Sabtu, 19 November 2016

ANUGERAH YANG TIDAK PERNAH DIPINTA


Puas saya mencuba, tetap hambar sahaja. Saya tidak mahu memaksa kerana saya sedang belajar untuk menerima semua seadanya - membiarkan segalanya terjadi tanpa perlu difikirkan lagi. Adilkah penghargaan buat yang tidak tahu menghargai? Perlukah saya mencuba lagi walaupun saya sudah tidak punya keinginan di dalam hati? Sungguh, itu bukan putus asa. Saya terima dan harus terima. Banyak lagi perkara yang menjadi keutamaan saya - yang akan melangsungkan perjalanan kehidupan saya pada hari esok dan apa yang sedang saya hadapi ini hanyalah rencahnya sahaja. 

Tidak pernah saya jangka, saya akan dipertemukan dengan teman yang tiba-tiba menjadi ubatnya. Hanya berselisih dan sapaan yang sangat sekejap, saya terasa benar-benar lega. Maka, sahabat tidak semestinya menjadi ubat dan teman tidak semestinya sekadar kawan.

"Kau dari mana, buat apa?"
"Aku joging tadi. Kau ni nak pergi mana?"
"Aku nak jalan-jalan je."
"Serius la? Sorang je?"
"Ya, sorang. Aku nak jalan-jalan je. Kau nak balik dah?"
"Hmm..aku ikut kau jalanlah. Lama tak borak dengan kau."

Saya terdiam, cuba menghadap kata-katanya yang terakhir. Sungguh, hanya satu perkara yang terlintas dalam fikir saya. 

"Allah hadirkan dia ketika aku sedang memerlukan sedangkan aku tidak pernah meminta."

Saya terus berjalan-jalan dengannya, sambil memendam rasa syukur yang entah bagaimana boleh diluahkan dalam bentuk kata-kata. Hampir 40 minit, saya dan dia bergebang tentang kehidupan semasa. Ada satu ketenangan yang saya jumpa, yang saya rasai dalam setiap langkah kami. Selepas itu, saya menghantarnya balik. Ucap selamat tinggal seperti biasa dan dia ungkapkan sesuatu yang membuatkan saya terfikir lagi, memang dia dihadirkan untuk saya ketika saya amat memerlukan seseorang sebagai peneman di sisi.

"Gembira aku dapat jumpa kau hari ni."

Saya hanya menoleh dan sekadar mampu tersenyum, meninggalkan dia dengan kesyukuran dan kenangan. Benar, kadang-kala kita sebenarnya kuat untuk terus memendam apa sahaja rasa yang terbuku di hati. Kita kuat untuk tidak berkongsi dan kita bukannya memerlukan insan-insan yang mahu mendengar keluh dan kesah diri kita tetapi cukuplah sekadar meluangkan sedikit masa untuk berbual dan bercerita, masa untuk bersua dan duduk bersama-sama. Kalaulah masa itu boleh dijual beli, saya sanggup laburkan sedikit wang yang saya punya untuk membeli masa-masa itu. Mungkin ada yang melihat pemberian masa yang diluangkan itu sebagai suatu pembaziran, tetapi tidak bagi saya yang melihatnya sebagai pemberian yang cukup bermakna. Terima kasih teman-teman, semuanya.

Tidak semua orang tahu cara untuk mendengar dan tidak semua orang sudi untuk mendengar. 


Sabtu, 12 November 2016

TIADA PILIHAN


Aku seperti daunan yang menjalar, tiada pilihan melainkan berpaut pada pagar yang dipasakkan ke tanah. Payah apabila terpaksa bergantung kepada sesuatu yang lain. Aku tiada pilihan, kiranya pagar itu tiada. Aku tetap harus meneruskan nafas, biarpun menjalar melata di bumi. Aku terlalu tiada pilihan tatkala aku mencari, tiada yang sudi. Apabila aku berkongsi, lain yang jadi. Apabila aku menghampiri, aku ditinggal sendiri. Aku tiada pilihan, aku hanya perlu menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum dilepas perlahan-lahan bersama-sama duka yang terbang dan akan hilang dibawa angin ke sana sini. 


Rabu, 9 November 2016

BENARLAH KATA HATI


Rupa-rupanya, ada yang lebih membahagiakan daripada meluahkan segala-galanya melalui kata-kata. Sebelum ini saya merasakan suatu kepuasan apabila saya bentukkan rasa itu menjadi cerita, lega tetapi rasa itu kekal dan boleh dibaca semula. Lalu memungkin sebarang ketidaksenangan rasa bertapak kembali ke dalam jiwa. Mungkin juga kerana faktor kesibukan yang melanda, saya menjumpainya. Berulang kali saya cuba meluangkan masa untuk saya coretkan perkongsian rasa di sini, namun benar-benar tidak bersempatan. Saya tangguhkan, tangguhkan dan terus tangguhkan. Sehingga akhirnya saya lupa dengan apa yang saya mahu kongsikan. 

Ah, tentunya bukan perkara yang menggembirakan. Entahlah, sebenarnya saya sedang mencuba untuk melupakan. Satu persatu perkara cuba dihilangkan, agar saya terus rasa selesa. Saya tidak mahu memanjangkan apa-apa, saya sekadar mahu rasa itu terus hilang dan tidak berkunjung lagi. Pastinya, kelupaan akan menyebabkan tiada dendam tersimpan, walau secalit titiknya. Sebabnya, saya bukan manusia yang jenisnya pelupa. Hatta sekecil-kecil perkara kekal dalam ingatan saya. Walau seungkap kata, tertanam dalam kepala. Jadi, saya berusaha. Biar tidak terungkit, biar tidak disebut kembali. Setidak-tidaknya, saya mencuba bukan? Saya tahu, ada yang lebih berharga untuk saya ingati. Nilai persahabatan dan momen-momen yang pernah menceriakan. 

Cuma, saya tetap tidak boleh menafikan kehendak untuk saya coretkan rasa. Kalau dahulu, ada juga telinga-telinga yang sudi dihulurkan untuk saya kongsikan apa-apa. Lumrahlah, manusia ini tidak mampu menanggung perit rasa selamanya. Setidak-tidaknya, perlu juga untuk dikongsikan walau sedikit sahaja. Ada juga tempat untuk saya luahkan, walau tidak semua. Tentunya saya juga akan membiarkan mereka bercerita, meluahkan bebanan rasa mereka yang tidak tertanggung lagi dan saya lebih banyak mendengar, mendengar dan mendengar cerita mereka. Tetapi kini mereka hilang. Sirna setelah mereka mengecap bahagia dan saya bukanlah insan yang diperlukan lagi. Lalu siapa yang ada untuk saya? Apabila semuanya sudah tiada, sibuk dengan urusan masing-masing, pilihan apa lagi yang saya ada melainkan diam dan terus menyimpan segala-galanya.

Benar kata hati, memendam rasa itu terlalu memenatkan.