Khamis, 26 Januari 2017

ULASAN BUKU : MENANTI KHALIDAH (ANA BALQIS)


JUDUL : MENANTI KHALIDAH
NO ISBN: 978-983-124-409-8
PENULIS: ANA BALQIS
JENIS: NOVEL
TERBITAN: ALAF 21
MUKA SURAT: 494

RANGKUMAN

Menanti Khalidah merupakan sebuah karya yang sangat rumit untuk diteliti. Jalan penceritaannya ialah kehidupan klise kita semua - klise di sini maksudnya realiti sebenar yang bukan direka dan diujudkan dengan sengaja. Serba satu kisah perlu difahami, ditelusuri dan diingati untuk memudahkan kefahaman dalam menamatkan pembacaan. Pengarang tidak sewenang-wenangnya memperbanyak watak sampingan untuk dijadikan ramuan tambahan dalam novel ini.  Sebaliknya ramuan yang tidak boleh tidak, perlu ada. Begitulah pintarnya pengarang dalam mengolah sebuah karya yang cukup rumit ini.

Walaupun watak utama iaitu Asyiqin (Qin) diangkat dengan jelas dalam plot cerita ini, watak sampingan lain juga berfungsi dengan penuh berani. Setiap seorang punya peranan tersendiri dalam menggerakkan perjalanan kehidupan Qin. Sedari awal penceritaan, memang tidak ada hatta satu watak yang paling istimewa dengan kurniaan kehidupan yang 'bahagia'. Tiada yang maksum, tiada yang suci bersih, tiada yang dominan. Mungkin jika diletakkan watak selain daripada Qin sebagai watak utama, pun boleh. 

Nijah, Rai Anirah, Hanim, Hudia, Amiruddin, Mustaffa Bakhtiar, Razaysham dan sesiapa sahaja yang dinamakan dalam Menanti Khalidah, hadir dengan masalah tersendiri. Masalah yang logik - yang bukannya masalah cinta semata-mata. Masalah kehidupan yang terlalu sukar untuk diselesaikan melainkan menghadapinya sehingga ke sudah. Hanya dengan mengenali kesemua watak yang ada, barulah Khalidah dapat ditemui. Itu pun hanya dua kali nama itu disebutkan dalam novel ini dan tentunya membuatkan pembaca tertanya-tanya, siapakah Khalidah?

Menanti Khalidah sebenarnya membawa kisah realiti kehidupan berumah tangga - dari kaca mata wanita, pelbagai perspektif, pelbagai cara dan pelbagai isunya. Khalidah juga (menurut pengarang) diwujudkan dengan harapan, sifat wanita yang merendah diri dan tidak menonjolkan dirinya dapat diangkat dalam keseluruhan ceritanya persis Siti Khadijah yang mulia. Khalidah ialah wanita yang dinantikan oleh Asyiqin sesudah dendam yang ditanggung akhirnya lebur dek kasih sayang; dan bukannya kerana kematangan diri yang dewasa.

CETUSAN RASA PEMBACA

Tentunya Menanti Khalidah ialah kisah yang berat buat saya. Fasa kehidupan yang dirangka sehingga lengkap keseluruhan cerita, bukan fasa kehidupan saya lagi (belum tiba masanya). Lalu menjadikan watak-watak yang ada tidak terlalu dekat dengan saya, tidak begitu saya jiwai tetapi masih saya mesrai. Mungkin saya masih remaja dan Menanti Khalidah menuntut pembaca dewasa yang memahaminya. Namun, tidaklah pula saya menafikan ketersampaian mesej yang digarap oleh pengarang. Saya faham, malah saya sendiri berkira-kira tentang kehidupan masa hadapan saya. Seperti kisah Menanti Khalidah, begitulah realiti yang saya akan hadapi - menemui manusia-manusia yang sarat dengan kisah dan rahsia tersendiri. 

Saya akur dengan pengarang, sebagai wanita yang menulis dengan jiwa wanita tentang kisah wanita (feminisme - jika tidak salah saya). Sekali lagi saya tidak dapat merapati watak-wataknya. Saya membaca jiwa wanita sebagai seorang lelaki, lalu apa yang harus saya katakan? Simpati, sedih, kasihan atau apa sahaja yang boleh menunjukkan rasa belas saya terhadap nasib wanita-wanita dalam Menanti Khalidah. Sungguh, bukanlah saya mahu menegakkan ego lelaki mahupun mempertahankan kelakian dan menyokong lelaki sepenuhnya, cuma benarlah apa yang pengarang tuliskan. Betullah apa yang pengarang sampaikan. Peritnya kehidupan yang perlu ditanggung, bukan semudah sembuhnya luka di jari, tetapi luka yang tidak pernah terlihat - tidak terzahir dalam bentuk kata mahupun air mata lagi. Lalu saya menjadi takut, semoga semua itu dijauhkan daripada saya (seorang lelaki).

Nijah, watak yang saya sangat suka sambil berharap supaya saya dikurniakan sahabat sebegitu juga. Teman yang setia menyokong walau dengan apa cara sekalipun. Watak yang tidak begitu ditonjolkan perasaannya dalam berteman, watak yang dirahsiakan isi hatinya dalam berkawan. Nijah punya pegangan, namun Nijah juga tidak tunduk kepada takdir semata-mata. Dia berani, dia jujur dan dia sangat tegas. Dalam ketegasannya, dia tidak mudah tewas kepada diri sendiri dan masih berpaut pada jati dirinya sebagai anak, sebagai wanita yang perlu patuh kepada orang tuanya - dan yang paling hebat, yakin dengan takdir tanpa mempersoalkan keraguan hatta setitik pun. Saya sendiri tidak tahu bagaimana lagi mahu saya gambarkan Nijah ini, tetapi pada saya Nijah sangat mengujakan - sifatnya, sikapnya. 

Mungkin saya tidak begitu teruja mengetahui siapa Khalidah, apa yang dinantikan, ke mana Khalidah pergi kerana pengarang pernah memberitahu sepintas lalu kisah Menanti Khalidah semasa saya menyertai suatu bengkel penulisan dua tahun lalu. Namun, yang menjadikan saya begitu terdesak adalah untuk mengetahui bagaimana hebatnya pengarang mengolah sebuah novel dengan hanya menyebut dua kali nama watak yang dijudulkan kepada Novelnya. Itulah keterujaan saya yang saya pendam sekian lama. Novel ini juga saya khatamkan dalam masa yang agak singkat, kerana keinginan yang membuak-buak untuk mengetahui kesudahan dan meneliti gaya penulisan pengarang. Hebat - itu sahaja yang saya mampu ungkapkan setelah tahu caranya. 

Saya amat menggemari cara pengarang memperincikan cara 'show but do not tell' dalam penulisannya. Sehingga satu perenggan pun, pengarang masih mampu menunjukkan ceritanya tanpa memberitahu apa yang terjadi. Yang paling banyak saya terkesan ialah apabila pengarang mahu menggambarkan suatu keadaan terkejut, marah, terkesima ataupun terkelu. Perkataan-perkataan yang saya sebutkan jelas sekali hanyalah pemberitahuan. Contohnya begini;

Dia terkejut. (Ayat saya yang biasa.)
Dia merasakan jantungnya disentap. Tercabut nafasnya, pecah urat sarafnya. Darah menyimbah ke mukanya. (Ayat pengarang -lebih kurang begini.)

Betapa saya yang membaca pun, merasai setiap satu perincian pengarang terhadap keadaan yang cuba ditunjukkan kepada pembaca, perasaan itu meresap ke dalam jiwa dan menjadikan saya juga berada seiring dengan watak pada ketika itu. 

Dua perkara yang benar-benar saya amati dalam Menanti Khalidah ialah kematian dan dendam. Perkara yang sebenarnya berkaitan, rantaian kehidupan. Asyiqin yang kuat juga, tewas dengan kematian dan dendam. Bagaimana pula saya, bersediakah? Cuma saya masih terfikir, dendam itu sebenarnya apa? Rasa sakit, kecewa, putus pertalian, kebencian, atau apa? Adakah dengan memaafkan, dendam itu terhapus? Adakah apabila sesorang itu memilih untuk tidak lagi mengambil tahu, lalu dianggap masih berdendam? Adakah apabila keadaan tidak lagi seperti sedia kala, itu juga kerana dendam? Bagaimana kalau semua itu hanyalah rasa, tetapi bukan dendam? Kemudian, bukankah dendam itu juga suatu rasa? Ah.

Akhirnya, Menanti Khalidah terlalu sarat dengan ranjau kehidupan. Bacalah buat mereka yang mahu mengerti makna berkasih. Bacalah buat mereka yang tahu mengasihi. Hanya yang sudah bersedia, mampu membaca naskhah ini dengan emosi yang tidak tertahan. Begitulah kesudahannya, sedih dan amat menyedihkan.

Khamis, 19 Januari 2017

BUKANKAH INI PELUANG


Saya baru sahaja selesai makan ketika itu. Saya henyakkan tubuh di atas kusyen kerusi, merehatkan diri sebelum meneruskan sebarang urusan yang lain. Telefon bimbit saya hidupkan, seiring dengan capaian internet. Berdecit-decit masuknya mesej dan notifikasi Facebook. Saya biarkan sehingga semuanya habis, barulah saya buka satu persatu. Tidak banyak yang menarik, saya sekadar membaca sekali lalu. Saya buka mesej yang lain pula. 

Satu arahan, atau lebih tepat tanggungjawab dikirimkan. Saya terus membalas kiriman mesej itu segera. Bertanyakan beberapa soalan yang perlu. Pada masa yang sama, ligat di dalam benak ini saya fikirkan penyelesaian kepada amanah itu. Jumpa. Terus saya membuat carian nama insan yang muncul dalam ingatan, saya kirimkan ucapan salam. Beberapa minit saya nantikan, saya menerima balasan mesej daripadanya. Terus kepada tujuan, gebang satu dua perkara, dia bersetuju. Saya lega, tersenyum. 

Sekonyong-konyong, satu panggilan masuk menerjah di paparan skrin. Getus hati saya, pasti perkara penting. Terus saya tatal butang menjawab panggilan, satu suara kedengaran. Menceritakan agenda dan penerangan yang lebih lagi untuk mesej yang dikirimnya sebentar tadi. saya sekadar mengiyakan, juga menyatakan bahawa nama seorang calon ini akan saya berikan. Panggilan dimatikan. Saya fikir, saya akan meneruskan urusan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Saya perlu menguruskannya sebaik mungkin, dan menyediakan apa yang sepatutnya saya sediakan.

Sekali lagi saya menerima panggilan masuk daripada orang yang sama. Debar tiba-tiba hadir. Tentu ada yang tidak beres.

"Tak ada orang lain lagi? Kamu ke? Kami dah bincang tadi, kalau tak ada orang lain sangat, takpelah dia pun," saya terpempam. Saya?

Bukankah tugas saya adalah untuk menyediakan dan bukannya melaksanakan? Entah, kata-kata tadi berupa pujukan atau lebih tepat pengharapan. Tetapi kalau saya yang benar-benar diinginkan, mengapa tidak terus dinyatakan sedari awal? Kasihan pula untuk saya menidakkan insan yang telah saya hubungi. Lagi pula, saya percaya kepadanya dan saya juga meletakkan harapan kepadanya. Namun, apalah kuasa yang saya ada apabila mereka lebih 'kenal' siapa dia. Saya hilang kata-kata.

Dalam celaru, rasa tanggungjawab itu seolah-olah perlahan-lahan cuba meresap ke dalam diri. Cuba untuk menyihir saya dengan ungkapan yang pernah saya bangunkan dahulu. Jujur, bukan janji tetapi satu pengharapan yang bukan untuk sesiapa sebenarnya. Pengharapan dalam diri saya sendiri. Kiriman mesej tadi seperti menuntut saya untuk melunaskannya. 

"Belum pernah ada dari sini. Jadi saya berharap untuk membangunkannya sehingga kita mampu meletakkan suatu tubuh di atas pentas penuh prestij itu nanti," pernah saya khabarkan begitu kepada panel penemu duga suatu masa lalu. Itulah yang saya mahu, itulah yang saya harapkan. Pernah saya cuba beberapa kali, dan saya tidak mampu bergerak sendiri. Apatah lagi apabila kurangnya sokongan dan penglibatan kelompok yang berpengetahuan, mahir akan bidang yang diceburi.

Saya sendiri pernah bermimpi untuk meletakkan diri sendiri di atas pentas itu, dan inilah peluang yang seharusnya saya ambil sederas-derasnya. Ini sahaja masa yang tinggal untuk saya lunaskan apa yang pernah saya katakan. Tiada lagi selepas ini, tiada lagi waktu lain. Buktikan, tunjukkan dan sudahlah beralasan. Saya mampu, tetapi mampukah saya sendiri? Sungguh, membuak-buak rasanya mahu turut serta. Mengalir laju semangat untuk melakukannya. Saya mesti luahkan.

Cuma, sembuhkah sudah luka itu? 
Biar dua cabang yang berbeza, tetapi akarnya sama!


Jumaat, 13 Januari 2017

SEJAHTERA


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya hulurkan buat jiwa-jiwa yang setia. Alhamdulillah, akhirnya saya berupaya untuk menitipkan coretan pertama untuk tahun baharu ini. Percayalah, bukan sesuatu yang mudah untuk saya karangkan kata-kata menjadi sebentuk luahan rasa. Banyak yang hanya terpendam sahaja kerana itulah sebaik-baik usaha yang mampu saya lakukan demi memastikan tidak akan ada lagi perkara-perkara pahit untuk diingati. Apabila tidak tertinta, maka esok atau lusa pasti akan hilang begitu sahaja, walaupun tidak sepenuhnya. Saya pinjam catatan seorang teman di Facebooknya.

Saya tidak akan mengabadikan kisah tentang insan yang pernah datang membina persahabatan demi kepentingan diri sendiri. Kemudian, berlalu pergi setelah kepentingannya tidak dilunasi. Kerana yang datang pada saya demi kepentingan diri, tidak perlu diabadikan dalam karya, (Syuhada Salleh, 2016).

Sungguh saya terkesan dengan kata-katanya. Saya memahaminya secara umum. Betapa selama ini saya merasakan dengan menulis, saya dapat melepaskan sedikit rasa tidak senang di dalam hati. Namun saya silap. Sebenarnya saya tidak perlu untuk meningati atau mengabadikan apa-apa yang saya tidak suka dalam apa jua media yang saya ada kerana suatu hari nanti pasti saya akan membacanya semula. Lalu, perasaan yang sama akan hadir kembali walau mungkin ketika itu saya sudah tidak ingat tentangnya. 

Namun saya tidaklah pula akan mematikan keinginan saya untuk menulis sepenuhnya, cuma untuk beberapa perkara sahaja. Penat sebenarnya melawan jiwa, menentang desakan yang betubi-tubi mencabar diri. Saya rasa, kini saya sudah terlalu lali dengan segala-galanya. Tidaklah saya anggap saya sudah kuat dengan segala cabaran yang ada, cuma saya rasa saya sudah semakin kuat. Banyak perkara yang boleh dipejamkan mata, didengar sahaja, dibiarkan pun tidak mengapa. Tidak perlu saya endahkan, tidak perlu untuk saya ambil tahu lagi. Rata-rata banyak yang sia-sia.

Pada usia baharu ini, saya semakin sedar. Terlalu besar langkah yang perlu saya lalui, terlalu banyak perkara yang mesti saya lunasi. Tanggungjawab yang bukan sekadar pada nama pelajar, tetapi manusia. Payah untuk diungkapkan perihalnya. Cuma begini boleh saya kata, pertanyaan kepada diri sendiri. Apa sumbangan yang sudah saya berikan sehingga saat ini? Apa? Apa? Sudah ada yang merasa manfaat atas jasa dan budi saya? Ada? Ada?

Kerdil rasanya. Ketika insan-insan lain sibuk dengan kebajikan dunia mahupun akhirat, saya masih di sini menyelak halaman sejarah diri. Masih dikelilingi oleh manusia-manusia lain yang penuh dengan kepelbagaian, baik hatta buruk sikapnya. Begitulah kehidupan dan untuk tahun baharu ini, saya mahu belajar tentang kehidupan yang selalu melihat kepada kebaikan - positif. Abaikan apa sahaja yang tidak membangunkan minda, buang sahaja kata-kata manusia yang membantutkan kemajuan dan biarkan sahaja tindakan manusia yang merosakkan emosi. Positif, pasti akan mencapai kemenangan.

Satu perkara yang masih saya fikirkan. Kalaulah takdir Tuhan menamatkan hayat saya pada waktu dan saat ini, sudahkah saya menjadi seperti Ahmad Ammar yang dimuliakan ketika perginya pada usia 20 tahun? Sudahkah saya memiliki kekuatan seperti Muhammad Al-Fateh yang menakluk Kota Konstatinopel pada usia 21 tahun? Sudah cukupkah amalan kebaikan untuk saya melalui detik kematian yang boleh datang pada bila-bila masa? Allah, sayu rasanya. Semoga ada kebaikan yang Allah pinjamkan lagi.

Biarlah apapun, saya hanya mahu mendoakan semua - sejahtera hendaknya.