Sabtu, 27 Ogos 2016

BUKAN MUDAH MAHU KE UNIVERSITI


Hati saya benar-benar tersentuh apabila tempoh hari, viral suatu kisah seorang pelajar yang meminta bantuan kewangan untuk masuk ke universiti. Sebelum-sebelum ini, banyak kali sahaja ada pengumuman di masjid tentang permintaan bantuan kewangan untuk ke universiti sebelum saya bersolat Jumaat. Cuma, selalunya pelajar yang berkenaan mahu meneruskan pengajian di universiti yang letaknya di luar negara. Lalu terdetik pada fikir saya, biasalah. Perbelanjaan di luar negara memang besar, tentunya bantuan kewangan yang diterima hasil sumbangan orang ramai dapat meringankan sedikit bebanan mereka dalam perjuangan menuntut ilmu.

Namun kisah yang viral tempoh hari itu, hanya untuk kemasukan ke universiti tempatan. Tampak remeh bukan? Seperti mereka ini terlalu meminta-minta dan dengan kemajuan teknologi dan kuasa viral, mereka mengambil kesempatan? Kemudian wujudlah komen-komen kononnya mereka malas berusaha, kononnya mereka ini boleh sahaja tidak meminta dan kononnya sekarang terlalu banyak bantuan mahupun pinjaman kewangan yang boleh diterima seusai mendaftarkan diri nanti. Namun semua itu tidak bagi saya. Mereka punya alasan dan sebab yang tersendiri, liku kehidupan dan kesukaran berhadapan dengan kemodenan yang tiada siapa pernah alami.

Memang benar. Pinjaman kewangan itu banyak, namun prosesnya bukan sehari dua. Bukannya semudah "hari ini minta esok boleh dapat". Jadi, soal mereka yang meminta atau orang ramai yang memviralkan kisah mereka, letak di tepi. Kita lihat dahulu betapa payahnya mahu ke universiti. Walau ramai yang mendapat tawaran ke sana dan ke sini, macam semua orang akan ke universiti, ramai lagi yang tidak berjaya untuk sebab itu dan ini, hatta yang tidak diketahui. Yang menerima tawaran pula, bukan semua yang mampu untuk pergi. Bukan semua pula yang mahu pergi. Sungguh, perbelanjaannya terlalu besar. Persiapan sebelum sahaja sudah cukup banyak. Serba-serbi perlu dibeli baharu. Bayangkan sahaja begini, sebelum ini satu ubat gigi dikongsi dengan seluruh ahli keluarga di dalam sebuah rumah. Apabila mahu ke universiti, ubat gigi baharu perlu dibeli untuk dibawa ke sana walaupun hanya untuk kegunaan seorang diri. Sama juga dengan keperluan diri yang lain. Perbelanjaan kalau dihitung, terlalu banyaknya. 

Mungkin tidak semua orang diuji dengan masalah kewangan. Ada yang diuji dengan emosi, keupayaan, kesediaan dan apa sahaja masalah yang tidak pernah kita fikirkan. Saya sendiri, bukan mudah mahu ke universiti. Ketika saat saya menerima tawaran untuk ke universiti, ketika itulah kami semua sedang diuji. Menanti keputusan UPU yang sepatutnya mendebarkan, bertukar menjadi sesuatu yang kalau boleh ditangguh, mahu dilewat-lewatkan atau langsung ditiadakan. Saya tidak sedikitpun teruja dengan tawaran saya untuk ke universiti, sehingga saya sorokkan daripada pengetahuan keluarga. Hanya Allah yang tahu beratnya bebanan ketika itu, besarnya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sudahlah saya hilang motivasi, saya dipertemukan pula dengan insan-insan yang cuba memperlekehkan kursus yang akan saya pelajari di universiti nanti. Saya hanya berdiam, tidak menjawab sebarang pertanyaan lagi.

Sungguh, kalau tidak dek sokongan dan dorongan yang saya terima, mungkin saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang. Sahabat itu dihadirkan sebagai jalan yang memudahkan perjalanan saya, yang menjadi perantara pertolongan yang Allah berikan. Persiapan yang saya lakukan tidak langsung dengan kesungguhan. Macam-macam yang saya fikirkan, dan sepertinya kalau saya pergi, siapa yang akan menggantikan saya nanti? Sehinggalah saya terbaca satu kata-kata oleh seorang teman. Katanya, kita rasa kita sudah cukup mampu menjaga orang yang kita sayang, tetapi sebenarnya Allah sudah ada dan terlebih mampu menjaga mereka untuk kita. Lalu saya dijentik rasa hiba, apakah saya terlalu sombong untuk meletakkan pengharapan yang setinggi-tingginya kepada Tuhan? 

Soal kewangan pula, syukur sentiasa dipermudahkan. Kami hanya sebuah keluarga yang sederhana. Belum pernah kami mencatu makanan, belum pernah kami berhutang yuran. Perbelanjaan untuk persiapan saya ke universiti, saya guna wang simpanan saya sendiri. Yuran pendaftaran pula, saya gunakan duit sumbangan yang diterima. Ya, saya juga menerima bantuan dan wang sumbangan untuk meneruskan pengajian ke universiti kerana kami bukan orang senang. Setelah mendaftar, barulah dimulakan dengan proses pinjaman PTPTN dan sebagainya. 

Bukan mudah mahu ke universiti. Pernah saya membaca coretan seorang teman, ayahnya menggadaikan ladang getah yang ada untuk membiayai perbelanjaannya ke universiti suatu masa lalu. Dan selalu kita dengar, orang dulu-dulu sanggup bergadai harta benda, tanah, sawah, hatta rumah sekalipun demi anak-anak yang mahu ke universiti. Kalau ada yang berjaya menerima tawaran, satu kampung berbangga, seekor dua lembu ditumbangkan tanda syukur dan air mata itu anugerah yang paling bernilai tanda gembira. Tingginya nilai ilmu, kesyukuran dan penghargaan orang dulu-dulu. Kini, tetap sama. Universiti itu puncak tertinggi menara gading. Letaknya ilmu dan budi pekerti yang terlalu mahal harganya. Cuma zaman membezakan cara dan persekitarannya.

Saya ke universiti, bukan kerana saya pandai. Saya juga ada setitis usaha, dilimpahi dengan sekalung doa dan sejambak jasa insan-insan yang tidak akan pernah dilupa. Perjalanan saya belum beakhir dan akan berterusan sampai nyawa bertemu noktahnya.


Selasa, 9 Ogos 2016

RINDU DALAM MIMPI


Sebelum Ramadan tempoh hari, saya dihidangkan dengan sebuah mimpi yang ada rindu di dalamnya. Betapa mimpi itu cukup mendamaikan, membahagiakan dan semestinya menjadikan saya insan yang tagihkan mimpi itu untuk kembali semula. Dalam mimpi itu, saya bertemu dengan guru mengaji saya setelah begitu lama tidak berhubung. Entah di majlis apa, mungkin kenduri dan mungkin juga sekadar suatu latar yang mempertemukan. Sebaknya saya ketika itu tatkala saya memandang ke arahnya. Wajah tua guru mengaji saya itu penuh keterujaan dan dalam senyuman menyebut nama saya seperti yang dipanggilnya dahulu. Allah, insan yang sudah berusia sepertinya masih mampu mengingati nama saya, anak muridnya yang sudah terlalu lama meninggalkan zaman kecil dahulu. 

Babak mimpi itu sungguh bermakna, sangat mensyahdukan. Saya ketika itu seboleh-bolehnya mahu memperdengarkan bacaan al-Quran saya kepadanya, biar diketahui bahawa saya sudah lancar mengaji, jauh lebih jelas bacaannya berbanding zaman kanak-kanak dahulu. Saya rindu untuk mendengar bacaan saya diperbetulkan, kemudian saya turuti bacaanya satu persatu. Biarpun kadang-kala saya terhenti dek nafas yang pendek, pasti akan diulanginya sehingga mampu saya kejar semula. Dalam mimpi itu, saya seperti ke suatu tempat sebelum kembali semula kepadanya untuk melunaskan hajat itu. Cuma ternyata, mimpi itu tidak sampai penghujung. Saat saya kembali berdiri di hadapannya, ketika itu jugalah saya tersedar daripada tidur dalam hiba dan air mata. Mimpi itu membuatkan saya menangis di dalam tidur. Itukah tanda sebenar rindu?

Memang saya amat mahu menemuinya lagi. Sembilan tahun lalu, itulah detik terakhir pertemuan kami. Sepanjang tempoh itu, ada juga saya terdengar khabar yang sayup-sayup sahaja. Seorang demi seorang guru mengaji kami telah dijemput menghadap Pencipta. Sekali lagi saya sebak, terbayangkan insan-insan yang pernah mengenalkan kami huruf-huruf al-Quran, bacakan kami kisah-kisah nabi dan ajarkan kami hukum-hakam agama suci. 

Mungkin juga dalam rindu itu ada pesan. Tempoh kedewasaan saya ada kalanya melekakan dengan kesibukan. Lalu al-Quran itu dipinggirkan tanpa belaian dan bacaan. Jika dahulu setiap hari al-Quran itu menjadi teman seusai persekolahan, ditadaruskan bersama-sama teman di asrama tetapi kini? Tiada lagi jadual yang mengikat diri ini dengan al-Quran, melainkan diri sendiri yang berpegang dengan iman. Saya benar-benar mahu, menjadikan al-Quran itu kawan, sahabat yang berdampingan. Ini bukan impian, tetapi inilah kehidupan. Pernah saya rasakan iri dengan mereka yang al-Quran itu bukan letaknya pada kitab, tetapi subur dalam hati, basah di bibir setiap hari. Memang saya bukan seperti mereka, namun saya juga manusia yang menuju jalan-jalan serupa.

Allah, jika kami selalu mengabaikan kalam-Mu, jangan pernah dikeraskan lidah kami sehingga tidak tersebut lagi kalimah-kalimah suci-Mu secara sempurna. Berikanlah kami kefasihan dalam mengalun, kefahaman dalam menghadam dan kekuatan dalam mengamal. Sejahteralah semua yang ajarkan kami 'mengaji'. 


Khamis, 4 Ogos 2016

SEBENARNYA APA YANG DIKEJAR


Seputar keputusan peperiksaan akhir semester semalam, ternyata ramai yang berbahagia. Seharusnya begitulah, bukan? Cukup sekadar meneroka laman dinding yang sarat dipenuhi dengan ucap syukur, kata gembira dan gambar ceria. Entah, sesekali perlu juga diketahui apa sebenarnya yang dikejar? Sesudah mengejar, dapat atau tidak? Penat atau berbaloi? Lain orang, lain caranya, lain juga perjalanan ilmunya.

Memang, ada kalanya kita akan kecewa dengan usaha sendiri - kesal dengan diri yang seperti gagal untuk setidak-tidaknya menyentuh sedikit puncak harapan, biarpun tidak dapat berdiri gah di puncak. Berkali-kali saya cuba kongsikan, betapa perlunya untuk kita raikan apa sahaja yang menjadi hak kita. Telusuri semula sejarah yang membawa kita kepada hari ini, itulah penyebabnya.

Kemudian, barulah pasrah (dengan kesedaran).

Facebook/WanHanifWanHamid
02 Ogos 2016

Sengaja saya tuliskan semula di sini. Benarlah, apa yang kita mahu itulah yang kita dapat. Namun, teori ini tidak terlaksana kepada semua manusia. Ramai lagi yang mahukan yang ini, tetapi mendapat yang itu. Malah ada yang langsung tidak mendapat apa-apa. Jadi, apa yang kita mahu itu bukanlah suatu kemestian untuk kita peroleh. Pernah juga saya terlalu mahukan keputusan yang cemerlang, akhirnya tidak menjadi milik saya. Lalu saya lihat semula sejauh mana usaha saya dalam mendapatkan apa yang saya mahu itu. Terlalu sedikit. Malu sebenarnya, mengharapkan sesuatu ketertinggian atas usaha yang tidak seberapa. Maka saya biarkan perasaan mahu itu diselimuti dengan rasa mampu. Sungguh, berpegang kepada kemampuan (dengan usaha yang diri sendiri sahaja tahu), saya tidak mengharapkan lebih daripada apa yang saya rasa saya mampu. Tetapi tidaklah pula saya terus berada di zon selesa yang bakal membinasakan. Setiap orang pasti punya hala dan tujuan masing-masing. Sama seperti saya.

Kadang-kadang, memang kita terlalu mahukan kejayaan. Kita hendakkan kejayaan itu menjadi bukti kepada manusia-manusia yang selalu memperkecilkan kita. Hanya itu sahaja yang boleh membuka mata mereka, membiarkan mereka tahu bahawa kita ini juga mampu. Kemudian, akan hadir pula pesan-pesan tentang keikhlasan dalam melakukan sesuatu. Buat kerana Allah dan bukan kerana manusia. Memang, tidak langsung saya mahu menafikan, cuma perjalanan kehidupan setiap manusia itu berbeza bukan. Jauh di sudut hati insan yang selalu rasa kecewa, mungkin menunjukkan kejayaan itu kepada manusia bukanlah kepuasan sebenar. Setidak-tidaknya, itulah yang menjadi pendorong kepadanya untuk bangkit daripada hinaan manusia. Ah, saya selalu percaya bahawa tindakan, usaha dan kejayaan seseorang itu tidak lebih daripada untuk kepuasan diri sendiri. Memperlihatkan kepada manusia itu hanya sampingan dan keikhlasan melakukannya pula bukan boleh diukur melalui penglihatan dan pengamatan semata-mata. Jadi, janganlah menghakimi seperti dialah hakim bijaksana yang paling mulia, adil dan saksama.

Dari sudut yang lain pula, ramai yang mampu mengungkap kata syukur namun pada dasar hati terpalit juga kekesalan yang memberkas. Jadi itukah syukur? Memujuk diri dengan kata-kata dengan kata pujuk kononnya dialah insan yang akan akur menerima seadanya. Kemudian, hadir pula rasa iri melihat orang lain yang sedang senyum gembira meraikan kejayaan luar biasa. Benarkah bersyukur? Ikhlaskah dengan usaha dan pencapaian diri sendiri? Jika benar, mengapa perlu ditunjukkan semua rasa sesal itu secara umum. Jika benar, mengapa perlu dilakukan perkara-perkara yang sebenarnya merugikan. Berusaha tetap berusaha, tetapi menerima juga perlu tetap menerima. Marahlah, makilah, kecewalah, buatlah apa sahaja yang boleh meredakan rasa duka itu. Buat sahaja. Cuma pada saya, kepada siapa semua itu ditujukan? Kalau marah, kepada diri harus marah itu dilumurkan. Kalau maki, kepada diri harus maki itu ditelan. Kalau kecewa, kepada diri kecewa itu harus dihadamkan. Sebabnya diri sendiri yang menentukan baik buruknya keputusan. Bukan begitu? 

Entahlah. Bukan buat mereka sahaja, tetapi termasuk juga saya. Apa sebenarnya yang dikejar? 

Saya petik kata-kata seorang sahabat dalam perkongsiannya:

Apabila kita memperoleh anugerah, kejayaan atau sebagainya lalu kita bersyukur, maka anugerah dan kejayaan itu tidak akan merosakkan kita dengan sifat sombong, riak dan takbur. Apabila kita ditimpa musibah, kegagalan atau sebagainya lalu kita bersabar, maka musibah dan kegagalan itu tidak akan merosakkan kita dengan sifat kecewa dan putus asa.

'Ilman 'Ashri