Sabtu, 30 Julai 2016

AKU PENJENAYAH BUKU


Entah mengapa, saya begitu akur dengan ketidaksempatan. Sepanjang cuti kali ini, baru satu sahaja buku yang sempat saya baca. Yang selebihnya, sekadar sempat disentuh - dikemas dan dilihat sahaja. Tempoh hari, ada teman yang berpesan. Katanya, jangan jadi penjenayah buku. Saya bertanya, penjenayah buku itu bagaimana? Jawabnya, kita akan menjadi penjenayah buku apabila membeli buku dan menyimpannya tanpa membaca. Saya terkelu seketika. Sayakah penjenayah buku? Tetapi saya masih mencari dan meluangkan masa untuk membaca buku-buku yang saya beli. Cuma bukan dalam masa yang singkat. Selalunya, musim cuti semesterlah akan saya gunakan untuk melangsaikan hutang itu. Lalu, saya tidak boleh dipanggil sebagai penjenayah buku, bukan?

Saya sendiri hairan. Mungkin kerana ada luka (kesakitan) di hati yang masih belum hilang, belum padam. Mungkin bukanlah satu kedukaan, cuma kekecewaan yang berbekas. Parut, mungkin juga. Ah, saya keliru apakah perkara itu. Jelasnya, perhubungan persahabatan yang cukup menyukarkan saya untuk mengikhlaskan penerimaan. Baiklah. Yang saya benar-benar pasti, buku-buku yang saya ada seperti tidak langsung dapat melegakan rasa itu. Langsung tidak menarik minat saya untuk berada dalam lembah kata-kata dan hanyut bersama buku-buku itu. Terasa hampa - kosong sahaja. Ah, bersalahnya saya terhadap buku-buku saya.

Sungguh, kisah yang dicoretkan dalam setiap buku itu kadang kala menyeronokkan, menyedihkan hatta memberikan pelbagai lagi rasa yang diterjemahkan melalui pembacaan. Namun, saya tidak dapat membuka ruang minda saya untuk membaca semua itu buat masa ini. Saya tidak tertarik untuk menerokai denai penceritaan yang sarat dengan emosi. Saya tidak bersedia. Mungkin jika saya paksakan juga, saya tidak akan masuk ke dalam horizon buku itu dengan kesempurnaan yang paling maksimum. Itulah yang akan merugikan saya, malah mungkin akan menjadikan saya lebih bersalah terhadap buku-buku itu. Ah, maafkan saya buku-buku! 

Percayalah, saya (bukan) penjenayah buku.


Rabu, 27 Julai 2016

ULASAN BUKU: BILA AYAH BERKACA MATA HITAM (MOHD HELMI AHMAD)


JUDUL : BILA AYAH BERKACA MATA HITAM
NO ISBN: 978-967-460-249-9
PENULIS: MOHD HELMI AHMAD
JENIS: KUMPULAN CERPEN
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 222

RANGKUMAN

Buku ini merupakan naskhah kedua karya Mohd Helmi Ahmad yang saya baca selepas Tetamu Istimewa. Oleh itu, mungkin kebanyakan ulasan yang bakal dibaca nanti memperlihatkan perbandingan antara kedua-dua buku tersebut. Bila Ayah Berkaca Mata Hitam masih mengekalkan cara penulisan penulis yang begitu santai dengan bahasa yang mudah difahami tanpa bunga dan lenggok penulisan yang keterlaluan. Rata-rata cerpen yang ada begitu mudah difahami dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja. Bezanya buku kali ini, penulis mengumpulkan cerpen-cerpen yang lebih dewasa untuk ditatap dan dihadam oleh pembaca. Keseriusan penulis membawakan isu-isu yang agak kritikal dalam kehidupan seharian menjadikan buku ini lebih matang dan mencabar. Cuma pada saya, menelusuri Tetamu Istimewa lebih banyak menyentuh emosi saya sebagai pembaca.

Sebanyak 18 buah cerpen telah dimuatkan dalam buku ini dengan pelbagai tema dan persekitaran yang saya kira masih begitu dekat dengan diri penulis sebagai seorang guru dan penulis. Kerana Bukan Cita-Cita, Lafaz Niat Seorang Ustazah dan Orang Surat Khabar membawa kisah seputar perjalanan kehidupan seorang guru yang sentiasa dihadirkan dengan cabaran dan rintangan. Maka wajarlah guru itu dipuji dan disanjung selayaknya atas jasa yang disumbangkan demi anak bangsa. Penulis cuba membuka sedikit pandangan pembaca yang mungkin tidak arif dan tahu asbab sesuatu tindakan seseorang guru itu, sebaliknya terus mempercayai berita tidak sahih yang tersebar dan terus menghukum guru-guru sesuka hati. 

Beberapa buah cerpen lagi membawakan tema kekeluargaan yang ada kalanya menyakitkan, meruntun jiwa pembaca dan memberikan kesedaran dalam menghirup kebahagiaan berkeluarga. Rahsiaku Kini Milikmu, masih perihal guru. Namun dibawakan penulis tentang konflik suami isteri yang apabila isterinya berprasangka terhadap suami yang memberikan layanan baik kepada anak murid perempuannya. Di Penjuru Mata Isteri dan Rumah Tanpa Jiwa, digarap dengan watak seorang penulis yang penuh dengan cabaran dan konflik tersendiri - penulis yang mengorbankan kasih dengan alasan menulis dan penulis yang mengorbankan penulisan demi kasih. Seterusnya, penulis cuba menjentik jiwa pembaca dalam Bonus Bulan Madu, kisah keutamaan dalam membina keluarga di sebuah negara aman dan sejahtera.

Pesona Wasangka dan Dunia Pilih Kasih adalah dua buah cerpen yang cuba digarap secara kreatif tentang sikap dan sifat yang selalu ada pada kita, manusia yang alpa. Peah, Aku Mahu Pulang dan Budi Beruk pula adalah dua buah cerpen yang mengangkat haiwan sebagai penggerak cerita yang cukup menyedihkan. Penulis cuba untuk menjadikan haiwan itu rapat dengan kehidupan manusia, yang boleh memberi sedikit kesedaran terhadap kelakuan kita yang sebenarnya memberi kesan buruk kepada haiwan khususnya.

Nyonya Ba dan Sebakul Kenangan, Apabila Ayah Berkaca Mata Hitam dan Akhir Sebuah Doa merupakan antara cerpen yang menampilkan watak seorang tua dengan kerenah yang berbeza-beza sehingga mendatangkan masalah, hatta kebencian oleh orang-orang di sekelilingnya. Penulis berjaya menyentuh hati pembaca dalam cerpen-cerpen ini apabila hadirnya watak anak-anak yang sebenarnya menggambarkan mereka itu ialah 'kita' dan warga emas itu ialah 'ibu dan ayah kita'. Rafak Sembah Bidan Angsana, Pesta Bendang dan Kenduri di Kampung Pisang berlatarkan kehidupan kampung yang sangat tradisional. Tidak ramai warga moden kini yang berpeluang merasai kisah-kisah yang diceritakan dalam cerpen-cerpen tersebut. Penulis dilihat begitu teliti dalam mendalami tradisi dan warisan yang semakin pudar dihakis kemodenan. Akhirnya, Dalam Lingkungan Hantu merupakan kritikan halus penulis terhadap dunia perfileman dengan pengharapan agar sesuatu yang lebih bermanfaat dan bermakna dapat dihasilkan kelak.

CERPEN-CERPEN PILIHAN

Tentunya ada beberapa buah cerpen yang menjadi kesukaan saya. Rumah Tanpa Jiwa benar-benar menyentap jiwa saya. Disulamkan butir pengorbanan seorang suami yang sentiasa berusaha menjayakan kesukaan dan minat diri, namun pada masa yang sama tidak pernah leka dalam membahagiakan keluarganya. Seputar kehidupan seorang penulis yang akhirnya memilih untuk mengorbankan harta-hartanya berbentuk koleksi manuskrip nadir yang bernilai demi sebuah kecintaan yang lebih diutamakan. Benarlah, kalaupun generasi terdahulu sudah rela berkorban, maka kita anak muda kinilah yang perlu berjuang untuk mengembalikan dan menebus semula sebuah pengorbanan.  

Rafak Sembah Bidan Angsana menjadi pilihan utama saya. Persis sebuah karya klasik, lenggok bahasa yang digunakan cukup mendamaikan. Maksud saya, saya membaca dengan penuh penghayatan, bayangan dan imaginasi. Menariknya cerpen ini, biarpun tampak klasik dan tradisi namun kisah ceritanya telah dimodenkan mengikut situasi dan isu semasa yang semakin membimbangkan. Apapun, cerpen ini sangat seronok untuk dibaca dan menjadi satu kelainan yang pada saya menghiburkan. 

Cerpen Peah, Aku Mahu Pulang telah mendera emosi saya. Kebetulan sehari sebelum saya membaca cerpen ini, ada saya nukilkan sebuah entri tentang kucing-kucing saya di rumah. Setelah dibaca, terasa seperti ada persamaan dalam mendepani kehidupan bersama kucing-kucing. Sungguh, penulis cukup teliti dalam percubaan mengadunkan kisah haiwan dan manusia. Penulis meletakkan dua situasi yang sama terhadap kedua-duanya, namun pada tahap keutamaan yang ternyata tidak serupa. Cerpen ini sebenarnya begitu dekat dengan pemelihara kucing yang sentiasa berdepan dengan rasa dan jiwa yang begitu payah untuk diluahkan sepenuhnya.

Akhirnya, penulis begitu gemar menukilkan kisah-kisah yang ada hubung kaitnya dengan sawah dan bendang. Pesta Bendang antara yang menarik perhatian saya. Betapa terujanya saya mahu mengetahui perjalanan kisah Pesta Bendang seperti yang dinyatakan. Mungkin bukan sahaja saya, malah ramai lagi pembaca yang tidak pernah tahu tentang pesta tersebut. Saya mahu merasai pengalaman itu biarpun hanya dengan membaca. Walau bagaimanapun, penulis hanya menceritakan perihal persiapan dan beberapa aktiviti secara sepintas lalu dengan membawakan konflik lain dalam cerpen tersebut. Sungguh, harapan saya terhadap cerpen ini adalah perincian tentang persediaan, perjalanan dan pengakhiran Pesta Bendang secara terperinci seperti yang pernah penulis bawakan dalam cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin yang memperincikan aktiviti rewang. Mungkin kelak, penulis boleh meneruskan kisah ini dalam novel pula. Tentu lebih menarik!

Secara keseluruhan, Bila Ayah Berkaca Mata Hitam adalah tentang kehidupan yang perlu sentiasa disematkan dengan keterbukaan. Keindahan dalam berkasih sayang baik sesama manusia mahupun haiwan hanya akan wujud apabila adanya insan-insan yang sentiasa memastikan jiwanya bebas daripada hasad dan amarah yang boleh membinasakan. 

  

Ahad, 17 Julai 2016

SESUDAH SEBULAN MENDIDIK HATI


Tidak mudah sebenarnya. Jalan yang dilalui itu terlalu banyak rintangannya dan manusia ialah halangan terbesar yang paling payah untuk diuruskan. Semakin banyak perkara yang disandarkan kepada manusia, semakin hilang jalan penyelesaiannya. Lalu yang kian bertambah ialah masalah yang tidak pernah sudah. Manusia dan ego, manusia dan kebinasaan. Kalau dalam bulan keberkatan masih tidak mampu menjadi yang terbaik, apa ertinya Ramadan? 

Syawal masih berbaki. Urusan-urusan penting terus mendatang dengan desakan untuk disiapkan. Tiada ruang untuk berlengah-lengah, melakukan yang bukan-bukan. Ruang terus menyempit, menyesakkan sehingga tercungap-cungap mahu menyedut udara segar yang melegakan. Tempoh ini, bukan suatu permainan. Namun tetap leka dalam angan dan kelalaian.

Bagaimanalah mahu mencapai kesejahteraan kalau masing-masing bersembunyi di balik kepura-puraan yang menyorokkan kemurkaan. Semua tahu, tetapi semua dengan lagak selamba. Meneruskan kehidupan seperti biasa kononnya segala-gala telah sempurna. Ah, lakonan yang tidak pernah bernoktah. Dipertontonkan kepada umum untuk dipuja dan dimahkota. Binalah sebuah rumah sejahtera yang melindungi jiwa-jiwa manusia daripada kepalsuan bahagia.

Rasanya sudah terlalu lama, tulisan-tulisan di blog ini mengurungkan rasa sebenar di sebalik kata-kata. Diselindungi lenggok bahasa yang menjadi penipuan semata-mata. Orang kata tulislah dari hati, barulah terasa keikhlasannya. Kalian (yang selalu membaca) rasa?


Sabtu, 2 Julai 2016

INSPIRASI RAMADAN #29

27 RAMADAN 1437H

Masuk hari kelima berada di rumah, berpuasa bersama-sama keluarga. Sungguh, masa untuk saya luangkan di laman ini terlalu terhad. Banyak yang saya mahu tulis, banyak yang saya biarkan dan akhirnya hilang. Lalu apalah kuasa yang saya ada untuk memastikan semuanya kekal dalam ingatan. 

Mengimbau semula perjalanan pulang tempoh hari, tidak ada apa-apa yang menarik. Cuma kali ini perjalanan saya ditemani oleh sahabat, duduk sebelah-menyebelah. Seawal memasuki bas, kami semua diberikan sebungkus plastik berisi kurma, air mineral dan sebungkus roti. Kata mereka, ambillah buat bersahur. Suatu kelainan yang belum pernah saya alami. Mudah-mudahan, pemberian itu diberkati buat pemberinya. 

Malam kedua berada di rumah, saya dihubungi seorang teman yang mengajak saya untuk berjumpa. Teman satu tempat mengaji ketika zaman kecil dahulu. Hampir sepuluh tahun tidak berjumpa. Katanya, dia sendiri tidak tahu apa penyebab yang membuatkan dia menghubungi saya secara tiba-tiba. Banyak yang kami bualkan, lebih kepada perbincangan. Kadang-kala, pernah juga rasa ketidakcukupan dalam hidup ini. Namun ternyata, apa sahaja yang sudah dimiliki seharusnya disyukuri dengan sepenuh rasa hati. Dia, hebat sekali. Dia, berani. Pada usia begini, kami lebih banyak membincangkan tentang kehidupan, perjalanan panjang yang perlu ditempuhi untuk suatu tempoh yang tidak terjangka lagi. Fasa mencabar ini, qiblatnya cuma diri - mahu atau tidak. 

Dan hari ini, saya terus berkira-kira tentang diri. Cukupkah Ramadan kali ini dirai? Atau cukupkah diri ini mengabdi diri? Dalam tazkirah antara tarawih tempoh hari, dipesan begini. Jangan menghambakan diri kepada Ramadan kerana Ramadan itu akan menemui penghujungnya sedikit masa lagi.

SABTU
2 JULAI 2016