Sabtu, 24 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #33

29 RAMADAN 1438H

Terlalu sekejap rasanya Ramadan kali ini. Tahu-tahu sudah masuk hari terakhir berpuasa. Syukur, berkesempatan sehingga ke akhirnya walaupun tiada jaminan nyawa pada hari esok. Lalu ada setahun lagi tempoh untuk menanti Ramadan yang seterusnya. Kalau diizin Allah, dapatlah mengecap 1 Syawal bersama-sama. Oh, hari ini pasti sibuk. Mengemas, bersiap, memasak dan segala-galanya untuk berhari raya. Semoga dipermudahkan urusannya.

Ramadan tidak pernah menjanjikan manusia akan menjadi baik, tetapi dalam waktu menghadapi Ramadan, manusia boleh menjadi baik. Ramadan juga tidak menjamin syurga buat manusia, tetapi manusia boleh mencari syurga semasa Ramadan. Inilah bulan keberkatan, bulan keampunan yang seharusnya dimanfaatkan buat  seluruh umat manusia. 

Cukupkah keampunan yang dipinta? Cukupkah amalan yang dilaksana? Cukupkah berpuasa anggota? Cukupkah beristiqamah untuk pahala? Cukupkah tidak berbuat dosa? Cukupkah doa-doa yang dipinta? Pada hari terakhir Ramadan ini, cukupkah kita merendahkan jiwa memaknai diri sebagai hamba? Rugi, sungguh rugi buat sesiapa sahaja yang merasakan kecukupan untuk semua itu. Apatah lagi yang mensia-siakan Ramadan dengan nafsu - satu kerugian di akhirat nanti. Allah! 

Sesungguhnya, Allah yang berkuasa mebolak-balikkan hati-hati manusia. Hanya dengan keimanan yang teguh dan ketakwaan yang sebenar-benarnya akan menyelamatkan manusia daripada dilanda gelora yang mengubah warna hati, menjadi hitam likat - kering dan mati. Semoga Ramadan kali ini, ada pengajaran buat diri, ada peringatan untuk diteladani dan ada Allah di dalam hati. Jumpa lagi Ramadan!

SABTU
24 JUN 2017


Sabtu, 17 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #32

22 RAMADAN 1438H

Alhamdulillah. Serasa saya, batuk yang dialami sudah hilang sepenuhnya. Tidak ada lagi sisa batuk, mahupun rasa sakit tekak saat bangun untuk bersahur. Ketika ini, saya tiba-tiba terlupa rasa peritnya batuk. Saya ingat keadaannya, tetapi tidak dapat membayangkan sakitnya itu lagi. Saya masih lagi mengamalkan beberapa petua, masih makan ubat dan masih meneruskan waktu berbuka tanpa ais. Saya tidak langsung menyentuh ais, hatta meminum air sejuk lagi. Biarlah tiada nikmat minum air, asalkan kejadian itu tidak datang menimpa lagi. Saya mahu sihat, saya mahu sembuh. Nanti raya, banyak lagi ais yang akan terhidang - dan tidak mungkin saya mampu untuk menolak lagi.

Hari ini, masuk hari keempat saya berada di rumah. Juga merupakan permulaan cuti semester yang rasmi. Banyak perkara yang perlu diselesaikan, banyak juga yang perlu dirancang serapi yang mungkin. Saya fikir, cuti ialah waktu terbaik untuk saya lakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan. Tetapi tidak sebenarnya. Waktu cuti saya akan terhalang dengan banyak perkara, lalu saya tidak sempat mahu meneruskan agenda - perulangan yang sama setiap kali bercuti. Tak mengapalah. Memang itulah yang saya perlu hadapi, tanpa keluhan dan alasan.

Saya teringat semasa perjalanan pulang tempoh hari. Ketika itu kami singgah di sebuah hentian R&R. Seorang lelaki tiba-tiba menghampiri kami, lalu menceritakan masalahnya kepada kami. Katanya, tangki minyak hitam motornya bocor. Dia sudah membeli minyak hitam dan sudah kehabisan wang untuk meneruskan pejalanannya. Dia cuba meminta pertolongan kewangan dan berjanji mahu membayarnya semula nanti. Kami tidak terus percaya, tetapi cuba untuk melihat keadaan motornya dahulu. Kawan kami yang pergi tengok untuk mengesahkan kata-katanya itu. Setelah dilihat, memang benar ada kebocoran pada tangki minyak hitamnya. Kawan saya menghulurkan sedikit wang kepadanya dan dia meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi semula.

Sebenarnya, bukan senang mahu mempercayai orang yang baru sahaja ditemui. Apatah lagi apabila membabitkan wang. Rasa sangsi dan was-was pasti hadir. Membelenggu diri antara simpati dan ketidakpercayaan. Namun, hanya keikhlasan yang dapat meletakkan nilai kepada pemberian itu. Jika benar ikhlas, besarlah ganjaran buat pemberi. Jika ada sekelumit sangsi dan penyesalan, itu tandanya keikhlasan itu belum disertakan semasa memberi. Apapun, semoga kejadian itu adalah benar sahaja. Bukan dibuat-buat dan bukan untuk mengambil kesempatan atas ihsan dan simpati manusia-manusia yang sedang bermusafir. Moga diberkati.

SABTU
17 JUN 2017


Rabu, 7 Jun 2017

INSPIRASI RAMADAN #31

12 RAMADAN 1438H

Bermula dari hari ketiga berpuasa sehingga hari ini, batuk yang dihidapi belum kebah sepenuhnya. Masih ada sisa-sisa batuk yang sesekali cukup mengganggu. Benarlah. Sekali sahaja Allah usik kesihatan, rasa tidak selesa akan bertubi-tubi hadir. Duduk tidak kena, baring tidak kena, tidur pun tidak kena. Paling menyakitkan adalah ketika bangun untuk bersahur. Pedihnya rasa tekak sehingga suara pun tidak begitu terluah. Saat itu sahaja yang mampu untuk saya reguk air sebanyak-banyaknya sebelum meneruskan puasa pada siang hari. Tentunya menanti waktu berbuka menjadi sesuatu yang cukup mencabar. Batuk berterusan, namun saya tidak boleh alirkan apa-apa untuk melegakan keperitan itu. Saya sudah makan ubat, kemam ubat dan apa sahaja yang disarankan oleh teman-teman. Insyaallah kalau ada keizinan, sedikit masa lagi pasti sembuh. 

Dalam tempoh ini juga, saya sebenarnya sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Betapa mencabarnya puasa kali ini. Peperiksaan yang berlangsung ketika bulan Ramadan, diselitkan pula dengan kesihatan saya yang tidak begitu sempurna. Saya sekadar memaksa diri untuk menghadapi semuanya. Jika saya terlalu turutkan rasa, entah peperiksaan akan terabai begitu sahaja. Tambahan pula masa yang terhad, tempoh dan jarak antara setiap peperiksaan hanya berselang sehari, hanya kekuatan yang paling maksimum yang selayaknya saya adakan. Apapun, saya telah cuba yang terdaya dan termampu. Keputusannya nanti diharapkan yang baik-baik sahaja.

Serasa saya, inilah kali pertama puasa saya dengan gangguan kesihatan. Ujian, itu pasti. Teguran, itu juga pasti. Siapa tahu? Entah segala apa yang sedang saya hadapi ini sebagai satu cara penghapusan dosa, mungkin juga sebagai halangan untuk saya daripada terus melakukan dosa. Memang, Ramadan menggandakan pahala amalan. Namun tidak pula dihentikan pemberian dosa buat insan yang mungkar dengan suruhan Allah. 

Tempoh hari, saya mendengar satu tazkirah. Ustaz yang saya lupa namanya itu ada memberikan analogi begini. 

"Kita berpuasa ni, kita akan diberikan 100 pahala. Dari pagi kita jumpa orang, sebut benda tak baik, dedah aurat, maki orang, pahala tu akan kurang sikit-sikit. Sampailah waktu berbuka, pahala dah jadi negatif. Betul, puasa itu sah. Tapi pahala negatiflah."

Maka, apalah makna berpuasa jika tidak ada sebarang ganjaran yang kita peroleh. Begitulah puasa sekadar menahan lapar dan dahaga. Tetapi tidak pula dipuasakan anggota-anggota lain. Rugi bukan? Puasa ini memang waktu untuk kita melakonkan kebaikan. Kata ustaz itu, kalau sebelum ini kita sudah melakukan kebaikan, sekarang kita melipatgandakan kebaikan itu. Kalau sebelum ini kita baca al-Quran seminggu sekali pun payah, sekarang kita paksalah diri kita untuk baca satu dua ayat sehari. Kita gandakan, biar berganda-ganda. Sebab puasa kita ini memang semata-mata kerana Allah.

Hanya Allah yang tahu nilai ganjaran untuk setiap amalan yang kita lakukan. Walau dengan sekecil-kecil senyuman dan sangkaan baik terhadap insan.

RABU
7 JUN 2017