menelefon kerana untuk tiga hari berturut-turut saya ada peperiksaan yang perlu diselesaikan. Usai semua, barulah saya ambil peluang itu untuk berbual panjang. Hampir dua tahun (kalau dikira bulan Islam, lebih dua tahun atau genap) perbicaraan dilakukan sejak kejadian yang menimpa ketika Ramadan 2014 yang lalu. Hanya kalungan syukur dengan kalimah Alhamdulillah yang dapat kami taburkan. Betapa hidup ini tidak semuanya indah, tidak selamanya sempurna. 

Kalaulah ketika itu saya tewas mendepani semuanya, tentu saya tidak berada di tempat saya berpijak hari ini. Pasti saya rebah tersungkur, mencium kalah. Sungguh, untuk berdiri pun saya perlukan sokongan dan dokongan pada waktu itu. 20 Jun 2016, akan saya ingat tarikh ini sebagai titik noktah untuk satu episod luka. Selesai, hanya satu cerita dalam lampiran kehidupan yang didokumentasikan. Di celahan fikir dan jiwa kami, kehidupan kami, perjalanan kami, masih belum selesai. Langkah kami akan tetap diteruskan, walau apa jua perubahan yang didatangkan untuk kami kendong menuju istana harapan. Masih, semuanya dalam bulan keberkatan - Ramadan.

KHAMIS
23 JUN 2016



Isnin, 20 Jun 2016

INSPIRASI RAMADAN #27

16 RAMADAN 1437H

Jualan kami tidaklah banyak, sekadar meraikan Ramadan dengan sedikit pengisian waktu petang. Tadi, kami mengagihkan sedikit air jualan kami kepada para pelajar yang sudi menerima pemberian kecil kami. Sekitar pukul 6.00 petang kami ke kafe, sudah terlihat ramai pelajar yang menunggu. Sedikit berdebar juga kerana kami risau kuantiti yang kami bawa tidak cukup untuk semua yang telah menunggu. Agihan dimulakan, hanya dalam masa sepuluh minit semuanya habis. Tentunya, tidak cukup untuk menampung semua yang hadir. Malah masih ramai yang datang dan bertanya selepas itu, lalu yang kami mampu hanyalah senyum dengan kata maaf. 

Mungkin ramai yang selalu memberi, tetapi tidak ramai yang menikmati rasa memberi itu sepenuh hati. Ramai juga yang menerima, tetapi tidak ramai yang terima dengan setulus jiwa. Sungguh, rasa memberi itu lain. Ketika tangan menghulurkan, ada sahutan yang diterjemahkan dengan senyuman, juga lantunan rasa dalam kata terima kasih sudah cukup untuk menjentik sekelumit rasa gembira buat kami. Apabila hadir lagi dan lagi, tetapi pemberian sudah habis, simpati pula yang mengganti perasaan tadi. Kasihan juga datang berteman. Aduh. 

Kadang-kadang apabila kita terlalu asyik memberi, kita terlupa bagaimana rasanya menerima. Kedua-duanya punya cerita yang tidak serupa.

ISNIN
20 JUN 2016


Selasa, 14 Jun 2016

INSPIRASI RAMADAN #26

9 RAMADAN 1437H

Saya benar-benar terfikir. Kalaulah ketika Ramadan pun masih gagal meletakkan diri pada kedudukan yang terbaik di sisi Tuhan, masih saja melakukan kemungkaran yang tampak biasa dan tidak salah, masih lagi mengabdikan diri kepada desakan jiwa, masih melakukan kesilapan yang mendosakan, lalu bila lagi masanya untuk menjadi lebih baik? Memanglah kalam suci di dada, basah di bibir, mengalir dalam alunan merdu setiap kali laungan takbir diangkat. Benar, lihat agama sebagai agama. Peribadi hanya sisi manusia yang tidak lari daripada kekhilafan. Lalu, jangan disalahkan agama jika peribadi tidak seindah yang disangka. 

Hari kelapan berniaga. Kami seperti dicurahkan dengan simpati sehingga lencun dengan rasa kasihan apabila ada yang bertanya lagi, sedangkan sudah tiada bersisa. Setiap hari, pengharapan kepada Allah itu dipanjatkan setinggi-tingginya. Biar habis jualan kami, biar semua berpuas hati. Dan semalam, kami meneruskan jualan seperti biasa. Sehingga hampir berbuka pun masih ada beberapa bungkus yang belum terjual, namun tetap ada rezeki buat kami. Ada yang hadir pada saat-saat akhir, membeli jualan kami buat juadah berbuka.

"Takpe, rezeki kita mungkin lagi banyak di tempat lain. Rezeki pahala sebab bersedekah," kami berseloroh dalam gelak dan ketawa.

SELASA
14 JUN 2016


Khamis, 9 Jun 2016

INSPIRASI RAMADAN #25

5 RAMADAN 1437H

Dia Hamzah. Katanya umur dia tujuh tahun. Rapat duduknya dengan saya, bertanya itu dan ini. Saya layankan sahaja. Apabila ditanya berpuasa atau tidak, dia jawab dia berpuasa. Kemudian dia tanya saya, berbuka pukul berapa? Saya kata pukul 7.30 nanti. Dia tanya lagi, sekarang pukul berapa? Terus saya tunjukkan jam pada tangannya, tengoklah pukul berapa, kata saya. Dia tengok, dia kata jam dia tak betul. Saya tanya, pukul berapa jam tu tunjuk? Dia kata pukul 6.35, saya pandang dia dan saya kerlih jam saya. Saya kata, betullah jam tu, sama macam jam saya pakai. Sesekali dia peluk saya, sesekali dia baring atas paha saya, sesekali lagi dia bersandar pada saya sambil merungut lambatnya mahu berbuka. Entah sampai ke mana perbualan kami, saya ditujah dengan soalan-soalan yang cukup mencabar.

"Allah tu apa?"
"Tuhan."
"Tuhan tu apa?"
"Tuhan tu Allah, yang cipta kita, manusia."
"Allah tu apa?"

Dan saya terkebil-kebil.

"Iman tu apa?"
"Iman tu, kalau adik baik dan ikut suruhan Allah, adik ada iman."

Dan jawapan yang ini cuma ada dalam fikiran, tanpa sempat diluahkan. Sungguh, saya belum mampu untuk menjawab pertanyaan demi memberi kefahaman kepada seorang kanak-kanak seusia tujuh tahun. Payahnya.

KHAMIS
9 JUN 2016


Selasa, 7 Jun 2016

INSPIRASI RAMADAN #24

3 RAMADAN 1437H

Semalam, hari pertama Ramadan. Kami berpuasa seperti biasa. Tidak banyak yang berubah daripada kehidupan hari-hari semalam - yang tiada cuma makan tengah hari. Entah tahun ke berapa saya memulakan Ramadan jauh dari keluarga. Sesekali ada juga rasa keinginan, mahu merasai kemeriahan hari pertama puasa dengan insan-insan tersayang. Walau apapun, inilah perjalanan kehidupan. Bukan saya seorang, malah lebih ramai lagi yang serupa atau lebih tidak bernasib baik dalam melalui taman Ramadan.

Menjelang petang, kami mula membancuh air. Ada sahabat yang mengajak saya untuk berniaga dan kami memilih untuk menjual air teh hijau. Oh, rancangan ini dibuat sebelum Ramadan lagi. Apa lagi yang mampu saya lakukan selain daripada meraikan keterujaan sahabat saya untuk melakukan sesuatu yang tidak sedikitpun ada buruknya. Tentunya, hanya kudrat yang saya ada untuk diberikan kepadanya. Saya tahu, tanpa ada kombinasi tenaga pastinya sukar untuk melaksanakannya. Lebih-lebih lagi ketika dia sedang diuji dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Alhamdulillah, dua hari yang berjaya. Mudah-mudahan ada rezeki buat kami sehingga akhirnya.

Ketika berbuka, ada suatu ukhwah yang sangat hebat terlihat daripada tindakan teman-teman. Betapa saya fikir, mungkin momen itu akan diingati sampai bila-bila. Kegembiraan, kesatuan, kesederhanaan, semuanya hadir pada masa yang sama. Insyaallah kekal.

Untuk hari kedua berterawih, saya diuji dengan demam yang tidak begitu kuat. Sakit kepala yang menyerang membuatkan saya terpaksa tidur awal, dengan harapan kesakitan itu akan beransur hilang. Bangkit untuk bersahur, masih serupa keadaannya. Malah berlarutan sehingga tengah hari dan menjelang petang. Tentu ibrahnya ada. Sungguh, kesakitan saat sedang berpuasa itu lain rasanya. Saya asyik terfikir dan berharap, semoga itulah jalan untuk Allah ampunkan dosa-dosa saya. Alhamdulillah selepas berbuka hari ini, kesakitan yang dipinjamkan itu telah ditarik semula. Syukur.

SELASA
7 JUN 2016


Ahad, 5 Jun 2016

CORETAN PENGHUJUNG SYAABAN


I
(Saya)

Coretan ini bakal menjadi coretan terakhir saya untuk fasa ini - fasa yang bakal memasuki suatu tempoh masa yang dilimpahi dengan rahmat sebanyak-banyaknya. Itulah Ramadan. Tetamu teristimewa yang tidak semua insan dapat menikmatinya. Biarpun kalau hadirnya esok, jika takdir menetapkan kita untuk menuju Allah terlebih dahulu - maka tidak akan juga sempat bertemu dengannya. Saya juga, belum tentu lagi boleh berada dalam bahtera Ramadan itu sehingga ke penghujungnya. Insyaallah jika ada rezeki, kita raikan Syawal bersama-sama. 

II
(Kita)

Kita selalu mahu melihat ke hadapan, memelihara sebuah rencam perjalanan yang tersusun indah, menghalakan langkah untuk terus ke puncak dalam kesediaan yang dikaburi dengan kelalaian. Terapung-apung kebahagiaan yang cuba dicapai, mengejek dan mentertawakan kita yang mula kehausan. Kita terus berlari, mengejar yang dicari sehingga akhirnya kita tersungkur dek kealpaan. Pada saat kita mendongak dalam keperitan, ada tangan yang menghulurkan minuman.

Kita selalu lupa, ada insan-insan yang terus setia berlari dan berjuang bersama-sama tanpa merasa sekelumitpun makna penghargaan.

III
(Dia)

Dia hadir tanpa sedikitpun rasa marah. Dia tidak langsung menunjukkan suatu rasa tidak senang yang boleh mengganggu emosi sesiapa. Dia menjelma benar-benar ketika Ramadan mahu bertamu. Semacam ada pesan, menggerakkan jiwa ini perlahan-lahan. Bisiknya menelus masuk ruang pendengaran.

Semuanya tentang pilihan.

IV
(Aku)

Tipulah kalau tidak ada gusar setiap kali Ramadan tiba. Aku tak pasti apakah semua rasa ini suatu trauma, atau aku yang terlalu takut dengan imaginasi yang bukan-bukan. Benar, aku takut. Bukan! Aku bukan takut, aku tak tahu bagaimana boleh aku nyatakan rasa itu. Aku cuma berharap kiranya tiba lagi, aku diberikan kekuatan untuk berada dalam kesediaan tertinggi. Tentunya pengharapan tertinggi aku ialah kami semua dijauhkan daripada segala perkara yang tidak dijangka lagi. 

Aku faham. Setiap satu siraman ujian itu, membasahkan kami dengan ibrah yang cukup besar - penghapusan dosa-dosa dalam bulan mulia, bulan pengampunan dan bulan yang mendekatkan diri seorang hamba kepada Tuhannya.

V
(Mereka)

Kadang-kadang mereka terlihat seperti sudah tidak mahu lagi untuk mengikut rentak serupa. Namun, apabila mereka yang sudi menghulurkan salam untuk bersama-sama berjuang demi amanah yang belum terlaksana, apa lagi yang boleh saya lakukan? Mereka meletakkan bongkah kepercayaan itu untuk dijunjung dan dikelek ke hadapan. Cuma pastinya untuk terbang tinggi bukanlah sesuatu yang mudah. Apabila terlalu tinggi, risau tidak terlihat lagi bentala bumi. Maka, saya akan memilih untuk terbang - jika mereka benar-benar mahu terbang dengan saya. Bukan kerana saya yang mahu terbang sendiri.

VI
(Kami)

Pasakkanlah seteguh-teguh iman ke dalam jiwa kami ini. Biar kami dekat dengan Tuhan, pengharapan hakiki manusia yang tagihkan kasih dalam mengenal makna menjadi sebenar-benar hamba.